Perjalanan Pulang

👻Dimensi Dua Dunia 👻 
Perjalanan Pulang

Tugas sudah selesai. Meja kerja ku sudah dikemas rapi. Hari ini hari jumaat. Jam sudah 4 petang dan sejam lagi tunggu punchcard. Hati girang nak balik kampung petang tu juga. Lama tak mengail dan buat aktiviti kampung. Cuti seminggu pula sudah diluluskan boss.

Pukul 5 dah, oyea... Laju kaki ku melangkah dan segera tanganku menyimpan punchcard dalam kotaknya. Aku tidak peduli yang lain. Bukan apa aku sebenarnya teruja sudah tidak sabar balik kampung. Bagaimanapun kena balik rumah sewa dulu ambik beg yang aku sudah siapkan awal pagi tadi sebelum turun kerja.

Kampung aku tak jauh manapun, tapi lebih kurang 4 jam lebih la baru sampai. Sepatutnya esoklah aku bertolak. Tapi dah tak sabar petang tu juga aku berangkat. Selepas mengambil barangan aku segera menyimpan semuanya dalam bonet keretaku.

Engine kereta Honda Civic EJ kuhidupkan. Kereta secondhand je. Tapi dah aku minat dengan jenama Honda, jadi aku belilah. Ku tekan pedal minyak berderum enjin kereta ku menjerit. Layan Bro. Tapi kisah ini bukan pasal kereta yer. Ia adalah kisah perjalanan balik kampung. Sori koner sikit, kongsi minat ma.

Aku memandu terus ke jalanraya dan setelah selekoh dan simpang sana sini barulah aku masuk ke arah jalan menuju balik ke kampung halaman ku. Pakai layan boring sepanjang perjalanan aku sudah bersiap dengan rokok, keropok, air minuman sebagai bekalan sepanjang jalan nanti. CD lagu entah berapa keping dalam dashboard kereta, ada yang ku pinjam dari kawan tapi tak return-return lagi. Haha dorang pun sama perangai pinjam tak kasi balik. Dorang minta baru bagi balik.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

Lama juga aku akan memandu kalau macam ni. 4 jam lebih kot. Kalau mengantuk aku akan cari mana-mana tempat aku boleh singgah nanti. Kira mula bertolak jam 6 sampai nanti kira 11 lebih kurang tolak pitstop bagai.

Aku ni memang manusia nakal sebenarnya. Kerja part time aku tokan dadah. Shhhh jangan cakap kuat-kuat. Dalam masa yang sama aku tidak pernah pergi ke gereja walaupun aku penganut Kristian. Pergi pun sebab terpaksa berpura-pura depan rakan lain. Bagi aku semua itu melecehkan. Memang aku tidak pernah perduli dengan apa kata-kata nasihat dari orang lain. Bila sudah tua nanti aku bertaubatla jawab ku apabila ada yang menasihatkan.

Diberikan paras rupa menawan. Aku tidak perlu lama untuk dapat awek. Setiap minggu bertukar ganti perempuan ku bawa pulang ke rumah sewaku. Pasal nak kawin? Jauh sekali dari minda ku. Apa yang ku tahu hanya seronok merobek hati-hati perempuan yang bersamaku.

Tapi di pejabat aku jaga watak ku agar tidak terkesan dengan sesiapa. Dengan orang tuaku, aku baik la. Setiap kali aku balik aku berbelanja saja untuk mereka. Bila balik bandar aku jadi watak ku sendiri yang suka berpoya-poya. Tempat kerja aku jadi hipokrit pula. Nak cari makan kena bijak la. Begitulah siapa diri aku.

Sambung balik pasal perjalananku. Kereta ku terus menyusuri jalan raya. Belum sampai setengah jam perjalanan. Aku ambik rokok dan ku petik apinya serta ku buka tingkap kereta. Aku jenis cermat juga bawa kereta ni, tak lebih 100km/jam. Bukan apa la, daripada bayar saman baik duit tu ku guna untuk berpoya-poya.

Muzik dalam kereta ku sengaja buka kuat. Kepalaku terangguk-angguk mengikut irama muzik. Nak tahan ngantuk la konon. Jalan masa ni memang tidak elok, kadang boleh laju, kadang kena jalan ciput kerana lubang sana sini. Aku tetap bersabar dengan keadaan itu.

