Dimensi Dua Dunia
Cerita Hantu
(1)
Entah kenapalah begitu bosan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Tiada kerja lain, masak maggi, main game dan tidur. Masak maggilah, pelajar punya kisahlah katakan. Oh ya, dalam kisah ini, hanya ada beberapa orang yang terlibat, Amin, Acong, dan Mikul. Kami bertiga ini bukan rakan sebilik sebenarnya. Oleh kerana PKP ini, kami ditempatkan bersama di sebuah bilik. Kami bertiga ni adalah pelajar sebuah universiti yang terkandas di sebuah penempatan di sebuah universiti.
Oleh kerana tidak dapat pulang, itu sahajalah rutin di bilik main game sampai bosan. Nak merayau tak boleh. Dahla bilik kami bertiga itu di hujung kawasan tersebut. Nak buat pasal pun tak boleh, sebabnya roomate baru je kenal. Mulanya masing-masing membisu dan buat kerja sendiri. Lama-kelamaan kami bertiga mulai berkongsi minat bersama, tiada lain la game jela. PUBG, tu je la kerja. PUBG ni permainan tembak-tembak dalam telefon pintar atau guna laptop, atau PC. Tapi kami semua pakai laptop la, guna emulator.
Nak jadi cerita, suatu malam semua kawasan hostel blackout. bergelap la kami bertiga. Nasib baik juga ada stok lilin tak la gelap gempita. Bila black out, maknanya tiada game la malam tu. Mulanya semua pakat layan telefon masing-masing. Sorang demi sorang habis bateri. Padam muka. Last-last, terpaksa hadap masing-masing.
Mula-mula sembang merapu, sebarang topik je bantai. Lama-lama semakin seronok menyembang, makin mesra pula. Dah mula jadi kamceng. Bila dah tahu semua satu kepala, mulalah nak buat hal. Ada yang ajak nak merayau malam tu. Ada yang plan nak santai nyanyi sambil main gitar. Ada juga yang nak sembang sampai ke pagi. Macam-macam plan.
Akhirnya sebab malas nak keluar merayau, jadi kekal menyembang je la jawabnya. Suasana malam tu agak panas, sebab tiada kipas yang berputar menghembus angin kerana bekalan elektrik terputus.
Sembang punya sembang, dari satu topik ke satu topik, akhirnya semua berminat untuk kongsi cerita pengalaman pasal hantu. Dah la gelap semacam suasana, cerita pasal hantu pula, memang rare la.
(2)
Sebenarnya tidak ramai yang masih tinggal di hostel tersebut. Kami bertiga tiada pilihan kerana kampung halaman jauh. Bagi yang dekat, semuanya balik kampung. Tapi kami tidak ambil tahu sangat pasal yang lain. Apa yang kami tahu, layan game jer.
Malam tu suasana agak senyap sunyi. Mungkin semua penguni lain di dalam bilik masing-masing sepertimana kami bertiga kot. Sekali-sekala kedengaran bunyi angin bersiul berputar di antara blok hostel. Kami bertiga terus bersembang. Dah semua laki-laki masing-masing tunjuk berani dengan cerita hantu.
Bermula dengan si Amin menceritakan kisahnya diganggu oleh makluk halus semasa mandi. Kisahnya dia pergi mandi, kawan sebiliknya yang ulat buku berada di bilik. Bila dia ke bilik mandi dia nampak kawan sebiliknya tadi sedang mencuci baju kat bilik air. Dia pun bersembang dengan rakannya di bilik air tersebut. Tapi malangnya dia cuma cakap sorang-sorang. Sebab kawannya itu tidak bercakap pun. Dia buat tak kesah la. Selesai mandi dia balik semula ke bilik. Terkejutnya dia, sebab kawan sebiliknya masih kat bilik. Dia pun tanyalah bukankah kawan tu cuci baju ke tadi? Kawan dia pun jawab, yang dia tak ke mana-mana pun. Meremanglah bulu tengkuk masa tu katanya.
