Dimensi Dua Dunia
Sel 004
(1)
Aku tahu aku memang jahat. Hari ini aku di sumbat ke dalam penjara. Di atas beberapa tuduhan jenayah. Apa kesnya aku tidak mahu ceritakan dulu. Kesalahan ku menyebabkan aku tidak dibenarkan ikat jamin. Makanya aku akan meringkuk dalam penjara dalam suatu tempoh yang lama dan mungkin akan dipenjarakan seumur hidup.
Sebut tentang penjara, aku tahu korang akan bayangkan gerigi besi dan suatu bilik gelap. Ya, ke dalam bilik itulah aku akan tinggal. Bagi kategori penjenayah seperti aku. Aku tidak akan bersama penjenayah lain. Aku ditempatkan di sel bawah tanah. Di mana aku difahamkan memang tidak ada siapa yang akan mengunjungi ku. Malah, aku juga tidak akan bersama banduan lain melakukan tugas-tugas penjara. Aku memang dikurung terus.
Entah kenapa aku tidak melawan ketika diiringi ke bilik tersebut. Aku seperti pasrah. Mungkin aku tidak sedar lagi aku akan menghadapi suasana bosan di penjara itu. Gari ku di buka, aku disumbat ke dalam bilik 004. Aku diberikan pakaian banduan dan satu set sedang aku gunakan. Aku dikunci. kedengaran gema dalam penjara itu gerigi besi itu ditutup.
Dalam bilik sel itu, ada dua katil, satu tandas, bersama air paip untuk mandi. Kulihat atas katil pula ada bantal kotor, dan selimut lusuh. Wow, aku tidak mengeluh. Aku tahu ia adalah bayaran kepada jenayah yang aku telah buat. Berus gigi aku pula di potong jadi seperti berus kain kecil pula rupanya.
Ini bukanlah kali pertama aku masuk lokap. Selama ini aku tidak pernah lama berada dalam lokap. Lokap kali ini sedikit berbeza. Mungkin kategori jenayah yang aku pernah buat menjadikan menghuni lokap jenis ini.
Jika di pandang rupaku, aku tidak mempunyai sebarang tattoo di badan. Aku tidak mengenakan apa-apa aksesori yang pelik-pelik baik rantai, gelang, anting atau tindik. Tiada yang akan menyangka aku adalah penjenayah berat jika melihat bagaimana penampilanku. Iya penampilan ku sentiasa kemas.
Hari ini adalah hari pertamaku dalam sel ini. Aku baringkan badan di atas katil dan tilam lusuh itu. Berkira nak berehat. Tiba-tiba aku terdengar gema gerigi besi dibuka, Seperti ada banduan baru akan dihantar masuk.
(2)
Sangkaanku meleset. Kelihatan petugas datang mengantar makanan pertama buatku. Tray makanan ditolak masuk. Menunya kacang panjang masak kicap bersama ikan kembung goreng. Aku belum ada selera makan. Aku biarkan makanan itu sahaja.
Minda aku masih teringat pada muka anak kecil yang menangis melihat ibunya terbaring kaku. Dia meraung melihat ibunya tumbang ke lantai. Biarpun bukan aku yang menghalakan senapang pada ibunya. Namun, pergelutan dengan pengawal bank itu menyebabkan picu senapang itu tertekan dan tertembak ibunya.
Aku cuma termenung. Teringat peristiwa itu. Aku disabitkan bersalah kerana melakukan rompakan bersenjata. Alasan aku berada di sini kerana melakukan rompakan dan menyebabkan kematian. Ya, aku juga disabitkan dengan kes rompakan di beberapa buah bank lain. Setakat ini, 6 buah bank kami berjaya lakukan. Jumlah duit pula terkumpul RM1.7 juta.
Mana rakan lain aku? Kami terdiri daripada lima orang dan salah seorangnya pemandu. Ke semua sahabat jenayah lain ku ditembak mati. Tinggal aku seorang sahaja yang masih hidup.
