Hospital Mental

Dimensi Dua Dunia

Hospital Mental

(1)
Hospital mental? Apa yang berada di minda anda? Pastinya anda terbayangkan ragam orang yang mengalami sakit mental. Pernahkah anda sendiri melihat sendiri apa yang berlaku di sana? Ya, memang seribu satu ragam yang dapat diperhatikan. Ada yang boleh mengelikan hati anda, ada juga yang boleh menyedihkan anda, ada juga yang boleh menakutkan anda.

Aku adalah pengawal keselamatan yang ditugaskan di sebuah hospital mental. Aku juga merupakan pesara tentera. Biarpun begitu, aku boleh dikatakan kategori pesara yang muda. Aku tidak mempunyai keluarga, tiada anak isteri dan orang tua ku memang sudah lama pergi semenjak aku menyertai ketenteraan lagi. Sebab itu aku memilih menjadi seorang pengawal, sekurangnya terisi juga masa terluangku.

Kerana tiada keluarga, aku memilih bertugas berkawal di hospital. Sehingga aku bagaikan penghuni hospital mental tersebut. Pelbagai ragam aku lihat di situ. Nanti aku akan ceritakan juga.

Pada mulanya memang kekok juga, jadi pengawal di tempat sedemikian. Namun lama-lama aku jadi biasa. Malah sekarang aku boleh mengenali hampir semua pesakit mental yang ada di situ. Setiap satunya ada kisah masing-masing. Kalau diperhatikan, anda memang tidak menyangka mereka adalah pesakit mental. Kelihatan normal pada pandangan mata kasar. Malah jika berbicara mereka lebih bijak daripada anda.

Apa tugas aku di sana? Selain menjaga post guard, aku juga akan meronda di sekitar, memastikan keadaan selamat. Dalam masa yang sama aku akan mengunci jam dari suatu check point ke check point yang lain. Bagi sesetengah orang kerja jadi pengawal ni senang jer. Selalu kita dengar, jaga pondok jaga jer, siap boleh tidur. Sebenarnya rutin tidaklah semudah itu.

Buat pengetahuan korang, sepanjang aku menjadi pengawal di situ, sudah beberapa kali teman bertugas aku bertukar-tukar. Namun tidak aku. Aku setia dengan tanggungjawabku. Mereka yang lain tidak tahan, kerana tidak berani dan mampu berdepan dengan beberapa pesakit yang jenisnya agak agresif.

Aku sudah seperti tiada pilihan, keluarga tiada, anak bini pun tiada, sebab aku tak pernah berkahwin. Tiada punya alasan untuk aku mencari perkerjaan lain. Bukan tidak pernah memikirkannya, tapi aku selesa bertugas di situ. Entahlah, mungkin sudah takdir aku menjadi pengawal di situ kot.

(2)
Seperti hari biasa aku menjalankan tugasku. Karenah pesakit di situ terkadang menjadi hiburan buatku. Aku boleh melihat pelbagai ragam di situ setiap masa.

Buat pengetahuan korang juga, hospital mental ini bukan hanya untuk orang gila sahaja. Ia juga menjadi pusat rawatan bagi mereka yang tidak mampu mengawal stress. Jadi janganlah bertanggapan bahawa semua penghuninya adalah orang gila sahaja. Di sini disediakan khidmat rawatan kaunseling, psikatrik dan lain-lain yang berkaitan mental. Sebab itu ia digelar sebagai hospital mental dan bukan hospital orang gila. Kena ingat ia adalah benda yang berbeza.

Aku bukanlah seorang pakar, hanya seorang pesara tentera dan pengawal keselamatan sahaja. Aku hanya mengongsikan apa yang aku tahu. Bercerita pasal mental, macam aku pakar pula. Okey la, tapi kita cerita dulu supaya kita lebih memahami mereka.