"Ala yang itu tak seram lagi" kata si Acong memerli kisah yang diceritakan Amin tadi. "Gila tak seram, aku yang lalui" balas Amin. "Kalau yang tu tak seram cerita pulak kisah kau" ujar Mikul. "Baiklah aku cerita ya" kata Acong. Acong pun mula bercerita.
Kisahnya begini. Ada seorang kawan ni balik lewat malam. Dia bawa motosikal dan akan melalui sebuah jambatan. Jambatan yang agak panjang itu dikatakan keras. Sebab pernah ada orang pernah nampak hantu pakai helmet tanpa muka kat situ. Dah terpaksa melalui jambatan tersebut kawan ni pun melalui jambatan dengan rasa berdebar. Tiba-tiba dia nampak kelibat seseorang berdiri tepi jambatan sambil melihat ke sungai. Dengan baik hati dia pun singgah dengan niat menegur orang tu supaya tidak berada di jambatan itu tengah malam risau terserempak dengan hantu helmet tanpa muka.
"Lepas tu" Amin tidak sabar. Kawan tu bagitau "Jangan berada kat jambatan ini tengah malam, orang pernah nampak hantu tanpa muka" jelas si Acong mengikut dilog kawan tu. "orang tu pun pusing muka ke arah kawan ni tadi dan kata 'tiada muka macam ni ka?' dia menunjukkan diri yang tiada muka kat kawan tu, apalagi kawan tu pulas memecut moto dia lari sebab tau dia tu hantu" cerita Acong.
(3)
Jam menunjukkan 10 malam. Kami bertiga masih rancak bersembang kisah seram. Suasana seram sudah mulai terasa. Tambahan kisah yang dikongsikan tadi menambah perasanya.
"Mikul sekarang giliran kau pula cerita" ujar si Amin. "kisah aku tidaklah seram sangat, tapi bolehla" balas Mikul. "Cerita je la" tambah Acong. Mikul pun mulakan kisahnya.
Pada suatu ketika dahulu, ada seorang pemandu teksi yang bekerja sehingga lewat malam. Pada suatu malam dia mengambil seorang penumpang perempuan. Seterusnya dia membawalah perempuan itu ke destinasinya. Pada mulanya tiada benda yang pelik. Dia tercium bau wangian yang sangat enak semasa perempuan tersebut masuk ke dalam teksinya. Dia buat tidak kesahla. Biasalah orang perempuan kan suka pakai minyak wangi. Tapi beberapa ketika tiba-tiba dia tercium bau yang busuk pulak secara mengejut. Apalagi dia bukalah tingkap teksinya kerana tidak tahan dengan bau tersebut. "Maaf pakcik saya terkentut" ujar perempuan muda itu tadi.
"Lerrr, itu jer, kentut punya pasal ka?" ujar si Amin. Kami bertiga pun tergelak bersama. "Sabar tak habis lagi la" si Mikul menyampuk di tengah gelak ketawa mereka bertiga. "Sambung la" ujar Acong. Maka Mikul pun meneruskan ceritanya.
Setelah dekat dengan suatu tempat, perempuan muda mengarahkan pemandu teksi itu berhenti. Dia menghulurkan duit tambang dan keluar dari teksi tersebut. Pemandu teksi itu melihat persekitaran tempat perempuan itu singgah. Ternyata kawasan jirat cina. Meremanglah bulu roma pemandu teksi itu. Dia pun terus memandu ke pusat bandar. Dalam perjalanan tersebut dia terhidu bau wangi perempuan tadi.
"Pakcik kenapa tidak bangunkan saya, saya sudah terlepas destinasi ni" suara perempuan tadi dari belakang. Apalagi secara automatik la pemandu teksi itu menekan brek keretanya. Nasib baik tiada kenderaan lain kat situ. Kalau tak memang tak pasal kecelakaan. "Bukan cik dah keluar ka tadi?" tanya pemandu teksi itu memberanikan diri.
