Isteriku Siluman Ular I (40 ep)



Dimensi Dua Dunia 

Isteriku Siluman Ular
1. Anak Kampung 

Aku anak kampung. Kerjaku adalah hari-hari ke sungai. Di situlah sumber pendapatanku. Menangkap ikan. Mengail, bertaut, menjala, menyelam, menahan bubu buluh dan menahan pukat adalah kemahiranku. Aku tidak seperti mana anak kampung yang lain, mereka lebih mengemari berkebun dan bekerja jadi kuli di mana-mana.

Bagi aku berkerja dengan cara ini aku lebih seronok. Walaupun hasilnya tidak seberapa. Ia adalah kerja yang menghiburku. Sungai itu sudah menjadi sebahagian dari hidupku. Aku tidak kisah pun bermain di sungai itu berseorangan. Pasal keselamatanku? Aku kategori sudah bisa tegal biasa.

Segala lubuk di sungai itu sudah aku jajahi. Kalau yang lain takut ke sungai di waktu malam, aku pula lagi seronok di waktu malam. Bukan apa, ia lebih tenang bersama bunyi cengkerik dan siulan unggas malam. Suasana semula jadi itu menjadikan aku memang sangat rasa tenang. 

Apa yang kutakut, hanya kategori serangga dan ular berbisa. Bukan tidak pernah kena sengat dengan lipan, malah kena patuk ular pun aku pernah. Patukan ular berapa kali dah. Ingatkan diri mati semasa kena patuk dengan seekor ular jenis berbisa dulu. Tapi ia tidak pernah mematahkan semangat perjuanganku menjajah terus sungai itu. Kadang-kadang terasa lali sudah dengan patukan ular. Mungkin sudah biasa sangat kot.

Orang kampung dan yang tua-tua tu sudah berapa kali menasihatiku supaya jangan berseorangan ketika ke sungai. Sebab bahaya kita tidak tahu mengundang bila-bila masa. Ucapan mereka umpama mencurah air atas daun keladi. Memang tidak pernah aku perdulikan. Bukan degil. Tapi sungai itu sudah menjadi hidup aku. Rezeki aku juga di situ. Sampai satu tahap, mereka tidak lagi menegur atau melarang aku dengan aktiviti ku.

"Kau ni memang takda kerja lain dah boleh buat ka? Berkebun ke, buat kolam ikan ke, takpun berkerja di mana-mana mengambil upah ke, semua tu juga boleh jadi punca rezeki" ujar pakcikku sendiri menasihatiku. 

"Entahlah, tidak terdetik dalam hatiku ingin meninggalkan sungai pakcik" balasku bersahaja sambil menyedut asap rokok daun rumbia berintikan tembakau jawa.

Memang aku tidak pernah bosan dengan aktiviti di sungai. Silih berganti aktivitinya, kalau air sungai penuh akibat hujan, aku akan menahan pukat dan bubu, kalau airnya setengah tebing taut pula ku tahan, kalau sungai musim kemarau yang itu lagi seronok segalanya boleh dilakukan.


Isteriku Siluman Ular
2. Bertaut

Musim kemarau belum tiba. Air sungai masih setengah tebing. Pagi-pagi lagi aku sudah menyediakan tali tautku. Umpan perut ayam pun sudahku sediakan. Bersiap pergi ke sungai lagi. Semangatku sentiasa berkobar-kobar. Terbayang ikan haruan, ikan baung dan ikan keli yang bakal mengena. 

Henjutan joran mengena di tepi sungai memang suatu yang sangat menyeronokan. Tambah lagi jika hasilnya adalah besar. Ikan-ikan itu juga yang akan kujual pada orang kampung. Hasil jualan aku akan buat beli kelengkapan pergi ke sungai dan selebihnya ku buat belanja.

Sasaranku adalah lubuk-lubuk sekitar hilir sungai hari ini. Aku hanya berbekalkan nasi putih, cili padi dan garam. Kaki mencari ikan memang tahu itu adalah resepi terbaik dibawa ke sungai. Macam biasalah aku pergi secara 'Lone Ranger". Bukan tak mau ajak sapa-sapa, aku memang sudah biasa pergi secara berseorangan.

Langkah kakiku laju meniti jalan denai dari belakang rumah menuju ke sungai. Aku memang sentiasa bermotivasi mengerjakan aktiviti ini. Penat atau lelah memang tidak pernah terasa, kalau terasa pun setelah balik rumah nanti. Keseronokannya hanya golongan sepertiku yang tahu.

Setelah berjalan kaki hampir setengah jam. Aku pun sampai di tepian di mana aku meletakan sampanku. Aku meletakkan segala peralatanku di dalam sampan. Kakiku melangkah ke dalam sampan dan tali pengikat sampan ku buka. Ku gapai pengayuh dan mengatur tempat dudukku sebaiknya, maka bermulalah pengembaraanku di sungai pada hari ini. 

Salah satu kenikmatan di sungai adalah menikmati keindahan semula jadi. Kiri kanan adalah tebing yang dipenuhi segala tumbuhan. Ada juga kayu tumbang melintang sana sini menambah seri sungai. Dengan bunyi unggas dan segala yang ada di hutan sepanjang sungai suasana menjadi lebih indah. 

Baru aku ingin mula menahan tautku, aku terdengar ada bunyi kocakan air dihilir sungai. Pelahan pengayuh kugerakan. Aku ingin tahu apa yang mengocak air tersebut. Aku memberhentikan sampanku. Tanganku berpaut pada dahan pokok yang terjuntai ke sungai. Alamak, orang tengah mandi la. Kacau air betul bisik hatiku.

Aku perhatikan gelagat orang yang mandi tadi itu. Ternyata seorang gadis. Dari mana datangnya dia ni? Setahu aku kawasan sungai kat sini mana ada kampung orang. Aku mendekatinya dengan perlahan. Dia memandangku, dengan senyuman. Wah cantiknya gadis ini yang hanya berkemban. Aku menjaga tutur kataku. Aku ingin menyapanya.


Isteriku Siluman Ular
3. Perkenalan

Aku bagaikan terpukau melihat kecantikan sang gadis. Tidak berkerdip kelopak mataku. Rasanya ingin juga berkenalan dengan siapa orangnya. Senyumannya cukup menawan. Senang dengan senyumannya aku mula bertindak menyapa.

"Mandi ka?" tanya ku ringkas. 

Tiada idea menyusun kata-kata kerana aku jelas terpukau dengan kecantikan paras mukanya yang tidak habis-habis membuahkan senyuman. 

" A a tengah mandi la, takkan tengah memasak" balasnya mesra sambil dia ketawa lembut. 

Aku juga turut ketawa dengan lawak mesranya itu.

"Nak tanya boleh?" tanyaku lagi. 

"Tanyalah" balasnya lembut. 

"Awak orang kampung mana?" tanyaku lagi. 

"Kat situ jer" balasnya sambil menunjuk ke arah sebuah kawasan di tebing sungai itu. 

Aku pun cuba melihat arah yang ditunjukkanya. Jelas kat situ nampak ada beberapa buah rumah. Pelik juga, selama ini aku lalu kawasan ini tak pernah perasan pun di sebalik hutan tepi sungai itu ada sebuah kampung. Mungkin juga kerana aku hanya bermain di sungai sahaja selama ni kot, sehingga tidak perasan kewujudan perkampungan di situ.

"Awak menangkap ikan ka?" tanya si manis itu. 

"Awak nampak saya tengah memasak juga ka?" aku balas balik perlian dia tadi. 

Dia ketawa halus. Terusik dengan sakatanku. 

"Aku menahan taut je, cari rezeki" ujarku risau dia ambil hati dengan usikan tadi. 

"Ada dapat ikan ka?" tanya dia lagi. 

"Belum mula lagi tahan taut, mana dapat ikan lagi" balasku pula.

Aku jadi lupa tujuan ku ke sungai. Aku leka menatap wajah ayu dan manis itu. Leka bersembang dengannya. Nak kata dia tercantik di dunia ni, tak la juga. Dia nampak seperti gadis-gadis lain juga. Cuma jenis wajahnya tidak jemu dipandang. Aduh, apakah ini cinta pandang pertama. Bodoh, macamlah dia suka kat aku. Aku sangat selesa dengan cara percakapannya. Biarpun begitu aku tak bolehla perasan.

Dia berendam dalam sungai, muka dan sehingga paras dadanya yang aku jelas nampak. Bongok juga korang ni, aku tak nampak la buah dada dia. Dia berkemban. Walaupun aku terpikat dengannya takla sampai tahap tu nak tengok. Tapi aku ni kan lelaki, teruja juga la bersembang dengannya tambahan lagi dia seorang yang cantik.

"Saya minta diri dulu, sudah lama saya mandi di sini tadi" ujarnya minta diri.

 "Ohya, saya pun nak menahan taut" balasku teringat tujuan asalku. 

"Saya memang selalu mandi kat sini, nasib-nasib kita terserempak lagi" ujarnya lembut sambil melemparkan senyumannya. 

Adui, cair hati aku dibuatnya. Perh, dah la cantik lemah lembut pula. Dia pun berlalu pergi.


Isteriku Siluman Ular
4. Girang

Hatiku hari ini aku begitu riang. Entah dari mana perasaan girang ini. Mungkin setelah terserempak dengan gadis tadi kalinya. Ia suatu perasaan yang tidak pernah aku alami. Rasa tidak puas pula bersembang dengannya. Inikah yang dinamakan jatuh hati? Mana mungkin la aku memilikinya. Jangan-jangan dia hak orang lain. Menyesal pula tidak bertanya banyak hal dengannya. 

Aku meneruskan aktiviti bertautku. Sekali-sekala sampan ku putar ke tempat dia mandi tadi, berharap dia ke sungai lagi. Agak hampa. Takpalah, baik aku fokus dengan aktiviti asalku. Ish, kenapa pula kepala aku asyik terbayangkan gadis tadi. Cepatnya aku angau. Aduh, pelik juga. Tidak pernah aku terasa menyukai sebegini rupa.

Bukan tiada pun perempuan di kampung meminatiku. Siap mereka membodek ibuku lagi, semata-mata ingin menambat hatiku. Nak kata aku ni kacak? Tak la sehebat wajah plastik pelakon Korea. Susuk maskulin ku memang mengujakan la, maklumlah anak kampung yang selalu kerja keras. Tapi cukupla membuat gadis terpikat. Tapi malangnya aku tidak pernah berkenan pada mana-mana gadis. Bukan mereka tu tidak cantikpun, entahla tiada langsung keinginanku bercinta dengan mereka. Mungkin aku jenis yang sangat sibuk ke sungai.

Berbalik kepada gadis tadi, wajah lembut dan senyumannya terbayang-bayang di kepala ku sekarang. Tak pernah aku merasa perasaan pelik begini. Jangan-jangan dia penunggu hutan? Tapi segalanya normal juga tadi. Tiada yang pelik juga tentangnya. 

Taut yang ku tahan mengena kiri kanan. Rezeki hari ini menakjubkan. Tidak berasa matahari sudah berada di atas kepala. Perutku sudah menyanyi, tanda lapar sudah memanggil untuk mengisi perut. 

Aku kayuh sampanku ke tempat mandi si gadis tadi. Kerana di situ juga, pertemuan dua sungai. Pertemuan sungai biasa dengan sungai air batu. Sungai air batu lebih nampak bersih, senang nak cuci tangan atau apa-apa. Kiranya aku ingin berhenti makan di situ. Tapi sebenarnya aku lebih mengharap terserempak dengannya. Ku kayuh sampan ku tepat ke arah tadi. Niatku dikabulkan, dia kelihatan sedang menyauk air sungai dengan labu keringnya. Dia perasan aku mengayuh sampanku ke arahnya. Gadis itu, sekali lagi memberikan senyuman manisnya. Memang leka aku memandangnya.


Isteriku Siluman Ular
5. Gelojoh 

Tidak terkeluar sebarang ucapan dari bibirku. Aku jadi asyik memandangnya. Sungguh indah saat itu. Ditambah sinar matahari mencelah melalui daun-daun pokok di hutan itu. Dia memandang sama ke arahku. Nampaknya dia turut terleka, sehingga dia tidak perasan labunya dihanyutkan air sungai batu tersebut.

Aku mengikat tali sampanku dan aku melangkah keluar dari sampan dan mendapatkan labu keringnya yang dihanyutkan sungai tadi. Aku berjalan ke arahnya. Dia masih menatapku. Aku menyerahkan labu kering itu padanya.

"Nah, labu awak" ujarku sambil menyerahkan labunya. 

"Eh, terima kasih, tidak perasan pula labuku hanyut" ujarnya sambil tersenyum manis. 

"Sama-sama" balasku. 

"Awak buat apa patah balik ke sini?" tanyanya. 

"Aku nak singgah makan tengahari, mana tahu ada orang nak tolong saya bakar ikan bersama" kataku. 

"Banyak ke dapat ikan?" tanya dia lembut. 

"Ada juga, kalau awak sudi, temankan saya makan boleh?" pintaku tidak ragu-ragu.

"Boleh la, lagipun saya takda benda nak buat hari ini" balasnya. 

Jawapan itu sudah pasti mengembirakan ku. 

"Awak tunggu kejap saya carikan kayu api ye" ujarku. 

Kaki ku melangkah mencari ranting kayu di sekitar kawasan tersebut. Aku kembali kepadanya dan menghidupkan api. Kemudian aku pergi ke sampan mengambil bekal dan beberapa ekor ikan untuk dibakar. Kemudiannya aku kembali menyertai dia semula. Dia membantu aku membakar ikan. Sambil itu kami berdua terus bersembang.

"Eh awak, awak dah kahwin ke?" tanyaku padanya. 

Aku takut juga, mana tahu dia isteri orang. Boleh kacau jadinya. Dia memandangku dengan penuh senyuman. 

"Awak rasa saya ada suami tak?" tanya dia padaku. 

Aku pula yang ditanya. 

"Ye la, orang cantik macam awak mesti ada yang punya" ujarku berharap jawapan sebaliknya dari ucapanku. 

"Dah, kalau awak yang jadi suaminya" balasnya menyakatku. 

"Ish, cakap betul-betul la, tak manis jika orang pandang kita berdua di sini jika awak adalah hak orang" ujarku menjaga adab. 

"Betul la, saya belum berpunya" jelasnya. 

Wow, jawapan terindah. Kiranya aku ada peluanglah bisikku dalam hati. 

"Betul ni! awak jangan main-main" balasku masih sangsi. 

Sambil tanganku memutar ikan yang dibakar tadi. 

"Benar la, belum ada yang sudi" ujarnya lagi. 

"Saya sudi" cepat aku menjawab. 

"Awak mengadala, takkanla baru jumpa awak dah suka" balasnya. 

Aduh, bendulnya aku. Gelojoh betul terasa diri ini. 

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Aku mengaku yang kebenarannya bahawa aku sudah jatuh hati saat kali pertama bertemunya. Dia pun membahaskan benda yang sama. Aku menyatakan yang aku terus teringatkan dia, setelah dia pergi tadi. Dia juga turut merasakan suatu yang sama, sebab itu alasannya menyauk air tadi adalah mengharapkan berjumpa aku lagi.


Isteriku Siluman Ular
6. Janji 

Setelah kami mengakui menyukai masing-masing. Kami menjadi lebih mesra. Aku sangat girang dan teramat gembira, kerana perasaan ku tidak bertepuk sebelah tangan. Siapa tidak gembira lebih-lebih lagi orang yang dicintai itu adalah amat sempurna di mata masing-masing. 

Tengahari itu, kami makan ikan bakar bersama. Dia kelihatan sangat gembira. Di bibirnya senantiasa terukir senyuman manis. Aku tidak tahu membayangkan betapa indahnya saat itu. Cuma aku agak kecewa sedikit pabila dia meluahkan hubungan itu perlu dirahsiakan dulu. Dia minta supaya aku jangan pernah bagi tahu pada sesiapapun tentang perkenalan dan perhubungan itu.