Pernah ada seorang pesakit cuba melarikan diri kerana tidak dapat menerima bahawa dirinya adalah pesakit mental. Puas kami berkejaran di sekeliling kawasan tersebut menangkapnya. Ada juga yang saja-saja pergi ke pondok jaga, buat-buat bersembang dengan guard, lepas tu perlahan-lahan dia menyelinap keluar. Ini juga bahaya, kerana kita tidak tahu sejauhmana level masalah mentalnya. Mungkin akan membahayakan dirinya dan juga orang awam.

Kena ingat juga, pesakit mental juga adalah manusia, mereka berhak untuk hidup biarpun cara hidupnya berbeza dengan orang yang normal. Nyawanya juga suatu kehidupan.

Sebab itu juga, pesakit mental ini dibahagikan kepada peringkatnya. Bagi peringkat awal ia kebanyakannya adalah berpunca dari tekanan perasaan, kemudian kemurungan, sehingga ke peringkat teruk yang boleh meyebabkan halusinasi dan membunuh diri dan sebagainya. Sehingga mereka ada dunia mereka sendiri.

Bertugas sebagai pengawal keselamatan di hospital mental ini memang mencabar. Bukan setakat keselamatan mereka sahaja yang perlu dijaga, keselamatan pegawai petugas, orang awam malah diri sendiri.

(3)
Dijadikan kisahnya, aku kenal seorang pesakit ini pernah berkerja sebagai tentera juga. Dia menjadi mental kerana sering dibuli dalam akademi ketenteraan. Siapa yang pernah jadi tentera memang tahulah level raggingnya macamana. Sebab itu, kalau mental dan fizikal tak tahan, carilah pekerjaan lain. Itu semua sebenarnya pun untuk mengajar supaya tentera menjadi ampuh mental dan fizikalnya.

Berbalik kepada budak ni, dia dilahirkan dalam keluarga berada dan biasa dengan kehidupan manjanya. Dia pula memilih ketenteraan sebab minatnya. Apabila mentalnya lemah, fizikalnya menang gagal menyerap segala tekanan yang dilaluinya. Sehingga dia terpaksa menjadi penghuni tetap hospital ini.

Dia tahu aku bekas tentera juga, oleh itu dia suka merapati aku. Kami bersembang seakan-akan dia tiada masalah mental. Aku layan dia sebaiknya bagaikan dia anak buah aku dalam ketenteraan. Dengan cara begitu kami berdua selesa bergaul.

"Selamat pagi tuan, saya melaporkan diri dan sedia berkhidmat tuan" ucapnya berdiri di sebelah pondok jaga. Wahal dah pukul 10 malam. Faham jer la, jenis ni kena layan ikut dunia dia barulah boleh masuk channel. "Selamat pagi kopral" balasku melayannya. "Saya dan anak buah seramai 10 orang sedia bertugas dan menjalani latihan hari ini tuan" ucapnya lagi. Apa benda pula budak ni nak ajak aku main malam ni?

Apapun dengan perangai yang dia ada, aku teringat dan merindui kenangan semasa bertugas sebagai seorang tentera dulu. Dengan melayan karenah budak ni aku pun terhibur. Pernah aku bagai lupa diri sebagai seorang pengawal keselamatan kerana leka melayan karenahnya.

"Tuan, kami sedia diberi arahan lanjut" ujarnya lagi. "Tuan selamatkan diri tuan, kem kita diserang hendap musuh dari bearing utara" tambahnya lagi. Dia segera bersembunyi di belakang post guard itu. "Tuan, keluar dari pejabat sekarang, musuh meledakkan peluru mortar" dia gigih ajak aku turut sama dengannya.

Tiba-tiba aku dengar bunyi letupan di sebelah post guard aku. Apalagi aku bertindak keluar terus dari pondok tersebut. Aku lihat sebuah trak 3 tan tentera yang park depan post itu sudah terbalik.

