Dimensi Dua Dunia
Siapa Suamiku?
Perkenalan
Aku berkenalan dengan bakal suami semasa belajar di universiti lagi. Kisahnya bermula apabila kami selalu terserempak dan menghadiri kuliah yang sama. Kebetulan si dia dan aku selalu memilih tempat duduk yang sama. Macamana perkenalan berlaku?
Dia duduk di belakangku. Sikap nakalnya cuba mengenakan sahabatnya yang duduk di depan ku. Dia membaling kertas yang dironyoknya kepada sahabatnya, namun kertas itu terkena pada aku. Aku tidak lah marah dengan situasi tersebut. Tapi aku nak tahu siapa yang baling kertas tersebut. Bila dia nampak aku berpaling ke belakang, dia menyatukan dua tapak tangannya dan terangguk-angguk tanda minta maaf. Aku cuma senyum tanda memaafkan dan tak kesah pasal kejadian itu. Selepas itu, dia minta nombor telefonku. Erm... Aku tak bagila.
Hari seterusnya, dia duduk di tempat selalu ku duduk. Memandangkan aku dah lewat dan tiada pilihan tempat lain aku selamba duduk sebelahnya, kerana hanya tempat tu sahaja kosong. Dia memandangku dengan senyuman. Fokus ku sikit terganggu dalam dewan tu hari tu. Dia asyik tulis nota dan disuakannya padaku. Aku mulanya tak layan, cuma aku baca jer notanya. Lama kelamaan aku mula terusik juga dengan apa yang dia tulis. Dia melawak dan kata nak berkenalan. Dalam pada itu, dia juga mengambil kesempatan minta nombor telefon ku lagi. Tapi dia masih gagal.
Hari seterusnya, aku duduk tempat biasa ku di dewan kuliah itu. Dia datang terus duduk disebelahku. Aku buat tak tahu je lah. Lagi-lagi dia main nota denganku. Tapi kali ini aku layan pula dia berbalas-balas nota. Dia kelihatan gembira. Orangnya boleh tahan kacakla. Tapi sebagai perempuan takkan aku nak nampak sangat tunjuk aku seronok depan dia. Orang perempuan biasalah buat jual mahal la. Dia minta lagi nombor telefon ku. Kali ini aku tetap tak bagi. Aku nak lihat sejauhmana dia berusaha. Ikutkan, sebenarnya hatiku tatkala itu juga aku nak bagi nombor telefon ku.
Begitulah hari seterusnya, dia tetap berusaha juga. Sampai lebih kurang dua minggu baru aku menyerah. Dia sangat gembira. Yes! Yes! Itulah reaksinya bila aku menulis nombor telefon ku pada kertas nota tersebut. Mulai hari tersebut kami menjadi lebih rapat. Dan selalu ke mana-mana selalu bersama dan berakhir dengan kami pun bercouple.
Tapi cara kami unik, dan masih ketinggalan zaman. Tidak seperti pasangan lain. Berpegangan tangan pun kami tidak pernah. Sama seperti aku, dia juga tidak pernah ada kekasih sebelum ini. Masa di sekolah menengah dulu, aku memang tidak pernah bercinta. Mana ada can, ibu dan bapaku sangat tegas. Makanya aku hanya ulat buku. Dengan dia ni pun, kalau bapa aku tau, mampus aku.
Impian
Biarpun selalu bersama, kami tidak melakukan perbuatan terlarang. Si dia juga sangat menghormati aku sebagai seorang perempuan. Malah dia menyatakan kalau nak saling bersentuhan pun masa sudah diijabkabulkan nanti. Aku sangat bangga dengan perwatakannya, selain sorang yang bijak dia juga kacak malah taat pada agama.
Dipendekkan kisahnya,kami berdua nekad untuk memaklumkan kepada keluarga setelah masing-masing mendapat pekerjaan. Jasa orang tua perlu dibalas juga walaupun orang tua tidak meminta-minta. Sebab kehidupan ini bukan semata-matanya kisah cinta.
Setelah kedua-dua kami mendapat pekerjaan kami berdua menyatakan kepada ibubapa masing-masing hasrat untuk mendirikan rumahtangga. Aku dan dia sangat gembira kerana hubungan kami direstui oleh kedua-dua pihak. Jadi masa untuk kami berdua bekerja keras mengumpulkan duit supaya perkahwinan boleh berjalan lancar.
