40 Hari

Dimensi Dua Dunia

40 Hari
Hari pertama. Suasana pilu menyelubungi rumahku. Setiap ruang dipenuhi saudara-mara, rakan taulan dan kenalan yang rapat denganku. Malahan ada yang aku tidak kenal atau lupa siapa mereka. Sangat ramai.

Aku sangat gembira biarpun telah mati. Ramai yang datang bertandang sempena memberikan penghormatan terakhir buatku. Ada yang datang dari jauh dan dekat, ada juga yang mengambil cuti demi penghormatan kepadaku.

Aku bangga dengannya betapa ramai yang menziarahi majlis penghormatan terakhirku. Ya lah, masa hidupku aku sangat ramai kenalan dan sahabat. Malah aku sentiasa sedia membantu sesiapa saja yang memerlukan aku. Sebab itulah aku mudah dikenali kerana sifat ramah dan ringan tulangku.

Kematianku, menyebar ke merata tempat. Bagaikan aku seorang pernah hidup sebagai V.I.P. Sangat ramai yang mengunjungi. Ada juga di kalangan mereka yang tidak aku kenali. Aku tidak kisah dengan siapa mereka, apa yang ku bangga kini hanya seronoknya hati kerana begitu ramai yang menziarahi majlis itu.

Apalagi, aku melihat ramai yang menderma, ada yang RM50, RM100, malah ada beberapa yang menderma sampai RM500. Walaupun aku tidak dapat menggunakan wang itu. Ia yang sangat bernilai buat membantu isteri dan anak-anakku yang masih memerlukan.

Apa yang menyedihkan aku? apabila ku lihat wajah isteriku yang sangat sugul. Dia tidak berganjak pun dari tempat aku dibaringkan. Airmatanya bagaikan tidak mampu mengalir lagi. Sangat sayangnya isteri padaku. Begitu juga dengan anak perempuan sulungku yang masih tingkatan 4 tidak berganjak menemani ibunya.



Majlis penghormatan diteruskan sehingga ke malam. Saudara mara, rakan taulan dan kenalan tidak putus-putus datang memberi penghormatan.

Malam itu, aku merayau di sekitar rumah. Ingin bersama-sama mereka yang ada di situ. Ada yang sibuk di dapur, ada membantu apa yang patut. Selainnya, duduk dan bersembang.

Aku agak tertarik dengan sekelompok rakan-rakanku yang duduk di suatu sudut sedang rancak bersembang. Apalagi aku pun cuba dengar perbualan mereka. Mereka mengimbas kenangan bersamaku semasa aku masih hidup. Ada yang kata aku ni baik, ada yang memuji, malah ada yang geli hati dengan kenakalanku dulu. Mereka sangat simpati dengan pemergianku. Namun, lama-kelamaan topik tentangku bertukar kepada benda lain.

Aku cuba ke tempat lain, aku cuba dengar apa yang mereka perkatakan tentangku. Geng ini pula mengumpat tentangku. Mereka kata aku ini, aku itu, tapi mereka tak cakap kuat-kuat, cuma berbisik. Tapi semua nya jelas kedengaran bagi ku. Apa yang mereka perkatakan itu betul, ada juga yang tidak benar. Tapi aku tidak kesah dengan kata-kata mereka. Lagipun sudah berlalu.

Manakala, yang lain berada di luar rumah, ada beberapa kelompok kelihatan bersama dengan lilin yang dipacak empat penjuru bersama meja kecil yang dikelilingi para penjudi. Geng yang ini aku tau, ada yang ikhlas melawatku, ada yang niatnya hanya nak berjudi. Yang ini pun aku tak kesah, datangnya mereka membantu meramaikan lagi dan menjadikan malam itu lebih pendek.

Aku masih saksikan anak perempuan dan isteriku masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Mandi pun isteriku belum lagi. Dia terus setia di sampingku. Sedih aku melihat wajah sugulnya. Dibahunya ada tuala kecil yang sentiasa di situ digunakannya mengelap air matanya yang tidak mahu menitis lagi.