(4)
Kedengaran satu lagi bunyi letupan. Betul-betul sebelah post jaga. Aku lihat semua yang ada bertempiaran lari. Termasuk para doktor dan psikiatris. Dalam keadaan kelam kabut itu, aku jadi panik. Apakah yang harus aku lakukan? Para pesakit masih ada yang terkurung di dalam hospital. Bagi kategori yang agresif mereka dikurung umpama dalam sel. Patutkah aku membebaskan mereka?

"Kopral, selamatkan semua jururawat dan doktor" arahku pada kopral. Biarpun aku tahu dia kurang sihat. Tapi dia faham arahan ketenteraan. Aku tiada pilihan. Dalam situasi begini, hanya yang berpengalaman dalam bidang tentera yang lebih jelas keadaan perang. "Baik tuan" balasnya segera. Dia terus melompat dan berlari ke arah kerumunan jururawat yang ketakutan. Aku pula menyusul di belakangnya.

Apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah menyelamatkan semua yang ada ke tempat yang lebih selamat. Lagipun kami tiada peralatan perang. Yang ada padaku pun adalah senapang pengawal tiada peluru yang digunakan untuk acah-acah sahaja. Kami berdua memindahkan semua ke bahagian bilik bawah tanah. Di mana semua pesakit yang lebih agresif dijaga di situ.

Letupan terus meletus di sana-sini. Kami tidak tahu apa punca letupan adakah serangan pengganas atau puak militan entah dari mana. Sebelum ini tiada tanda pun peperangan atau isu-isu yang menghala ke arah situasi ini. Apakah kerana aku ini adalah veteran yang tidak peka dengan isu semasa?

Kalau aku buta tentang isu semasa, bagaimana dengan yang lain, mereka mungkin tahu. "Doktor, apakah yang sebenarnya telah berlaku?" tanyaku. Doktor hanya menggeleng-gelengkan kepalanya tanda mereka pun tidak tahu apa yang sedang berlaku. Jelas semuanya ketakutan dan tidak tahu apa-apa.

Aku yang pernah berjuang dalam medan perang, mengerahkan segala ilmu yang aku ada untuk menjaga orang awam. "Kopral, kita berdua akan menyelinap keluar untuk menyiasat apa yang berlaku" aku memberi arahan yang merangkap sebagai cadangan. "Baik tuan, arahan di terima" balas kopral.

Nampak gayanya kami berdua terpaksa meninggalkan yang lain untuk membuat siasatan. Bagi mengesahkan apa yang sedang berlaku.

(5)
Letupan terus berlaku sana sini. Aku dan satu-satunya kopral yang ku boleh harap terus berusaha. Kami menyelinap dari pagar belakang. Kami terpaksa melalui parit dan melompat ke daratan kembali. Dengan penuh berhati-hati. Kami mencari arah punca serangan.

Kelihatan, beberapa orang sedang meledakkan mortar. Siapakah mereka ini? Adakah mereka adalah tentera gerila atau pejuang menyebelahi kerajaan? Kami tahu situasi sekarang amat bahaya. Kami tidak boleh menerjah sembarangan. Kerana kami tiada senjata.

Aku menambah idea. Kami perlu ke markas tentera yang berdekatan dan menyiasat apa yang berlaku. Apa harus dilakukan, adalah perlu berhati-hati. Kerana kami tidak mahu berpihak kepada sesiapa terlebih dahulu. Tapi sebagai tentera, yang pasti kami akan melindungi pihak kerajaan tidak kira siapa mereka.

"Staf Sarjan, apa kita perlu buat sekarang?" tanya kopral. "Kita masih tidak tahu apa yang berlaku, rasanya kita perlu kembali ke hospital, kita tunggu bantuan tiba" ujarku menukar semula apa yang dirancang awal tadi. Kami berpatah balik ke hospital. Kami menyelinap masuk semula.

Bunyi letupan, berhenti seketika. Kami menggunakan kesempatan itu untuk berpatah balik ke hospital. Di perkarangan depan hospital, kebanyakan kereta telah remuk dan terbakar disebabkan letupan mortar.