"Awak, perlu janji dulu dengan saya" ujarnya. 

"Apa dia yang perlu saya janji?" tanyaku. 

"Awak jangan pernah bagi tau orang atau sapa saja pasal saya dan hal kita ini" ujarnya. 

"La, aku baru terfikir nak bagitau keluargaku, nak meminang awak" ujarku. 

"Ya, saya sangat sukakan awak, tapi semua orang kampung awak tidak boleh tahu pasal kampung kami" ujarnya lagi menambah rasa keliru di mindaku. 

"Kenapa? Orang kampung kita bermusuhan ka?" tanyaku. 

"Bukan macam tu, dunia kita sebenarnya berbeza, kaumku adalah..." belum sempat dia menghabiskan ceritanya. 

Tiba-tiba ada orang datang berkayuh dari hulu. Aku lihat orang kampungku. Apabila dia nampak aku. Dia segera memutarkan sampannya semula ke hulu. Dia mengayuh sekuat hatinya. Aku menjerit-jerit memanggilnya. Namun, dia tidak menghiraukanku. Reaksinya seperti orang nampak hantu. Aku abaikanlah. 

Aku kembali bersembang dengan si dia. 

"Ya, apa awak nak cakap tadi?" tanyaku. 

Aku nampak memek mukanya kelihatan sedih. 

"Awak tolong janji jangan pernah bagitau pasal kita ya" ujarnya lembut. 

"Baik saya janji" balasku. 

"kalau awak benar-benar suka dan sayangkan saya, awak kena ingat janji tu" ujarnya lagi. 

Memang aku merasa pelik. Adakah kampung kami ini bermusuhan? Dah dapat yang ideal di hati, ada pula sesuatu yang semacam menghalang juga. 

"Kita jumpa lagi esok, dah lewat ni, nanti ibu ku mencari pula" ujarnya. 

Aku pun tidak perasan matahari sudahpun condong ke barat. 

"Baiklah, kita jumpa di sini esok, mungkin aku akan bermalam di sini la esok" balasku. 

"Awak kena-hati tau, ingat pesan ku, jangan ceritakan pada sapa-sapa" tegasnya. 

Dia pun melangkah kembali ke kawasan rumahnya. Sesekali dia memandang ke arahku, dia memberikan aku senyuman berserta lambaiannya.

Aku menyambung aktiviti bertaut ku. Memandangkan hari pun dah nampak lewat. Aku mengutip semua tautku. Dan aku berangkat pulang. Dalam perjalanan balik, aku bersiul-siul kegembiraan. Namun, sekali sekala minda ku sedikit terganggu mengapa dia tidak membenarkan orang lain tahu tentang hubungan kami. Adakah dia isteri orang yang curang? Tapi dia mengatakan diri belum berpunya. Apakah kampung kami bermusuhan? Atau siapakah dia sebenarnya?

Aduh, bodohnya aku, sampai namanya pun aku tak tanya? Siapa gerangan gadis cantik misteri ini?


Isteriku Siluman Ular
7. Nabau

Sampai di tepian tempat meletakkan sampan, aku terdengar suara riuh rendah. Kelihatan beberapa orang kampung tergesa-gesa baru sampai di tepian itu juga. Aku memunggah segala hasil yang aku dapat ke dalam guni. 

"Wei, aku ingat kau sudah mati dibelit ular nabau (Anaconda) tadi" ujar orang kampung yang mengayuh macam nampak hantu semasa di hilir sungai tadi. 

"Ya la, riuh orang kampung dengar dia cerita kamu dibelit ular" tambah sorang lagi.

 Aku terpinga-pinga. Sebab aku rasa ok jer. 

"Mana kamu nampak ular?" tanyaku. 

"Kamu bukan kena belit dengan ular tadi ka?" sambil dia membelek-belek badan aku. 

Kepala ku terus teringat gadis tadi. Apa mungkinkah dia ular? Dia ini cemburu melihat aku bersama gadis tadi kot. Pandai-pandai pulak dia buat cerita. 

"Korang nampak aku ok jer kan?" ujarku tenang. 

"Ye la kau ni, buat orang kampung macam apa berlari ke sini" ujar sorang lagi kepadanya. 

"Sepanjang aku bermain di sungai ini tak pernah lagi aku nampak nabau la" tambahku. 

"Kami ingat nak menyelamatkan kamu tadi, tu yang saya bergegas balik panggil orang kampung, tapi mata kepala saya sendiri tengok, apa mungkin saya salah tengok agaknya" katanya menjelaskan mengapa beberapa orang kampung berada di situ. 

"Aku terjerit-jerit panggil kau tadi, ingat nak ajak makan ikan bakar sama-sama, tapi kau berputar balik" jelas aku pula. 

"Mungkin aku salah tengok" ujarnya sambil mengaru kepalanya yang mungkin gatal atau tidak. 

Maka semua yang berada di situ pun balik semula. 

"Banyak juga kau dapat ikan hari ini" ujar lelaki tadi. 

"Bolehla, air setengah tebing, tak boleh buat apa, tahan taut je la" balasku. 

Memandangkan dia memang selalu berbohong bila bercerita, maka memang susah nak percaya la cerita mamat ni. Aku pun tergelak, Bila teringat ceritanya. Elok-elok aku terjerit-jerit panggil dia tadi, dia boleh balik kampung cerita aku kena belit dengan ular nabau.

Sampai di rumah, aku mandi dan makan malam bersama orang tuaku. Lauk apa lagi, lauk ikan baung la. 

"Betul ke kau tadi dibelit ular nabau nak?" tanya ibuku. 

Mamat ni punya cerita, satu kampung tau cerita bohong dia. 

"Kalau aku kena belit, agak-agak yang tengah bersembang dengan mak ni siapalah mak?" tanyaku memerli ibuku. 

"Iye la, ramai yang pergi nak selamatkan kau tadi, mak risau juga la" balas ibuku. 

"Esok-esok tu berenti dulu la ke sungai, risau pulak mak" ujar ibuku tidak membenarkan ke sungai. 

"Emak ni pun, dah itu punca rezeki saya mak, mak pun tahu saya dengan sungai tu mana dapat dipisahkan" balasku mempertahankan aktiviti sungai ku. 

"Mak paham, tapi mak risau" ujar ibuku lagi. 

"Kau ni pun, dia dah besar dah, tahu la dia jaga diri" bapaku menyampuk. 

"Kan bah, orang dah besar panjang la mak, mak jangan risau la" tambahku. 

Ibu ku diam tidak bersuara lagi, dia hanya mengeleng-gelengkan kepalanya.


Isteriku Siluman Ular
8. Menunggu 

Malam itu, bagai suatu malam yang amat panjang bagiku. Amat sukarku lelapkan mata. Aku asyik teringatkan gadis yang ku temui di sungai hari ini. Redup matanya, ayu wajahnya, manis senyumannya, lembut bicaranya, semua itu bermain-main di kepalaku. Tidak pernah aku jatuh hati sebelum ini. Ini adalah benar-benar yang pertama buatku. Akhirnya aku terlena jua. 

Aku terjaga, sudah siang. Aku bersiap untuk ke sungai lagi hari ini. Tapi kali ini aku akan bermalam di sungai. Joran mengail udang bersama tautku sudah ku sediakan. Aku kemas sedikit pakaian untuk ku bawa nanti. Kalau sebelum ini semangat ku adalah aktiviti menangkap ikan, kali ini ia menjadi dua perkara. Niat ingin bertemu gadis itu membuak-buak. Begini rupanya perasaan merindui kekasih hati.

Aku mulakan perjalananku hari itu menyusuri jalan denai menuju ke tepian. Langkah kaki ku laju. Jelas aku seperti tidak sabar. Akhirnya aku sampai di tepian. Seperti biasanya aku menyimpan barangan di sampan. Tali perahu ku buka dari tambatannya. Aku terus menyusuri sungai ke arah hilir. Kayuhan ku laju. Tempat yang ku tuju tidak lain tidak bukan, yakni tempat semalam. 

Menghampiri tempat itu, aku mendengar bunyi kocakan air orang bermain dengan air sungai. Hati ku girang, sahla dia sedang menanti kedatanganku. Tidak syak lagi, sampan ku sudah sedia ada dia tempat itu, aku nampak dia sedang bermain-main dengan air. Wow, sangat cantik, mukanya berseri-seri setelah perasan kehadiranku. 

"Awak tunggu saya ka?" sapaku. 

"Sudah tahu bertanya pula" balasnya tersenyum malu. 

Suasana di sekitar sungai itu bagaikan suatu taman yang sangat indah bagiku dengannya. 

"Awak rindu ka?" tanyaku tersengih. 

"Jom, mandi sama" ujarnya. 

"Sejuk lagi la, masih pagi begini" balasku belum mahu membasahkan diri. 

"Kalau sudah dalam air ni, tak terasa sejuknya" pujuknya. 

Aku menggelengkan kepala ku tanda belum sedia basah. Dia memercikkan aku dengan air. Nakal juga gadis ni. 

Aku mengayuh sampanku ke tebing dan ku ikat talinya. Kemudian, aku duduk di sebatang pokok yang melintang tepi sungai sambil memerhatikannya. 

"Dah puas mandi ke belum?" tanyaku. 

"Dah" balasnya ringkas. 

Dia pun segera naik ke daratan. Biji mata lelaki terpaku memandang sosok tubuh seorang gadis berkemban kebasahan naik ke daratan. 

"Wei awak, jangan pandang macam tu boleh, macam orang miang jer tau" tegurnya melihat aku sedang memandangnya. 

Pandanganku dipaling ku ke arah lain. Baik sangat la konon.

"Jap, awak jangan pandang sini, saya bersalin pakaian dulu" ujarnya. 

Aku hanya menuruti katanya. Aku diam tidak berkata, menunjukkan rasa hormatku padanya sebagai seorang wanita. 

"Dah boleh pandang" ujarnya setelah selesai menggantikan pakaian basahnya.


Isteriku Siluman Ular
9. Tempat Rahsia 

"Awak, saya nak tanya boleh?" tanya dia padaku. 

"Tanya jer la" balasku ringkas. 

"Awak benar sukakan saya ka?" tanya si dia. 

"Serius aku suka, malah aku telah jatuh hati dengan awak" ujarku berterus terang padanya. 

"Awak, nak tahu, saya sudah ceritakan pada ibu dan ayah saya yang saya telah jatuh hati dengan awak" jelasnya agak mengejutkan aku. 

Aku bagitahu keluarga ku tidak boleh, dia senang-senang ceritakan terus pada orang tuanya.

"Apa reaksi mereka?" tanyaku. 

"Mereka merestui hubungan saya dengan awak asalkan awak sudi mengikut syarat ayah saya" jelasnya lagi. 

Aduh, bersyarat pula. Jangan minta hantaran bukan-bukan dah la bisik hatiku. Ku tatap wajahnya dekat-dekat, memang cantik dan penuh kelembutan. Mana mungkin aku menolak gadis sepertinya. Tutur katanya lembut. Tambah lagi, keayuan dan keredupan matanya benar-benar membuatkan aku terpesona.

"Kenapa awak diam, awak tidak bersediakah?" tanya dia lagi. 

"Nak tu serius aku nak, tapi apa syaratnya?" tanyaku pula. 

"Saya pun tak tahu, rasanya saya kena bawa awak bertemu ayah dulu, biar dia yang jelaskan" ujarnya. 

"Ayah awak garang tak?" tanyaku. 

Dia tersenyum mendengar soalanku. 

"Ayah ku tidak garang, cuma dia tegas la" balasnya meyakinkanku. 

"Kalau awak sudi, sekarang juga saya bawa awak berjumpa dengan ayah" ucapnya tidak sabar. 

"Jomla" balasku ringkas tidak melengahkan waktunya. 

Aku segera mengambil raga di sampan tadi. Seterusnya aku menyertai dia ke arah hutan. Dia memimpin tanganku. Setelah berjalan beberapa ketika kami sampai kat sebatang pokok besar dan dia mengarahku memejamkan mataku.

"Kenapa nak perlu pejamkan mata ni?" aku bertanya kerana ingin tahu. 

"Sebab tempat ni rahsia" ujarnya menambah rasa ingin tahuku. 

"Kalau tak pejam, tak boleh ka" aku mempersoalkannya lagi. 

"Awak percaya pada saya tak?" dia mendugaku. 

Akhirnya aku mengalah. Aku memejamkan mataku. 

"Jangan tipu-tipu ah, mata tu belum pejam betul-betul" ujarnya perasan aku masih hanya menyepetkan mataku sahaja. 

Kali ini aku benar-benar pejamkan mata. Dia terus memimpinku, kaki ku terus melangkah mengikut arah pimpinannya. 

"Masih lama lagi ke perlu pejam mata ni?" tanyaku. 

"Sekejap sahaja lagi, sabarla awak" ujarnya lembut. 

Beberapa ketika berjalan akhirnya dia mengarahkanku membuka mata.

Silaunya mataku. Perlahan anak mata ku membesar semula. Wah, cantiknya tempat ini. Jauh lebih indah dari pemandangan sungai tadi. Aku sudah berada di hadapan perkampungannya. Tempat itu memang sangat menarik.


Isteriku Siluman Ular
10. Kagum

Tempat ini jauh berbeza dengan tempat yang aku biasa lihat. Pintu gerbangnya dihiasi dengan batu yang diukir dengan ukiran ular. Memang sangat menarik dan kelihatan seninya bermutu tinggi. Biarpun begitu, gaya hidup di situ nak kata primitif tak juga, tapi gayanya agak nampak ketinggalan. Kerana aku tidak lihat tiang elektrik dan antena telivisyen pun kat situ. Semuanya adalah semulajadi. Begitulah gambaran awal ku terhadap tempat tersebut. 

Dia terus memimpin tangan ku sehingga sampai ke sebuah rumah kayu. Di dalamnya, semua hiasan kayu. Tiada satupun, yang dipasang menggunakan paku. Hampir semua, seni hiasannya bercorak ular. Memang aku kagum dengan tempat itu. 

"Kita sudah sampai di rumah orang tuaku" ujar si gadis. 

Kelihatan ada seorang kakak, dan seorang lagi mungkin abangnya menyambut kehadiranku. Aku dipelawa duduk. 

"Kejap nak, makcik bancuhkan air" ujarnya. 

Aik? dia membahasakan aku anak? 

"Anak pakcik sudah ceritakan tetang anak semalam" ujar abangnya. Aik? Dia ni pun membahasakan aku anak juga. 

"Ini ayah, yang tadi ibu saya" ujar si gadis. 

Wow mudanya. Aku hanya mengangguk sahaja. Maklumlah, baru sampai tempat orang kena jaga adab dan tertib. Kemudian si gadis menyertai ibunya di dapur.

"Apa benar anak ini berkenan pada anak gadis pakcik?" ujar si ayahnya. 

"Ya pakcik, saya jatuh hati pandang pertama dengan anak pakcik" ujarku. 

"Tapi, banyak yang anak perlu korbankan jika anak ingin memperisterikan anak pakcik" ujarnya. 

Aduh, part ini aku payah ni, apa benda yang perluku korbankan. Hatiku tertanya-tanya. Mahu atau tidak aku kena tahu. 

Dari cara layanan, aku sangat selesa dengan perbicaraan si ayah. penuh kelembutan. Memang benar seperti kata si gadis awal tadi. Ayahnya tidak garang tapi tegas. Tegas dengan syaratnya kot.

"Apa anak tahu siapa kami sebenarnya?" ujarnya lagi. 

Aku cuma menggelengkan kepala tanda tidak tahu. 