Hari kedua. Suasana pagi itu agak lengang. Ramai yang masih tidur bersepah di rumah itu. Tapi ada juga yang telah bangun membantu di dapur. Kebanyakan di dapur terdiri daripada saudara mara dan orang kampung.

Sang isteri ku pula masih tidak berganjak, menahan dahi dengan lengannya. Manakala anak perempuan sulungku tidur disebelahnya. Dua lagi adik lakinya kelihatan masih tidur baring di situ juga.

Lebih kurang jam 9 macam tu, mayatku dipindahkan ke dalam peti mesin ais. Aku tau tujuannya supaya mayatku terus kelihatan segar. Di bahagian dinding kelihatan bunga jadi penghias sekitarku. Di atas bahagian kepalaku ada sebuah bingkai gambar berserta fotoku yang kelihatan segak dan tampan.

Suasana kembali ramai orang. Kelihatan mereka datang dan terus datang. Ada yang muka bermalam di situ, ada yang datang semula pagi ini dan ada muka yang baru kelihatan. Malah lebih ramai dari semalam.

Aktiviti mereka seperti semalamnya. Ada juga yang menitiskan airmatanya, ada juga yang membaca doa buatku. Selebihnya, mereka akan mencari tempat duduk dan bersembang. Aku tidak kisah pun, asalkan sudi datang dari jauh dan dekat demi menjengukku, itu sudah memadai buatku.

Ada juga yang hanya duduk dan tidak bercakap, muka hanya terkebil-kebil memandang suasana di sekitar. Ada juga yang diam tapi tangannya terus bermain dengan telefonnya. Pelbagai ragam kelihatan. Ada juga yang dari tadi tidak berhenti bercakap.

Kembali semula kepada isteriku. Dia baru selesai mandi dan kembali semula di sampingku. Airmatanya, kembali bergenangan apabila dia melihat ke arah ku. Tidak berhenti dia kesedihan. Amat besar makna kehidupan ku baginya.



Malam kedua. Suasana sama seperti sebelumnya. Masih ramai seperti sebelumnya.
Aku akan dikebumikan keesokan harinya. Jadi malam ini adalah malam terakhir penghormatan buatku.

Malam itu aku disembahyangkan seperti malam sebelumnya. Saat menyembahyangkan aku, sempat aku meronda memerhatikan perangai manusia ni. Ada yang termengantuk saat itu, lucu. Ada juga yang tidak fokus. Macam ragam la. Tapi tak mengapa. Asalkan mereka menghormati upacara tersebut.

Seperti biasa, isteriku tetap tidak berganjak. Dia tahu, esok aku tidak bersamanya buat selamanya. Sepertimana aku, dia memang jelas menyayangi aku. Terfikir juga aku, kalau-kalau kubur aku masih merah, adakah dia akan menikah dengan laki lain. Eh Sampai ke situ pula fikirku. Bukan apa, sebab pernah mendengar dan benda itu pernah berlaku. Harap isteriku tidak sedemikian.

Sebab itu juga, segala peninggalan ku aku wasiatkan sebaiknya. Rumah dan kereta, aku wasiatkan kepada anak-anakku. Bagi Isteriku dia akan dapat duit simpanan dan gaji pencen penjawat awam yang disertakan aku dengan agar dia membelanjakannya sebaik mungkin terutamanya untuk anak-anak kami. Nasib baiklah sempat beli rumah sebelum mati, sekurang-kurangnya ada tempat anak isteriku tinggal. Tidak mengharap ehsan kiri kanan.

Isteriku juga seorang surirumah sepenuh masa. Namun, dia aku bekalkan dengan lesen kereta, dan ku ajari dengan cara menggunakan kemudahan yang aku dapat sebagai penjawat awam. Macam tahu-tahu pula diri akan pergi awal darinya. Dia dulunya, marah apabila aku mengucapkan yang dia perlu belajar semua itu supaya bila aku pergi dia tahu apa yang perlu diuruskan. Dia marah mengatakan aku mengucapkan suatu yang tidak patut.

