Budak Asrama

👻 Dimensi Dua Dunia 👻


🐾Budak Asrama


Lima Sekawan

Kami sekawan ada 5 orang. Aku paling senior sebabnya aku pelajar tingkatan 4 dan panggil saja aku Tango. Dalam masa yang sama aku selalunya jadi ketua antara kami berlima. Mereka berempat tu pengikut aku. Bagaimanapun kami adalah sekampung. Dan beruntungnya Kami berlima duduk satu asrama.

Kedua kawan kami yang digelar sebagai Jagung. Kenapa Jagung, gigi dia jongang sikit. Jagung ni mulut cabul sikit, suka hati dia jer nak sebut apa. Lagi satu suka buat lawak. Dia budak tingkatan 3. Tapi dia paling pandai.

Ketiga digelar Nyamuk. Kenapa dapat gelaran Nyamuk? Dia ni kaki pow makanan. Dia sendiri kedekut. Tapi dia tak kesah pun kami gelar dia macam tu. Dia pelajar tingkatan 3.

Keempat dipanggil sebagai Hulk. Dia paling besar. Ala-ala 'Incredible Hulk' gitu. Kalau bab gaduh kami hantar dia dulu pasalnya budak-budak lain takut kat dia. Pasal belajar agak kurang sikit la. Dia pelajar tingkatan 3.

Kelima kami gelar dia Genit. Orangnya paling kecil tapi licik. Tanpa dia operasi kami selalu tidak lengkap. Sebab apa, dia paling hebat menyelinap celah-celah pagar semua. Dia pelajar tingkatan 2.

Inilah team kami. Jadi kami buat team ni bukan apa. Kalau bergerak solo memang selalu kena buli la jawabnya. Dah kebetulan kami ini sekampung senang la nak jaga masing-masing.

Nak jadi cerita, kami ni kategori budak nakal juga. Tapi kami tak pernah buli orang lain, cuma orang yang tak berani buli team kami. Habis tu nakal kami macamana? Nanti korang akan tahu juga.

Kami ni suka ponteng waktu belajar malam. Menyelinap keluar pergi ke pekan yang dekat dengan sekolah kami. Tapi bukanlah setiap malam. Kami pun tahu tak mau kantoi punya. Sebab macam-macam ragamlah kami ada kisah mistik tersendiri.


Menyelinap Keluar

Setiap hari Jumaat semua pelajar akan pulang ke kampung masing-masing. Bagaimanapun yang kampungnya jauh boleh tinggal di asrama. Sebab kampung kami jauh kami akan balik sebulan sekali.

Jumaat malam itu kami plan nak merayap. Bukan nak buat jahat pun. Kami nak keluar pergi kampung sebelah. Kat situ ada kawasan air terjun. Makanya, plan nak tangkap katak besar (pamak dalam bahasa Iban).

Selesai belajar malam jam 10. Orang lain pergi makan malam di dewan makan. Kami berlima mula beroperasi. Lampu picit cek, plastik hitam cek, tombak besi payung cek, beg berisi pakaian cek. Set semua lengkap.

Kami berlima menyelinap dari belakang dewan makan. Kat situ ada parit besar. Senang nak menyelit. Gelagat seperti pencuri, tapi bukan nak mencuri.

Sorang demi seorang keluar zon pagar tu. Semua dah lepas, kami gerak pulak menuju ke sungai yang tidak jauh dari situ. Malam tu pula terang bulan. Memang elok la nak cari katak.

Kami sudah biasa hidup dengan budaya kampung ni. Jadi semuanya sudah macam tentera renjer. Pakar geledah hutan. Bak kata pepatah sudah biasa tegal biasa. Ha lebih kurang macam tu lah.

Seekor demi seekor kami dapat katak. Seronok dan leka buat aktiviti tu kami tidak sedar kami sudah jauh ke hulu sungai. Tiba-tiba kami terdengar bunyi yang agak pelik. Sesuatu bunyi macam tupai. Kami senyap seketika.

Bunyi itu semakin dekat. Semakin hampir bertukar bunyi kokokan ayam. Meremang bulu roma. Kami berlima duduk dekat-dekat dengan masing-masing. Tiba-tiba kami mendengar bunyi hilaian di balik pokok besar di sebelah kanan kami.