Dalam sibuk aku memandu, aku dapat panggilan. Ku angkat boleh juga sembang pakai layan boring perjalananku. "Hai sayang, kenapa balik kampung tak ajak i, u jahat la, haritu janji nak ajak i balik" ujar awek yang menelefonku. "Sori sayang, i terpaksa balik tak bawa u, emergency la" jawabku berbohong kepadanya. Tak lama satu lagi telefonku pula berdering. Yang ni awek lain pula.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

Buat pengetahuan korang telefon bimbitku ada empat biji. Begitulah aku menjaga tembelang ku. Nakal serta licik. Aku bukannya nak jaga sangat perasaan awek-awek tu. Dah diaorang yang nak melebih-lebih tergila-gilakan aku. Aku layan sebab dasarnya aku memang buaya darat buaya ganas makan mana-mana sahaja mangsanya.

Kat kawasan ni aku suka memecut, jalannya lurus. Aku tekan pedal minyak sepenuhnya. Seronok aku tengok jarum meter naik sampai 140 km/jam. Tinggi adrenalin aku masa tu, syok sungguh. Tiba-tiba cahaya terang memancarkan dari depan ku. Silau ya amat. Sakit juga biji mata hitam ku dibuatnya. Apa jadi lepas tu. Ha, korang mesti ingat excident kan? Tada apa jadi. Cahaya tadi menghilang begitu sahaja dan aku memperlahankan kembali keretaku.

Aku menyangkakan lampu tinggi kenderaan berdepan denganku. Bila ku pandang cermin pandang belakang tiada kenderaan pun yang berselisih dengan ku. Tidak juga bawa apa yang rasa pelik pun sebenarnya.

Yang mula pelik adalah, sekarang bulu roma ku menegak semacam. Peliknya lagi, aku tidak merasa takut pun. Dalam aku tengah memandu aku disapa dari belakang. "Perlahankan sedikit kenderaan kau!" Ujar sesorang dari tempat duduk belakang keretaku. Terkejut dengan itu aku membrekkan keretaku. Siapa tak terkejut dan panik tiba-tiba ada seorang menegur dari belakang sedangkan aku memang berseorangan dari tadi.

Selepas berhenti di bahu jalan aku. Menoleh kebelakang. Tapi tiada siapa. Jantung ku berdebar. "Wei, sini la" tegurnya sebelah tempat duduk kiri bahagian depan. Bila masa pula dia berada kat situ. Aku terasa macam nak pitam tapi tak pengsan. "Relak, bertenang, aku bukan hantu" katanya. Aku menarik nafas panjang-panjang. Nasib baik juga tidak pengsan.

"Habis tu siapa kau?" tanya ku memberanikan diri. Dalam kepala ku, kalau bukan hantu ini mesti orang menyelinap masuk dalam kereta ku semasa aku mengisi minyak ke apa tadi. "Jangan risau, aku bukan berniat jahat, aku cuma jalankan tugas ku jer" jelasnya cuba tenangkan aku. Kalau dia ni ajak bertumbuk ataupun berlawan aku tidak perduli ni.

Aku tekan suis lampu membaca, aku tengok dia dari ke atas ke bawah. Tapi nampak jelas dari perwatakannya dia bukan lah orang yang nak bergaduh.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

Dia lelaki berpakaian serba hitam. Kemas dan nampak lebih tampan dariku. Itu yang aku dapat gambarkan setakat ini.

"Apa kau nak?" tanya ku tegas. "Relaks kalau aku tunjuk muka buruk kau pula pengsan" balasnya. "Ye lah siapa kau, macamana kau boleh ada dalam kereta aku?" tanya ku menurunkan intonasi ku. "Aku adalah perutus yang diamanahkan untuk menjaga kau" ujarnya. Dia ni gila ke apa, cakap benda ngarut macam ni. "Kau perasan cahaya kuat tadi?" tanya dia. Ehh ehh dia pula tanya kat aku. "Ya, perasan, apa kaitan dengan kau?" tanyaku ingin tahu.