Sampai di hospital pula, bekalan elektrik sudahpun terputus. Nampaknya bergelaplah kami semua. Kulihat jam tanganku di celah-celah cahaya yang ada. Tinggal 30 minit lagi menuju ke 12 tengah malam. Aku buntu tidak tahu nak buat apa. Walaupun aku seorang bekas tentera yang berpengalaman, aku tidak terlepas dari segala kepanikan.

Aku dan kopral bergerak ke bilik bawah tanah. Tujuannya untuk mengarahkan pegawai hospital agar menghubungi ketenteraan atau polis untuk mendapatkan bantuan.

(6)
Aku membuka lampu telefon bimbitku untuk menyuluh tangga turun ke bilik bawah tanah. Telefon bimbit ku memang tidak ada kredit di dalamnya. Aku tidak dapat telefon keluar. Sebab itu juga aku cuba mendapatkan pegawai hospital berharap boleh menggunakan telefon mereka.

Sampai di bilik bawah tanah, kelihatan semua yang ada di situ ketakutan. Aku meminta salah seorang pegawai mendail bahagian kecemasan darurat. Malang sungguh, tiada isyarat langsung. Apakah pencawang telefon pun puak ni sudah jahanamkan ka?

Aku buntu, kopral pun buntu dan yang ada kat situ pun buntu sama. Apa yang kami perlu lakukan? Keselamatan mereka adalah tanggungjawabku. Sudahlah guard pasangan bertugas ku tu agak lembab. Bukan lembab apa, dia sudah tua, tak tahu macamana dia boleh jadi seorang pengawal. Nak selamatkan orang apatah lagi, selamatkan dirinya belum tentu dia mampu.

Cakap pasal dia, aku tak perasan pun dia bersama kami semua kat situ. Alamak, pasti pak tua ni masih dalam post jaga. Menyusahkan orang betulla bisik ku dalam hati.

Aku terpaksa naik semula dan mencari pak tua pasangan berkawal aku itu ke pondok jaga. Aku berlari dengan sekuat hati, sampai kat pondok itu aku lihat dia terbaring. Bukan matila, berdengkur tidur. "Pak cik, bangun kita sekarang dalam kecemasan" ujar ku berusaha membangunkan orang tua itu. Dia masih berdengkur. Ingin rasanya aku simbah dengan air. Tapi tidak gamak juga memandangkan dia jauh lebih tua daripadaku.

"Pak cik bangun, kita sedang dilanda kecemasan" ujarku lagi. Dia bangun selamba semacam tak tahu apa-apa. Dah la dia memang pekak juga. Aku memang pelik apa kriteria mengambil pengawal keselamatan syarikat ni. Level macam dia ni mana boleh pakai dah. Bukan nak berlagak la, namapun pengawal keselamatan, sepatutnya orang yang cergas la diambil sebagai pengawal.

Aku terpaksa bertindak melebih sempadan. Aku dukung terus orang tua itu kembali ke bilik bawah tanah.

(7)
"Selamat petang jan, semua keadaan terkawal jan" ujar kopral. Ni la susah bercakap dengan orang gila. Tengah malam diucapnya selamat petang. Aku letakan pak cik guard tadi dan dia duduk berehat. Semua yang ada di situ masih duduk dan diam, kecuali golongan mental yang tidak reti diam.

Kalau golongan mental ni, kau cakap macamana pun mereka tetap layan dunia mereka. Memang kasihan mereka ni bisik hatiku. Mereka tidak tahu yang kami semua dalam situasi kecemasan.

Aku masih memikirkan bagaimana untuk keluar dari masalah ini. Memang doktor dan psikatris itu lebih bijak daripadaku. Tapi dalam keadaan darurat ini, mungkin aku orang lebih berpengalaman dari mereka. Kalau tidak mana mungkin aku dapat pingat keberanian. Satu-satunya pingat kebanggaan ku.

"Doktor, ada cadangan tak atau kita duduk kat sini terus menunggu bantuan tiba" tanya ku kepada ketua doktor. "Saya tak berani nak buat apa, semua ini diluar kawalan kita" ujarnya jelas dia pun buntu. Fuhhh. Nak tunggu bantuan atau cari bantuan?