Gangguan Mistik

Hilaian makin kuat. Kami senyap dan masing-masing berpandangan. Masing-masing menelan liur ketakutan. Tidak seorang pun berani bergerak.

Tiba-tiba Jagung bersuara "Mak oi, itu hantu". 

Dia keluar dari sungai cetek itu dan buat langkah seribu. Apalagi, kami yang lain pun turut lari sama.

Sudah la berkaki ayam. Pijak main redah jer. Nasib laluan denai samar-samar nampak kerana cahaya bulan. Sapa paling belakang adalah si Hulk. Harap badan jer besar tapi lembab berlari.

Kami berempat sempat memandang kebelakang. Kelihatan benda putih terbang mengejar si Hulk dari belakangnya siap dengan bunyi hilaian yang menyeramkan.

Masa tu tidak perduli sapa tinggal nasib lah. Sampai kat tepi jalan utama kami semua berhenti. Kelihatan Hulk masih berlari menghampiri kami semua. Kesian pun ada, nak tergelak pun ada. Lintang pukang dia lari.

Benda putih berhenti mengejar. Fuhhh lega. Hampir tidak bernafas kami semua berlari. Kaki baru terasa terkena onak. Padan muka nak sangat keluar buat pasal. Semua duduk meraba-raba onak pada kaki masing-masing.

Gila cemas sebentar tadi. 

"Sampai hati korang tinggalkan aku" kata Hulk. 

Kami semua tidak menjawab tapi ketawa ketakutan padanya. 

"Mana katak kita, ada lagi tak?" tanya Nyamuk. 

"Ada lagi, boleh buat Maggi nanti" jawab Genit. 

Sebabnya dia tukang bawa katak dalam plastik tadi.

Korang ingat kami serik dengan usikan benda putih tadi tu kan. Memang taklah. Kami budak kampung kot, lain lah budak bandar. Bukan tunjuk berani. Tapi itulah budak kampung, memang survivors.


Misi Berjaya

Kami berlima balik semula ke asrama dengan menyelinap dari parit dewan makan. Genit adalah peninjau mendahului jika laluan 'clear' dia akan mengelipkan lampu picitnya sebanyak  dua kali. Begitulah cara kami bergerak. Misi malam tu berjaya.

Buat pengetahuan korang, kami bukanlah kebulur tiada makanan. Pihak sekolah sentiasa menyediakan sarapan, makan pagi, tengahari, petang dan malam. Lima kali sehari makan disediakan. Tapi, kenapa kami nak juga menyelinap keluar? Tak cukup ka semua tu. Siapa yang pernah duduk asrama tau la.

Sebabnya ia suatu aktiviti yang mencabar penuh debaran. Rasa hebat bila tidak kantoi. Bukan tidak tahu ia menyalahi peraturan. Kami tahu pihak sekolah risaukan keselamatan kami. Tapi itulah, semakin ia suatu larangan semakin seronok dilakukan. Bukan jahat, tapi nakal.

Setelah sampai di asrama, pelajar-pelajar lain sudahpun tidur. Apalagi masak Maggi katak la kami berlima. Nak tau bestnya bila orang lain balik hujung minggu macam ni, asrama kami kuasai. Warden bertugas pun tidak ramai. Jadual bertugas mereka pun kami hafal.

"Gila wei, nasib baik benda tu tak kejar kita sampai dapat" Hulk meluahkan perasaan berdebarnya tadi. 

"Kat area tu memang ada penunggu, korang pun tahu, tak jauh dari situ tanah perkuburan orang kampung" kata Tango. 

"Kau la bodo Jagung, kalau kau tak lompat lari tadi tiada la tinggalkan Hulk" ujar Nyamuk. 

"Habis tu kau nak hantu tu makan kau kat situ, lari la" balas Jagung celupar. 

"Dahla, yang penting kita makan Maggi Katak dulu" si Tango menyampuk tidak mahu rakannya berbalah.

"Wei, aku ada plan malam esok kita menyakat budak asrama sebelah ada berani!" kata Jagung mencadangkan idea nakalnya. 

Semua saling berpandangan dan bergelak ketawa sakan. Maknanya, semua setuju. Nakal sungguh dorang ni.


Mencari

Awal pagi dah bangun. Semua dikejutkan dengan jam loceng Nyamuk. Semua dah bangun. Pergi bilik mandi beramai-ramai. Siap menyanyi-nyanyi lagi tu. Seronok sakan kami berlima.