"Ok kau boleh pandu semula ke jalan raya, kau nak balik kampung kan?" Ujarnya pula. "Taknak, taknak selagi kau tak jelas kat aku yang kau ni pelik semacam" balasku. "Pandulah, sambil tu saya ceritakan ok?" katanya. Pandai-pandai dia arahkan aku. Dahla naik kereta aku free. "Kalau kau nak aku tumpangkan boleh jer, tapi takyah lah nak arah-arah bro" balasku pula.

"Aku tidak punya banyak masa nak cakap banyak dengan kau, lepas ni yang lain pulak akan join kau nanti" ujarnya. "Sapa kau ni erk, cam psiko je, ke kau ni ada masalah mental" saja aku nak tengok responnya. "Aku datang bersama cahaya tadi, dan aku masuk dalam kereta engkau" jelasnya. Macam cerita sains fiksyen pula. kali ini aku cuma mengangguk.

"Baik kau memandu semula, sambil tu kita borak dan aku akan jelaskan ok!" pujuknya dengan nada baik. Tapi cara dia bercakap memang dari tadi pun baik. "Oklah aku pandu, kau jangan cuba buat pasal pula" ujarku takut-takut dia buat pasal pulak. "Ha, macam tu lah, jangan risau aku tidak apa-apa kan kamu" jelasnya. Takkan dia ni gay kot, nak rogol aku, boleh naya ni.

Aku kembali memandu setelah aku yakin dia bukan orang yang jahat. "Begini, aku adalah perutus untuk memberitahu kau, supaya kau mengubah cara hidup kau yang sebelum ni" ujarnya. "Siapa kau? Alien? Malaikat? Malaikat pun ada nama, siapa kau eh" tanyaku sengaja nak tengok setakat mana dia nak kelentong aku. Walaupun dia nampak baik, kita tidak boleh percaya terus. Sebab aku juga kaki kelentong sebab tu aku uji dia.

"Aku bukan hantu atau alien atau malaikat ataupun manusia, aku cuma perutus yang ditugaskan untuk membantu kau" ujarnya. Memang aku rasa pelik dengan mamat ni, tapi aku layan jer lah. "Ha, ok tada nama la?" tanyaku. "Cukup kau tahu aku sebagai perutus jer" balas dia. Ok la tak kira sapa kau aku kena hati-hati. Apapun layan je lah mamat ni.

"Aku nak isap rokok ni, kau nak ka?" tawarku sambil menghulurkan kotak rokok padanya. "Takpelah kau isap la, saya ok" katanya. Aku buka tingkap kereta dan ku hembus asap rokokku. Aku sebenarnya sangsi dengan siapa dia dan peliknya perwatakannya. Aku hanya berlagak tenang agar dia tidak mengesan yang aku sebenarnya rasa tidak selesa.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

Aku sememangnya keliru dengan kehadiran lelaki tersebut. Apakah dia benar seperti yang dikatakannya atau dia berniat sebaliknya. Apapun layan jer lah.

"Aku tau siapa kau, di mana kau tinggal, apa pekerjaan kau, apa yang kau buat dan malah tarikh lahir kau sekali, bukan menakutkan kau, tapi aku boleh buktikan pada kau" ujarnya. Mendengar ucapannya itu, aku tertelan liur kerana dia begitu yakin. "Maka kau bagitaulah siapa aku" balasku seperti mencabarnya. Dia tersengih memandang aku.

"Kau lahir tanggal....,kau bekerja sebagai...., Ibu kau bernama...., bapa kau bernama...., dan kau telah banyak melakukan perbuatan yang salah" jelasnya panjang lebar. "Mana kau dapat maklumat aku, kau ni scammer ka?" balasku masih tidak pasti.

"Aku faham kau masih tidak yakin dengan siapa aku, sebelum kau bersusah-payah fikir, aku ni bukan manusia tapi menjelma sebagai manusia, aku tahu kau mungkin ingat aku ni pegawai penyiasat atau polis, sudah ku jelaskan aku bukan manusia, aku adalah perutus yang dihantar untuk membantu kau" jelas dia panjang lebar. Macamana dia boleh baca minda ku. Aku baru jer fikir dia mungkin seorang polis. Apakah dia ini sebenarnya?

