Dimensi Dua Dunia
Gangguan Tiada Kesudahan dan Sihir Patung (Berdasarkan Kisah Benar)
Hi pembaca, saya nak kongsikan kisah yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Saya mula dari kisah nenek dulu ye. Masa ni saya dalam belasan tahun dan memang duduk bersama atok dengan nenek di sebuah perkampungan di Melaka sejak saya berusia 3 bulan lagi selepas ibubapa saya berpisah. Untuk pengetahuan semua, Melaka memang popular dengan bomoh atau dukun atau pawang. Pantang sakit demam, golongan ni la akan dicari. Tapi setakat kes sakit kepala ringan tu, atok yang tolong rawatkan la.
Dari cerita nenek, dia telah diganggu oleh makhluk halus sejak zaman anak dara lagi iaitu sebelum berkahwin dengan atok. Kononnya ia berpunca dari saka keturunan yang ingin menjadikan nenek sebagai tuan baru selepas tuan lama mati. Sebab nenek tahu benda ni syirik, dia menolak dan sebagai balasan penolakan tersebut, saka tu terus mengacau dan menganggu nenek seumur hidupnya. Nenek kerap bermimpi ular dan anjing hitam serta benda yang menakutkan. Selain itu, badan nenek selalu terdapat lebam-lebam di bahagian betis dan lengan. Dia perasan lebam-lebam itu selepas bangun dari tidur. Menurut nenek, itu adalah gigitan pelesit.
Pasal pelesit ni, saya pula antara percaya dan tidak jer. Tapi ada la beberapa kali belalang hijau(dipercayai pelesit) singgah masuk dalam rumah terutama bila ketiadaan atok. Pelesit ni akan berbunyi 'siiiittttttttt' dalam nada panjang yang berulang. Agak menyeramkan juga, sebab kita tahu ia adalah bunyi pelesit tambah waktu tu saya tinggal berdua dengan nenek. Biasa benda ni akan muncul pada waktu malam. Pelesit ni macam bijak juga, sebabnya pandai sorok di belakang langsir atau dinding.
Selalunya nenek akan menyuruh saya memukul arah bunyi itu dengan penyapu lidi. Orang tua anggap penyapu lidi ni suwey dan sial atau ayat budak sekarang ni siot laa. Kalau tempatnya betul tapi sasaran kurang tepat, pelesit akan terbang dan saya akan pastikan dia takkan terlepas. Biasa saya akan cabut kepala dan bakar. Kalau ada rambut di kepalanya makna pelesit tu bertuan. Dengar cerita orang la tapi alhamdullilah tak pernah pula saya jumpa.
Berbalik ke kisah nenek tadi, sudah banyak bomoh atau perawat tradisional yang kami jumpa untuk pulihkan kesihatan nenek. Nenek banyak terkena gangguan selain hal saka tadi. Bermacam pantang larang yang nenek kena ikut antaranya tidak boleh lalu bawah rumah dan sebagainya. Seorang bomoh tu cakap ada yang dengki dengki nenek, nak nenek mati dan menakutkan nenek dengan pelbagai cara syirik. Benda ini berkaitan tanah kononnya, tak tahu betul ke tidak.
Sejak sekolah rendah lagi saya sering ikut nenek dan atok pergi berubat. Terkadang tu lewat pagi baru sampai di rumah. Sampai ponteng pergi sekolah pun ada. Maklum la masa rawatan waktu malam biasanya. Ditambah pula apabila tempat rawatannya ramai pelanggan, jenuh menunggu giliran. Tapi apa kan daya, kami tetap berusaha mengubati nenek. Setelah berusaha ke sana ke mari namun nenek tidak juga pulih.
Ini pula kisah yang saya saksikan dengan kepala dan mata saya sendiri. Ia juga semasa proses pengubatan nenek juga. Tapi bukan pasal nenek la. Ia tentang sejenis sihir yang dinamakan sebagai Sihir Patung.
Kami berusaha mengubati nenek dan kebetulan atok saya ada saudara tiri sebelah ayah dia rasanya la. Kiranya atok sedara tiri saya jugak la kan, lebih kurang begitu. Saya namakan sebagai atok Seman sebab kisah tu lama dah, jadi namanya pun saya ingat lebih kurang macamtu atau saya ni sudah nyanyuk. Atok Seman ni antara bomoh yang boleh tahan terkenal juga di kawasan kampung tersebut. Maknanya bukanlah sekampung dengan kami biarpun mereka adalah saudara.
Perjalanan ke rumahnya mengambil masa lebih kurang setengah jam kalau naik kereta dari rumah kami. Suatu hari tu, kami pergi ke rumahnya untuk berubat. Macam biasa, pesakit atau orang yang datang berubat memang ramai sejak dari sejak petang lagi. Malah makin ramai yang datang. Macam ni, pasti lama menunggu giliran. Rawatan hanya bermula lepas maghrib kalau tak silap. Atok Seman jadikan isterinya sebagai pembantu dalam sesi rawatan.