Selesai mandi, kira bersiap pergi dewan makan untuk sarapan. Dekat dengan dewan makan, siap main berkejaran. Biasa lah budak asrama kan.

Ni kira best ni, kami berlima paling awal sampai kat dewan. Biasa ada orang lain dulu. Apa lagi kami ambik port meja paling cun la kat dewan. Tapi macam ada yang tak kena. Makanan ada, petugas tu mana ya?

Hurmm... Lantak lah. Kami ambik makanan dan minuman yang disediakan dan kami duduk makan. Memang semacam, pelajar lain pergi mana? Bukan ramai ke tak balik semalam? pelik.

"Mana perginya semua orang?" tanya Nyamuk yang sudah mula perasan hanya ada kami berlima jer dalam dewan. 

"Ye lah, mana pergi budak-budak lain?" tanya Tango menambah tanda tanya. 

"Mereka berkumpul mungkin" jawab Genit cuba menyenangkan hati kami semua. 

"Kena culik dengan alien kot" ujar Jagung melawak. Memang tidak kelihatan langsung yang lain.

Cepat-cepat kami sarapan dan cuba bergerak takut-takut macam dikatakan oleh Genit mereka semua mungkin berkumpul. Naya kena denda dengan warden nanti. Habis kawasan sekolah kami ronda. Namun tidak berjumpa sesiapa. Hati mula tidak sedap hati dah.

"Ke semua dorang dilepaskan pergi ke Pekan kot" ujar Jagung. 

"Mungkin juga, tapi petugas dewan makan tu macamana? Biasa makcik tu mana pergi mana-mana" tambah Tango. 

Pelik, mana pergi semua orang. 

"Cuba kita tengok kat pondok guard" Jagung memberikan idea bernasnya.

Kami berlari ke pondok guard. Sampai kat situ, motosikalnya guard tu ada, tapi tuannya hilang kemana!


Hulk Hilang

Kami cuba mencari orang lain di semua tempat. Tapi semuanya menemui jalan buntu.Tiada sorang pun kami jumpa di sekolah itu. Apa sebenarnya yang terjadi ni. Mana semua orang?

"Wei aku tak sedap hati la, jom kita lapor kat warden" ujar Tango. 

"Jom kita pergi kuarters guru pula" tambah Nyamuk. 

"Korang agak-agak lah, kejap nak ke sana kejap nak ke sini, dah sentiasa berlari sana-sini, bagi aku rehat dulu" kata si Hulk yang termengah-mengah. 

"Sebab tu lah jangan gemuk, kau tunggulah kat pondok guard ni dulu" Jagung mencadangkan Hulk menunggu di pondok guard. 

Kami pun bergerak ke kuarters guru meninggalkan Hulk seorang.

Sampai kat kawasan kuarters tu kami nampak kereta guru ada, tapi suasana senyap sepi. Macam seram pulak tengok blok kuarters yang sunyi sepi tu. Meremang bulu tengkok rasanya.

"Cikgu, o cikgu" kami terjerit di bawah blok kuarters tersebut. 

Memang tiada jawapan langsung. Berkali-kali kami panggil tetap tiada jawapan. 

"Macamana ni, cikgu pun macam tak wujud dah ni" ujar Tango.

Dalam masa yang sama mereka teringat pada Hulk yang mereka tinggalkan di pondok guard tadi. Mereka berempat pun meluru berlari ke sana semula. Sampai kat pondok guard tu mereka tidak menjumpai Hulk. Mereka berempat terpekik-pekik cari Hulk.

"Hulk, Hulk mana kau, jangan main-main Hulk" jerit mereka berempat. 

"Kalau macam ni kita jangan berpecah, hilang lagi nanti" kata Jagung.

Cuaca kelihatan agak mendung tapi tak hujan menyebabkan hari tersebut nampak gelap semacam. Mereka memang sudah berasa pelik. Bunyi kicauan burung atau apa-apa makhluk lain anjing pun tiada. Sangat pelik.

Sudah sepanjang hari mereka merayau di sekolah tersebut. Tempat terakhir yang mereka fikir belum cari adalah asrama perempuan.

"Kalau kita pergi tengok kat asrama perempuan macamana?" tanya Jagung. 

"Takmau la nanti tak pasal-pasal dikatakan skodeng budak perempuan pulak" balas Nyamuk. 