Bukan nak angkuh atau riak. Kesemua kami adalah lulusan universiti. Dua daripadanya menganggur. Seorang pula cekap ICT. Jika diperhatikan kesemua kami, memang tiada seorang pun yang muka boleh dikatakan berpewatakan perompak. Muka semua nampak baik. Empat orang masih bujang. Seorang sudah berumah tangga iaitu pemandu.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya kami ditewaskan juga. Kami sebenarnya terperangkap dengan risikan yang telah diatur lama untuk menangkap kami berlima. Sifat tamak dan gila dengan nilai jutaan ringgit menyebabkan kami terjerumus. Sasaran kami adalah untuk mendapatkan RM5 juta.
Namun, belum sempat untuk mencapai nilai tersebut, rompakan ke-7 menjadi tragedi buat kami semua. Akhirnya kami semua tumpas dan hanya aku yang masih hidup. Dan berada dalam sel ini.
(3)
Kerana tiada apa yang ku mampu lakukan dalam bilik kecil itu. Mataku hanya merenung ke arah tray makanan tadi. Ku gapai tray tersebut, dan ku jamah perlahan. Rasanya tidaklah teruk seperti yang orang luar pernah gembar-gemburkan. Makanannya ok, tapi bukanlah sedap hingga menjilat jari.
Selesai makan aku kembali baring. Mataku terkebil-kebil. Dalam keadaan baring mengiring, aku terdengar suatu gelak tawa berdekah-dekah di sebelah sel ku. Mungkin suara banduan di sebelahku. Aku bangun dan cuba rapat ke gerigi besi untuk melihat diluar sel ku. Aku nampak jelas sel bertentangan denganku. Ada seorang pakcik tua sedang berbaring. Di sebelah kanan selnya pula ada seorang lagi lelaki tua. Di sebelah kirinya juga seorang lelaki tua juga. Cuma aku tidak dapat nampak jelas muka mereka bertiga. Kerana cahaya hanya diluar sel.
Aku memang jenis malas nak ambil tahu pasal orang lain. Jadi aku abaikanlah. Tapi, sejauh mana aku mampu abaikan, kerana kebosanan pasti akan melanda jua. Atau mungkin mereka akan jadi teman bersembang nanti.
Di dalam dan luar sel itu memang senyap sunyi. Seperti tiada penghuni. Sekali sekala terdengar bunyi cawan diheret kena pada gerigi besi sel. Apatah lagi waktu, memang tidak diketahui. Nak tahu tentang waktu, hanya dengan bila petugas datang menghantar makanan. Tapi aku yakin, makanan tadi adalah untuk makan malam.
"Hai awak, baru hari pertama ka?" tanya pakcik tua yang bertentangan aku. "Kau tanya aku ka pakcik?" tanyaku untuk kepastian. "Ye la, sapa lagi kau la" balasnya. "Ye baru masuk hari ini" balasku ringkas. "kes apa kau masuk?" tanyanya lagi. Aku sebenarnya malas juga nak bersembang. Tapi layan je lah. "Rompakan bersenjata" balasku pendek.
"Takkan sebab tu jer masuk sini" ujarnya lagi. Nampak sangat dia ingin tahu kisah aku. "Merompak dan menyebabkan kematian" balasku. "Banyak duit kau dapat?" tanya dia lagi. "Cuma RM1.7 juta je" balasku pula. "Macamana boleh terciduk ke sini pula?" tanya dia lagi. "Nasib bagus sangat la" balasku malas nak cerita lebih. Dia pulak tergelak sakan macam orang gila. Dia perli aku ke apa. Lantak kau la pakcik.
"Wei budak, penjara ini berhantu tau" dia tambah lagi. Dia ni saja nak menakutkan aku sebagai orang baru kat sini le agaknya bisik ku dalam hati. "Ye ke pakcik?" tanya ku buat-buat serius. Dia terus menyambung gelaknya yang tergema-gema dalam ruang penjara itu.