"Saya tertidur la pakcik" jawab perempuan muda itu. Habis tu siapa yang keluar tadi?
(4)
Siapa perempuan itu tidak kesah. Dia hanya penumpangnya. Oleh kerana tidak mampu berbuat apa-apa pemandu teksi itu terpaksa berputar semula menurut kehendak perempuan itu. Dengan perasaan yang agak takut itu dia berusaha memberanikan diri juga. Apa boleh buat sudah nasib sebagai pemandu teksi.
Setelah sampai di kawasan jirat cina dia menghantar perempuan tadi, perempuan itu menyuruhnya berhenti di tempat yang sama seperti awal tadi. Perempuan itu menghulurkan duit tambang dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Perempuan itu berlalu pergi ke arah jirat cina tadi. Sekali lagi bulu roma pemandu teksi itu meremang.
Kali ini dia pastikan tiada sesiapa di belakang. Setelah berpuas hati tiada sesiapa duduk di belakang baru dia memandu teksi tersebut ke arah pusat bandar semula.
Tidak lama selepas dia memandu, bau wangi perempuan tadi tiba-tiba menusuk ke lubang hidungnya lagi. Alamak aku memang kena ganggu dengan syaitan ni bisik pemandu teksi itu.
"Pakcik, pakcik terlepas destinasi saya lah" suara perempuan dari tempat duduk belakang teksinya. Dengan perasaan berdebar pemandu teksi memberhentikan teksinya di bingkai jalan.
"Korang tau apa jadi lepas tu?" tanya Mukul menambah tanda tanya Amin dan Acong yang memberikan perhatian sepenuhnya pada kisah tersebut. "Ya sambung la" ujar si Amin. "Ha ah la, apa jadi lepas tu?" tanya si Acong sudah tidak sabar ingin tahu kesudahan kisah tersebut.
"Apabila pemandu teksi itu melihat ke belakang..." Mikul terus bercerita. Manakala dua lagi rakan sebilik itu berdebar-debar menanti. "Haaaaaa!" tiba-tiba si Mikul menyergah kedua-dua kawan sebiliknya itu. Apalagi keduanya yang duduk bersila tadi terlompat dari tempat duduk kerana terkejut dengan sergahan si Mikul. Si Mikul pula ketawa terbahak-bahak kerana berjaya mengenakan rakan sebiliknya itu.
(5)
Muka nakal si Mikul ketawakan rakannya tidak dapat disembunyikan biarpun mereka bertiga hanya diterangi sinaran lilin. Dua lagi rakannya merungut.
"Nasib baik aku tak sakit jantung, kalau tak, mampus kau la bertanggungjawab'' ujar si Amin geram dengan Mikul. "Ye lah kau ni, rasa nak terpengsan aku tadi" tambah si Acong. "Baru nampak real kisah hantu bro" balas Mikul menutup rasa bersalah terhadap rakan-rakan sebiliknya itu.
"Kisah tadi tu betul ke bohong" tanya Amin masih belum puas hati dengan penamatan kisah tadi. "Itu jer ke penghujungnya Mikul?" tanya Acong pula. "Belum habis lagi la, aku sambung balik kisahnya ye?" ujar si Mikul dan mula menyambung kisah tadi.
Apabila pemandu teksi itu menoleh ke belakang, dia memang dapati perempuan muda itu duduk di belakang. Memang jelaslah dia berasa pelik. Dia sendiri memastikan tiada orang di belakang setelah perempuan itu keluar di kawasan jirat cina tadi.
"Kenapa pakcik tengok saya macam itu?" tanya perempuan itu. "Errr tada apa-apa, cuma pakcik keliru jer" jawab pemandu teksi itu spontan. Wangian perempuan itu terus menerus masuk ke deria bau pemandu teksi tersebut. Memang jelas pemandu teksi itu keliru dengan apa yang dia sedang lalui.