"Sekarang ni kau nampak orang tak selain kita, tak ada kan?" bentak Jagung. 

"Tak salah gak kita cuba, tapi kita panggil dari jauh je lah" kata si Tango setuju dengan Jagung


Mencari Lagi

Mereka berempat kehilangan Hulk. Jam pun sudah menunjukkan pukul 6:45 petang. Perut mereka pun sudah mula lapar.

"Kita pergi dewan makan dulu la, nanti kita siasat lagi" ujar Jagung sambil mengusap perutnya. 

Mereka pun bertolak ke dewan makan. Sampai di sana mereka tidak menemui sesiapa. Seperti pagi tadi juga, makanan disediakan, cuma makcik tukang masak tu pergi mana?

Sebab kelaparan budak-budak itu mengambil makanan dan menjamah terus. 

"Muka kau nampak pucat la Tango, kau demam ka" ujar Jagung sambil menyentuhnya dahi Tango. 

Tapi dahi kawannya itu sejuk. Dirasanya dahinya sendiri, sama sejuk. Dan disentuhnya juga dahi dua lagi rakannya, sama sejuk.

"Kau ni pehal? tak nampak ke orang tengah makan" tegas Tango. 

Sambil dia pandang semua wajah kawannya. 

"Kenapa semua muka korang bertiga ni nampak pucat?" tanya Tango. 

Mereka berempat pun saling berpandangan. Semua muka mereka nampak pucat.

"Lepas ni kita pergi asrama perempuan" jelas Tango. Mereka berempat cepat-cepat makan. Mereka bergerak menuju ke asrama perempuan.

Sebelah asrama perempuan tu ada sebuah pokok mangga tua. Sebenarnya pokok itulah semua pelajar kat situ takuti. Kerana selalu ada gangguannya apabila melintasi pokok tersebut. Tapi tidak pulak ditebang.

Mereka semakin hampir dengan jalan melimpasi pokok tersebut. Sejurus sahaja mereka melintasi pokok tersebut mereka terdengar bunyi hilaian yang menyeramkan. Dalam ketakutan juga, mereka teruskan niat untuk ke asrama perempuan itu. Hilaian tadi bertukar menjadi suara tangisan mendayu-dayu kesedihan.


Hulk Hilang Lagi

Mereka sudah berada di depan asrama perempuan tersebut. Belum sempat mereka berempat bersuara. Terdengar dari dalam asrama perempuan hilaian perempuan ketawa. Bukan satu tapi sangat banyak. Mereka berempat pun lari lintang pukang meninggal asrama tersebut.

Mereka berempat berlari menuju asrama mereka sendiri. Sampai di sana mereka melihat Hulk sedang nyenyak tidur. Maka mereka berempat mengambil keputusan tidak mahu bergerak keluar lagi. Pintu asrama ditutup rapat. Mereka semua berdiam diri dan hanya menyelimuti tubuh masing-masing menunggu mata yang terlelap. Tidak lama selepas itu masing-masing terlena.

Seperti biasa mereka terbangun dengan jam loceng Nyamuk. Bangun dan mandi. Selesai mandi bersiap nak pergi ke dewan makan.

"Mana Hulk?" tanya Tango. 

"Mana aku tahu? Takkan hilang lagi kot" balas Jagung. 

"Hulk, Hulk, mana kau Hulk, tak lucu pun wei" Genit terjerit-jerit. 

Mereka semua pun mandi cepat-cepat.

Dalam perjalanan ke dewan mereka nampak orang ramai seperti berkerumun. Mereka pun meluru ke arah kerumunan tersebut. Kelihatan Hulk ditengah-tengah seperti sedang cemas menjelaskan sesuatu pada orang yang ada di situ termasuklah warden asrama.

Hulk seperti membawa warden dan beberapa orang guru ke arah luar gate dan menuju ke sungai mereka mencari katak malam semalam. Mereka berempat terus mengekori sebabnya mereka tidak mendengar perbualan tadi.

Tango berlari mendapatkan Hulk, ditepuknya bahu Hulk. Namun seperti tembus, dia tidak terpegang pun jasad Hulk. Pelik ni, Hulk pulak seperti tidak menghiraukan mereka berempat yang memanggil nama Hulk dari tadi. Warden dan guru-guru yang ada di situ pun seolah-olah langsung tidak melihat serta mendengar suara mereka.