(4)
Sebenarnya terasa meremang juga dengan suasana gelap dalam penjara tersebut. Malam itu adalah malam pertama aku cek-in dalam penjara itu. Tapi aku bukanlah kategori insan penakut yang mudah mengelabah. Aku adalah seorang yang tenang. Sekurang-kurangnya pakcik banduan itu ada jadi peneman di situ. Biarpun tidak duduk bersama dalam satu sel.
"Pakcik, boleh tanya tak?" tanyaku. "Tanya je la" jawabnya. "Apa pulak kes pakcik" tanyaku. "Pasal buat jahat lah" jawabnya ringkas dan dia berdekah-dekah ketawa. Mungkin dia mental dah akibat terlalu lama dalam sel ni fikirku. Tapi rasa ingin tahu kenapa mereka disumbat dalam penjara ini. "Jangan la melawak pakcik, jawab la elok-elok" ujarku. "Lerr, tentu la sebab buat kejahatan, takkan masuk sini kerana buat kebaikan" jawabnya melengahkan jawapan sebenar.
"Eh, budak, nak pakcik sembang dengan kau dalam sel kau tu ka?" tanya dia. Aku sedikit keliru agak-agak la melawak macam tu. "Macamana pakcik nak masuk sini? Pakcik pun dalam sel" tanyaku semula. "Janji kau tidak melarikan diri dari penjara ini, ok la" ujarnya. "Nak lari macamana, berapa lapis kunci dan mangga kena lalui keluar dari sini" ujarku.
Aku terdengar bunyi gerigi besi terbuka, dan bunyi tapak kaki bergerak menuju ke sel ku. Aku lihat selamba orang tua tu membuka masuk ke sel ku. "Ha, kan pakcik kata benda ni mudah je nak buat" ujarnya sememangnya mengagumkan aku. "Habis tu kenapa pakcik tak lari terus dari penjara ni kalau semudah itu?" tanyaku. "Ha, ni yang kita akan sembang malam ni" ujarnya.
Dari rupanya, jelas umurnya lingkungan 80 tahun ke atas. Rambut panjang sehingga melepasi sedikit bahunya, berjambang, semuanya kelihatan sudah putih, menunjukkan betapa tuanya dia. Kedutan pada mukanya memang jelas. Kumisnya pun sudah turut beruban. Pakaian banduannya agak lusuh juga.
Aku tidak fikir banyak. Cuma aku rasa best juga ada teman bersembang malam ni. Dia terus berbaring di katil sebelahku, sambil dua tangan di bawah kepalanya, lututnya sedikit dibengkokkan, menunjukkan gaya santai sahaja.
"Pakcik tidak pernah ingin meninggalkan penjara ini, hidup mati pakcik lebih selesa di sini" ujarnya. "Pakcik tidak pernah cuba larikan diri ke dari penjara ni?" tanyaku lagi. "Langsung tidak terfikir melarikan diri, pakcik lebih bahagia dalam sel ni" tambahnya lagi. Agak-agakla, mana ada orang seronok dipenjarakan.
(5)
Pelik. Sapa yang suka berada dalam penjara? Apa nikmat hidup kalau macam tu? Apakah membuat insan sepertinya berfikir seperti itu? Sedangkan dia mempunyai kemahiran membuka manga itu semua. Semua persoalan itu berada dalam mindaku.
"Kalau pakcik tidak keberatan, boleh pakcik ceritakan pengalaman hidup pakcik" pinta ku dengan rasa ingin tahu. "Baiklah nak, pakcik masuk ke penjara ini ketika berumur 21 tahun lagi, tapi memang pakcik sengaja mencari helah untuk disumbat ke dalam penjara" ujarnya menambah lagi rasa pelik kenapa dia sengaja ingin masuk penjara. "Lepas tu pakcik" aku ingin dia menceritakan sepenuhnya. Dia pun mula menceritakan kisahnya.