Tiada pilihan bagi pemandu teksi tersebut, dia terpaksa juga menghantar perempuan itu ke destinasinya. "Pakcik, boleh cepat sikit ke? Nanti saya terlepas majlis perkahwinan sepupu saya" ujar perempuan muda tersebut separa mendesaknya agar cepat ke tempat yang dituju.
Pemandu teksi itu pun segera memberi tumpuan kepada pemanduannya, seperti dia terlupa apa yang telah berlaku tadi. Perutnya dah bunyi menunjukkan kelaparan. Jam pulak dah dekat pukul 10 malam. Dalam fikirannya lepas hantar perempuan ini dia akan cari tempat makan la.
(6)
Di luar bilik mereka bertiga memang gelap gempita. Suasana senyap sunyi. Wahal ada juga pelajar lain di sekitar hostel mereka tinggal. Suasana seakan-akan tiada orang lain selain mereka bertiga. Namun, mereka bertiga tidak memperdulikannya, mereka leka dengan cerita hantu yang diceritakan oleh Mikul.
Mikul meneruskan ceritanya. Dua lagi rakannya terus memberikan penuh perhatian. Ternyata mereka berdua kusyuk mendengar kisah tersebut.
Setelah beberapa minit memandu, akhirnya destinasinya sampai. Pemandu teksi itu terkejut melihat suasana destinasi tersebut.
"Jangan kata destinasinya kat jirat tu lagi aaa!" Acong menyampuk. "Kau diam la, bagi Mikul meneruskan ceritanya" sampuk si Amin pula. "Kau jangan buat terkejut macam tadi ah!" kata Acong yang masih tak puas hati sergahan Mikul tadi. "Nak dengar ke tak?" tanya Mikul ingin meneruskan ceritanya. Dua rakan itu senyap tanda bersedia mendengar sambungannya.
Suasananya berbeza kali ini. Kalau tadi dia sampai kat jirat cina. Kali ini dia sampai di depan sebuah banglo besar.
"Pakcik, sudah kita sudah sampai, pakcik pun boleh singgah sekali kalau sudi" ujar perempuan itu. "Tak apalah nak, lagipun pakcik lapar, pakcik nak singgah makan kat mana-mana kedai" balas pemandu teksi itu. "Pakcik singgah la makan sekali kat majlis tu, lepas tu pakcik sambung kerja lagi, lagipun dah lewat macam ni, mana ada kedai buka" tambah perempuan itu mempelawa pakcik itu ke majlis tersebut.
Dilema juga pemandu teksi itu. Perut dia memang lapar. "Tak payah seganlah pakcik, gastrik nanti pakcik juga yang susah, jangan risau mereka semua saudara mara saya, pakcik jadilah tetamu saya" pujuk perempuan itu. "Ye lah, pakcik singgah makan je lah" jawab pemandu teksi itu setuju. "Sori pakcik, tambang nanti saya bayar lepas pakcik makan ok" jelas perempuan itu sambil menunjukkan senyuman manisnya.
(7)
"Biar betul pemandu teksi itu masuk rumah tu ka?" tanya Amin menyampuk. "Dia kan kelaparan, dan cara perempuan tu mengajak dia jadi tetamu pun nampak ikhlas" balas Mikul. "Dah, teruskan ceritanya" ujar Acong sudah tidak sabar mendengar kesudahan kisah tersebut.
Pemandu teksi itu mencari tempat meletak teksinya. Dan selepas itu, dia mengekori langkah perempuan tadi. Suasana sememangnya meriah. Ramai orang dalam majlis tersebut. Bunyi muzik perkahwinan orang cina begitu kuat didengari.
Pemandu teksi itu agak segan pada mulanya. "Pakcik duduk sini, jangan malu makan ya" ujar perempuan muda itu dengan mesra. Selepas itu dia bercakap dalam dialek Hokkien bercakap dengan saudara-maranya dan mereka tersenyum melihat pemandu teksi itu. Jelas keluarga majlis tersebut peramah dan mesra.