Sekarang sudah jadi kenyataan, yang aku pergi mendahuluinya. Dia terpaksa menguruskan semuanya tanpa aku. Nasib baik juga dia ada keinginan belajar semua tu. Maka aku tidaklah risau sangat, biarpun pemergian ku ini tidak dirancang.

Dari situ, juga Isteriku sedar aku sememangnya bertanggungjawab terhadap keluargaku. Sepanjang hayatku, aku sentiasa menghiburkan kami sekeluarga. Aku tahu suasana itu akan membuatkan Isteri dan anak-anak merinduiku.


Hari ketiga. Hari ini aku akan dikebumikan. Jasad ku sudah dipindahkan ke dalam keranda. Cantik dan menarik juga hiasan pada kerandaku. Namun, itu cuma tempat jasadku tidur. Roh aku sudah keluar.

Aku sendiri tidak tahu ke mana hala tuju ku nanti. Adakah syurga ataupun neraka? Itu terpulang kepada Tuhan menghakimi diriku. Aku tahu aku hanya insan biasa yang tidak pernah lepas dari melakukan dosa. Namun, aku juga berusaha mengumpul segala pahala semasa hidupku. Sesiapa pun yang meninggal mengimpikan syurga dan tiada siapa yang mengimpikan neraka.

Saat-saat akhir sebelum kerandaku di bawa ke perkuburan. Aku melihat isteriku pengsan seperti belum bersedia menerima hakikat pemergianku. Sangat ingin aku berkata kepadanya yang aku akan menantikan dia di sana, namun dia perlu meneruskan hidupnya demi anak-anak tersayang kami.

Mereka yang lain, juga turut tersentuh melihat keadaan isteriku. Ada yang memalingkan mukanya tidak sanggup melihat situasi sebak itu. Anak-anakku juga menangis sedar itu hari terakhir aku di rumah itu biarpun hanya sebagai jasad sahaja. Buat anak-anak tersayang, aku menyayangi kamu semua seadanya dan jagalah ibu kamu semua seadanya. Itulah yang ingin aku bisikkan pada mereka. Namun, aku tidak mampu melakukannya.

Hadirin yang ada semuanya senyap. Mereka menahan hiba masing-masing. Jelas kelihatan semuanya sugul. Sebab kebanyakan yang ada di situ sekarang adalah saudara mara terdekat. Empati mereka lebih tinggi, sudah tentu sebak itu sangat terasa.

Jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi. Van cemetery sudah ada di depan rumah menunggu untuk membawa aku ke perkuburan. Kelihatan juga kenderaan-kenderaan saudara-maraku sudah bersedia.

Pagi yang sangat sedih menyelubungi rumahku sekali lagi. Aku tahu bagi mereka ia suatu yang sangat sakit dan menyedihkan terutamanya isteri dan anak-anakku. Saat itu sudah pasti suatu yang sangat menyeksakan.



Sudah tiba masanya keranda disimpan ke dalam van cemetery. Isteriku dan anak perempuan sulungku turut bersama dalam van tersebut. Manakala dua lagi anak lelaki ku tinggal di rumah dijaga oleh saudara perempuanku. Sementara kenderaan lain mengikuti rapat dibelakang. Ada juga yang sudah mendahului di tanah perkuburan.

Perjalanan lebih kurang 1 jam 30 minit itu pun tiba di tanah perkuburan. Di sana kelihatan lubang kubur ku yang sudah digali dari semalam kemas menanti kerandaku. Kerandaku diturunkan dari van. Sekali lagi upacara sembahyang. Saat itu aku melihat air mata isteriku masih tidak henti mengalir.

Selesai upacara sembahyang, kerandaku diturunkan dengan perlahan ke dalam liang lahad. Tanah mulai dilemparkan ke dalam lubang kubur tersebut. Ku lihat isteriku mengenggam tanah merah dan perlahan dilemparkannya ke arah kerandaku seraya airmatanya tidak berhenti mengalir membasahi pipinya. Di belakangnya, anak perempuan ku memegang bahu ibunya.