"Supaya kau tidak merasa kekok, aku akan bahasakan kita sebagai sahabat, jika misi ini gagal aku pun dikira gagal dalam dalam watak ku" ujarnya cuba menyenangkan hatiku. "Kalau macam tu kau cakap je lah apa yang kau nak sampaikan" balasku yang sudah mula menerima dan akur dengannya. Tapi bukan sepenuhnya.

"Sahabat, cuba kau imbas balik apa saja salah yang pernah kau lakukan, imbas satu persatu yang kau sendiri sedar ia adalah suatu dosa" ujarnya lagi meminta aku mengimbau segala dosa yang pernah aku lakukan. Saat itu hati ku merasa resah, apakah dia adalah malaikat maut! Satu persatu dosa-dosa yang pernah aku lakukan melayang-layang dalam mindaku. Ya Tuhan, banyaknya dosa-dosa yang telah aku lakukan selama ini. Entah macamana hati ku jadi sendu, perlahan ego lelaki ku mengalir di pipiku.

"Bersabar, aku hadir bukan untuk merengut nyawa kau wahai sahabat, aku cuba menyedarkan supaya kau kembali insaf" ujarnya sedikit melegakan aku. "Apakah yang aku perlu lakukan!" tanyaku kerana tidak tahu apa-apa. Hanya segala dosaku yang berada di minda ku kini.

"Sahabat, hidup kena percaya wujudnya Tuhan, apa agamamu, itu bukan hak aku mencampuri, yang pasti asalkan kau mengimankan diri, hidup dalam keberkatan, jangan melakukan sesuatu yang pasti kau tahu ia adalah dosa, buatlah segala kebaikan tanpa ada sebarang balasan, aku tidak menjanjikan syurga apatahlagi neraka untukmu" jelasnya lagi dengan gaya bahasa yang amat lembut dan meremangkan hati ku.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

Aku terus mendengar apa yang dia perkatakan. Sambil aku terus memandu. Tidak berasa jam kereta ku menunjukkan jam 9 malam. Masih berbaki lebih kurang 2 jam lebih lagi perjalanan ini.

"Sahabat, janganlah kau bersedih, kau harus rasa bertuah kerana mempunyai peluang seperti ini, tidak lama lagi yang lain akan menggantikan aku, janganlah kau terkejut dengan kehadirannya, misi aku tamat di sini sahaja" ujarnya. Selepas itu dia terus menghilang. Aku sememangnya terpinga-pinga. Aku bagaikan bermimpi dalam sedar.

Ternyata aku sangat terkesan dengan apa yang berlaku tadi. Aku merasa sangat penuh dengan dosa. Semua telefonku tutup, dan tinggal telefonku yang ada hubungan penting sahaja yang aku biarkan masih hidup.

Sekali lagi aku melihat cahaya yang sangat terang dari depanku. Aku bersedia, menantikannya. Siapa pula yang akan menyertai perjalanan malam itu? Aku pasrah.

Seperti sebelumnya, ada orang di tempat duduk belakang telah hadir. "Hello, boleh saya mula menyertai perjalanan ini" ujar suara perempuan di tempat duduk belakangku. Aku tidak terkejut. Kerana aku sudah dimaklumkan akan ada yang hadir menyertai aku lagi. Sekilas dia terus berada di tempat duduk depan.

"Siapa pula kau?" tanyaku. "Siapa aku, seperti sahabat tadi, aku juga sahabat, jangan risau kami tidak berniat jahat" ujarnya. "Aku rasa pelik juga dengan korang ni sebenarnya siapa adakah korang ini iblis, jin atau makhluk bunian" tanyaku tenang. "Semuanya bukan, kami adalah perutus" balasnya spontan.

"Tapi kenapa korang tidak bagi salam macam shallom, assalamualaikum, amithaba macam dalam budaya dunia kami?" tanya aku sememangnya ingin tahu. "Jelas kamu nak tahu tentang agama ni, tapi kami tidak mahu menganggu soal agamamu, itu adalah hak kamu sendiri, kami tidak dibenarkan mengganggu pilihan keagamaan mu,, sebab itulah kamu mendengar kami menggunakan gaya bahasa yang kamu selesa sahaja" jelasnya. "Owh ok faham dah" balasku pendek.