"Baiklah, pasal ini nanti pakcik maklumkan ya" tambahnya lembut. 

"Anak pakcik juga mengaku dia sudah berkenan sangat dengan anak ini, dia mengatakan dia benar-benar cintakan anak" tambahnya lagi menjelaskan betapa si gadis juga seperti aku sudah tertambat hati. 

Dalam pada itu, si ibu dan si gadis datang bersama hidangan dan minuman. Cawannya adalah diperbuat daripada buluh, dan diukir kemas bercorak ular juga. Jugnya pulak adalah kayu berlian berukir bunga-bungaan. Pakaian mereka pula adalah kain tenunan. Sangat halus biarpun dilihat dengan mata kasar.


Isteriku Siluman Ular
11. Bunian

Aku terus mengagumi seni yang ada di rumah itu. Semua hiasan, ukirannya sangat bermutu tinggi. Ukiran yang sangat teliti, seakan-akan timbul dan hidup. Kaya juga mereka ni, bisik hatiku. Aku sangkakan ia adalah rumah biasa-biasa. Semakin ku amati, lantainya juga ada ukiran tersendiri. 

"Jemput minum nak" ujar si ibu lembut. 

Tidak hairanlah, si gadis juga lembut tutur bicaranya, ayah dan ibunya menuturkan bahasa yang sangat sopan dan lembut. Aku mengapai cawan, dan minum, airnya sangat enak, cuma ia adalah suatu yang tidak pernah aku minum. Aku mulai berasa suatu yang pelik. Dalam hatiku, sudah memikirkan, apakah mereka ini manusia? Atau makhluk lain. Tapi jelas pula, rupa mereka adalah sebiji macam manusia biasa.

"Baik nak, biar pakcik berterus terang dengan anak" ujar si ayah. 

"Ya pakcik saya bersedia mendengarnya" balas ku sopan.

 Aku sudah nekad hadapi segalanya. Apapun sekali mereka siapa? Aku nekad untuk menikahi anak gadisnya, asalkan syaratnya ku mampu atasi. 

"Kami sebenarnya adalah golongan bunian" ujar si ayah. 

Dah agak dah mereka bukan manusia bisik hatiku. Tapi peliknya aku tidak merasa takut pun setelah diberitahu begitu. 

"Bangsa kami pula adalah siluman ular" tambah ibunya. 

Si gadis berubah airmuka bila orang tuanya menjelaskan segalanya. Airmatanya berguguran. 

"Awak sudah tahu siapa kami, saya rasa tidak mungkin awak akan menerima hakikat ini" ujar si gadis bersama airmatanya.

"Awak, saya tetap sayangkan awak, sebab awak adalah makhluk pertama yang saya cintai" ujarku menekadkan diri. 

Tapi kalau dia menjelma jadi ular, boleh pengsan aku nanti. 

"Awak tahu, orang biasa nampak kami sebagai ular, tapi mata awak melihat kami sebagai manusia" ujar si gadis. 

"Ya nak, memang yang terpilih sahaja yang berkebolehan seperti kamu" ujar si ayah menambah lagi. 

Aku terus teringat orang kampung ku melihat aku dibelit ular. Memang benarlah apa yang dilihatnya.

"Awak benar-benar masih sayang pada saya?" tanya si gadis yang masih menitiskan air matanya. 

"Awak, jika takdirnya saya sudah memperisterikan awak, awak tetap saya cintai" balasku meyakinkan sang gadis. 

Dia mengesat airmatanya, dan kembali tersenyum manis. 

"Awak membuat saya terharu" ujarnya lembut dan wajahnya kembali ceria. 

"Nampaknya, kamu berdua sudah saling benar-benar mencintai masing-masing" ujar si ayah. 

"Kami tidak dapat menghalang keinginan kamu berdua, cuma anak perlu mengikut budaya hidup kami" ujar si ibu pula. 

"Baik pakcik, makcik" balasku pula. 

Si gadis tampak sangat gembira. Dia tersenyum malu. 

"Jika anak benar-benar ingin memperisterikan anak pakcik, pakcik akan mula memaklumkan syaratnya" ujar si ayah.


Isteriku Siluman Ular
12. Syarat

Jelas aku memang menantikan syarat yang ditetapkan mereka. Aku berharap syarat itu tidak menyuruhku mengorbankan sesiapa. Aku juga berharap mereka tidak minta benda yang bukan-bukan. 

Ayahnya mulai menceritakan syaratnya padaku. Di antara syaratnya, pernikahan akan hanya diaturkan di tempat mereka. Aku hanya boleh menjenguk orang tuaku pada masa tertentu sahaja. Aku juga perlu menetap bersama mereka. Mengamalkan budaya dan cara hidup mereka. 

Fuhh, lega bila mendengar syaratnya. Ingatkan mesti pertumpahan darah bagai. Walaupun aku sudah tahu siapa mereka sebenarnya, namun aku tidak sedikit pun berasa kekok. Mungkin kerana layanan yang cukup baik daripada mereka. 

"Satu lagi nak ingatkan pada anak, kamu berdua sememangnya tidak boleh melahirkan zuriat" ujar bakal ayah mertuaku. 

Perkara ini memang sedikit menggangguku. Siapa yang tidak pernah inginkan anak? Tapi aku sedar bahawa pasanganku bukan manusia biasa. Aku akhirnya mengangguk tanda paham. 

"Mungkin anak akan rasa kekok dengan cara hidup kami awalnya, tapi cara hidup kami tidak jauh beza dengan kehidupan manusia" ujar ayahnya lagi. 

"Saya faham pakcik, tiada telivisyen, tiada radio tiada bekalan elektrik kan?" ucapku spontan. 

"Kami lebih suka hidup dengan cara yang lebih semula jadi, bercucuk tanam, memburu di hutan" tambah si ayah lagi. 

"kalau begitu, on pakcik, saya nohal punya" balasku teruja dengan cara hidup primitif yang lebih mencabar. 

"Apa benda 'on' tu nak?" tanya si ayah. 

Oh ya saya terbawa dengan bahasa kampung pulak. 

" 'on' tu sama dengan setujula pakcik" jelasku. 

"ooo begitu, oh ya boleh saya tahu siapa nama anak ni" balasnya sambil bertanya siapa aku. 

"Saya Lana pakcik" balasku bersahaja. 

Eh, aduh, kenapalah aku tak tanya siapa nama si gadis. Betul-betul bongok la. Takkan nak tanya bapak dia. Malula, kantoi berkenalan tak sampai seminggu pun.

"Jemput makan nak, mungkin rasanya tidak sama, tapi inilah cara kami" si ibunya menjemput untuk makan hidangan yang disediakan. 

Aku mengapai ubi keledek rebus tersebut. Ala, rasanya sama jer dengan yang ibu ku pernah masak.

"Anak kalau sudi jadi tetamu dan bermalam di sini malam ni" tawar si ayah dan menghadiahkan senyuman. 

Ibu dan ayahnya sama cantik dan tampan. Mereka ni awet muda kerana cara hidupnya mungkin, lebih bersifat semulajadi.


Isteriku Siluman Ular
13. Primitif 

Memang seakan-akan takdirku, aku bakal menempuhi hidup sebagai warga yang primitif tapi menyihatkan. Amalan kehidupan semulajadi. Jauh dari segala permodenan. Sudah pasti ia suatu kehidupan yang mencabar nanti. 

"Ayah, boleh saya bawa dia keluar berjalan melihat sekitar?" pinta sang gadis manis pada orang tuanya yang sangat nampak muda. 

Sehinggakan aku menyangka ayahnya tadi adalah abangnya. 

"Bawalah nak, biar dia menyesuaikan diri dengan tempat kita" balas ayahnya. 

Aku pun mengikut langkah kaki si gadis. 

"Eh, jap" ujarku.

"Kenapa awak?" tanya si dia.

"Awak tahu siapa nama saya?" tanyaku.

Dia memandangku dengan penuh senyuman. Tapi tidak membalas pertanyaanku. Pelik juga dia ni. Dia tak ingin tahu nama aku ke?

"Baiklah awak, saya Nia, dan awak siapa?" tanya dia memberi aku senyuman memukaunya. 

"Errrr, saya Lana bakal suami Nia" balasku sambil mengusiknya. 

"Dah tahu dah, eh jom kita jalan-jalan" ujarnya sambil memimpinku lagi. 

Dah tahu dah, apa menda dia tahu dah. Takkan dia tau namaku? Atau dia maksudkan dia tahu dah yang aku bakal suaminya. Iyela kan, kan akan nikah malam karang. Dahla malas nak pikir.

kami berdua berjalan di sekitar kampung itu, tiada seorang pun di kampung itu kelihatan tua. Semuanya muda-muda belaka. Cuma kanak-kanak jer nampak macam kanak-kanak la. Apabila berselisih, mereka mengangguk dan tersenyum. Budaya yang sangat disenangi. Penampilan mereka menggunakan pakaian tenunan, dan menggunakan kain batik yang juga tenunan. 

Si gadis membawa aku ke kawasan air terjun berbatu. Sangat indah tempatnya. Ada bungaan sana sini. Tempat itu sememangnya membuat aku kagum dari tadi. Hasil kerja seninya, tanamannya, ukirannya, pakaiannya, semua kelihatan menarik dan kemas.
Kami duduk di atas batu yang besar. 

"Awak, awak tak menyesal ka memilih saya sebagai teman hidup?" tanya si gadis. 

"Setakat ini, tiada penyesalan lagi, makin teruja nak menikahi awak ada la" balasku. 

Dia tersenyum lagi. Rambutnya hitam pekat, alis mata nya jelas dan menarik, macam lihat perempuan korea yang sudah membuat pembedahan. Sangat cantik. Sesiapa pun nampak pasti tergoda dengannya. 

"Awak pula, kenapa boleh jatuh hati dengan saya juga?" tanya ku ingin tahu. 

"Sebabnya pandangan mata awak terhadap saya" balasnya. 

"Pandangan yang macam mana?" tanyaku lagi. 

"Tak tahu lah nak jelas macam mana, tapi lepas lihat awak saya terus jatuh hati dan sukakan awak" jelasnya lagi. 

Kami pun tidak tahu macam mana kami boleh sangkut dengan masing-masing. Bak kata orang, cinta itu memang buta. 

"Lagipun hanya awak jer lihat saya sebagai manusia, orang lain akan lihat sebagai ular" ujarnya. 

Kemudiannya si gadis merapatkan mukanya kepadaku. Membuatkan aku tidak bergerak. Dia menatap mataku dekat-dekat. 

"Kenapa ni?" tanyaku. 

"Diam jap, nak tengok mata awak, macamana awak boleh nampak saya sebagai manusia" ujarnya. 

Macam-macam perangai gadis ni.


Isteriku Siluman Ular
14. Bersih

Jantungku berdegup kencang. Mukanya sangat rapat. Sampai aku terpaksa menahan kedua tanganku ke belakang. Nakal juga si gadis ni. Matanya tidak berkerdip. Aku tidak nampak ciri-ciri ular padanya. Pada mataku dia jelas-sejelasnya manusia biasa. Tapi ingin juga aku tahu, macamana pula kalau dia tiba-tiba menjelma menjadi seekor ular raksaksa atau nabau seperti yang diceritakan orang kampungku. Adakah aku dapat menerima dia sebagai pasangan hidupku?

Tiba-tiba tangannya tergelincir. Dia terus berpaut padaku, sehinggakan aku terbaring dan dia tepat-tepat berada di atas badanku. Terasa jantungku laju. Dia terus menyandarkan kepalanya di dadaku. Uwau, macam insiden dalam cerita korea yang aku pernah tengok. 

"Lajunya detak jantung awak" ujarnya kemudian cepat-cepat dia bangun dari badanku. 

"Eh awak, adakah awak akan menjelma jadi ular depan saya?" tanyaku memesongkan situasi tadi. 

"Kalau ikutkan, awak hanya nampak saya sebagai manusia seumur hidup" balasnya. 

"Macam mana dengan yang lain di kampung itu, adakah mereka akan menjelma juga?" tanyaku lagi. 

"Kenapa awak tanya, awak takut ya?" dia pula yang bertanya. 

Dia membuat muka comel pula. Mengada-ngada juga si gadis ni. Tapi dia buat aku terhibur. 

"Tak tahu lagi la, sebab tak pernah nampak awak menjelma jadi ular lagi" jelasku. 

"kalau awak nak tahu, awak sedang berada dalam alam lain tau" ujarnya. 

Menimbulkan tanda tanya padaku. 

"Alam macam mana?" tanya ku ingin tahu. 

"Di alam kami, tidak serupa dengan alam manusia, kami hidup dengan cara semacam sama tapi tidak ada pencemaran semacam di alam awak" jelasnya lagi. 

"Awak tak nampak sampah dibuang kat sini kan?" jelasnya dia bangga dengan alamnya. 

"Ye lah, sebab itulah aku hari-hari turun ke sungai, sebab aku suka benda semula jadi" balasku. 

"Mana ada, awak masih tangkap ikan pakai alatan pelik-pelik awak tu" balasnya mengenakan cara ku menangkap ikan. 

Baginya belum cukup primitif. Naya aku kalau nak pakai kaedah betul-betul semulajadi macam ni. 

"Jom kita balik, saya perlu tolong ibu masak" ujarnya. 

"Apa yang awak masak, benda pelik-pelik juga ka?" tanyaku sambil kami turun dari batu tadi itu. 

"Awak, awak jangan risau la, masakan kita sama jer dengan budaya awak, cuma kami tak guna logam, kami masak guna tembikar tanah liat" jelasnya lagi. 

Sambil itu kami berjalan kembali ke rumah kayunya tadi.

Aku bagai terlupa duniaku sendiri. Aku tak risau sebab ibu dan bapak ku tahu aku selalu juga bermalam di tepi sungai. Lagi-lagi ibuku memang tahu akan akan bermalam kat hutan. Kerana awal pagi tadi dia ada melihat aku bawa pakaian lebih, aku pasti akan bermalam. Cumanya dia menggeleng-gelengkan kepalanya melihat sikapku yang sangat degil dan sentiasa ke sungai.


Isteriku Siluman Ular
15. Umur

Nak bagi tahu macam mana. Teruja tu memangla. Lagi-lagi aku telah masuk ke dunia lain. Dunia Bunian. Sesuatu yang baru dan menarik bagiku. Bagai suatu siri pengembaraan baru. Tambah lagi akan memperisterikan gadis bunian yang cantik. Eh, belum lagi la.
Sementara si gadis membantu ibunya memasak, aku melepak dengan bakal bapak mertuaku yang tampan itu. Ye la, dia nampak muda walaupun adalah bapak kepada seorang gadis. Apakah mereka kahwin di usia muda tanyaku dalam hati. 

"Pakcik, kalau saya bertanya boleh?" tanyaku memulakan bicara. 

"Anak boleh tanya apa saja yang anak ingin tahu tentang dunia kami" balasnya mesra.

 "Pakcik nampak sangat muda, begitu juga dengan makcik, apa rahsia di sebalik awet muda tu pakcik?" tanya ku ingin tahu. 

Dia tergelak mendengar soalanku. 

"Kalau di sini tiada rahsia nak, pakcik telah pun berumur 219 tahun, Makcik kamu pula 178 tahun, anak gadis pakcik pula 26 tahun" jelasnya tentang umur mereka. 

Suatu angka yang amat mengejutkan. Apakah yang membuatkan mereka boleh panjang hayat begitu?

Aku pula berumur 27 tahun. Memang jodoh kami kot, sebaya. Dia terus menceritakan tentang hal itu. Di dunia mereka, ada yang telah hidup sampai seribu tahun lebih. Tetapi setiap pasangan hanya boleh ada seorang anak. Kalau tak penuh lah dunia mereka, tambahan umur mereka kan panjang-panjang. 