Dahlah keadaan bergelap. Bekalan elektrik masih terputus. Dalam masa yang sama aku terdengar seorang jururawat sedang menangis. "Aku perlu balik, anak ku masih berumur 3 bulan pasti memerlukan susu, dah la dia cuma dengan neneknya saja" ujarnya. Kawan-kawan setugasnya kelihatan cuba menenangkan dia.

Letupan kembali bersambung. Kali ini letupan lebih kuat kedengaran. Baru ingat nak bantu jururawat itu kembali ke rumahnya. Tapi keadaan diluar terus menerus bunyi letupan. Dan ada kedengaran juga bunyi tembakan senjata api macam machine gun. Ini mungkin tentera sudah bertindak balas terhadap serangan gerila agaknya.

Letupan demi letupan terus berlaku. Kami tidak berani keluar dari bilik bawah tanah itu. Terasa gegaran letupan dari luar. Jururawat dan semua ada di situ ketakutan.

(8)
Aku nak tergelak pun ada tengok ragam pesakit lain yang seronok dengar bunyi letupan. Namun, ada juga yang ketakutan. Tapi ku tahan, juga sebab aku hormat kepada para pegawai profesional yang ada situ.

Oh ya lupa nak bagitahu elektrik sudah ada balik tapi dengan kuasa generator kecemasan sahaja yang auto terpasang setelah 15-30 minit bekalan elektrik terputus tadi. Tapi ia tidak mungkin bertahan lama. Paling lama pun mungkin 3 jam.

Aku lihat semua pegawai atasan berkumpul dimeja bulat. Walaupun aku tidak dijemput, aku datang menyemak. Mungkin aku turut diperlukan nanti. Aku kan satu-satunya pesara tentera yang berpengalaman selain si kopral tadi. Tapi tak mungkin mereka perlukannya.

Aku dengar, perancangan seperti akan memindahkan semua orang ke kawasan lapang. Aku terus membantah. "Kamu orang nak bunuh semua orang sekaligus ka" ujarku. "Begini pakcik, kami risau bangunan ini runtuh jika terkena bom" ujar salah seorang pegawai hospital itu. "Di atas sana kita lebih terdedah kepada ledakkan bom yang tidak putus-putus" balasku membantah rancangan mereka memindah keluar semua orang. "Jika bangunan ini runtuh, semua kita akan terkubur di sini pakcik" balasnya pula. Logik juga penerangannya.

Maka kami membuat undian. Samada kekal menunggu di dalam bilik bawah tanah atau keluar. Semua sepakat memberi undian masing-masing kecuali pesakit-pesakit.

Dalam masa yang sama bunyi letupan terus menerus tanpa henti. Kerisauan dan kecemasan pada setiap orang yang ada di situ memang sangat jelas. Semuanya ketakutan. Aku bukanlah tidak takut. Tapi pengalaman ku banyak mengajarku sebelum ini.

Hasil undian terpecah kepada dua kumpulan. Dengan ini, yang memilih keluar akan keluar bersama. Manakala yang memilih untuk menunggu dalam bangunan terus kekal duduk.

(9)
Kelompok yang memilih keluar terus berjalan ke tingkat atas (Lobi). Aku dan sekelompok lagi termasuk pesakit-pesakit terus setia duduk menunggu bantuan. Mereka sudah pun berada di luar.

Terdengar bunyi letupan terus bertalu-talu. Tidak lama kemudian terdengar bunyi jeritan dari luar. Aku cemas dan segera naik ke atas untuk memastikan apa yang berlaku. Kelihatan mayat bergelimpangan akibat letupan bom. Ada juga yang masih hidup.