Digambarkan yang kali ini pula seorang perempuan yang seperti seorang datang sebelumnya. Pakaian serba hitam. Orang nya kelihatan cantik rambutnya disanggul kemas. "Apa pula misi kau" tanya ku sudah tidak sabar dengan perasaan ingin tahuku.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

"Walaupun aku rasa geram dengan segala yang kau telah buat pada semua gadis-gadis yang telah kau nodai, namun aku masih kagum dengan layanan kau terhadap orang tuamu" ujar perempuan tersebut. "Tapi kamu sedarkah perbuatan terhadap gadis-gadis yang engkau telah nodai sebelum ini, apakah kesan ke atas mereka?" tambahnya lagi. Aku hanya mendengar dan terus fokus memandu.

"Cuba letak diri kamu sebagaimana diri mereka? Kebanyakan mereka sanggup menyerahkan diri mereka pada kau, kerana mereka sangat menyayangi dan menyintai engkau, tapi engkau?" dia terus menjelaskan sesuatu yang aku sedar memang aku jahat cuma ingin menodai setiap perempuan yang aku kenali selama ini.

Aku tidak tahu apa yang harus aku jawap padanya. Kerana aku tahu segala perbuatan berdosa yang aku telah lakukan sangat banyak. "Adakah tidak ingin berkahwin dan punyai anak suatu hari nanti?" tanya dia. Aku hanya diam membisu. "Jawablah pertanyaan aku itu, kamu perlu menjawab setiap soalan yang ku ajukan" ujarnya mendesak aku menjawab. "Aku kena jawab juga ka?" balasku untuk kepastian.

"Ya, kamu perlu menjawab dengan seikhlasnya" ujarnya lagi. "Sudah tentulah aku inginkan memiliki kehidupan berkeluarga dan bahagia" balasku. "Mungkin kamu tidak kisah memiliki seorang isteri yang sudah banyak yang menebuknya kan! Kerana kau sedar kau pun telah berbuat demikian pada gadis lain, tapi kau adalah seorang penipu jika kau kata kau mampu terima dengan seadanya seorang perempuan yang telah rosak" lebarnya lagi seperti jelas dia dapat membaca minda ku.

"Ya walaupun aku berkata aku menerima, tapi..." ayat itu tidak ku habiskan. "Tapi kau nak seorang yang suci, seorang dara sunti jadi isteri kau kan, walaupun kau rasa tidak adil, tapi semua yang kau mahukan adalah kesempurnaan" ujarnya memang jelas tahu apa yang terbuku di hatiku. Memang aku mengimpikan kehidupan berkeluarga yang bahagia bersama gadis yang benar-benar suci hanya untukku sahaja.

Kata-katanya memang menyedarkan aku, aku rasa bersalah pada mereka semua. Satu-persatu wajah perempuan yang pernah aku nodai keluar bermain di minda ku. Kalau semua itu adalah juga anak perempuan ku, saudara mara perempuan ku, ibuku malah adalah isteriku sudah pasti aku tidak akan menodai mereka.

Ya Tuhan selamatkan aku dari segala dosaku. Berilah aku petunjuk membetulkan segalanya.
Berilah aku kekuatan untuk membebaskan diri ku dari godaan syaitan. Aku mohon pada mu Tuhanku.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

Aku kena ceramah agama sepanjang jalan tu. Panjang lebar dia berleter pasal kejahatan ku terhadap perempuan semua. Ya aku insaf. Tapi macamana pulak aku nak 'settle' semua tu?

"Kau tak payah fikir susah-susah, aku tau kau nak minta maaf kat semua tu rasa malu dan bukan senang nak cari yang berada di tempat lain semua tu, ada yang dah berlaki, ada yang dah meninggal, jadi relak la" ujarnya jelas dia tahu apa yang bermain di kepalaku. "Jadi apa yang perlu aku buat?" tanyaku.