Siapa tak seronok dan gembira? Bakal dapat suami yang sangat baik, bijak, kacak malahan seorang yang taat agama. Bagi pandangannya pula aku adalah seorang gadis sunti yang tidak pernah dimiliki mana-mana lelaki. Malah bagi si dia aku adalah kekasih pertama dan terakhir.
Aku tahu korang mesti tertanya-tanya, aku ni cantik ke tak? Bukan nak bangga diri la, mungkin aku bukan top model, tapi paras rupa ku ramai yang mengatakan aku iras-iras artis Fazura. Badan pun kecil-kecil macam dia la.
Bakal suami ku pula? Kalau dari segi kekacakannya, wow selalu aku berjalan dengannya mata perempuan yang berselisih dengan kami berdua akan memandangnya buat kali kedua. Memang kacak. Itu semua tak penting. Yang penting sekarang kami bakal menjadi suami isteri yang sah.
Setelah beberapa bulan berusaha. Kami berdua berjaya mengumpulkan duit. Kami masing-masing sangat teruja dan tidak sabar. Tambahan pula bapa tidak meletakkan nilai hantaran yang tinggi. Maka, selebihnya sesuai untuk memeriahkan majlis pernikahan nanti.
Tidak Sabar
Hari ini merupakan hari bahagia bagiku. Segala majlis pernikahan sudahpun selesai. Semuanya telah dilaksanakan minggu lepas. Hari ini tinggal majlis persandingan. Bahagianya, kerinduanku meluap-luap terhadap bakal suamiku.
Seminggu kami tidak berjumpa, dia sibuk juga dengan kerjanya sebelum ini. Maka, majlis persandingan ini akan menjadi medan untuk kami melepaskan kerinduan nanti. Wow sungguh teruja dan tidak sabar melalui hidup sebagai suami isteri bersama insan tersayang.
Jam sudah pukul 9 pagi. Pengantin lelaki dijangka akan tiba pada jam 10 pagi ini. Mengapa waktu bagai berlalu agak lambat. Mungkin kerana kerinduan pada sang suami tercinta fikirku. Saudara mara semua sudah sedia menunggu di luar. Aku masih lagi di bilik pengantin. Sedang disiap rapi oleh mak andam yang merupakan makcik ku sendiri.
"Tak sabaq ang nooh, kejap-kejap belek jam" ujar makcik ku. "Ya lah makcik, awat depa lambat sangat noh" balasku. "La baru pukui 9 che, depa sampai pukui 10 satgi, bawa bersabar na" pujuk makcik ku. "Che nampak comei ka makcik?" saja aku minta puji makcik ku. "Awat dok comei? Tu pasai la laki hang mau ngan hang" balas makcik ku menghiburkan hatiku.
Jam sudah pun pukul 10 pagi. Kelibat rombongan sebelah pengantin tak nampak lagi. Ibu ku sudah mula bising. Ibu ku masuk ke bilik pengantin. "Hang tak habaq kat bakal laki ang ka majlis mula pukui 10?" ibuku sudah mula berleter. "Sabaq la mak, tunggu je lah, satgi depa mai, dok sah la beletiaq mak oi" balasku. Sebenarnya aku memang tidak menghubungi suami ku sepanjang minggu tu. Sebab nak rasa rindu tu kuat lagi.
Tapi aku rasa macam tak puas hati juga. Kenapa tak tepati masa ni. Aku tetap belum mahu hubungi suami lagi. Aku cuba yakinkan diri. "Laki ang tu memang biasa tak tepati masa ka?" tanya makcik ku separa menyindir ku. "Ala makcik, aku tau dia tu kalut sikit" balasku menyedapkan hatiku.
Jam sudah tinggal 5 minit lagi jam 11. Tetamu sudah ada yang merungut menunggu lama. Mereka kelaparan mungkin. Ye lah mungkin ada yang datang majlis tak sarapan lagi kot. Aduh, kenapalah lambat sangat ni. Malu pula dengan tetamu eh.
Persandingan
Alamak pukul 11 dah. Tak boleh jadi ni. Kesabaran ku sudah memuncak. Aku segera mengambil telefon bimbitku dan ku dail nombor si dia. Panggilan terus masuk ke voicemail. Dia tutup telefonnya. Baru aku ingin mencuba kali kedua. Kedengaran paluan kompang diluar rumah sudah berbunyi. Menunjukkan rombongan sudah tiba.