Hulk pula terus berjalan menunjukkan sungai tempat mereka mencari katak malam semalam.


Mayat

Sampai dekat dengan kawasan mereka terdengar hilaian itu, Hulk menunjukkan segala jawapannya.

"Genit, mayat budak tu macam kau lah" kata Tango terkejut dengan apa yang dilihatnya. 

"Eh itu pula macam kau lah Tango" Jagung menunjukkan mayat seorang lagi pelajar lelaki.
 
"Yang ini aku dan Jagung kan" balas Nyamuk sudah sedar apa yang berlaku sebenarnya.

Apakah sebenarnya berlaku malam tu. Hulk mula menceritakan segalanya. Malam tersebut semua mereka sebenarnya dilemaskan oleh kepala air yang tiba-tiba dari puncak air terjun tersebut. Empat daripada lima pelajar tersebut lemas dan meninggalkan di situ juga. Manakala, Hulk seorang masih selamat itupun dia sedar semasa hari lewat petang Sabtunya. Dia bergegas balik memaklumkan hal itu kepada warden asrama.

Bagaimana pula dengan Hulk yang hilang semasa bersama mereka berempat? Semasa roh Hulk kembali ke jasadnya Hulk sebenarnya sudah kembali hidup sebaliknya hilang bagi mereka berempat.

Apakah yang berlaku semasa mereka dikejar benda putih terbang?

Saat itulah mereka meronta-ronta bertarung nyawa dicabut ketika kelemasan. Hulk sebenarnya hanya pengsan kerana panik.

Mengapa pula mereka tidak melihat orang langsung pada hari pertama kematian mereka? Kerana mereka adalah roh yang tidak sedar mereka telah meninggal. Roh mereka masih lagi menganggap diri mereka masih hidup.

Mayat keempat-empat pelajar tersebut dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Ahli keluarga mereka dimaklumkan ke atas perkara yang telah berlaku.


Siapa Kami?

Mereka berempat masing-masing saling berpandangan. Masing-masing dengan wajah pucat. Tidak mampu berkata apa-apa lagi.

Mereka berlima adalah pelajar satu kampung yang warden tahu sangat suka ponteng keluar. Mereka sudah banyak kali dinasihatkan. Tetapi masih degil. Dan kedegilan mereka menjadi suatu tragedi yang dasyat.

Bagaimana pula dengan Hulk. Hulk menjadi kemurungan selepas kejadian tersebut. Dia benar-benar tidak berani melakukan sebarang kesalahan di sekolah tersebut. Begitupun berkat guru kaunseling yang membantu masalah kemurungannya Hulk akhirnya berjaya hidup normal seperti sediakala.

Keempat-empat rakan Hulk dikebumikan di tanah perkuburan kampung mereka.

"Eh, jom kita ronda kawasan sekolah" ajak Tango. 

"Jom, kita nak pergi mana ni!" tanya Genit. 

"Ini kan Kawasan kita, kita buat apa kita suka" ujar Nyamuk. 

"Sekarang tidak ada akan halang apa kita nak buat kan" tambah Jagung.

Semenjak peristiwa itu, kadangkala ada pelajar terserempak dengan mereka berempat merayau di kawasan sekolah tersebut.

"Kita sakat Hulk jom" ujar Jagung. 

"Mana boleh dah, Hulk dah jadi anak paderi dah" jawab Tango. 

"Takpun kita sakat orang lain ke, atau budak-budak form 1 yang baru daftar" kata si Nyamuk. 

"Yela kan, kita berempat ni sekarang kan hantuuuu" seloroh Jagung yang sememangnya penyakat. 

Mereka berempat pun ketawa berdekah-dekah.


TAMAT!

Terima kasih kerana sudi membaca.

Kisah Budak Asrama ini adalah rekaan semata-mata. Tidak ada berkaitan dengan yang masih hidup ataupun telah mati.

Ditulis: Justine Amping


Mungkin anda berminat membaca kisah-kisah di bawah

Kasih Seorang Sahabat
Budak Asrama
Kerja Luar Kawasan
Mati Hidup Semula
Perjalanan Pulang
Kekasih Misteri

1 comment:

  1. Jalan cerita nya best...tp yg last Tu Ada sedih...👍

    ReplyDelete