Kerana selesa dengan suasana mesra tersebut, pemandu teksi itu jadi lupa apa yang berlaku sebelum itu. Rasa takut dan meremang yang dialaminya tadi lenyap dari dirinya. Dia pun makan bersama hidangan yang ada. Malahan dia minum beer dan likeur bersama tetamu yang lain.
Dia jadi lupa niat asalnya cuma mengisi perut kosongnya. Tetapi kini dia sudah menjadi sebahagian tetamu majlis tersebut. Keramahan yang ada di situ membuatkannya benar-benar selesa.
Malam itu, dia turut menari dengan perempuan muda tadi. Dia sangat seronok. Kepalanya sedikit pusing kerana kesan beer dan likeur tadi. Namun, dia tidak mengendahkannya. Dari menari dengan perempuan tadi kini dia semakin berani dan menari dengan perempuan lain. Bukan buat salahpun, enjoy sekali-kala ujarnya dalam hati.
Lagipun mereka yang ada pada majlis itu sangat mesra dan itu faktornya dia tidak kekok. Dia minum dan terus minum tanpa sedari dia sudahpun berada ditahap maksima pengaruh alkohol. Pendek kata, mabuk.
(8)
"Ini bukan kisah hantu dah ni, kira dah jadi kisah pemandu teksi yang mabuk" sampuk Amin. "Sabar tak habis lagi la" balas Mikul. "Kau ni tak habis menyampuk, orang tengah syok dengar cerita ni, sambung balik Mikul" ujar si Acong pula. Mikul pun menyambung ceritanya.
Pemandu teksi itu memang jelas sudah mabuk. Dia sudah tidak sedarkan diri. Apapun majlis itu terus berlangsung.
Apabila sudah pagi, pemandu itu sedar dari lenanya. Kepala dia sedikit berpinar dan dia merasakan diri sangat sejuk pagi tersebut. Mana tidaknya, dia tidak berselimut pun.
Alangkah terkejutnya dia apabila melihat di sekitarnya adalah jirat cina. Bulu roma serentak dengan itu berdiri sama. Dia imbasnya kembali ternyata majlis malam tadi itu adalah majlis perkahwinan hantu.
"Itulah kisahnya, amacam seram tak" ujar Mikul menamatkan ceritanya. "Lagi seram kalau dia sedar masa majlis tu lagi" balas Amin. "Serius kalau aku, memang tak berani nak masuk majlis tu" tambah si Acong.
"Saya dah cerita panjang lebar, sekarang ni giliran Amin pula cerita" kata si Mikul. "Ye lah Min, kau mesti ada kisah seram lagi kan" Acong menguatkan semangat Amin untuk bercerita pula. Mereka bertiga memang merasa seram sejuk sebenarnya. Kenapa tidak, suasana dah gelap gelita, ditambah cerita hantu pula.
"Baiklah belum cerita lagi, aku dah seram sejuk ni sebenarnya dengan kisah yang ni" kata si Amin. "Kamon la, anak lelaki semua ni, janganlah penakut sangat" ujar Mikul. Tentu korang paham bila suasana macam ni, bila cerita hantu ni memang seronok tapi hati akan berdebar-debar.
(9)
Tidak berasa waktu sudahpun jam 2 pagi. Mata mereka masih tidak mengantuk. Masih bersemangat mendengar kisah seram masing-masing. Lilin pun sudah yang terakhir mereka nyalakan.
"Ini adalah kisah yang aku lalui kat rumah atuk ku di kampung" jelas si Amin. Mikul dan Acong menunjukkan respon memasang telinga mereka sebesar-besarnya sebagai tanda sudah sedia dan fokus dengan kisah yang bakal diceritakan oleh Amin. Amin pun memulakan kisahnya.
Rumah kampung atukku adalah rumah kayu. Dan rekaan seperti yang korang pernah lihat dalam kaca televisyen tu. Itu adalah rumah pusaka. Tapi bukan tentang rumah la kisahnya.