Makcik aku mengiringiku ke pelamin. Aku duduk mendahului sang suami. Kelihatan sang suami berjalan menuju ke pelamin. Sangat kacak dan tampan orangnya. Sampai di pelaminan dia terus duduk tanpa menyapaku.
Dia diam sahaja duduk di pelamin itu. Mungkin dia nervous kali fikirku. Aku abaikan situasinya itu.
Syukur majlis berjalan lancar. Tapi aku sedikit terganggu dengan suamiku. Dia semacam tidak memperdulikan aku. Sungguh aku terasa dengan layanannya. Dia tampak dingin. Ingin sangat aku tahu punca kenapa dia begitu. Tapi aku masih perlu bersabar sehingga kami berdua di bilik nanti.
Aku juga perasan, ibu dan bapa mertuaku juga jarang menunjukkan senyuman. Tidak seperti minggu lepas. Mereka sangat gembira dengan kehadiranku. Kalau senyum pun aku tahu memek muka itu hanya dibuat-buat. Aku menjadi resah. Tertanya-tanya di hati ku apakah sebenarnya telah berlaku.
Suamiku pula setelah selesai majlis, dia hilang entah ke mana. Aku dail nombornya, jangankan diangkat tapi masuk voicemail Saja setiap kali ku dail. Apa masalah sebenarnya ini. Aku atau keluarga ku ada buat masalah ke?
Bukankah hari ini juga yang dia tunggu-tunggu. Tapi kenapa dia begitu. Sikapnya nampak jauh berbeza. Apakah dia sangat keletihan? Aku tidak faham. Kalau ye pun janganlah buat aku begitu. Terasa ingin aku menjerit ketensionan.
Aku berada dalam bilik pengantin berseorangan. Kelibat suami ku belum nampak lagi. Keseluruhannya para tetamu sudah pun mengosongkan ruang majlis. Yang tinggal hanya saudara mara yang masih membantu mengemas peralatan semua.
Keliru
Aku tidak berani berganjak dari bilik itu. Perasaan ku berbaur pelbagai. Marah, kecewa, sedih dan tertanya-tanya. Dan sesungguhnya aku merasa amat malu. Mengapa majlis persandingan itu yang aku dan dia tunggu selama ini menjadi seperti igauan ngeri permulaan sebuah rumahtangga?
Aku tidak ada selera untuk makan. Ibubapa ku seperti tidak perasan semua itu berlaku. Kepada siapa aku ingin meluah? Aku benar-benar malu. Airmataku sudah mula mengalir membasahi pipiku. Tanda betapa kecewanya aku.
Sang suami memang tidak kelihatan. Ku mesej pun tidak sampai padanya. Kejap-kejap telefonku ku belek berharap ada apa-apa jawapan darinya. Takpa, aku cuba bersabar. Mungkin mereka ada alasan tersendiri fikirku.
Pintu bilikku diketuk. Ternyata ibuku. Ibuku membuka pintu setelah dia tidak mendengar apa jawapan dariku. "Awat dengan hang?" tanya ibuku. Aku diam tidak bersuara. Aku tidak tahu apa yang ingin diperkatakan. "Awat che menangis? Sapa yang buat anak mak lagu ni?" tanya ibuku.
"Mak perasan depa layan Che lagu mana tadi, tapi mak diamkan diri, mak tak mau rosakkan majlis" ujar ibuku sebenarnya perasan apa yang berlaku. "Che malu mak" kataku masih lagi teresak-esak. "Sabaq Che, besok mak tanya elok-elok dengan besan" pujuk ibuku.
"Abah tau ka mak?" tanyaku. "Abah hang tak perasan, kita perempuan sensitif benda lagu ni Che" ujar ibuku. "Nak buat lagu mana ni mak?" tanyaku cuba mencari penyelesaian kerana aku sememangnya buntu. "Mak perasan tadi, laki ang, habis majlis dia teruih pi" tambah ibu ku menunjukkan dia tahu apa yang aku alami.
"Kalau laki ang tak mai bermalam di sini malam ni, esok kita pi rumah depa noh Che" ujar ibuku. "Tak payah lah mak, Che tak mau mak pi cari gaduh dengan depa" balasku tidak mahu ibuku cari pasal nanti. Pada hakikatnya, aku sangat tidak puas hati dan ingin tahu juga apa sebenarnya menyebabkan mereka bersikap seperti itu.