Terkadang mereka melanggar pantang larang keluar dari dunia mereka, itu yang akan menyebakan mereka berakhirnya dengan kematian. Kerana dibunuh oleh pemburu. Mereka apabila di dunia manusia memang akan menjema menjadi ular dan saiznya bergantung kepada usia mereka. Semakin muda semakin besar, dan semakin tua pula mereka akan jadi lebih kecil. 

Dia menyuarakan sebenarnya dia sangat risau, apabila anak gadisnya bermain keluar dari dunia mereka. Nasib baik juga aku nampak dia sebagai manusia. Kalau tak mungkin juga dia akan terkorban. Dia mengatakan aku ada keistimewaan, kerana mampu nampak anak gadis dia sebagai manusia. Aku pun tidak tahu, macamana ia boleh berlaku. 

Katanya, mereka tidak dapat membunuh orang sepertiku. Kerana bisa ular tidak dapat melumpuhkan aku. Patutlah, beberapa kali kena patuk dengan ular berbisa aku masih boleh bertahan. Malah hanya demam sahaja. Aku dikatakan ada sakti ku tersendiri yang aku sendiri tidak tahu lagi tentang itu. Macam dongeng saja apa yang si ayahnya maklumkan padaku.


Isteriku Siluman Ular
16. Perabot

Si ayah mengajak ku ke dapur kerana makan tengahari itu sudah disediakan. Kaki melangkah ke dapur. Memang sama seperti dunia nyata. Sekali lagi aku, seperti rusa masuk kampung. Ruang dapur itu dipenuhi dengan buluh perhiasan yang tersusun seperti rak. 

"Jemput makan nak, jangan malu" si ibunya mempelawa aku makan. 

Si dia hanya tersenyum menjelingku. Di dapur itu, sama seperti dunia manusia. Cuma semuanya diperbuat daripada kayu jati. Kerusinya mejanya penuh ukiran. Semacam saya masuk ke ruang kedai perabot yang menjual produk kayu kayan. 

Aku nampak nasi juga adalah makan utama. kalau begini senang sikitla aku hidup di sini. Manusia macam aku, sudah biasa dengan nasi. Lauknya enak, daging rusa salai, sayurannya sama la. Selesai makan, ayahnya mengambil hiasan buluh tadi dan menuangnya dicawanku. Rupanya hiasan buluh itu tempat simpanan air. 

"Ini minuman herba akar kayu Sulur Bertam nak, ia baik untuk kesihatan anak" ujar si ayah.

"Apa khasiatnya pakcik?" tanyaku tanpa segan bertanya. 

"Ia menambah imunasi dan tenaga dalaman anak" jelasnya. 

Aku hanya mengangguk. 

"Kalau anak ingin tahu, semua yang ada di dalam buluh itu terdiri daripada air akar kayu" jelasnya sambil menunjukkan satu persatu kepadaku. 

Aku tidak heran juga, kerana mereka telah hidup ratusan tahun, sudah pasti banyak pengalaman hidup yang mereka telah belajar. Pastinya ilmu mereka sudah tinggi. Dia terus menjelaskan kepada ku tentang akar kayu. Mana mungkin aku ingat, banyak sangat. 

Kami berdua kembali di ruang tamu, kami terus bersembang. 

"kalau anak tidak keberatan, malam ini kita melangsungkan majlis pernikahan" katanya. 

Aku setuju, aku tidak sabar memperisterikan gadis yang kucintai itu. 

"Apa yang saya kena buat untuk majlis ini pakcik?" tanyaku. 

"Tiada apa-apa nak, kami bersyukur kami dapat menantu istimewa seperti anak" jelasnya seperti bangga denganku. 

Sedangkan aku memikirkan diri hanya seorang insan biasa. Wahal aku ni bukanlah sesiapa, sekolah pun setakat tingkatan 3. 

Selesai di dapur, si gadis datang ke ruang tamu. 

"Ayah, saya minta izin bawa dia keluar berjalan-jalan sekitar kampung" si gadis minta izin mengajak ku keluar lagi. 

"Pergilah, tapi jangan keluar ke sungai" tegas ayahnya. 

"Baik yah, saya nak bawa dia ke bukit sana" menjelaskan destinasi kami berdua. 

Aku hanya jadi pak turut sahaja, mengikut langkah kaki sang gadis. Si gadis memimpin tanganku. 

Wajah ceria si gadis membuatkan aku leka seperti dibuai mimpi indah. Rambut lurusnya cantik mengerbang ditiup angin. Pandangan mata redupnya tidak mengerdipkan mataku. Pipinya kemerahan, tidak bersolek cantiknya semulajadi. Sungguh dia cantik. Aku terpikat bukan hanya kecantikannya, lembutnya dia berbicara menutur kata turut melemaskan aku. Ya aku telah jatuh cinta pandang pertama dengannya.


Isteriku Siluman Ular
17. Bukit

kami menuju ke puncak bukit. Di puncaknya ada sebuah pondok tidak berdinding diperbuat daripada kayu juga malah atapnya jua. Dia mengajak aku duduk di pondok itu. 

"Kita lepak di sini, udaranya nyaman selain menikmati pemandangan" ujarnya. 

Dari puncak bukit itu, sekitarnya memang jelas sangat indah.

"Malam nanti kita akan rasmi jadi suami isteri" ujar sang gadis. 

Kelihatan dibibirnya mengukir senyuman lagi. Aku berharap semua ini bukan mimpi indah. Ku tampar pipi ku berkali-kali. Jelas terasa sakit, kerana ia adalah nyata. Dia mengapai tangan ku, dan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengerut dahi tanda tidak mahu aku berbuat begitu. Aku pandang wajahnya. Sah-sah aku mabuk bercinta dengan gadis bunian siluaman ular ini. Apakah aku dipukau?

"Awak, awak betul sukakan saya ke awak pukau saya?" tanyaku tidak ragu-ragu. 

"Saya sukakan awak setulus ikhlas, dan saya tidak pernah menyukai mana-mana laki pun" balasnya dan memalingkan mukanya tanda merajuk. Adeh. 

"Kat sini kan banyak lelaki sebangsa awak, malah mereka jauh lebih tampan dari aku" ujarku merendahkan diri. 

Dia masih lagi memalingkan mukanya.

"Entahla, saya pun tidak mengerti, kali pertama mengenali awak, jantungku berdegup kencang, dan lahir suatu perasaan yang sememangnya tidak pernah aku alami" jelasnya.

Memang sama seperti aku juga, yang tidak pernah jatuh hati pada mana-mana gadis sebelum ini. Dengannya jelas perasaannya sangat berbeza. Teruja, terasa ingin bersamanya sentiasa. 

"Awak, tahu kita adalah dari dunia berbeza, malah awak tahu juga kita tidak akan memiliki cahaya mata nanti, kenapa awak sanggup jadi pasangan hidupku?" tanyaku. 

"Awak tanya sendiri kenapa awak juga tidak teragak-agak mengambilku sebagai pasanganmu?" tanya dia lembut. 

Aku memegang bahunya, ku putarkan badannya ke arahku, memaksa dirinya memandang aku. Kami bertentangan mata, pipinya kemerahan. Jantung keduanya berdegup deras.

"Awak tahu kenapa? sebabnya saya sudah terpikat dengan awak, saya sudah menyayangi awak, dan saya sudah jatuh cinta dengan awak" jelasku sambil merenung tepat ke matanya. 

"Itu juga yang saya rasa, saya juga telah jatuh cinta dan mungkin melebihi perasaan awak terhadap saya" balasnya. 

Ucapannya membuatkan bulu roma ku menegak, bukan kerana takut, tapi terharu dengan luahan ikhlasnya. Tampak jelas benar kami saling mempunyai perasaan yang sama.

Aku terus memeluk tubuhnya. Dia dengan perlahan membalas pelukanku. Kami berpelukan buat seketika. Menikmati keindahan sebuah perasaan yang sememangnya sukar dijelaskan dengan kata-kata. Dia diam, aku pun sama, masing-masing mahu pelukan itu terus terasa. Degupan jantung beritma sama.


Isteriku Siluman Ular
18. Kebun Bunga

Aku cuba melepaskan pelukan tadi. Tapi tangannya masih erat seperti belum bersedia melepaskannya. 

"Jangan lepaskan, saya selesa awak" bisiknya di telingaku. 

Aku membiarkannya, kerana aku juga selesa dengan pelukan hangatnya. Pelukan itu terus berlangsung lagi. 

"Awak, apa yang awak nampak pada saya yang hanya nelayan biasa?" bisikku di telinganya. 

"Entahlah, tapi apa yang pasti, perasaan merindui tu sentiasa membelenggu biarpun saya sedang bersama awak" balasnya. 

Entahlah, aku pun tidak tahu, apa makna semua ini? Unik, sama dan terasa suatu kebahagiaan. 

Aku cuba melepaskan pelukannya lagi. Kali ini dia membenarkannya. Matanya redup memandangku. 

"Eh, awak mari kita ke kebun ayahku, kita ambik buahan-buahan" cadangnya. 

Aku hanya menuruti sahaja. Kami sama-sama bangun dan berdiri dari pondok tadi. Dia memimpin tanganku lagi.

Beberapa ketika berjalan, kami sudahpun sampai di destinasinya. Wow, ini kebun ke taman bunga? Aku nampak kebun yang sangat tersusun, disekelilingnya ditanam pokok bunga pelbagai. Hebat gila tempat ini. Semua pokok buah di bawahnya pun di susun batu mengelilingi pokok dan rumput jenis bunga. Belum pernah aku nampak kebun secantik ini. Pohonnya semua rimbun. Buahnya senang digapai. Jalan denainya pun diletakkan batu bata yang rata. Berapa lama proses menghasilkan kebun sebegitu bisik hatiku. 

"Kenapa awak diam dan hanya memandang tempat ini saja?" tanya sang gadis mengejutkan lamunan kekagumanku. 

"Ini kebun ke taman?" tanya ku yang masih memandang pemandangan di kebun itu. 

"Kebun sebegini membuatkan kami lebih bersemangat dan tidak bosan berada di sini" ujarnya sambil buat perangai membelek-belek ke muka ku. 

Aku tahu dia menyakatku kerana kagum dengan kebun tersebut. 

"Adakah kebun orang kampung di sini juga dihias begini?" tanyaku. 

"Kalau nak tengok boleh juga, mereka punya jauh lebih hebat" jelasnya bangga. 

"Takpe la kita tengok lain kali" balasku. 

"Kalau awak nak tahu, semua kebun di sini dihiasi dengan pokok bunga, dan pokok bonsai yang semulajadi" tambahnya lagi. 

Dia berlari anak menuju ke sebatang pokok buah dan memetik beberapa buah jambu. Dia kembali padaku dan memberikan beberapa biji padaku. 

"Jangan risau, awak boleh makan terus, kami di sini tidak menggunakan racun serangga" ujarnya. 

"Habis tu daun pokok semua ni nampak elok jer kamu semua guna apa?" tanyaku. 

"Awak nampak tak yang melompat-lompat tu?" tanya si dia. 

Aku pun memandang ke arah apa yang dikatakannya.


Isteriku Siluman Ular
19. Katak 

Barulah perasan melihat katak-katak besar sedang melompat-lompat di sekitar kami berdua. 

"Bukan katak adalah makan utama ular ka?" tanyaku sedikit celupar. 

"Di sini, katak-katak hidup bahagia, kami tidak dibenarkan makan katak, jika dimakan ia akan menjadi suatu sumpahan, dan akan dihalau dari dunia ini" jelas si gadis. 

"Maknanya aku pun tak boleh makan la?" tanya ku bersahaja. 

"Katak sangat pantang dimakan, di sini ia adalah penjaga kebun, sebab itulah tiada serangga yang makan daun pokok" jelas si gadis lagi. 

"Lagi satu, sesiapa yang makan katak di sini, dia selamanya akan menjelma menjadi ular sahaja" tambahnya lagi. 

Nasib baik dia bagitau aku, dahla katak itu nampak gebu-gebu belaka. Cuma aku tidak maklumkan padanya yang aku pernah makan katak.

Tidak berasa masa berlalu. Kami berdua perlu kembali semula ke rumah. Dia seperti biasa memimpin tanganku. 

"Mari kita pulang, ada benda mungkin kita perlu lakukan untuk majlis malam nanti" ujarnya. Kami berdua pun berjalan pulang. 

Sampai di perkarangan rumahnya, aku lihat begitu ramai yang sedang membuat persiapan majlis untuk malam nanti. Semua yang berada di situ bergotong-royong. Kanak-kanak berlari ke sana-kemari kegembiraan. Suasana yang sangat seronok. Yang perempuannya meletakkan suatu berbentuk bulatan dihias dengan bunga-bungaan. Yang lelaki pula diconteng mukanya dengan kapur putih, ala-ala red indian gitu. 

Aku tidak tahu suasana malam nanti macam mana, elektrik tiada. Entah-entah bergelap jer majlis bisik hatiku. Suasana gotong-royong itu sudah cukup meriah, ada yang sudah bermain dengan alat music. Tapi ala-ala tradisional, gendang kulit haiwan, serunai atau seruling dari kayu, ada juga alatan seperti angklung. Muzik yang dimainkan sangat merdu bagaikan menghiasi keindahan di tempat itu. 

"Anak pergilah mandi dulu, bersiap mandi dan salin pakaian yang sudah disediakan, majlis akan bermula selepas senja" ujar si ayah yang melihat kehadiran kami berdua. 

"Awak mandi dulu, dan pakai pakaian yang ayah sudah sediakan ya" ujar si gadis manis yang kucintai. 

Aku mengangguk tanda faham. Kami berdua, naik ke rumah bersama. Dia menghulurkan kepadaku, kain seperti towel. 

"Awak pergilah mandi, kain ni guna untuk lap tubuh" ujarnya lagi sambil memberikan aku senyuman manisnya.

Aku pun pergi mandi ke bilik air. Alamak! Mana sabun? Aku bedal saja benda yang ada di dalam bilik air itu, asalkan keluar buih, ya la tu kot. Air yang disusurkan ke bilik air itu adalah air bukit. Sejuk bukan kepalang. Hantam jela janji mandi bersih.


Isteriku Siluman Ular
20. Segar

Fuhhh, lega lepas mandi. Badan rasa segar kembali. Aku keluar, dari bilik air hanya bertowel. Si dia melirik ke arah ku, mengenyitkan mata nakalnya. Aku senyum dan membalas balik kenyitan matanya. Kau ingat kau saja nakal. Aku pun pandai juga. 

"Awak, pakaian semua ada dalam bilik sana" ujarnya padaku kemudiannya dia masuk ke bilik air. 

Aku pun bergegas ke bilik. Aku guna pakaian tenunan yang disediakan di situ. Selesai aku duduk di katil dalam tu. Segan pula nak keluar dengan pakaian tu. Tidak lama kemudian si dia pun masuk ke bilik yang sama dan hanya berkemban. Aku melirik ke arah lain, kononnya menghormatinya sebagai wanita. 

"Hei, awak guna set yang saya punya la" ujarnya. 

"Hah? Apa?" secara auto pertanyaan pendek itu keluar dari bibirku. 

Dia gelak sakan kat aku. Adeh, patutla pelik semacam. Aduyai. 

"Awak nak saya tolong pakaikan ke?" tanya dia padaku. 

"Takpe ke?" tanyaku ringkas. 

"Ala, kita kan bakal suami isteri" balasnya. 

Tapi pipinya kemerahan. Aku rasa dia memberanikan diri juga tu. 

"Takpa saya pakai seluarnya dulu, awak pandang ke dinding" ujarku. 

Kekok juga, aku sebelum ini mana pernah dalam situasi begitu. Dia mengikut apa yang kuarahkan sementara aku menyalin pakaian. 