Aku adalah orang susah, bapaku seorang penjudi dan penagih dadah. Ibuku pula meninggalkan aku lari dengan laki lain. Aku tinggal bersama bapaku. Aku tidak pernah disekolahkan. Makan minumku sentiasa tidak pernah sempurna. Aku mencuri untuk terus hidup.
Maka, jadilah aku seorang pencuri. Aku beberapa kali keluar masuk lokap di masa belasan tahun. Semuanya kesalahan mencuri. Masyarakat kampung memang memandang serong padaku. Tiada sorang pun cuba menerima aku di kampung. Kemudian aku membawa diri ke bandar. Di sana aku menjadi pencuri yang lebih hebat.
Maklumlah, sekolah pun tidak, sebarang sijil pun aku tiada, mana ada perkerjaan yang sesuai buatku.Aku hanya mampu menjadi pencuri. Aku ditangkap lagi. Setelah aku berjanji jadi insan yang berubah menjadi baik, aku dihantar balik ke kampung oleh pihak polis. Di kampung aku sentiasa di hina, dikeji walaupun aku tidak melakukan apa-apa kesalahan pada mereka.
Terfikir hidupku sangat malang. Aku mula jadi seorang pemabuk. Mabuk untuk melupakan segala masalahku. Aku kembali menjadi pencuri semula. Aku kembali kepada diriku seperti sebelumnya. Mencuri dan terus mencuri. Tapi aku mencuri hanya untuk meneruskan hidup, untuk makan minumku.
Pada suatu malam itu, aku cuba mencuri sebuah rumah. Masa itu semuanya nyenyak tidur. Aku menyelinap ke dapur rumah tersebut. Aku membuka peti sejuk untuk mencuri makanan. Tiba-tiba aku tersungkur, ditendang dari arah belakang.
(6)
Rasa sebak juga dengar kisah pakcik ini. Jauhnya aku lebih bertuah dari kehidupan yang dilaluinya. "Selepas tu apa jadi pakcik" aku terus menunjukkan minat dengan kisahnya. Dia menyambung kisahnya.
Lampu dinyalakan. Aku cuba melarikan diri. Namun, sudah terlambat. Belakangku dipijak. Orang kampung yang lain sudah datang. Aku dipukul beramai-ramai. Aku diludah. Aku dihina semahunya oleh mereka. Aku menjerit kesakitan dibelasah, di sepak, diterajang, ditampar.
Jadi ceritanya, ada sesorang merangkulku dari belakang untuk menahanku dengan tujuan supaya mereka dapat terus menumbukku. Malah mereka amat geram seperti mahu membunuhku. Tuan rumah itu memegang sebilah pisau dan cuba menusuk ke dadaku. Aku mengelak sekuat hatiku, dan malangnya pisau itu tertikam dada orang yang dibelakangku.
Mereka membuat tuduhan aku yang membunuh orang itu. Sebab itulah aku terus berada di sini. Memang aku ada cuba menjelaskan perkara yang sebenarnya pada pihak polis, namun siapa yang percaya padaku? Begitulah kisahnya.
"Sebab itulah pakcik lebih suka dipenjarakan, makan minum pakcik lebih terjaga di sini berbanding diluar sana" ujarnya. "Sedih juga kisah pakcik, barulah saya lebih paham" balasku. "Memang pakcik sengaja ingin masuk penjara, tetapi pembunuhan itu bukan salah pakcik" ujarnya. Aku hanya mengangguk dan bersimpati dengan nasibnya.
"Berapa orang dalam yang dalam sel penjara bawah tanah ni pakcik" aku menukar topik mengelak dari rasa sebak dengan kisahnya tadi. "kat sini ada 4 orang termasuk engkau" ujarnya. "Apa mereka tidak cuba melarikan diri ka, kan pakcik boleh ajar mereka cara membuka kunci mangga?" tanyaku. "Mereka juga seperti pakcik, pasrah tinggal di sini, tiada maknanya kehidupan di luar tu" ujarnya.