"Kopral, naik ke atas, dan bawa beberapa yang lelaki yang normal" jeritku. Kopral dan beberapa yang lelaki datang ke tingkat atas (lobi). Aku mengarahkan mereka menyelamatkan yang masih hidup di bawa semula ke bilik bawah tanah untuk rawatan. Mereka bergegas membantu, sambil berhati-hati kerana letupan dan letusan masih lagi kedengaran sana-sini.

Kami hanya berjaya menyelamatkan dalam 15 orang daripada keseluruhan kelompok yang keluar tadi. Sudahlah kebanyakannya terdiri daripada doktor. Maka perawat kami semakin kuranglah jadinya.

Kesian sungguh melihat mereka yang cedera. Terjerit-jerit kesakitan. Kalaulah mereka setuju dengan cadangan ku tadi, benda ini mungkin belum terjadi begini. Tapi ini bukan masa menunjukkan siapa betul siapa salah. Yang penting nyawa itu perlu diutamakan dahulu.

Jururawat yang tadi cemas, sekarang sudah mula sibuk merawat yang luka parah. Sekarang apa pula plan? Kalau bangunan ini roboh macamana pula? Itu sangat merisaukan.

Nampaknya, perlu ada berkorban keluar untuk mendapatkan bantuan. Seperti sudah tiada pilihan lain. Pastinya aku dan kopral akan mengalas tugas ini. Tapi ke mana yang harus kami tuju dahulu?

(10)
Dari tadi aku perhatikan pakcik sarjan dan kopral ni berguling-guling. Sekejap meniarap, sekejap berlari, sekejap merangkak. Apalagi bunyi mercun dan letupan bunga api sempena tahun baru ni menambah lagi fantasi mereka. Malang sungguh kena bertugas pada malam tahun baru macam ini. Dah tugas jadi petugas di Hospital Mental. Macam-macam ragam la.

"Pakcik, pakcik Sarjan, udah-udah la tu" ujarku. "Pastikan semuanya selamat, nyawa mereka tanggungjawab aku" balas pakcik sarjan. Adui. Nasib baik aku tak jadi mental macam mereka ini. "Selamat petang tuan" ucap si kopral pula. Ni lagi seorang, pagi, petang, siang dan malam dah tak tahu beza dah.

"Pakcik, pakcik sarjan, plis la udah-udah la tu, makan ubat ni dulu" ujarku memujuk orang tua tu. "Selamatkan diri, letupan tu sangat kuat" ujarnya. "Pakcikkkkkkkkkk, tu bunyi mercun la pakcikkkkkk!" aku sudah tak sabar. Dari tadi aku tunggu dia makan ubat. Dia pulak asyik berguling sana-sini.

"Arahan di terima, roger tuan" si kopral merepek lagi. Nasib baik aku ini seorang penyabar. Kalau tak dengan aku sekali mereng macam dorang ni. Kesian sungguh la. "Fire in the hall" pakcik sarjan merepek pula. "Pakcik, udah-udah la tu dulu, makan ubat ni, nanti sambung Battle Royal pakcik tu" ujarku tidak jemu memujuk orang tua tu.

Kalau korang nak tahu, ini baru sebahagian yang korang kena layan. Fantasi dan halusinasi mereka memang gila-gila dalam dan komplikated dari kita yang normal. Kalau sudah mula merepek memang payah nak kawal. Inilah tanggungjawab kami di hospital mental memastikan mereka tidak melakukan sesuatu yang diluar kawal.

"Oooo pakcik, makan ubat dulu la" tegasku lagi. Ini sudah kali ke berapa aku pujuk dia makan ubat ni. Sorang buat perangai macam ni, last-last aku pula boleh jadi penghuni setia hospital ini.

Begitulah salah satu contoh apa yang berlaku di hospital mental. Kebanyakan pekerja macam kami memang kena banyak bersabar. Lagi-lagi bila cuti umum macam ni kena kerja pula, memang seksa sikit la sebab tak ramai yang membantu.

TAMAT!

Sekian, Terima Kasih kerana sudi membaca.

Kisah ini adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.

Ditulis: Justine Amping

No comments:

Post a Comment