"Orang, nak tolong degil, masih tak betul juga cara guna tu awak oi" ujarnya setelah aku selesai berpakaian. 

"Eleh, awak nak tolong konon, pipi tu merah pehal?" usikku. 

Dia diam seketika. Mungkin geram dengan usikkanku. 

"Ha, awak keluarlah pakai macam tu, nanti riuh satu kampung ni gelakkan awak baru padan muka" ujarnya. 

"Betul awak nak tolong saya pakaikan?" tanyaku mencabar dia semula. 

Dia memandang wajahku. Dia buat muka berkerut pula. 

"Baiklah saya tolong awak, tapi..." ujarnya tapi tidak melengkapkan ayatnya. 

"Tapi apa, kita kan bakal suami isteri juga" balasku semakin berani. 

"Baiklah, saya buat, tapi awak jangan bercakap ya" ujarnya semula. 

Dia pun, membantuku menyalin pakaian tersebut. Aku diam, mataku hanya memandangnya sahaja. 

"Awak memang cantikla" usikku separa berbisik. 

"Kan dah kata diam-diam tadi" dia menunjukkan muka seriusnya. 

"Mana ada saya bercakap, saya berbisik sajala" bisikku mengenakan dia. 

"eee awak ni" balasnya dan jelas mukanya kemerahan kerana nampak dada sasaku. 

"Ha, dah selesai pun" ujarnya memandangku ke atas ke bawah. 

"Boleh tahan tampan juga awak ye" bisiknya di telingaku. 

Pasti membalas usikan ku tadi. "Dah boleh bercakap ke?" usikku lagi. 

"Dah, pergi keluar pula, saya pula nak salin pakaian, jangan nak intai-intai ye" ujarnya. 

Aku pun melangkah keluar, dan buat-buat curi pandang. Dia memandangku dengan menyuakan penumbuknya sambil membuat dahi berkerutnya. Aku bagi dia kenyitan mata nakal dan aku terus keluar.

Wah, cepatnya mereka siapkan tempat majlis, tempat persandingan pun sudah disediakan. Aku jadi kekok pula tak tahu nak buat apa masa tu. Mujur ada si ayah menemani aku di situ. Kelihatan yang sudah ada di situ semua memandang ke arahku. Jadi segan la pulak.


Isteriku Siluman Ular
21. Lampu

Hidungku tercium bau wangian semerbak. Ternyata si dia sudah siap mengenakan pakaian pengantinya. Wow, aku terpaku memandang dia lengkap berpakaian tenunan yang aku terpakai tadi. Sangat cantik, dan cantiknya adalah semula jadi, tiada bantuan alat solek. Perh, tergamam aku.

Suasana senja sudah mula semakin menjinggakan warna langit. Menandakan tidak lama lagi majlis akan dimulakan. Aku belum nampak lampu lagi. Ingin juga aku bertanya tentang lampu. Tapi takut mereka terasa, mungkin budaya mereka buat majlis dalam kegelapan kot?

Hari semakin gelap. Ku lihat si ayah membacakan sesuatu. Aku memang tak paham apa yang dituturkannya. Tidak lama kemudian, aku melihat cahaya kunang-kunang, sekumpulan demi sekumpulan datang menerangi tempat yang hampir gelap tadi. Kalau kat dunia manusia kunang-kunangnya hanya sebesar kepala mancis. Tapi kat sini kunang-kunangnya sebesar penumbuk tangan malah cahayanya pelbagai warna. Aku terpinga-pinga dengan betapa terangnya tempat itu dengan cahaya yang dipancarkan kunang-kunang siap warna-warni. Ingatkan kami hanya menggunakan sinaran bulan tadi. 

Muzik dimulakan. Aku dan si dia dijemput duduk di pelamin. Mataku sekali sekala memandang ke arah si dia yang manis. Dia pula senyum ceria dan tersipu-sipu. 

"Awak, jangan lupa senyum" ujarnya padaku. 

Aku yang masih segan-segan pula rasanya. Jadi pula seorang pengantin dengan budaya majlis yang tidak pernah aku nampak namun aku lalui sendiri. Tapi suasananya memang mengujakan. 

Bakal ayah mertua ku mengangkat kedua tangan. Semua tetamu yang ada di situ diam seketika. Dia mula mengucapkan sesuatu. 

"Malam ini adalah majlis pernikahan anakku dengan jejaka pilihannya, mohon semua merestui perkahwinan mereka berdua" ucap si ayah. 

Semua hadirin duduk melutut menyatukan kedua tangan dan menundukkan badan mereka. 

"Apa yang mereka buat?" bisikku pada si dia. 

"Itu tandanya mereka memberi restu" ujar si dia. 

Selepas itu, si ayah berucap lagi. Lebih kurang seperti di dunia nyata. Menanyakan adakah aku bersedia menerimanya sebagai seorang isteri dan bersumpah setia. Perkara yang sama juga ditanyakan pada si dia. Setelah selesai ucapan, majlis diteruskan dengan makan-makan dan minuman tapai buah. Muzik di mulakan semula. Maka bermulanya juga tari-menari. Suasananya sangat meriah ditambah cahaya kunang-kunang yang berkelip-kelip.

Majlis diteruskan sehingga tengah malam. Barulah keletihan mulai terasa. Selesai majlis para tetamu berangkat pulang. Si ayah dan ibu mertuaku jelas juga keletihan. Aku dan isteriku masuk semula ke dalam rumah. Maka sah sudah aku dan si gadis menjadi suami isteri. Tapi kami masih lagi kekok dengan masing-masing.


Isteriku Siluman Ular
22. Balik

Suasana diterangi kunang-kunang sememangnya sangat indah. Tambahan pelbagai warnanya. Macam lampu kedai di tepi jalan. Dalam rumah itu juga diterangi sama.
Aku berehat seketika di ruang tamu. Ayah mertuaku juga ada di situ. 

"Sekarang Nia, anak saya adalah milik anak sudah, ayah menyerahkan tanggungjawab kepada anak menjaganya" ujar ayah mertuaku memulakan bicara. 

"Saya berjanji saya akan menjaga dia sepenuh jiwa raga dan seadanya pak" balasku. 

Isteriku dan ibunya menyertai kami berdua di ruang tamu itu bersama minuman dan beberapa hidangan. 

Aku teringat ibu dan bapak ku di kampung halaman. Aku tiba-tiba merindui mereka. Dalam majlis tadi aku sememangnya merasakan sesuatu yang tidak lengkap kerana tiada kehadiran mereka. Lagipun itu adalah majlis perkahwinanku. Tapi apakan daya, aku tahu ada perbatasan yang terpaksa kami lalui. 

"Ayah tahu, anak pasti rasa serba salah, majlis tadi tanpa kehadiran orang tua" ujar ayah mertuaku seakan-akan dia membaca mindaku. 

Orang tua sepertinya sudah tentu banyak pengalamannya. 

"Jika anak ingin balik ke dunia asal esok, ayah benarkan, tapi isterimu tidak boleh bersama, sebab mereka hanya nampak dia sebagai ular di dunia sana" jelas ayah mertuaku lagi. 

Aku mengangguk faham. 

"Ayah akan bagi hadiah buat orang tuamu, awal pagi esok isterimu akan menemani sehingga ke sungai" tambah si ayah. 

"Saya risau mereka mencari saya nanti pak" ujarku meluahkan kerisauan. 

"Sudah takdir kamu berdua, segala kesukaran dan batasan kena terima juga, ayah dan ibu merestui hubungan kamu berdua seadaanya" jelas orang tuanya menerima hubungan kami seadannya. 

"Ini buat ibu kamu nak" ibu mertuaku menyerahkan kain tenun kepadaku untuk dihadiahkan kepada ibuku. 

"Terima kasih mak" balasku berserta senyuman. 

Apapun, aku perlu merahsiakan segalanya juga termasuk juga perkahwinanku. Ibu dan ayah mertuaku sangat baik terhadapku. Aku dilayan sebaiknya seperti anak mereka sendiri. Terkadang tu aku agak kekok memanggil mereka mak atau pak, sebabnya mereka dilihat seperti sebaya aku, wahal umur sudah cecah ratusan tahun. 

Selesai minum, kedua mertuaku minta diri untuk tidur. Aku memandang isteriku dengan senyuman nakal. Tiba masanya aku menjadi suami sebenar-benarnya. Dia mengemas cawan tadi dan bergerak ke dapur. Aku mengekorinya. Aku menemaninya sehingga dia selesai mencuci cawan-cawan tadi.


Isteriku Siluman Ular
23. Suami Isteri 

Aku dan isteriku masuk ke bilik kami. Suasana senyap sepi malam itu hanya bertemankan bunyi cengkerik dan bunyi katak menyanyi sana sini. Sangat tenang.

Isteriku sekarang berdepan denganku. Kami berdiri menghadap masing-masing. Kami saling bertatapan, tangan ku merangkul pinggannya. Dia membalas dengan rangkulan dileherku. Pipinya kemerahan lagi. Kedua-duanya membisu. kami saling berpandangan tidak berkerdip. Masing-masing menikmati saat indah itu. Terserlah keayuannya. Meremang bulu badanku terasa bukan kerana seram.

"Awak, saya sayang awak sangat-sangat" ujarnya padaku. 

"Awak sangat cantik, sayalah lelaki paling beruntung memperisterikan awak" ujarku dan menghadiahkan senyuman buatnya. 

Dia pula tersenyum malu-malu. Degupan jantung keduanya terasa laju. 

"Eh, macamana padam lampu auto kunang-kunang tu" tanyaku. 

Dia tergelak mendengar pertanyaanku. 

"Buat cegini" dia menepuk tangannya. 

Wow, kunang-kunang tu terbang keluar dari bilik itu.

"Habis tu, nak terangkan bilik ini balik macamana pula?" tanyaku. 

"Esok-esok saya ajarkan ya" balasnya. 

Agak gelap juga suasana bilik ketika itu, tapi masih samar-samarla. Aku dan dia mulakan malam pertama kami. Dah, dah, cukup setakat ini. Ini bukan cerita lucah. mengada juga korang ni sampai ke kelambu pun nak ikut juga. 

Bunyi kicauan burung membangunkan aku di pagi itu. Isteriku sudahpun di dapur bersama ibunya menyediakan sarapan pagi. Aku masuk ke bilik air mendermakan wasiat dari pencernaan perut ku ke bumi. Nak mandi tapi terasa airnya sangat sejuk, air bukit tau la sejuknya macamana. 

Aku keluar dari bilik air menyertai mereka berdua. Isteriku menyerahkan air minuman padaku bersama senyuman manisnya. Aku terus memandangnya. Mukanya menjadi kemerahan, mungkin teringatkan kenakalan bersama malam tadi. 

"Eh, mana ayah?" tanyaku melihat si ayah tiada di situ. 

"Dia pergi ke kebun sekejap katanya" balas ibu mertuaku.

Aku terus menatap kecantikan isteriku. Pipinya masih lagi kemerahan. Dia tersenyum mencuri pandang-pandang padaku. Reaksinya jelas malu-malu. Entahla, apakah yang sedang berlangsung dimindanya itu. Ingin juga ku bertanya. Tetapi segan pula, ibu mertuaku ada di situ.


Isteriku Siluman Ular
24. Bertolak

Aku akan bertolak balik ke kampungku hari ini. Nampak gayanya tiada hasil ikan ataupun udang yang ku akan bawa balik nanti. Balik begitu sahajalah nampaknya. Apakah alasan yang aku perlu jawab di sana nanti?

Ayah mertuaku sudah sampai dari kebun. Dia bawa banyak buah-buahan bersamanya. Dia mengatakan itu semua untuk ku bawa balik. Aduh, kata nak merahsiakan ini semua. Macamana ni? Apa yang ku nak jawab aku dapat dari mana semua ini? Takkan aku jawab aku shopping kat hutan? Runsing juga memikirkannya.

"Anak jangan risau, ayah sudah selesaikan, ayah dan ibumu sudah ku maklumkan dari mimpi mereka" ujar ayah mertuaku. 

Aku terpinga-pinga. Ilmu apa yang mereka ni boleh buat sampai tahap ini? 

"Rasanya mereka sudah mengerti, di mana kamu berada" tambahnya lagi. 

"Bukan saya masih perlu rahsiakan semuanya ke pak?" tanyaku. 

"Untuk orang lain ya, jangan diceritakan kepada sesiapa kewujudan dunia kami, tapi buat ayah dan ibumu, ayah rasa serba salah kalau tidak maklumkan kepada mereka" jelasnya. 

Aku tidak pasti sama ada kedua-dua orang tuaku dapat menerima hakikat ini. Bingung aku sekarang. 

"Jangan risau, dalam mimpi itu, mereka menerima tentang semua ini" ujarnya lagi. 

"Adakah mereka percaya tentang mimpi ni pak?" tanyaku. 

"Itu terpulang kepada mereka nak, apa yang pasti ucapan mereka dalam mimpi sangat ikhlas, lagipun mereka berdua telah mengalami mimpi yang sama" tambahnya lagi. 

"kalau macam tu, saya pun berharap benda yang sama" balasku. 

Namun, hati ku masih-ragu-ragu adakah orang tuaku akan menerima kebenarannya. 

"Anak hanya boleh bercerita kepada mereka berdua sahaja" tambah ayah mertuaku. 

Aku mengangguk faham. Aku mengemas sedikit baranganku dan segala yang dihadiahkan untuk orang tuaku. Aku bersedia pulang. Aku faham isteriku tidak akan ikut sama. Dia akan nampak berbeza di dunia ku. Isteriku menemani ku sampai ke tempat pokok besar. Kali ini dia tidak memintaku memejamkan mataku. Dia mahu aku nampak jelas jalan kembali ke situ.

"Awak, kekunci untuk balik semula ke dunia awak, awak perlu jalan pusing di pokok ini sebanyak tujuh kali ke arah sebelah kiri, nanti bila awak nak kembali ke sini awak pusing tujuh kali ke kanan pula" pesan isteriku. 

Aku mengangguk faham. 

"Awak, jangan lama sangat tau, saya pasti merindui awak nanti" ujarnya terus memeluk tubuhku. 

"Baik, jangan risau, saya pasti akan kembali bersama isteri tercintaku" balasku. 

Ku lihat airmata perempuannya mengalir. 

"Eh, awak ni sekejap saja saya pergi tau, jangan sedih-sedih" ujarku. 

Dia masih tidak mahu melepaskan pelukannya. Sayang sangat dia padaku. Aku dalam apda itu bangga berbaur sedih. Siapa tak sayang bini yang cantik, dahla lemah lembut. 


Isteriku Siluman Ular
25. Pintu 

Isteriku terus erat memeluk tubuhku. Air matanya masih mengalir, aku cuba lapkan dengan ibu jariku. Jelas dia risau, mungkin takut aku tidak kembali. Aku tidak tahu, bagaimana istimewanya aku baginya. Tapi bagiku, dia adalah makhluk teristimewa yang pernah ku jumpa. Sehingga aku tidak teragak-agak menikahinya. Aku tidak memperdulikan sama ada keputusan menikahinya adalah tepat atau tidak. Bagiku jalinan antara kami adalah sempurna. 

Aku cuba melepaskan pelukannya, seperti sebelumnya, dia tidak membenarkan lagi. Aku biarkan dia memelukku sepuasnya. 

"Saya pergi tidak lama, saya akan segera pulang ke sini" ujarku. 

"Awak janji tau" balasnya. 

Aku mengusap rambutnya yang sangat lembut dan halus hitam. Dia hanya diam dan terus memelukku lebih erat. 

"Janganlah buat saya rasa berat pergi" ujarku lagi dan cuba melonggarkan pelukannya, tapi malah diketatkannya lagi.