"Macam ni je lah, mulai dari sekarang jangan mainkan hati perempuan dah, jika tiada perasaan padanya tolak dengan cara baik, buat semua amalan yang baik-baik semua, mudahan kehidupan kau lebih berkat selepas ni" ujarnya padaku. "Macam tu je ke?" tanya ku lagi. "Kau ni apa ke menda? Bangang ke apa?" bentak dia seperti tidak puas hati dengan soalan ku tadi.

"Hidup percaya wujudnya Tuhan, buat benda baik dibalas baik, buat dosa banyak-banyak neraka menanti, kau tahu betapa panasnya neraka? Sehari kau di dunia ini, Seribu tahun neraka kau kena tanggung, azab sungguh dik oi" jelasnya nampak geram pada aku. Aku tidak berani berkata-kata. Nampak juga dia mungkin tua dari ku kerana dia bahasakan aku adik.

Kakak pengutus yang ni nampak garang tak macam laki tadi. Laki tadi agak tenang dan santai. Dia ni dari tadi nampak nak makan aku. Aku sedar aku adalah pendosa kini. Aku sudah ada perasaan untuk pasang keazaman menukar cara hidup ku.

"Aku ni dah hidup ribuan tahun, sama seperti perutus yang lain, kami memang ditugas membantu orang yang hanyut seperti kau, jika engkau tidak berubah kau sendiri juga yang menanggungnya" ujarnya lagi. Dia sangat nampak serius walaupun perwatakan menarik. Aku pula hanya mengangguk. Tidak berani menyampuk.

"Dengan ini, aku berharap agar kau mengubah cara hidup jahat, gatal kau tu, ingat jangan sesekali merosakkan anak dara orang jika kau tidak mau kaum kerabat kau diperlakukan sedemikian" jelas dia lagi. Aku hanya mampu mengangguk. "Misi aku selesai, aku akan segera pergi, malam ini ada seorang lagi yang akan menemani kau sepanjang perjalanan ini" jelasnya lagi dan dia menghilang.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

Nak kata bingung dengan semua kejadian itu tak juga. Tapi apa yang pasti, aku kena bersedia dengan cara hidup baru yang lebih baik dan positif. Itulah yang aku fikirkan sekarang ini.

Mendengar kata-katanya tadi akan ada seorang lagi akan menyertai perjalanan ku, aku merasa tertunggu-tunggu. Dalam 15 minit macam tu aku sudah memandu tanpa penumpang. Belum lagi ada ciri-ciri akan ada isyarat seperti tadi.

Aku raba kotak rokok dan pemetik di sebelah tepi pintu memanduku manakala mata ku terus fokus ke depan. Ku ambil sebatang dan ku cucuh rokok tersebut. Ku sedut dan kuhembus beberapa kali. Cahaya terang dari depan ku menyilaukan mata ku lagi. Aku perlahankan pemanduan ku. Dia sudah tiba bisik hati ku.

Gedebuppppp..... Bunyi ada jasad putih terhempas di depan bonet kereta ku. Apalagi terkejut dengan itu aku menekan pedal brek kereta ku. Nasib baik tiada kereta lain lalu lalang. Aku keluar tengok kalau aku terlanggar sesuatu.

"Dah masuk balik dalam kereta" ujar suara lelaki tersebut. Rokok aku tadi pun aku campak ke tepi jalan. Dia sudah ada di dalam duduk di bahagian depan kiri. Aku masuk balik dalam kereta ku. "Sori, pakcik salah 'landing' tadi, 'timer' mereka set untuk pakcik lari sikit" ujarnya sambil tersengih. Aku hanya mengangguk.

Orangnya berambut putih, berjambang putih dan berjubah putih. Nampak macam ahli sihir lelaki dalam kisah dongeng. Itu gambaran tentangnya.

"Wei, kau boleh buka lagu Metallica tak? Lagu Unforgiven II" pintanya membuatkan kau terlopong. Biar betul orang tua ni bisik ku dalam hati. "Kau ada CD lagu tu kan?" tanyanya lagi. "Jap pakcik, aku cari" sambil tangan ku meraba CD-CD dalam kereta ku. Dah jumpa kau mainkan lagu permintaannya.