Pada suatu malam, aku tidur di sebuah bilik di rumah itu. Tok! tok! tok! Pintu bilik itu di ketuk dari luar. Aku bangun dan melihat siapa yang mengetuk tadi. Aku dapati tiada sesiapa pun di luar. Bulu romaku terus meremang ketika itu.
Tok!Tok!Tok! Tiba-tiba pula pintu bilik mereka bertiga diketuk dari luar. Si Amin berhenti bercerita. Mereka bertiga saling berpandangan. Sudahlah mereka sedang bercerita kisah seram. Bulu roma meremang dengan sendirinya.
"Mikul kau pergi lah tengok siapa yang ketuk tuk" ujar si Acong. "Kau lah pergi tengok" balas Mikul. Dua-duanya tidak berganjak. Dan mereka berdua memandang ke arah Amin. "Sori, terus terang aku tak berani" ujar Amin seperti faham benar kehendak dari gaya pandangan mereka berdua ke arahnya.
"Nak buka ke tak ni?" tanya Acong. Tok! Tok! Tok! Bunyi pintu bilik mereka di ketuk lagi. Masing-masing berpandangan. "Kita bertiga buka sama-sama jom" ujar si Mikul. "Tapi kau lah pulas tombolnya" balas Acong. Tahu pun semua takut. Yang gatal nak bercerita kisah seram tadi kenapa!
(10)
Akhirnya ketiga-tiga mereka membuat keputusan tidak membuka pintu bilik itu. Masing-masing bergerak ke katil dan berbaring. Acong memadamkan lilin. Maka mereka bergelaplah dalam bilik itu. Kisah yang si Amin ingin ceritakan tadi jadi terbantut.
Agak payah ketiga-tiganya melelapkan mata pada malam itu. Masing-masing kelihatan ketakutan. Mereka tidak sedar bila masa mata mereka terlelap. Itupun sebab kelopak mata yang sudah berat kot.
Awal pagi itu, pintu bilik itu di ketuk lagi. Mikul bangun dan membuka pintu. Kelihatan dua rakan sebiliknya tercegat depan pintu. Di pandangnya katil rakannya jelas dikemas rapi. Tiada kesan orang tidur di situ.
"Kenapa kau tidak buka pintu masa kami ketuk?" kata si Amin. "Bila masa korang ketuk? Bukan korang pun dalam bilik juga ka masa tu?" tanya Mikul pula. "Kau merepek apa ni, malam tadi semua berkumpul di dewan selepas blackout bermula, lepas habis taklimat, jadi kami pergi lah ke bilik dan ketuk pintu banyak kali, sebab ko senyap jer, mungkin kau dah tidur mati agaknya" jelas si Acong. Mikul terpinga-pinga.
"Last-last lepas ketuk tu, kau tak buka, kami berdua pun menumpang di bilik kawan lain la tidur" jelas si Amin lagi. "Aku tak dengar pun korang ketuk pintu, aku cuma dengar pintu diketuk lebih kurang jam 2 pagi, tu pun korang juga bagi idea jangan buka" balas Mikul. "Apa lagi kau merepek ni, kami berdua lepak kat bilik member sebelah sana sepanjang malam sampai pagi ni" ujar Acong yakin.
"Bukan kita bertiga lepak sama malam tadi ka? kita cerita pasal hantu kan?" tanya Mikul mengerut dahi seperti dia pun sudah keliru. "Mana ada, kami bermalam di bilik member, lepas kau tak buka pintu langsung" jelas si Amin.
Ahhh Sudah! Siapa pula yang bersama Mikul sepanjang malam tadi? Adakah kawannya sengaja mengenakannya atau benar-benarkah dia mengalami sebuah cerita hantu? Tiada siapapun yang tahu kecuali dua sahabatnya itu.
TAMAT!
Terima kasih kerana sudi membaca.
Nama dan watak dalam kisah tersebut adalah rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal.
Ditulis: Justine Amping
No comments:
Post a Comment