Akhirnya, kerandaku tidak kelihatan lagi. Semuanya tanah merah menutupi segalanya. Hadirin seorang demi seorang meninggalkan tempat itu bermula dari orang kampung, sahabat sehinggalah saudara mara terdekat. Ku lihat isteriku masih setia duduk di tepi kuburku. Dia masih menitiskan airmatanya. Jelas dia seperti belum sanggup meninggalkanku.

Isterikulah yang terakhir pergi meninggalkan perkuburan. Adik iparku menunggunya di kereta. Itupun setelah puas anak perempuan sulungku memujuk ibunya balik, barulah dia melangkah berat meninggalkan tanah kubur itu. Dalam pada itu beberapa kali dia memalingkan mukanya ke arah kuburku. Sangat sedih melihat kesetiaannya.

Dalam perjalanan balik itu, tiada siapa berani bersuara atau berkata-kata. Mereka membiarkan isteriku menenangkan dirinya. Sangat ingin juga aku menyuarakan padanya supaya redha dengan pemergianku. Tidak sanggup pula ku melihat keadaan sedih isteriku.


Sesampai di rumah. Isteriku membersihkan diri. Selepas itu dia mendapatkan kedua-dua anak lelakiku. Dipeluknya erat keduanya bersama dengan tangisannya. Yang masih ada di rumah itu hanyalah saudara mara terdekat.

Lilin dinyalakan dan diletakkan berhampiran tempat keranda aku ditempatkan sebelum itu. Malam itu, sekali lagi mereka bersembahyang. Namun kali ini, hadirin tidak ramai. Terdiri daripada saudara mara dan jiran tetangga.

Suasana suram. Sunyi sepi. Isteriku menyandar di dinding berdekatan api lilin. Sekali sekala dia menatapi foto yang diletakkan di sudut itu. Matanya jelas kelihatan ada lingkaran gelap. Dia tidak cukup tidur dan menangis semahunya sebelum ini. Terkadang dia termenung, dan tersenyum. Mungkin dia terusik dengan kenangan lucu bersamaku. Tapi lebih banyak yang situasi airmatanya mengalir.

Aku memang memerhatikannya, makan pula dia hanya sekadar tidak mahu perutnya kosong. Seleranya langsung terganggu. Sama seperti anak perempuanku. Namun dia yang selalu memujuk ibunya makan. Mereka berdua memang rapat, walaupun anak perempuannya selalu bertekak dengannya. Hanya dia juga yang paling mengerti perasaan ibunya kini.

Aku dan isteriku bukanlah tidak pernah bergaduh. Malahan hari-hari kami bertekak. Tapi, aku tidak pernah ambil hati pun. Kerana aku tahu, walaupun mulut dia bising, tapi dia tetap menyayangi kami sekeluarga seadanya.

Kalau mula perkahwinan dulu, orangnya adalah pendiam. Tapi selepas ada anak dialah paling bising di rumah. Biarpun begitu, aku faham situasinya yang mengerah anak-anak mandi, belajar dan untuk turun ke meja makan sekalipun.

Bagi kami berdua pula, kasih sayang itu masing-masing tahu didalamnya bagaimana. Aku pula selalu menyakatnya supaya tersenyum semasa dia tengah menjadi singa. Selalunya sakatanku dan anak-anak berjaya. Dan sekarang dia pasti merindui pujuk rayu ku padanya.



Aku merayau mencari sesiapa saja kenalanku. Aku ingin tahu apa yang mereka perkataan tentangku. Aku pergi ke tempat kerjaku, rumah-rumah saudara maraku, rumah para sahabatku. Satu demi satu aku kunjungi.

Jelas mereka ada bercerita tentangku, ada yang menceritakan kebaikan yang pernah aku lakukan pada mereka dulu. Ada juga yang menceritakan tentang keburukanku. Ada juga yang memang jelas terasa kehilangan dengan pemergianku. Semuanya lebih mengatakan kasihan padaku kerana pergi awal sebelum waktu tuaku.