Pesakit akan mengambil giliran masing-masing dan selepas mendengar masalah mereka, atok Seman akan menulis menggunakan dakwat hitam (macam marker pen) ayat Al-Quran di atas pinggan kaca putih yang memang disediakan untuk tujuan rawatan. Ayat Al-Quran itu bergantung pada penyakit pesakit agaknya sebab saya tengok ada ayat yang panjang dan ada yang pendek ayatnya. Selepas atok Seman membaca apa yang patut, sedikit air bersih akan diletakkan ke dalam pinggan dan pesakit diminta memadamkan tulisan tersebut menggunakan jari telunjuk. Kemudian 'air dakwat' ini akan ditambahkan air sehingga penuh ke dalam botol atau bekas air yang dibawa pesakit. Dan pesakit perlu minum atau mandi menggunakan air ini. Seandainya air hampir habis, ianya boleh ditambah dengan syarat masih ada baki air di dalam bekas tersebut.
Macam-macam gaya reaksi hantu atau setan dapat saya saksikan. Bukan nampak terus la, nampak melalui ragam badan yang mereka rasuki. Ada seorang pesakit perempuan, tapi bila dia bercakap keluar suara lelaki garau. Ada yang lemah lembut, ada juga yang agresif sampai empat orang lelaki pegang pun senang-senang dia terajang ketika pesakit tu cuba nak lari keluar rumah. Mula tu memang takut juga tengok kejadian semasa di situ, tapi dah lama macam seronok pulak. Macam-macam ragam dapat dilihat. Hahaha benda jarang tengok kan.
Sampai giliran sorang perempuan Melayu muda. Orangnya berbadan kecil jer, muka nampak lembut dan boleh tahan cantiknya. Tapi bila ditanya sakit apa, hanya diam tanpa sebarang respon. Akhirnya saudara yang membawa dia ke situ maklumkan yang perempuan tu dah serupa patung tak bergerak sejak berpisah dengan suaminya. Menurut atok Seman ada kena mengena ngan suaminya. Tak tau lah. wallahualam. Yang kita tahu dia tu masih hidup sebab nampak matanya ada berkelip. Itupun jarang sekali dapat kita tengok. Yang lain semua sudah dikunci macam patung. Statik tak bergerak.
Apa yang atok Seman bagitau dia disihir oleh bomoh Siam. Semua angkara balas dendam untuk bagi mati terus. Nampaknya ini la kes paling berat yang atok Seman perlu tangani hari itu. Jadi disuruhnya pesakit tadi tinggal di rumahnya untuk beberapa hari supaya senang dipantau dan diuruskan. Saya rasa makan bulan jugak la perempuan tadi duduk di situ bersama sorang anak perempuan kecilnya dalam anggaran umur 4-6 tahun.
Sepanjang tempoh tu, isteri atok Seman yang mengurus keperluan dia seperti makan minum, mandi dan lain keperluan. Setiap hari dia akan dilatih fisioterapi untuk lancarkan aliran darah bagi senang lentur urat-urat tubuhnya yang dah keras kejang di kunci setan celaka. Oh ya lupa nak bagi tahu, nasib baik mulutnya juga boleh dibuka sikit membolehkannya disuap makan. Tu pun bukan senang. Tak tahula macam mana dia telan makanan.
Sepanjang masa dia akan duduk umpama patung atau macam orang termenung ke satu arah sahaja. Pandangannya kosong entah ke mana. Alhamdulilah dari tak boleh berjalan, sudah mula melangkah setapak ke dua tapak. Ini pun ambil masa yang lama untuk pulihkan dari hari pertama dia datang. Memang 'power' betul setan yang orang tu gunakan. Dan akhirnya ketetapan Tuhan sudah sampai, perempuan muda tadi sudah mampu tersenyum dan sembuh sepenuhnya. Syukur.
Pasal sakit nenek saya tu nmpaknya dia ditakdirkan tak serasi dengan rawatan atok Seman, nenek masih sakit dan kami masih berikhtiar sampai la nafas terakhir nenek. Jadi kita semua perlu berhati-hati juga. Biarpun rambut sama hitam, kita tidak tahu di hati masing-masing. Bukan menyimpan prasangka buruk, tapi berhati-hati. Kerana musuh yang menyamar jadi kawan tu banyak diluar sana yang kita tidak tahu hati budinya. Jangan ingat zaman milenium ni benda-benda mistik macam ni tak wujud dah, anda silap sama sekali...Sayonnara.
Penulis Asal: Qaisuse Yusry
Diedit Semula: Justine Amping
No comments:
Post a Comment