"Mereka tu pula apa kes pakcik?" tanya ku ingin berkenalan juga dengan banduan lain diluar tu. "Nanti kau tanyalah mereka sendiri, jangan risau, mereka tu ramah, tak ganas pun" ujarnya. "Pakcik tolonglah mereka buka sel biar mereka boleh menyembang dengan saya" cadangku padanya. "Mereka tahu nak buat macamana, malah lebih cekap lepas pakcik ajar" katanya. Aku kagum. Pelik juga yang lain tu pun tidak melarikan diri sepertinya.
"Rancak sembang, tak ajak aku" tiba-tiba sorang lagi pakcik tua botak muncul dalam ruang selku. Hebat mereka ni, senang-senang je buka sel.
(7)
Kalau macam ini, memang kuranglah bosan, jika ada rakan banduan yang boleh keluar masuk dalam sel sesuka-hati. Tapi nak merayau macamana, kawasan ini saja yang boleh dironda. Bukan besar pun ruang.
"Dah engkau tidur jer kerja, nak ajak macamana" balas pakcik berambut panjang beruban itu. "Dari dengar cerita kau tu, baik aku tidur je la" balas pakcik botak. "Kita layan orang baru la, kaya dia nia tau, ada duit 7 juta katanya" kata pakcik berambut panjang. "Bukan 7 juta la pakcik, 1.7 juta je la" aku membetulkan nilai tersebut. "Uuu banyak tu, boleh songlap banyak ayam import la macam tu" tambah si botak itu.
Pakcik botak ni, agak sasa orangnya, berbadan tegap, tapi kulitnya sudah keriput juga. Ala-ala Stone Cold Steve Austin, kalau korang kenal la. Badan dia ada tattoo naga, jelas nampak sebab dia tidak pakai baju. Mengikut perkiraan aku dia pastinya seorang samseng kapak punya. Siapa dia? Mari kita dengar kisahnya pula.
"Hebat juga korang semua ya, boleh ajar saya cara buka mangga pakcik? Boleh juga merayau-rayau" pintaku. "Boleh tu boleh, tapi jangan cuba nak melarikan diri dari sini la" ujar pakcik rambut panjang itu. "Ye saya tau pakcik, kalau keluar dari sini saya tahu kita akan ditembak mati" balasku. "Bukan soal mati, kesetiaan menemani rakan yang ada di sini, biarpun kita jahat, tapi kita ada maruah, melarikan diri daripada penjara adalah suatu perbuatan tidak bermaruah" ujar pakcik botak itu. Aku hanya mengangguk sahaja.
"Kau apa kes pulak masuk pakcik?" tanyaku pada pakcik botak itu. "Dia ni pun gila duit macam kau, tapi dia bukan merompak bank macam kau la" ujar si pakcik berambut panjang memberikan sedikit pengenalan. Pakcik botak tu tersengih. Kemudian dia pulak ketawa berdekah-dekah, sehingga bergema dekahannya dalam penjara itu.
"Kisah aku ni tak best sangat la untuk budak bawah umur dengar" ujar pakcik botak. Aku bertambah ingin tahu. "kau cerita saja la, biar budak ni dengar" tambah si pakcik berambut panjang menyampuk. "Segan pula nak cerita" ujar pakcik botak. "Sebab kerja jahat aku lain dari korang" ujarnya lagi.
"Tak pa pakcik, kita masing-masing adalah penjenayah, tiada apa yang kita perlu segan lagi, kita sudah sudahpun jadi warga penjara tetap" ujarku seperti aku pula yang senior kat situ. "Baikla, pakcik akan ceritakan" balasnya setuju dan termakan dengan pujukku tadi.
(8)
Waktu memang tidak diketahui jam berapa. Tapi yang pastinya malam. Itu saja yang aku tahu. Aku tidak merasakan diri keseorangan dalam penjara itu. Kami berdua senyap. Sedia memberi laluan padanya mulakan ceritanya.