Hari silih berganti. Minggu demi minggu berlalu. Sudah hampir sebulan. Aku terus merayau melihat semua kenalan yang aku pernah ada sebelum aku lenyap ke tempat penantian. Namaku mulai jarang diperkatakan dibibir mereka lagi. Kalau minggu pertama dulu namaku selalu diucapkan dibibir mereka, namun kini namaku semakin dilupai. Segala tentangku semakin jarang diperkatakan.

Aku kembali ke rumah. Aku perhatikan wajah-wajah anak isteriku. Jelas reaksi mereka masih sugul hingga kini. Lebih-lebih lagi isteriku. Setiap kali dia berseorang di bilik, airmatanya pasti mengalir. Permergianku sangat memberikan tamparan besar padanya. Terkadang bila dia membuka telefonnya, apa yang dia buat adalah menatap satu-persatu gambar kenangan kami sekeluarga.

Ingin saja rasanya aku memujuk isteriku supaya berhenti berduka. Tapi apakan daya, aku hanya mampu melihat sahaja. Isteriku sehingga kini masih tidak berselera makan. Makan pun dia hanya mengisi kelaparannya, dan itupun nasinya tidak pernah habis. Mujur ada anak perempuanku selalu menemani ibunya. Sehinggakan dia akan tidur bersama ibunya, kerana tidak mahu ibunya terus berduka.

Tinggal seminggu lagi aku akan terus merayau. Jika Tuhan mengizinkan aku hidup semula, pastinya aku akan lebih mengutamakan keluargaku. Ya sudah pasti, kerana merekalah yang paling dekat denganku. Hanya mereka yang terus bersedih kehilanganku.


Kalaulah aku masih hidup. Keluargalah yang akan aku pilih. Ternyata penyesalanku sudah terlambat. Kalau dulu aku banyak memilih orang lain malah aku selalu meninggalkan keluarga untuk bersama kawan-kawan. Andai aku hidup semula, aku pasti memilih lebih banyak masa untuk bersama keluargaku.

Pernah suatu ketika, isteriku merajuk kerana aku keluar hampir setiap malam hujung minggu, masa tu belum ada anak lagi. Aku meninggalkan dia berseorangan di rumah. Aku bukanlah seperti lelaki lain keluar malam kerana ke kelab malam atau ke pusat hiburan atau sebagainya. Aku hanya keluar seronok dengan kawan-kawanku menonton bola. Aktiviti keluar menonton bola diluar berjaya disekat isteriku apabila kami melanggan pakej Astro yang ada menayangkan sukan bola. Keadaan itu memberikannya sedikit tersenyum.

Selain itu, aku akan meninggalkannya berseorangan bila teman-teman mengailku mengajakku melaksanakan aktiviti nelayan tidak bertauliah itu. Biarpun sang isteriku tidak membenarkan, namun aku tetap berkeras, jawapanku adalah keluar dengan kawan bukan steiap hari, hanya hujung minggu. Akhirnya isteriku mengalah dan memberikanku ruang itu biarpun aku tahu dia sebenarnya memilih aku bersamanya di rumah. Hampir setiap hujung minggu aku tidak berada di rumah.

Sama juga sikapku setelah ada anak. Aku melebihkan orang lain dari keluargaku. Aku tetap akan mencari helah untuk bersama teman-teman. Bila ada teman mengajak mengail, sudah pasti aku memilih hobi tersebut. Sehingga suatu ketika, kaki aku terpijak sejenis ikan berbisa. Balik ke rumah isteriku juga yang bersusah payah melayan karenahku kerana tidak dapat berjalan ketika itu.

Anak-anak merengek ingin belaian dariku pun aku masih tidak acuh. Bagiku cukup memberi nafkah buat mereka. Jarang sekali aku bermain bersama mereka. Sebab itu juga anak-anakku lebih rapat dengan ibu mereka. Setiap detik pembesaran dan perkembangan anak-anak aku tidak perasan. Tahu-tahu mereka sudah mencapai suatu perkembangan. Begitulah sikapku.