Bermimpi
Ibuku memelukku rapat. Dia mengusap-usap belakang ku lembut. Jelas sekali ibuku sangat memahami hati anaknya. Dia berusaha menenangkan aku. Sedar tak sedar ibuku juga turut melimpahkan airmatanya. Ternyata ibuku tahu penderitaan anaknya.
"Kesian anak mak, sabaq Che noh, mungkin ada hikmah apa yang jadi Che" ujar ibuku. "Mak, apa Che nak buat mak?" luahku pada ibuku. "Esok kita tanya leklok dengan depa Che, jangan risau mak akan tanya leklok dengan besan mak" tambah ibu lagi. "Kalau depa memang tak mau kat ang, kita minta laki ang cerai dan lafaz cara elok" ibu memberikan ideanya.
Aku tidak tahu bila aku melelapkan mataku. Aku tertidur dalam dakapan ibuku. Dengan pakaian pengantin pun masih belum ku tukar lagi.
Suamiku masuk ke bilik dan berdiri di depan ku. Samar-samar aku lihat, kerana aku masih berbaring dan belum sepenuhnya membuka mataku. "Abang, awat tinggalkan Che sorang dalam bilik tadi?" tanya ku. Dia tidak mengendahkan pertanyaanku. "Abang datang nak minta maaf, kita tidak dapat bersama lagi, maafkan abang" ujar suamiku. Mendengar katanya aku terus bangun dari berbaring. Aku berdiri dan terus memeluknya. Sememangnya aku sangat merinduinya. Dia melepaskan pelukkanku dengan perlahan. Dan dia bergerak menuju ke pintu dan terus keluar. Aku menjerit "Abanggggggggg!". Aku terjaga dari mimpi ku.
Ku lihat ibu terkejut dengan ku seperti orang mengigau. "Awat Che" tanya ibuku yang turut terjaga. "Che termimpikan suami Che mak, Che sangat rindu dengan suami Che, tapi awat dia buat Che lagu tu" ujarku.
Solat Hajat
Ibu segera mengarahkanku bangun dan mengajakku solat. Selesai solat subuh, ibu dan aku sama-sama bersolat hajat.
Ikutkan hati subuh tu juga aku nak jumpa suamiku di rumahnya. Tapi aku kena bersabar. Aku terpaksa mengawal diri. Aku belek telefonku, memang jelas mesejku tidak sampai pada suamiku. Apakah yang membuatkan dia begitu kejam padaku?
Apakah salah aku. Pelbagai yang aku fikirkan. Aku tetap tidak bertemu jawapan. Apa yang pasti jawapan itu ada pada dirinya. Hari ini juga aku akan pastikan diriku dapat jawapan. Malu pun malu dah. Yang pasti aku ingin penjelasan darinya tidak kira apa.
Jam 8 pagi. Bapa ku yang tidak tahu menahu terpinga-pinga diarahkan ibuku bersiap. "Bang, pergi mandi bersiap, kita nak pi rumah besan" arah ibuku. Aku yang sudah bersiap awal tadi hanya diam membisu. "Awat nak pi rumah besan?" tanya bapaku. "Toksah banyak tanya la, pi la bersiap" tegas ibuku. Bapaku pun pergi bersiap.
Bapaku memandu keretanya menuju ke rumah besan mereka. Dalam kereta masing-masing membisu. Bapaku memang jenis tak banyak cakap. Lebih kurang sejam 15 minit perjalanan kami sampai di simpang perumahan mertuaku.
Dalam hatiku memang tidak sabar-sabar. Apapun aku kena jaga tertib sebagai seorang anak perempuan. Adakah aku mampu bertahan atau tidak? Aku sendiri tidak pasti.
Sampai depan rumah mertuaku. Kami bertiga keluar dari kereta. Bapaku memberi salam dari luar rumah. Bapa mertuaku ada diluar menyahut salam dengan baik. Dia datang membuka gate.
Tiada Beza
Bapa mertuaku ku menjemput kami semua masuk ke rumah. Aku masih cuba mengawal diriku. Tapi sebenarnya hati ku tidak sabar-sabar bersemuka dengan suamiku. Aku tidak pasti sama ada aku sedang membenci suamiku atau aku sedang dalam amarah. Tapi jauh disudut hatiku aku amat menyayangi dan menyintai dirinya.