Aku dulu mempunyai sebuah blok bangunan bisness haramku. Aku adalah boss. Apa kerja aku? Aku adalah bapak ayam. Kerja aku membuat pemerdagangan orang. Polis sudah lama menghidu operasi pelacuran yang aku taja di blok itu.
Aku ni nak kata jahat, bunuh orang tak pernah, pukul orang pun aku tak pernah. Tanganku tidak pernah ada setitik darahpun. Yang pernah aku lempang pun hanya nyamuk. Semua kerja pukul memukul itu dilakukan orang bawahanku. Blok bangunan ku memang dijaga rapi. Ramai petugas samsengku di tugaskan menjaga bisnes haramku.
Paling sial kerja aku, setiap ayam baru, akulah yang pertama akan meratahnya dulu. Tapi aku pilih yang cantik-cantik saja la. Semua jelitawan itu merelakan diri diperlakukan sesuka hatiku memuaskan nafsu. Mana tidaknya, imbuhan mereka sangat lumayan. Korang tahu, berapa banyak ayam yang aku bela? Ada di kalanganya adalah ayam import dari Eropah, Tanah Besar China, Thailand, dan yang tempatan pula saling silih ganti bertugas di tempatku.
Tapi apa punca aku dimasukkan ke sini? Aku mendapat suatu panggilan sepupu perempuan aku dirogol. Kami bergegas ke tempat kejadian tersebut. Lelaki yang merogol itu kami belasah setengah mati. Dan polis mengambil kesempatan menangkapku atas kesalahan itu, selainnya aku juga disabitkan bersalah kerana pemerdagangan orang. Rupa-rupanya waran tangkap ke atas ku sudah lama dirancang.
Pandai pula aku marah, apabila saudara iaitu sepupuku dirogol. Mungkin itu adalah karmaku. Tapi jelas aku lebih teruk dari mana-mana lelaki yang dayus. Tapi keinsafan ku sudah terlambat. Aku sekarang berada di sini bersama korang. Begitulah kisahnya.
"Penyesalan tidak pernah awal, sesusah semua berlaku dan berlalu barulah kita sedar segala kesalahan yang telah kita lakukan" ujar sik pakcik botak menamatkan kisahnya.
(9)
Begitu rupanya kisah mereka berdua. Teringin pula nak berkenalan dengan seorang lagi. Dia masih belum kelihatan. Aku difahamkan dia orang yang bijak seperti aku. Lulusan pengajian tinggi. Apa pula kes dia?
"Pakcik, mana lagi seorang? Tak nampak pun?" tanyaku. "Dia tu memang kurang bercakap, kau kira bertuah kalau dia bercakap" ujar salah seorang pakcik itu. "Kenapa pakcik dia bisu kah" tanya ku berseloroh. Mereka berdua pun ketawa terbahak-bahak sehingga bergema lagi penjara itu. Aku pun turut tertawa biarpun lawak ku tadi itu tidak lucu.
"Ni kerja korang berdua ye, mengajar budak baru ni mengumpat aku ye" ujar seorang lagi pakcik yang kelihatan lebih muda dari kedua tadi. Biarpun begitu, dia adalah kategori sudah tua juga. "Sori pakcik, kami bergurau jer" balasku menjaga hati taku dia terasa. "No hal punya" balasnya ringkas.
"Pakcik apa kes pula?" tanyaku. "Mereka ni tak cerita dengan kau lagi ke?" tanya dia pula. "Cerita sendirilah" sampuk pakcik berambut panjang tadi. "Aku masuk sini, sebab buat jahat la" balasnya dan ketawa berdekah-dekah. Mungkin tiga orang pakcik ni sudah mereng agaknya akibat terlalu lama menghuni penjara ini fikirku. Mana tidaknya rupa pun sudah tua kerepot. Pakcik yang baru join itu pun terus menceritakan kisahnya.