Pernah juga isteriku meluahkan padaku dulu, dia mengharapkan kami perlu lebih banyak masa bersama. Dia mengharapkan hujung minggu terisi bersamanya. Isnin sehingga jumaat waktu siang dipenuhi dengan waktu kerja. Bersama isteri sebenarnya lebih kepada malam hari. Tapi aku tidak pernah sedar itu semua sehinggalah aku minggu terakhir aku terlantar sakit. Di masa sakit itu juga isteriku bersusah payah menjaga makan minumku. Bukan teman-teman ku tidak menziarahiku ketika aku nazak sakit, tetapi mereka hanya menjenguk tidak lama. paling lama pun 2 jam. Selebihnya isterikulah yang bertungkus-lumus menjagaku.


Hari ini merupakan hari ke-40 aku meninggal dunia. Kelihatan rumah aku mula dipenuhi sanak saudara lagi. Ada juga kelihatan sahabat-sahabatku mengisi ruang rumah tersebut. Makanya majlis mengenangkan 40 hari kematianku akan berlangsung malam ini.

Aku sangat sedih untuk meninggalkan keluarga ku sepenuhnya. Sehinggakan aku mengekori ke mana sahaja isteriku pergi. Aku baru sedar banyaknya pengorbanan seorang insan bergelar isteri. Malah kini dia terpaksa berjuang tanpaku. Kini aku sedar dia juga adalah insan yang amat menyayangiku. Dia menerimaku seadanya. Melayan segala kerenahku selama ini tanpa sebarang keluhan.

sedang aku memerhatikan isteriku, aku perasan ada seorang tua berambut panjang beruban cecah ke bahu, berjambang putih dan mengenakan pakaian jubah putih memerhatikan aku. Aku berasa pelik. Dia tidak aku kenali langsung. Dari cara dia memerhatikan aku, memang aku pasti dia nampak aku. Aku turut perhatikan semua yang akan kat situ seakan-akan tidak perasan kewujudan orang tua tersebut.

Aku menghampirinya. Aku menyapa dia dengan berhemat. Dia pun membalas sapaan ku dengan bersahaja. Dia menyatakan bahawa aku akan pergi malam ini. Dia akan membawa aku ke tempat lain, tempat yang diperkatakan sebagai tempat penantian katanya. Dia berkata pada ku, malam ini aku boleh hadir ke dalam mimpi isteriku. Tapi hanya sekejap, aku tidak diberikan banyak masa. Aku dilarang sama sekali untuk bercakap sesuatu yang tidak harus manusia hidup ketahui. Aku cuma dibenarkan melepaskan rasa rindu pada orang yang aku sayangi. Bagiku, itu sudah memadai.

Aku seperti sudah tidak sabar. Aku menantikan isteriku tidur, kerana aku akan masuk ke dalam mimpinya. Majlis malam itu berjalan lancar. Seperti biasa aku melihat isteriku menangis di depan fotoku yang diletakkan khas untuk majlis tersebut. Setelah semua tetamu balik, kelihatan isteriku masuk ke bilik. Dia merebahkan dirinya yang telah kepenatan sepanjang hari ini.

Dia berbaring secara mengiring. Airmatanya berguguran lagi. Dalam kesedihan tersebut, akhirnya dia melelapkan matanya. Setelah dia kelihatan nyenyak, aku mula masuk ke dalam mimpinya. Di dalam mimpi tersebut ada sebuah taman bunga yang sekitarnya berkabus. Dia melihat aku dengan rupa yang terkejut. Dia segera berlari mendapatkan aku dan terus memelukku. Dia meluahkan dirinya sangat merinduiku. Aku jua meluahkan benda yang sama dan memandangnya dengan penuh senyuman. Aku mengatakan sesuatu supaya dia menjaga anak kami sebaik mungkin, dan aku akan menunggu dia di sana. Kami terus berpelukan dalam beberapa ketika sehinggalah aku disedut keluar dari mimpinya.

Akhirnya aku berjalan pergi bersama orang tua tadi ke suatu tempat yang tidak tahu aku jelaskan.



TAMAT!

Sekian Terima Kasih kerana sudi membaca.

Kisah ini adalah rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun telah meninggal. Jika berlaku, ia adalah suatu kebetulan.

Ditulis: Justine Amping

No comments:

Post a Comment