"Awak, saya tak boleh bernafas" aku buat-buat diriku sesak nafas. 

Barulah dia melonggarkan pelukannya. Aku mengambil kesempatan dengan melepaskan pelukan tadi. 

"Awak jahat" ujarnya. 

Aku hanya tersenyum melihat muka monyoknya. Dia tampak merajuk. 

"Saya pergi dulu ye awak" ucapku mula menjarak dengan beberapa langkah darinya. 

Dia masih berdiri memerhatikanku tanpa berkerdip. 

Tiba-tiba dia meluru ke arahku dan memelukku, dia lagakan bibirku dengan bibirnya. Aku tergamam. Aku biarkan saat itu berlaku. Kemudian dia melepaskan pelukannya. 

"Baiklah, awak boleh balik dah, jangan lama-lama tau" ujarnya padaku. 

Kemudian dia mengukirkan senyuman dibibirnya. Aku membalas senyumannya. 

Aku melangkah mengelilingi pokok itu tujuh kali ke kiri seperti yang dimaklumkannya. Selesai yang ke tujuh, aku tidak nampak lagi jalan ke kampungnya. ternyata aku telah kembali ke dunia nyata. Aku berjalan menuju ke sungai, dan kulihat sampan ku tidak terusik langsung. Ku punggah barang semuanya ke dalam sampan. Aku pun mula berkayuh balik.

 Wajah ibu dan ayah ku terbayang di mindaku. Wajahnya pula sentiasa melekat di minda.
Sampai di tepian, kuikat tali sampan, dan ku punggah keluar semuanya dari sampan. Aku naik ke daratan dan berjalan pulang. Dalam mindaku, apakah orang tua ku boleh menerima kenyataan tentang pernikahanku? Semua itu bermain di kepalaku.

Tidak berasa kakiku melangkah dan aku sudahpun sampai di belakang rumahku. Sebelum masuk aku mengambil nafas panjang. Perlahan pintu rumah ku buka. 

"Mak, abah, saya dah balik" ucapku seraya kaki ku melangkah masuk ke dalam rumah.


Isteriku Siluman Ular
26. Mimpi

Aku lihat ayahku sedang duduk tepi tiang membaikpulih jalanya yang terikat dari puncak tiang. Ibuku pula tengah mengayam tikar. 

"Banyak udang kau dapat? semalaman tidak balik" tanya ibuku. 

Aku tidak menjawab pertanyaannya, aku ingin melihat reaksi mereka dulu. 

"Seronok mengail ke malam tadi sambil makan kenduri?" tanya ayahku separa memerli pula. 

Aku syak mereka sudah bercerita pasal mimpi sesama mereka pasal mimpi tu. 

Tiba-tiba ku lihat airmata ibuku mengalir membasahi pipinya. Ayahku pula diam. Aku bergegas menutup semua pintu dan tingkap agar jiran tidak melihat drama yang akan berlaku.

"Nak, ibu dan abah dapat mimpi yang sama malam tadi" ayah ku mula bersuara. 

"Kami bermimpi seorang pemuda dan isterinya berjumpa kami bahawa kamu sudah bernikah dengan anaknya" jelas ibuku pula. 

Aku perlu bersedia menghadapi dan menjelaskan semuanya pada mereka. Aduh, tapi bagaimana harusku jelaskan?

Aku perlu menunggu mereka berdua benar-benar bersedia. 

"Dalam mimpi itu, mereka mengatakan mereka akan menjaga kamu dengan baik" ujar ibu ku lagi. 

"Memang pelik, mimpi abah dengan ibu memang sama" tambah ayahku lagi. 

"Adakah mak dan abah menyukai mereka?" tanyaku ingin tahu penerimaan ataupun penolakan. 

"Mereka nampak sangat baik, tapi mereka pasti bukan orang dari dunia kita" balas ayahku.

"Dalam mimpi itu isterinya menghadiahkan ibu dengan kain tenun dan sebatang seruling pusaka kepada abah kamu" ujar ibuku.

Aku membuka segala bungkusanku yang ku bawa. Aku tunjukkan pada ibuku kain tenun yang dihadiahkan ibu mertuaku dan menyerahkan sebongkah kotak kayu pada ayahku. Ibuku memegang kain tenun tersebut dan dibukanya. 

"Abahnya, sama seperti di dalam mimpi kita" ujar ibuku. 

"Ini pun seruling kayu berlian sama seperti dalam mimpi kita" balas ayahku. 

Jelas riak wajah mereka terkejut dengan hadiah yang sama seperti di dalam mimpi mereka berdua. Tapi apakah mereka menerima hakikat perkahwinanku dengan orang Bunian? 

"Pagi tadi abah dan ibu berbincang, tertanya-tanya tentang mimpi itu" ujar ibuku. 

"Apa sebenarnya berlaku malam tadi nak? Dari mana kamu dapat semua ini?" pertanyaan ayahku serius kali ini. 

"Adakah kamu mencuri hak orang nak?" tanya ibuku. 

Aku belum dapat menyusun kata-kataku lagi untuk menjelaskan kepada mereka berdua. 

"Ibu, abah, jangan terkejut jika saya menceritakannya" ujarku sudah mula bersedia menjelaskan segalanya. 

"Kejap, mak bancuh kopi dulu, jangan cakap apa-apa lagi" ujar ibuku. 

Jelas dia ingin mendengar apa yang berlaku semalam. Macam teruja nak mendengar kisah dongeng pula perangai orang tua ni.


Isteriku Siluman Ular
27. Percaya

Selesai ibuku membancuh kopi, dia memanggil aku dengan ayahku ke dapur. Abah dan aku sama-sama ke dapur. Ibuku menuangkan kopi ke dalam cangkir ku dan ayah. Ibu ku menunjukkan muka seriusnya. Ini agak merisaukan aku. Begitu juga si ayahku. 

Aku menarik nafas panjang sebelum memulakan ceritanya. Aku meniup kopi dalam cangkir itu, dan ku hirum perlahan. 

"Semuanya berlaku dengan amat pantas" ujarku. 

"Ceritakan terus apa yang sebenarnya berlaku" pintas ibuku. 

"Kau ni, sabarla, jangan menekan budak tu sangat" balas ayahku sememangnya jenis orang yang tenang. 

"Ibu dan abah percaya tak alam bunian tu wujud?" tanyaku. 

"Dengar cerita pernahlah, arwah tok kamu dulu pun pernah masuk ke alam bunian" jelas ibuku. 

Rasanya sudah pasti dia percaya. 

"Kisah tok kau dulu dia dijemput ke rumah orang bunian, dan dia dihadiahkan penawar segala racun ular itu jer, sebab tu atok kau dulu tidak takut dengan ular, dan kau kebal dengan patukan ular selepas kau minum ubat tu juga" jelas ayahku membuka rahsia kenapa aku tidak lut dengan bisa ular. 

"Tapi kisah Lana ini mungkin berbeza dari kisah atok" ujarku. 

Aku pun menceritakan kepada ibu dan ayahku cerita dari mula hingga awal. Kedua-duanya mengangguk faham dengan kisah yang aku ceritakan. 

"Adakah ibu dan abah merestui perkahwinan Lana dengan gadis bunian tu?" tanyaku. 

Mereka berdua saling berpandangan. Dan membisu buat seketika. Ini membuatkan ku gusar.

"Dunia mereka berbeza dengan kita nak..." ujar ibu dan belum sempat menghabiskan ayatnya. 

"Ah, kamu ni tidak usah berleter la, kalau dia dah buat keputusan, itu tandanya anak kita sudah memilih gadis bunian itu, kau berleter panjang lebar pun, dia sudah pasti tetap dengan pendiriannya" balas ayahku. 

Memang tampak ayahku memahami isi hatiku. 

"Ye la, mereka tu makhluk lain, kita ni manusia, kalau mereka apa-apakan anak kita macam mana?" ibuku mula dah. 

"Maknya, kalau mereka nak makan anak kita ni, sudah lama dia arwah tau" balas ayah ku kali ini agak kejam membuatku hampir tergelak.

"Ibu tetap risau juga, aku yang melahirkannya, bukan engkau" ujar ibuku meluahkan isihatinya. 

"Itu aku tau la, gadis bunian tu sudah bernikah dengan anak awak ni, gadis itu kan juga macam manusia di dunia mereka di sana, nak takut apa?" tambah ayahku lagi. 

"Baiklah nak, kamu benar suka dengan gadis bunian tu? Dia cantik tak?" tanya ibuku menyedapkan hatinya sendiri.

"Dia sangat cantik mak, lemah lembut, dia juga sangat sayangkan saya, saya pun sama sepertimana dia juga" jelasku. 

"Tiada perempuan di kampung ni secantik dia ka?" tanya ibuku lagi seperti dia kegeraman. 

"Kau ni, berapa ramai perempuan nak kat anak awak ni dah, dah dia pilih yang tu, pasti itulah pilihan hatinya" tambah ayahku menyokongku. 

"Ibu nak tengok dengan kepala dan mata sendiri, mak nak ikut kau pergi sana, baru mak puas hati" balas ibu ku lagi. 

Alamak, ibuku buat keras kepala juga. Patutkah aku bawa orang tua ku ke sana? Adui, masalah ini.


Isteriku Siluman Ular
28. Marah 

Aku kenal juga dengan ibuku. Keras kepalanya lagi kuat dari ayahku. Aku teringat kata-kata ayah mertuaku, jangan rahsiakan dari ibu dan ayahku. Mungkin mereka dapat menerima kehadiran ibu dan ayahku kot. Kalau tidak macamana? Risau ibu dan ayahku hanya nampak mereka jelmaan ular saja nanti. Harap apa yang mereka lihat adalah sepertiku.

"Ibu nak jumpa sendiri gadis bunian tu, ibu nak lihat dengan kepala dan mata ibu sendiri" ujar ibuku yang jelas geram dan tidak berkompromi. 

"Kau ni kan, degil sangat, kan mereka tu sudah menikah" jelas ayahku. 

"Kalau dengan manusia biasa, aku tak kesah bang, tapi dengan bunian, kita tidak tahu dan kenal sapa mereka?" tambah ibu lagi. 

"Kalau anak kau nak kahwin dengan sepuluh manusia sekaligus pun aku tak kesah" ujar ibu ku jelas dia tengah mengamuk. 

Berat kes ni. Aku diam tidak berani nak buat apa-apa? Nak tanya isteriku boleh ke tidak orang tua ku ke sana, pun aku tiada idea, bukan ada alat tekomunikasi boleh hubungi dengan telefon. Parah ni. Ayahku pula diam dah, aku tahu dia malas nak layan bila dia tahu ibuku sedang mengamuk. 

"Nah, kau cuba makan buah ni dulu, kot-kot hati awak tu sejuk" ujar ayahku menyakat ibuku. 

Ibu mengambil buah itu dicampaknya ke lantai. Marah benar ibu kali ini. Ayahku mengenyitkan mata padaku dan memberi isyarat supaya diam. Aku diam. 

"Bang, aku nak kemas pakaian" ujar ibuku tiba-tiba. 

"Kau nak ke mana, nak lari ke?" ayah menyakat menyakat ibu. 

"Aku tengah serius bebenar ni bang, jangan main-main!" tegas ibu. 

"Dah nak kemas pakaian tu nak pergi mana?" tanya ayah. 

"Kita pergi ke alam mereka, aku nak jumpa mereka sendiri, nak tengok sendiri gadis tu dan orang tuanya sekali" ujar ibuku. 

"Kau tahu ke macam mana nak ke sana?" tanya ayah lagi seperti memerli ibuku. 

Aku hanya tergelak kecil ku sembunyikan dari ibu. 

"Anak kita la bang, dia pasti tahu" ujar ibu. 

"Baiklah mak, kita akan ke sana esok" balasku patuh pada ibu. 

"Bukan esok, hari ini juga" tegas ibu. 

"Kalau ya pun bawa la bertenang dulu" ujar ayah. 

"Hati mak masih tak tenang, tak gembira, mak perlu jumpa mereka sendiri, kalau betul mereka baik, kenapa mereka tak datang jumpa kita sendiri" ucap ibuku masih sangsi.

Ibuku segera mengemas pakaian untuk kami bertiga ke sana. Aku malas nak layan karenah ibu. Aku pergi mandi dan pergi berehat. Ayahku menyambung semula membaiki jalanya.


Isteriku Siluman Ular
29. Tersepit

Aku berehat dan tertidur sehingga ke petang. Letih sangat agaknya. Ibuku membangunkan aku. Ibu memujukku supaya pergi ke sana sekarang. Aku membohongi ibuku, untuk pergi ke sana hanya sesuai waktu malam. Akhirnya ibuku setuju untuk pergi ke sana pada waktu malam. 

"Kau ini cubalah, bawa bersabar" kata ayah. 

"Dia satu-satunya anak kita bang, macamana aku nak terima mereka? Dunia mereka jauh berbeza dan mereka jelas bukan manusia" balas ibu. 

Aku jadi tersepit. Aku sayangkan ibu dan ayahku. Dalam masa yang sama aku menyintai isteri bunianku. Dari tindak tanduk ibuku jelas dia seperti tidak merestui hubungan itu. Tapi penikahan aku sudah dilangsungkan. Aduh macam mana ni? Apa yang harus ku buat?

"Kalau kita berjaya ke sana, saya harap kau tidak terbawa-bawa dengan perasaan kau tu, jangan mendatangkan amarah mereka, sebab kita tidak tahu macamana mereka" nasihat ayah kepada ibu. 

"Itu saya tahu, kita perlu cari bomoh untuk ubatkan anak kita ini" ujar ibu lagi. 

"Kau ni, cubalah bertenang" tegas ayah. 

"Mak, abah, Lana sangat sayangkan ibu dan ayah, dalam masa yang sama Lana sudah jauh terlanjur menjadi suaminya malah Lana sangat menyintainya mak" jelasku menyatakan perasaan serba salahku. 

"Ibu mana tidak sayangkan anak, mak pun tahu macam mana perasaan kau nak, ibu pun pernah bercinta juga" ujar ibu memujukku. 

"Kau bercinta dengan siapa?" tanya ayah. 

Yang pasti soalan itu bukan untukku. 

"Dengan siapalah? Tentulah dengan engkau" balas ibu menjeling geram kerana dia tahu ayah menyakatnya. 

"Jadi kau dapat kawal diri kau tak masa mak bapak kau tak bagi dulu?" tanya ayah lagi. 

"Tak perlu kaitkan dengan kisah itu, masa tu muda lagi" balas ibu.

Aku tahu apa yang ayahku maksudkan. Tapi aku tidaklah sampai memikir menggugut untuk membunuh diri seperti pengalaman ibuku.

"Ini adalah karma yang kita kena lalui" ujar ayah lagi. 

"Sekarang kau menyalahkan binilah? Siapa yang ingin menyerang bapak ku dengan parang dulu kerana tidak benarkan hubungan kita?" tanya ibu membalas ucapan ayahku. 

"Sebab itu ia adalah karma kita" tegas ayah. 

Aku jadi tidak selesa tersepit dengan perbahasan mereka berdua. 

"Udahlah tu mak, ayah, tidak usahlah berbalah" tegahku.

"Maknya, di sana tolong jaga adab kita sebagai manusia, kita tidak tahu pantang larang di dunia mereka" ujar ayah. 

"Tahu la kita bapanya, kalau mereka baik macamana pun, mereka tetap bukan manusia!" ibu membalas. 

Inilah yang dikatakan diluah mati emak, di telan mati bapak. Aku sangat tersepit. 

Aku tahu sebenarnya kedua orang tuaku tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut, biarpun ayah kelihatan seperti menyebelahiku. Dia hanya tidak mahu ibuku menekan aku. Tapi harus bagaimana? Dia sudah menjadikan isteriku. Apa yang aku harus putuskan? Aku sangat menyayanginya biarpun aku tahu dia bukan manusia.