Apabila melihat aku, suamiku melarikan dirinya ke tingkat atas. Aku perasan dan aku kejar dirinya ke tingkat atas. Dia sempat menutup pintu biliknya. Aku ketuk bertalu-talu pintu bilik itu. Aku terduduk didepan pintu itu. Sambil yang lain turut pergi ke ruang atas tersebut. "Awat abang buat aku lagu ni?" ujarku seraya airmataku mula berguguran lagi.
Ibu mertuaku ku memandangku dengan wajah sedih. Dia segera mendapatkan aku. Dipeluknya aku. Airmatanya turut berguguran.
"Abang, apa salah ku bang, awat abang tinggalkan aku macam tu saja, aku rindu abang, aku sayangi abang, apa salahku bang" rintihan ku depan pintu turut menambah esakan ibu mertuaku.
"Nak, dalam bilik itu, bukan suamimu nak" jelas ibu mertuaku. Dia terus menangis memelukku.
Mendengar kata ibu mertuaku, aku jadi bertambah keliru. "Itu adalah kembar suamimu nak" tambah bapa mertuaku. "Mana suamiku untie?" tanyaku untuk kepastian. Mendengar soalan ku ibu mertuaku diam tidak berani berkata-kata. Dia hanya terus menangis.
Aku terpandang dinding tingkat atas itu, dipenuhi dengan gambar pasangan kembar. Aku berdiri dan ku perhatikan satu persatu. Aku tidak pasti mana satu wajah suamiku. Mereka berdua adalah kembar seiras.
Aku terduduk kembali. "Mana suamiku?" tanyaku lagi. Si ibu mertuaku ku masih lagi teresak-esak melihat aku dengan riaksi kesedihan. Bapa mertuaku ku hanya diam. Ibu ku juga terdiam. Suasana sangat suram.
Pasangan kembar suamiku akhirnya membuka pintu biliknya. Kulihat airmatanya sudahpun membasahi pipinya. "Maafkan aku adik ipar ku" ujarnya. Aku memandang wajahnya sebiji seperti suamiku. Aku sangat keliru.
Terungkai
Aku terjaga. Aku melihat persekitaran dan aku sedar diri sedang berada di dalam sebuah bilik iaitu bilik suamiku sendiri. Semua ada di situ, abang ipar, ibu dan bapaku malah ibu dan bapa mertuaku.
Mereka menunggu aku tenang. Bila aku sudah sedia barulah mereka menceritakan segala-galanya. Beginilah yang telah berlaku.
Bagaimana suamiku meninggal? Dia meninggal kerana kemalangan maut di jalanraya pada hari isnin minggu lepas. Dia sebenarnya dalam perjalanan balik setelah menandatangani kontrak membeli rumah untuk kami berdua. Adik iparku menunjukkan dokumen yang masih ada darah suamiku pada aku. Airmataku tidak tertahan mengalir lagi.
Barulah aku perasan mengapa ibu dan bapa mertuaku tidak mampu tersenyum semasa majlis persandingan itu. Mereka baru kehilangan seorang anak tersayang yang juga suamiku. Patutlah juga mesej dan panggilan aku tidak pernah masuk dalam telefon suamiku kerana telah lama habis bateri.
Mengapa mereka tidak berterus terang pada keluarga kami ketika itu? Setelah mereka berbincang, mereka menjadikan abang iparku mangsa untuk melakonkan watak suamiku demi menutup aib di mata tetamu. Patutlah wataknya tidak seperti suamiku sendiri. Dia kelihatan dingin malahan sedang bersedih serta tidak mungkin dia akan melayani kerana aku bukannya orang yang dia cintai sepertimana suamiku sendiri.
Jadi bagaimana sekarang? Menurut hukum, aku dengan abang ipar hanya bersanding. Akad nikah semuanya dengan suamiku. Makanya, aku sendiri tidak sanggup meneruskan perkahwinan dengan abang iparku. Lagipun dia bukanlah orang yang kucintai biarpun wajah mereka tiada beza.
Aku sendiri memutuskan untuk tidak meneruskan perkahwinan tersebut. Aku tidak sanggup untuk menatap wajahnya kerana mereka adalah jiwa yang berbeza. Biarpun begitu hubungan dengan keluarga mereka diteruskan sehingga kini malahan aku selalu bersama mereka menziarahi kubur suamiku menyedekahkan alfatihah.
TAMAT!
Terima kasih kerana sudi membaca.
Kisah ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan yang telah mati ataupun yang masih hidup
Ditulis: Justine Amping
No comments:
Post a Comment