Kes aku kes biasa sahaja. Aku bisnes dadah. Tapi bukan aku yang jual. Anak-anak buahku yang jual. Aku kira macam bersihla. Tapi untung aku dapat banyak sebabnya aku adalah perancang yang memberi arahan sahaja. Masa aku diberkas dulupun, pihak polis dan narkotik tidak mengesan segram pun dadah pada aku. Tapi mereka ada bukti aku adalah pengedar dadah utama. Sebab itu aku tidak dihukum gantung, tapi hanya masuk kategori macam korang.
"Macam tu jelah kisahnya" ujarnya menamatkan kisah pendek. Aku hanya mengangguk. "Kau tidak takut ka, tadi pakcik kata penjara ni berhantu" si berambut panjang tadi menyampuk. "Ada juga seram-seram sikit kan tempat ni agak gelap" balasku.
"Kau dah bagitau ka siapa kita sebenarnya" tanya si pakcik pengedar dadah itu. Persoalan yang mengelirukan aku. "Kami bertiga ni adalah hantu kat sini tau" ujar pakcik berambut panjang. Kemudiannya mereka bertiga ketawa mendekah-dekah. Tapi aku tak rasa mereka hantu pun, mereka mungkin saja-saja menakutkan aku. "Dah la pakcik, esok kita sambung sembang, ngantuk ni, nak tidur dah ni" ujarku. Mereka bertiga pun keluar dari selku.
(10)
Aku dikejutkan dengan bunyi gerigi besi dibuka. Tandanya sudah pagi. Sarapan pagi dihantar dan seperti biasanya sebuah tray bersama makanan pagi itu ditolak melalui bahagian bawah pintu besi itu. Aku menggosok gigi dan melepaskan hajat ku dulu. Sejurus itu aku melanyak sarapan pagi itu.
Pagi itu senyap sunyi. Mereka bertiga tu masih tidur agaknya. Malas juga nak kacau. Aku kembali berbaring. Mataku terkebil-kebil. Bosan baring aku duduk. Bosan duduk aku baring. Itu je rutin aku sepagi itu.
Suara mereka bertiga masih tidak kedengaran lagi. Melampau juga mereka ni tidur bisik hatiku. Rasanya dah dekat tengahari dah ni. Memang betul pun. Gerigi besi sekali lagi berbunyi tanda makan tengahari tiba.
Aku pergi rapat ke pintu. Kedengaran bunyi tapak kasut menuju ke arah selku. "Tuan, boleh tanya tak?" tanyaku dari dalam. "Tanyalah, asalkan tak mengarut sudah" ujar pegawai petugas itu. "Di bahagian sel bawah tanah ni ada berapa banduan yang sedang dipenjarakan" tanyaku inginkan kepastian. "Setakat ini cuma ada kamu seorang" ujarnya. Aku jadi agak keliru. Serta merta ingatan ku terus kepada 3 orang pakcik semalam.
Belum sempat aku nak bertanya lagi pegawai bertugas itu sudah berlalu pergi. Aku inginkan kepastian lagi, aku menjerit memanggil 3 orang pakcik semalam tu. Namun, tiada langsung jawapan. Aku agak buntu. Apa benarkah mereka bertiga itu hantu?
Aku menjamah makan tengahari tersebut dengan minda aku teringat kepada 3 pakcik semalam itu terus bermain di kepalaku.
Malam itu aku didatangi mereka bertiga sekali lagi. Pakcik-pakcik itu menjelaskan ketiga-tiga mereka telah meninggal di dalam sel 004 sama di tempat aku berada. Pakcik berambut panjang telah meninggal selama 30 tahun lepas, manakala pakcik botak meninggal 8 tahun lepas, dan pakcik dadah baru meninggal 3 tahun lepas. Ke semuanya meninggal akibat terlalu tua di penjara itu.
TAMAT!
Sekian Terima Kasih kerana sudi membaca.
Kisah ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Kredit kepada Mezzo David Yang telah menyumbangkan idea.
Ditulis: Justine Amping
No comments:
Post a Comment