Isteriku Siluman Ular
30. Perjalanan

Hari sudahpun senja. Ibuku sudah tidak sabar. Ayahku pun sudah bersedia. Dipinggangnya, diselitkan parang yang panjang bersama sarungnya dan dikepalanya diikat kain merah. Ayah menggunakan set lengkap seperti seorang pahlawan. Situasi itu sangat merisaukan aku. Aku tidak mahu pertumpahan darah atau sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Kenapa abah guna semua ni?" tanyaku. 

"Kalau-kalau lain jadinya nak, jangan risau abah tahu apa yang abah buat" balas ayahku.

Ibuku pula siap dengan pakaian tradisionalnya. Serius, aku jadi takut biarpun aku sudah dewasa dan berumur 27 tahun.

"Mari kita bertolak sekarang" ajak ayah. 

Aku dalam keterpaksaan menuruti kehendak orang tuaku. Dalam kepalaku, sedang mencari helah melengah-lengahkan mereka. Tapi aku benar-benar buntu. Dalam situasi tersebut aku tidak mempunyai sebarang idea. Aku turut melangkah keluar dari rumah itu. Penglihatan waktu senja itu masih jelas. 

Aku diarahkan ibu berjalan di depan. Itu sahaja peluang aku memperlahankan waktu. 

"Jalan cepat sikit" kerah ibu. 

Aku seperti tidak bermaya melangkah, bukan kerana tiada tenaga, tetapi disebabkan kerisauan. Kerana di dadaku cukup penuh debaran. 

"Ingat maknya, jangan buat hal di sana nanti" tegas ayah. 

"Jangan risau, tau mak jaga adab" balas ibu.

Aku tidak tahu apa yang bermain dalam minda ayah dan ibuku. Apa yang pasti mereka tidak bersetuju. Aku akhirnya berserah, dengan apa saja yang bakal terjadi. Dilema. 

Tiba-tiba aku seperti bersemangat lain macam. Mungkin kerana dalam hatiku sudah menyerah kepada sebarang kemungkinan walaupun jiwaku masih dipenuhi kerisauan.
Dalam asyik meniti jalan denai itu, kami bertiga mendengar ada suara sedang bercakap menuju ke arah bertentangan dengan kami. Mungkin orang kampung balik dari menangkap ikan. Kerana jalan tersebut menuju ke sungai. Kami bertiga sama senyap. Semakin lama suara itu semakin jelas kedengaran. Cuma kami tidak pasti apa yang disembangkan.


Isteriku Siluman Ular
31. Kerinduan

Bunyi suara semakin dekat. Dan nampak jelas siapa mereka. Aku mematikan langkahku. Jelas mereka adalah isteriku, ibu dan ayah mertuaku dari dunia bunian. Aku sangat risau ibu dan ayahku melihat mereka sebagai ular. Aku tidak dapat berbuat apa-apa?

"Kenapa berhenti nak?" tanya ibu. 

Aku diam tidak berani bersuara. 

"Siapa mereka?" tanya ibuku lagi dan jelas dia sudah tahu ada orang di depanku. 

Aku tidak pasti ibuku nampak mereka sebagai apa? Ibuku pulak menolak badanku sedikit ke tepi untuk melihat siapa di depan ku. Mereka bertiga juga turut berhenti, berjarak lebih kurang 10 depa. 

"Jangan risau nak, mereka akan nampak kami seperti anak nampak kami" ujar ayah mertuaku seperti tahu kerisauanku. 

Barulah aku menarik nafas lega walaupun masih ragu-ragu. Isteriku pulak terus berlari ke arahku dan terus memeluk aku. Situasi itu membuatkan kedua-dua orang tuaku terpinga-pinga. 

"Kenapa datang ke sini?" bisikku ditelinga isteriku. 

"Nanti kita cerita, bagi saya melepaskan kerinduan pada awak" bisik isteriku. 

"Salam sejahtera besan" ucap ayah mertuaku berjalan merapati kami semua. 

Ibu dan ayahku masih diam terkedu. Sementara ibu mertuaku menunjukkan diri dan berdiri tegak semula memberikan senyuman. 

"Selamat datang ke dunia kami" ayahku bersuara. 

"Kami sebenarnya datang ada hajat" ujar ayah mertua. 

"Kalau macam tu, kita patah balik ke rumah dulu kita bersembang di sana" pelawa ayah. 

"Kau jangan buat pasal, tak elok biarkan tetamu macam tu je" bisik ayah kepada ibu. 

Ibu hanya mengangguk. Dan kami semua berpatah balik ke rumah orang tua ku.

Isteri dan aku memilih jadi orang paling di belakang. Mereka berempat mendahului kami berdua. Sengaja, kerana ingin melepaskan kerinduan pada masing-masing. Isteriku kelihatan sangat ceria. 

"Saya rindu sangat pada awak tau?" ujarnya melepaskan pelukan. 

Dan di sini aku pula memimpin tangannya. 

"Saya pun rindu awak juga" balasku memberikan senyuman padanya.

Hatiku kembali berdebar. Segala kemungkinan terbayang di kepala ku memikirkan apakah yang akan berlaku di rumah nanti. Apakah respon ibu dan ayah terhadap mereka? Aku kembali kerisauan.


Isteriku Siluman Ular
32. Tetamu

Kami sudahpun, sampai di rumah. Ayahku mempelawa dan mengalukan tetamunya. Ibuku pula masih mendiamkan diri. Bagaimanapun, dia memerhatikan isteriku ke atas ke bawah setelah kami berdua melangkah masuk. 

"Patutlah anak ayah terpikat, menantu ayah tu memang cantik" bisik ayah ke telingaku. 

Aku hanya tersenyum kecil mendengar ucapan ayah. Suatu yang agak baik dari respon pertama ayah. Mereka, duduk di ruang tamu. Tetapi ayahku seperti memahami, dia terus menutup semua pintu dan tingkap, tidak mahu orang luar tahu.

"Duduk dulu, saya siapkan kopi" ujar ibuku dan melangkah ke dapur. 

Langkahnya terus diikuti aku dan isteriku. Di dapur ibu memasak air panas untuk dibuat kopi. 

"Mak, maafkan saya" ujar isteriku bersuara. 

Ibu seperti tidak menghiraukannya. Aku memang jelas melihat airmuka isteriku sedikit berubah kemerahan. 

"Mak, boleh saya bantu buatkan kopi?" ujar isteriku terus mencuba mengambil hati ibuku.
 
"Awak tahu ke buat kopi? kalau dia nak buat, mak pergi layan tetamulah " ucap ibuku separa menyindir. 

Ibu terus meninggalkan kami berdua di dapur dan ke ruang tamu.

Aku nampak reaksi isteriku sedikit sedih, tapi dia cuba menyembunyikan. 

"Mak saya memang macam tu, sabar ya awak" ujarku memujuknya menyembunyikan ketidakpuasan hati ibuku. 

Dia memandang ke arahku dan senyum sambil mengangguk. Aku memegang dagunya dan ku donggakkan ke arahku. Ku cium dahi isteriku penuh rasa kasih sayang. Dia merangkulku kemas. Setelah itu, aku membantunya di dapur. Kerana kau risau dia tidak tahu menggunakan dapur gas. 

Aku terdengar ayah dan ayah mertuaku seronok bersembang. Namun, sebaliknya kedua ibu dan ibu mertuaku pula tidak kedengaran. Lantak dioranglah dulu. Apa nak jadi jadilah malam ni fikirku. Aku macamanapun perlu berserah.

Isteriku membawa kopi ke ruang tamu untuk dihidangkan. Dan dia mengambil hidangan dari bungkusan yang mereka bawa untuk dijadikan hidangan. Dia kembali menuang air kopi kepada semua. Kemudiannya dia duduk bersimpul menyandar di tiang rumah duduk di sebelahku. Hurm, tak mahu jauh langsung juga dia dariku.

Sambil itu, aku perhatikan semua wajah di situ. Cuma ibuku saja yang bersikap acuh tak acuh. Aduh, susahlah kalau macam ni. Bagaimana kalau ibuku menghamburkan sesuatu di dalam hatinya seperti siang tadi?


Isteriku Siluman Ular
33. Check Mate! 

Ayah setahu aku dia memang bersikap ramah dan dia lebih profesional dari ibu. Lebih bertoleransi. Aku tahu walaupun ayah tidak setuju, dia tidak akan menunjukkan emosinya. Lelaki, selalunya memang macam tu. Ibu pula, senang beremosi, tapi aku tahu ibu sangat menyayangi kami sekeluarga. Sebab itulah kita tengok seorang ibu memang selalunya kaki bebel dan mudah mengalir air mata. 

"Kami ni datang dengan hajat seperti yang dikatakan tadi" ujar ayah mertua mula membuka topik utama. 

"Kalau nak bawa anak saya jadi orang sana, saya tidak setuju" ibuku menjawab dengan pantas sedangkan dari tadi dia diam. 

Jawapan ibu bagaikan 'Check mate!' bagiku. Memusnahkan segala perasaan dan impianku dengan isteriku. Aduh mak, kejamnya mak. 

"Kau ni, kalau ya pun, dengarlah dulu" ujar ayah cuba menenangkan keadaan. 

Air mata isteriku sudah tidak mampu dia sembunyikan lagi. Terus mengalir membasahi pipinya. Aku pula jadi mati kutu. Terkedu tidak tahu apa yang perlu dilakukan selain merapatkan kepala isteriku ke bahuku.

"Kami sangat paham perasaan besan, kami memang sudah menjangkakan besan tidak akan bersetuju dengan semua ini" jelas ayah mertuaku. 

"Kami sudah menghalang anak kami dari awal lagi setelah dia menceritakan dia bertemu dengan anak kamu" tambah ibu mertua lembut. 

"Kami tahu, hubungan dua dunia yang berbeza ini adalah suatu yang hampir mustahil berlaku" tambah ayah mertua. 

"Bukan menyokong tindakan mereka berdua, tetapi kasih, sayang dan cinta mereka adalah suci" ucap ayah mertua lagi. 

"Kami sebagai ibu dan ayahnya bukan tidak pernah menghalang anak kami, tetapi jalinan antara mereka adalah cinta yang sejati, dan tiada siapa yang mampu menghalang ia berlaku" jelas ayah mertua panjang lebar. 

"Sehinggakan kami menipu mereka berdua, bahawa mereka tidak akan mendapat zuriat" tambah ibu mertua.

"Jadi kami ke sini bukan untuk memutuskan hubungan tetapi mohon restu dari kamu berdua" jelas ayah mertua. 

Aku melihat air mata ibuku mula menitis. Namun dia masih diam. Aku tidak dapat meramal apa yang berada di minda ibuku. Ayah juga diam belum berani bersuara. Aku sedar ia suatu keputusan yang bukan perkara yang senang untuk diputuskan. 

Suasana menjadi bisu semula. Semua senyap. Kedengaran hanya tangisan isteriku yang menyandarkan kepalanya pada bahuku. Mata semuanya terkebil-kebil tanpa suara.


Isteriku Siluman Ular
34. Lapar 

Aku melihat ke dinding, waktu jam 8 malam. Sebab kami ini bukanlah keluarga yang berada. Telivisyen pun tiada. Adapun cuma radio cabuk yang diketuk-ketuk baru keluar bunyi. Tapi perkara asas, elektrik dan bekalan air bersih sudah ada la. Nak Kata kehidupan susah sangat tidak la juga. Tapi di antara keluarga kategori miskin la. 

Aku pula bukannya tidak pandai sekolah, tapi hanya setakat tingkatan 3. Keputusan SRP ku cuma tidak lepas Bahasa Inggeris menjadikan aku tidak menyambung ke tingkatan 4. Nak mengulang SRP dah tiada perasan mahu belajar dah. Selepas itu aku terus leka dengan aktiviti nelayan tak bertauliahku. 

Berbalik semula ke suasana tadi. Perutku meraung lapar. Kami tadi niat ingin ke sana, maka tidaklah ibu memasak. 

"Awak, mari kita ke dapur, memasak apa yang ada" bisikku memujuk yang sebenarnya aku ingin membawa dia keluar dari situasi sedihnya. 

"Baik awak" balasnya. 

"Kami berdua ke dapur dulu memasak" ujarku minta diri dari ruang tamu itu. 

Perlahan kami berdua melangkah ke dapur. 

Sampai di dapur aku menangkap beberapa ikan haruan yang aku simpan hidup dalam tempayan. Dan aku menyiangnya sementara isteriku mengeluarkan bahan dan rempah yang dibawanya dari alam sana. Kami berdua bekerjasama di ruang dapur itu. 

Manakala, ayah dan ayah mertuaku mula berbicara. Percakapan mereka memang jelas didengari dari dapur. Mereka seperti melupakan sementara topik utama tadi. Begitu juga, ibu dan ibunya mula bersembang. Tapi tiada kena mengena dengan hal kami. Mereka bercerita tentang aktiviti di dunia masing-masing.

"Eh, awak macam mana kamu bertiga terus kekal dalam rupa manusia kat dunia kami?" bisikku pada isteriku. 

"Aku tak tahu juga, tapi ayah yang bagi kami minum ramuan dalam botol, katanya kami akan nampak seperti manusia di dunia ini" ujarnya. 

"Berapa lama kesan ramuan tu sehingga jelmaan bertukar semula?" tanyaku lagi. 

"Ikut kata ayah, setelah minum, ia mampu bertahan tiga hari, lepastu akan nampak seperti ular semula" ujarnya. 

Aku membantu isteriku memasak. Dia menyediakan beberapa hidangan. Sementara orang tua kami semakin lama semakin mesra bersembang bertukar-tukar cerita. Tapi jangan ingat mereka akan merestui, minda orang tua ni sukar diramal.


Isteriku Siluman Ular
35. Sedu Sedan

Kami berdua menyediakan hidangan di atas meja dapur. Kebetulan kerusi pun hanya ada empat sahaja. Kami memikirkan mendahulukan orang tua. Kami nanti makan di ruang tamu. Selesai hidangan siap disediakan. Aku menjemput orang tuanya dan orang tuaku makan.
Mereka datang ke dapur dan mengambil posisi masing-masing. Isteriku umpama pelayan di hotel menyenduk nasi untuk mereka semua dia memberikan senyuman pada semua walaupun hatinya sedang terguris.

Kemudian dia dan aku makan di ruang tamu. 

"Harap mak suka masakan saya" ujar isteriku masih tersedu sedan. 

Nampak sedihnya tidak habis lagi. 

"Jangan sedih, saya juga akan ikhtiar seadanya nanti" ujarku memujuknya. 

Dia memberiku senyuman biarpun masih tersedu sedan. 

"Dah, kita makan dulu ya" kataku mahu dia makan bersama. 

Sambil makan, masih kedengaran juga orang tua kami bersembang. Entah apa benda yang dibincangkan. Apa yang pasti hal mereka sahaja. Lantak merekalah, tapi dalam hati mengharapkan semuanya memihak kepada kami berdua. 

Aku menatap wajah ayu isteriku, kelopak matanya masih basah, tetapi sudah berhenti menitis, tinggal sedu sedannya sahaja. Bagi aku masakan isteriku memang sedap, rasanya sedikit lain, kerana rempahnya dari dunia mereka. Mereka tidak menggunakan MSG, yang digunakan adalah garam bukit yang prosesnya dibakar menggunakan buluh. 

Selesai makan, kedua ayah kami kelihatan muncul dulu ke ruang tamu. Ibu-ibu pula mungkin mencuci pinggan mangkuk. Kedengaran ibu bercakap di dapur. 

"Masakan ini sangat sedap, saya tahu bukan anak saya yang masak" ujar ibuku memuji keenakan masakan isteriku. 