"Ha baru sempoi, kita rock" ujarnya. Aku memandang wajahnya. Memang lain dari kakak tadi dan laki tadi. Dia ni lagi semacam. "Tak payah la nak usha pelik bagai, relaks, pakcik 'supporting' punya" ujarnya pula sebab dia perasan aku perhatikan dia pelik.

ooooooooooooooooooooooooooooooooooo

Orang tua ini memang lebih unik dari yang sebelum ini. Dia santai dan agak lucu. Tapi aku tidak berani menunjukkan reaksi ku.

"Mereka berdua dah bagitau kau segalanya kan?" tanyanya. "Nampaknya macam tu lah pakcik" jawabku ringkas. "Kalau macam tu senang la kerja aku" ujarnya pula. "Eh tak payah panggil pakcik, panggil Bro jer" tambahnya lagi.
"Saya respek kat pakcik jadi kena panggil pakcik kot" balasku. "Tak payah nak skema la" balasnya pula. Aku ikut jer lah lagipun aku selesa dengan kesesantaiannya.

"Kau tau apa jadi dengan beberapa orang budak yang kau jual benda khayal kat dorang tahun lepas?" tanyanya. "Tak tau pula saya, saya hanya jual jer" balasku tertanya-tanya apa yang terjadi sebenarnya. "Budak tu mati overdos dadah tu, sorang lagi jadi peragut, sorang lagi merompak kedai, ada yang lain dalam lokap, itulah kesannya" jelasnya lagi. "Sampai macam tu sekali ke?" tanya ku untuk kepastian.

"Memang bukan engkau yang buat dorang jadi macam tu, tapi kau adalah penyumbang kepada perbuatan mereka seterusnya, ada paham?" ujarnya lagi. Dia tiba-tiba melempang kepala ku. Terkejut aku dibuatnya sampai nak terbabas kereta yang ku pandu. "Aku melawak jer, aku gurau memang kasar" katanya selepas melempang kepala ku, sakit juga. Aku jadi keliru juga sama ada dia marahkan aku atau pun memang dia melawak kasar.

"Kau dah insaf belum?" tanyanya. "Insaf macamana tu pakcik, eh salah, Bro?" balasku yang bersiap siaga takut-takut dilempang lagi. Pang....kepala aku kena lagi dengan pelempangnya. Tapi tak sakit dia melempang acah-acah jer. "Dah insaf la, kalau dalam hati kau tu dah ready nak jadi manusia yang baik, kira insaf la tu" ujarnya. "Oh gitu, memang itu yang saya fikirkan, saya berjanji jadi insan yang mulia lepas ni" ujarku ikhlas.

"Eh kau buka lagu Gerimis Mengundang pulak, nak layan jiwang pula" ujarnya. Aku ikut jer kehendaknya. Tangan ku gapai rokok dan ku buka tingkap. Selamba dia mengambil kotak rokok aku dan dicampaknya keluar. "Merokok merbahayakan kesihatan, kalau nak panjang umur takyah buat benda takda faedah tu" ujarnya selepas mencampakkan rokok ku.

"Sampai kat rumah nanti, jangan guna duit haram kau yang kau dapat jual dadah tu kat mak pak kau faham!" tegasnya. "Baik, Bro" jawabku ringkas. "Kita akan jumpa bila kau dah mati nanti, ingat jangan lupa buat benda yang baik-baik sahaja, sampai sini saja dulu" ujarnya mendebarkan jantungku dan dia hilang sekelip mata.

Kulihat jam ku sudah 11:25. Aku berada sudah dekat dengan persimpangan kampung ku. Aku sudah sampai. Ia suatu pengalaman yang amat berkesan padaku. Akhirnya ia adalah perjalanan pulang ke pangkal jalan.

TAMAT!

Terima Kasih kerana sudi membaca!

Kisah ini adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kaitan dengan yang telah mati dan yang masih hidup. Jika berlaku ia adalah hanya suatu kebetulan.

Ditulis: Justine Amping



Mungkin anda berminat membaca kisah-kisah di bawah

Kasih Seorang Sahabat
Budak Asrama
Kerja Luar Kawasan
Mati Hidup Semula
Perjalanan Pulang
Kekasih Misteri

No comments:

Post a Comment