Kedengaran gelak tawa mesra ibu-ibu di ruang dapur. Isteriku tersenyum mendengar perbualan itu.

Aku pula leka dengan wajah isteriku. Bagaikan terpukau setiap kali memandang wajahnya. Dah selalu sangat aku puji, nanti korang naik bosan pula. Dah dia memang cantik, aku puji la, dahla wajah original tanpa pembedahan plastik dan apatah lagi solekan. Tapi, hatiku tetap gelisah, risau kesudahan kami berakhir dengan perpisahan. Kalau aku ada perakam video, memang aku rakam wajah itu agar selalu aku nikmati. 

Kedua-dua ibu sudah selesai di dapur dan kembali menyertai ayah-ayah di ruang tamu. Namun, ibuku tidak memandang ke arah isteri ku langsung. Apakah ini petanda, ibuku tetap dengan pendiriannya. Walaupun aku pasrah dengan semuanya. Tapi hatiku sebenarnya masih belum tenang. Aku tidak sanggup dipisahkan dengan isteriku.


Isteriku Siluman Ular
36. Kisah Atuk

Selesai makan kesemuanya kembali kepada posisi masing-masing tadi. Ayahku leka menghembuskan rokok tembakau jawanya. yang lainnya seperti menunggu suatu topik baru yang akan diutarakan. Isteriku sudah kembali ceria. Macam biasa sentiasa manis dipandang. 

Selepas membuang puntung rokok tembakau jawanya, ayah memulakan topik. 

"Atuk dia ni pernah tembus ke alam bunian juga suatu ketika dulu" ujar ayah. 

Jelas topik itu menarik perhatian semua. Aku juga tertarik, kerana ayah jarang sangat bercerita tentang pengembaraan atuk dulu. Ayah meneruskan ceritanya setelah dia melihat semua memberi fokus padanya. Kami semua terus memasang telinga.

Atuk sebelah ayahku dengan sebelah ibuku dulu adalah dua sahabat baik. Mereka selalu pergi berburu bersama. Dijadikan kisah, kisah atuk ku hampir menyerupai nasibku.
Atuk sebelah ayahku terhidu bau wangian semerbak semasa dia berburu seorang di hutan. Kemudiannya dia nampak ada sesuatu bergerak difikirkannya adalah binatang buruannya.

Dia menyumpit, sesuatu yang nampak bergerak di dalam semak itu. Selepas itu dia mendengar yang disumpitnya menangis. Dia segera melihatnya dan dia nampak seorang gadis berkemban sedang menangis kesakitan terkena sumpitannya. Aduh aku tersumpit manusia dengan damak beracun bisiknya dalam hati. Dia harus segera menghantarnya pulang untuk dirawat.

Rasa bersalah dengan kejadian itu, atuk terus bertanya pada gadis tersebut tempat tinggalnya dengan niat menghantarnya kembali ke rumah perempuan tersebut. Oleh kerana, badan gadis itu lemah, atu terpaksa mendukungnya dan mengikut jalan yang dimaklumkan gadis tersebut. Dengan tergesa-gesa atuk terus berlari demi menyelamatkan gadis itu. 

Sampai di kampung gadis itu, semua yang ada di situ terkejut melihat atuk sedang mendukung gadis tersebut. Atuk menjelaskan, dia tersumpit kerana ingatkan dia adalah binatang buruan. Atuk rasa bersalah, dia nak berada di kampung itu sehingga gadis itu sembuh. Kerana ingin minta maaf sendiri padanya. Pada akhirnya atuk saling jatuh hati dengan gadis tadi. Kesungguhan atuk menunjukkan sifat belas kasihannya mengagumkan orang kampung di situ. Makanya atuk di terima masyarakat di situ.

Namun, atuk tidak tahu, tempat tersebut adalah perkampungan bunian. Lama-kelamaan, sang gadis menceritakan perkara sebenar pada atuk mereka adalah siluman ular. Siluman ular apabila cedera akan menjadi jelmaan manusia, kerana dia tidak mampu mengawal tenaga dalamannya. Atuk tidak memperdulikannya atuk terus mencintai gadis itu sehingga mereka berkahwin. Dan hasil perkahwinan mereka adalah ayah.


Isteriku Siluman Ular
37. Leka

Reaksi ibuku sangat terkejut dengan cerita ayah. Dia tidak menyangka bahawa ayah adalah hasil perkahwinan bapa mertuanya dengan gadis bunian. Bukan ibu sahaja yang terkejut, tapi aku dan isteriku. Hanya ayah mertua dan ibu mertua sahaja yang selamba. Apakah mereka tahu tentang perkara itu?

"Tak habis lagi, ada lagi yang belum diceritakan" ujar ayah lagi. 

Kami kembali menyambung memasang telinga. Semua senyap memberikan perhatian. 

Atuk tidak menceritakan hal perkahwinannya dengan bunian pada orang kampung. Segala itu dirahsiakannya. Ayah ketika itu baru dilahirkan. Sehingga suatu ketika atuk bersama nenek atau gadis bunian tadi pergi berburu sama. Sebab nenek tidak dapat berjauhan dari atuk. Nenek akan ikut atuk ke mana saja.

Di sekitar hutan, kebetulan atuk sebelah ibu juga dalam perjalanan berburu. Oleh kerana kawasan sasaran berburu pada hari tersebut adalah kawasan sama selalunya dua sahabat itu berburu. Mereka berdua terserempak di suatu tempat. Kerana leka atuk lupa yang nenek adalah kelihatan seperti ular bagi manusia biasa. Atuk sebelah ibu melihat ada ular nabau di belakang atuk. 

Apalagi, dia mengeluarkan parangnya dan melibas terus ular yang dia nampak sehingga terputus dua. Kemudian dia terus berlari ketakutan. Atuk sebelah ibu tidak sempat melihat nenek kamu menjelma menjadi manusia semula. Atuk kamu sudah salahfaham dengannya.
Atuk menangis kerana kematian nenek dan dia membenci atuk sebelah ibu. Sehinggakan mereka saling membenci kerana dia selalu mencari masalah dengan atuk sebelah ibu berpunca ketidakpuasan hati. Orang kampung memang tidak tahu kisah itu. 

Setelah peristiwa itu, atuk kembali ke kampung hanya mengambil ayah dan berpindah ke kampung kerana menyangka orang kampung bunian akan menyalahkannya. Mulai dari saat itu atuk hidup dalam kedukaan selepas kematian nenek. Dia hanya memberikan kasih sayang pada ayah sepenuhnya. Sehinggalah atuk kamu meninggal dia tidak pernah lagi ke alam bunian.

"Setelah, atuk kamu menceritakan peritiwa itu, ayah berusaha mendamaikan mereka berdua yang bermusuhan sehingga ayah jatuh cinta pada mak kamu" ayah mengakhiri ceritanya.


Isteriku Siluman Ular
38. Penawar Racun 

Rupa-rupanya ayah sudah lama menyimpan sebuah rahsia. Tidak heran juga, aku dapat melihat jelmaan mereka dalam bentuk manusia di dunia ini. Darah yang mengalir dalam badanku adalah semi-bunian. Apapun aku adalah lebih kepada manusia. Apakah ayahku sebenarnya sama sepertiku. Patutlah ayah sentiasa menyebelahi aku soal ini semua. Aku rasa aku sudah memenangi tiga per empat situasi.

"Kenapa kau rahsiakan semuanya dari saya selama ini abahnya?" tanya ibu yang masih semacam tidak mempercayai sebuah kebenaran yang baru diketahuinya. 

"Ini adalah amanat yang telah atuk bagitahu supaya dirahsiakan dari semua" jelas ayah. 

"Pasal tentang atuknya dulu, sebenarnya kami di alam bunian sana mengetahui tentang peristiwa itu, aku sendiri ada di sana ketika atuk mendukung gadis itu iaitu nenek kamu" ujar ayah mertua. 

"Sebenarnya penduduk di sana tahu itu adalah peristiwa yang tidak disengajakan, dan kami semua sudah lama memaafkan atuk" tambah ibu mertua pula. 

"Bagaimana kau lut dari segala racun ular?" ujar ayah pula. Ayah menyambung semula tentang ramuan penawar bisa ular.

Tetapi atuk rasa bersalah, dan tiada makna lagi dia tinggal di sana baginya kerana nenek telah meninggal. Oleh kerana cucu, moyang datang sendiri berjumpa atuk untuk meyakinkan bahawa kalau atuk ingin membawa ayah tinggal di sana. Atuk menolak. 

"Akhirnya moyang kamu memberi ramuan istimewa dari bunian iaitu penawar racun segala ular" jelas ayah tentang penawar racun tersebut.

Barulah aku mengerti mengapa aku cuma demam sahaja selepas dipatuk ular, sedangkan beberapa kali di patuk ular. Kemudian, racun itu keluar semasa aku kencing atau berpeluh. Patut juga, ayah tidak kisah pun aku keluar ke sungai bila-bila masa. Dia sangat yakin aku mampu berdepan dengan hal berkaitan ular. 

"Kalau dunia kita tidak berbeza, saya mengakui menyukai menantu perempuan saya itu sebenarnya" akhirnya ibu bersuara. 

"Awal tadi saya sangat tertekan memikirkan perbezaan dua dunia ini, sebab itulah diri ini amat dingin, sebabnya kami sangat sayang pada anak kami" ujar ibu lagi. 

"Dari awal mendapat mimpi yang sama saya dan abahnya sebenar sudah menyukai layanan kamu semua" tambah ibu lagi. 

"Dia hanya satu-satunya anak yang kami ada, lebih lagi saya ibunya memang tidak mahu kehilangannya" ibu meluahkan perasaan yang terbuku di dalam hatinya.

Jelaslah ibu sebenarnya masih ragu-ragu dengan hubungan dua dunia ini. Dan sekarang dia sudah menyedari bahawa itu semua adalah takdir kami. Bersatu biarpun berbeza dunia. Apakah ibu benar-benar akan merestui hubungan kami?


Isteriku Siluman Ular
39. Restu 

Jam pula tidak berasa sudah menghampiri tengah malam. Isteriku sekali lagi ku temani ke dapur untuk menyediakan minuman teh buat minum malam. Kami meminta izin ke dapur. Orang tua kami hanya mengangguk. Dan mereka terus bersembang lagi.

Sesampai di ruang dapur, aku terus memeluk isteriku dari belakang. Dia hanya membiarkan sahaja. Di sentuhnya lembut lenganku yang merangkul dia dari belakang. 

"Awak rindu saya ya?" tanya dia padaku. 

"Sangat sangat sangat rindu" balasku. Dia ketawa kecil. Dan aku tahu dia bahagia. 

Isteriku menghidangkan teh buat semua. Kami semua kembali bersembang. 

"Jap, ada hadiah saya bawa untuk besan" ujar ayah mertua pastas bangun dan mengambil suatu bungkusan kecil dari beg kulitnya. 

Dia menyerahkan kepada ayahku. Kelihatan sebentuk cincin berwarna biru, permata nilam dihadiahkannya. Ayah kelihatan gembira.

Dalam masa yang sama, ibu mertua juga mengambil suatu bungkusan, sekali lagi ibu dapat hadiah kain tenunan. 

"Terima kasih besan, kami ini tiada apa yang boleh diberikan" ujar ibuku. 

Istilah besan itu tidak pernah dia sebut dari mula lagi. Tetapi dia menggunakannya. Petanda ibuku sudah menerima secara berperingkat. 

Walaupun hidup miskin. Aku kenal orang tua ku bukanlah jenis mata duitan. Kami tetap hidup gembira sebelum ini dengan cara kami. Pemberian mereka itu amat bermakna. Aku sebenarnya bersyukur menjadi anak kepada ayah dan ibuku. 

"Mulai hari ini, kita adalah besan selamanya, tapi apa yang berlaku malam ini perlu dirahsiakan dari mana-mana orang kampung" ujar ayah mertua ku. 

"Maafkan kami juga, sebab majlisnya dilangsungkan tanpa kamu berdua" ujar ibu mertua pula. 

"Tidak mengapa, asalkan kamu telah memberi layanan yang sangat baik buat anak kami" balas ayah. 

"Kami juga minta maaf ke atas segala kekurangan sepanjang besan datang tadi" ucap ibuku.

Selesai minum malam itu, mertuaku minta mohon diri. Cuma mereka meninggalkan isteriku bersamaku. Cuma dua hari sahaja kerana risau dia habis ramuan jelmaan.


Isteriku Siluman Ular
40. Menantuku

Awal pagi, isteriku sudah bangun. Dia menyediakan sarapan. Nasib baik aku sempat mengajarnya menggunakan dapur gas. Semua dapur dikemasnya rapi. Segalanya nampak kemas dan tersusun olehnya. Raung tamu sudah disapu dan semua yang ada di situ sudah disusun kemas.

Aku sengaja ingin melihat layanan ibuku padanya. Aku buat-buat masih tidur. Aku dengar mereka bergelak tawa. Dia melayan ibuku dengan baik. Diurutnya badan ibuku. Ibuku pula tidak habis-habis memuji kecantikannya dan lembutnya dia. Aku merasa lega. Akhirnya ibuku menerima. 

Aku bangun dan duduk sebelah ibuku. Isteriku ke dapur mengambil kopi untuk kami berempat.

"Cantik menantu mak, baik lemah lembut, dan sangat rajin orangnya" bisik ibuku. 

Aku hanya tersenyum. Isteriku kembali dengan hidangan dan kopi. 

"Mak, mak tahu kan, kami berdua tidak boleh terlalu lama di sini" ujarku. 

"Mak faham nak" balasnya mulai melelehkan airmatanya. 

Dipanggilnya isteriku duduk disebelahnya juga. Dia merangkul bahu kami berdua. 

"Jenguk-jenguk juga mak dan abah di sini kalau ada masa ya nak" ujar ibu. 

Isteriku senyap cuma mengangguk. 

"Mak akur cinta kasih kamu berdua suci walaupun berbeza dunia" tambah ibu lagi. 

Ayahku pula seperti biasa, membaiki jalanya. Entah apa lagi rahsia yang disimpan ayah. Tapi ayah sentiasa menyokongku.

Mulai dari hari tersebut, kami menjenguk ibu dan ayah sebulan sekali. Namun kami berdua tetap perlu berhati-hati. Kerana kisah atuk dan nenek telah menjadi pengajaran buat kami berdua. Akhirnya aku menetap di alam bunian. Apapun perasaan sayang kami berdua tidak berubah. Hakikatnya saya tampak semakin tua, isteriku kekal muda. Namun, perasaannya terhadapku tidak pernah berubah. Kerana baginya aku adalah cinta pertamanya dan buat selamanya. 

Aku kadang-kadang menipu. Aku bawakan barangan dari dunia ku bawa ke sana untuk kemudahan di alam bunian. Cuma peralatan seperti telefon, radio memang tidak akan berfungsi di sana. Tak ada siaran langsung. Tapi apapun aku bahagia di sana. Bahagia bersama isteri ku yang cantik yang tidak henti-henti memberi aku senyuman. 

Begitulah kesudahannya, sebuah kisah percintaan yang hebatnya dengan cara tersendiri. Percaya atau tidak terpulang pada anda. Yang penting hidup kena yakin bahawa cinta sejati itu wujud tanpa anda menyedari bahawa diri anda telah berada di dalamnya.

TAMAT 

Terima Kasih kerana sudi membaca.

Kisah ini adalah rekaan semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. 

Sila baca sambungan Siri II Isteriku Siluman Ular II 


Kredit kepada Mezzo David, Mary Lementan Bhoo dan Pat Alyster yang telah memberi inpsirasi sepanjang penulisan Isteriku Siluman Ular. 

Ditulis: Justine Amping

7 comments: