Pekan Lama

Dimensi Dua Dunia

Pekan Lama

Kebosanan

Aku bekerja sebagai buruh kasar di sebuah kawasan yang sedang pesat membangun. Aku terlibat membina blok bangun baru berdekatan dengan sebuah sungai. Di sini juga rumah setinggan sementara aku diami.

Hari ini adalah hari sabtu, maknanya adalah hari berehat. Tidak tahu apa nak buat sepanjang hari tersebut. Siaran tv pun tiada yang mampu menarik perhatianku. Boring giler. Berjalan ke hulu ke hilir di ruang lapang setinggan itu. Penat, aku kembali duduk depan rumah setinggan itu, ku sepit sebatang rokok termenung memikirkan apa yang nak dibuat hari itu.

Walaupun aku bekerja sebagai buruh kasar. Aku tetap bahagia dengan hidupku dengan cara tersendiri. Cuma hidup ini agak kesunyian kerana masih berstatus bujang. Ala bukan aku sorang yang bujang kat setinggan kami ini. Jiran sebelah menyebelah pun masih bujang. Menjadikan kami menjadi kawan di situ. Aku ada dua kawan yang juga jiran setingganku selalu bersembang dan membuat aktiviti masa lapang bersama.

Kadang-kadang waktu lapang macam ni kami bertiga selalu menjala kat kawasan anak sungai yang berdekatan. Kat sungai utama tak berani la, buaya banyak kat sungai besar tu. Selain itu, aktiviti kami juga mencari pucuk paku, rebung, dan pucuk miding di belakang kawasan setinggan kediaman kami.

Aku bukannya tiada saudara mara yang tinggal berdekatan. Mereka selalu menyuruh aku ke rumah mereka waktu lapang begitu. Tapi aku sendiri yang malas dan tidak mahu menganggu mereka. Maklumlah mereka sudah pasti ada aktiviti sendiri bersama anak isteri pada hujung minggu begini. Terkadang aku melawat juga ke rumah mereka. Tapi, lagi memboringkan aku juga la, mana tak nya, duduk menyembang jer walaupun mereka baik menyediakan minuman dan sebagainya.

Nak buat apa pulak petang ni? Nak pergi rumah saudara mara, rasanya malas juga mengganggu mereka. Rancangan TV tak menarik pula.


Mencari Pucuk Miding

Dalam keboringan itu, kawan bilik sebelah mengajak aku mencari pucuk miding petang tersebut. Aku bersetuju tanpa alasan. Boleh juga buat lauk malam karang. Di kawasan belakang setinggan itu sememangnya banyak pucuk miding. Tapi, orang kampung tidak mengalakkan orang mencari miding di kawasan tersebut, sebabnya tempat itu dikatakan keras dan didiami oleh makluk halus.

Walaupun, kawasan itu adalah tanah orang kampung, kalau setakat mencari rezeki menjala ikan di anak sungai berdekatan dan mencari pucuk miding tiada siapa yang marah. Cuma tidak digalakkan kerana kawasannya dikatakan agak keras.

Memang aku dan kawan sejiran aku tahu sedikit sebanyak tentang kisah mistik yang orang pernah ceritakan. Tapi kami tidak endahkan. Lagipun kami hanya mencari miding di kawasan belakang setinggan sahaja dan bukannya jauh masuk ke dalam. Kami pun meneruskan niat petang itu.

Aku menggunakan seluar panjang, baju lengan panjang dan berkasut. Takut juga, bukan takut tentang kisah mistik yang diceritakan, tapi takut binatang berbisa seperti ular. Tak berbaloi mendapat pucuk miding setakat seikat dua kalau nanti berbayar lebih dari nilainya. Malahan, tidak berbaloi dengan nyawa sebenarnya jika dipatuk ular berbisa. Tapi, dah teruja nak cari pucuk miding punya pasal, niat itu diteruskan juga.

kami berdua berpecah mencari pucuk miding. Seronok dengan setiap pucuk yang aku dapat, batangnya kelihatan gebu-gebu. Aku terus mencari dan mencari. Memang rambang mataku melihat banyaknya pucuk miding. Kedengaran suara kawan ku mengatakan cukup, dan mengajak balik, aku buat tidak mengendahkan kerana masih leka.

Aku terus menerus mencari pucuk miding, sehinggakan aku sampai ke suatu kawasan yang ada jalan denai. Jalan denainya lapang, kerana memikirkan hari masih belum lewat, aku berjalan menelusuri jalan denai tersebut kerana ingin melihat apa yang ada disekitarnya.


Pekan Lama

Terlupa nak bagitau, dompet dan telefon bimbit ku bawa bersama. Faham-fahamlah perumahan setinggan, bukan semua orang boleh percaya sangat. Walaupun hanya meninggalkan sekejap kawasan setinggan itu, biarpun nak pergi mandi atau ke bilik air, barang berharga aku tidak pernah tinggalkan. Tidurpun aku selitkan dalam sarung bantal.

Balik ke jalan denai tersebut. Aku terus leka meneruskan langkah kaki ku. Sampai ke suatu tempat, aku melihat sebuah pekan. Peliknya tidak ada kenderaan pun kat situ. Apa yang jelas aku pekan kitu kelihatan seperti sebuah pekan lama.

Aku pun merayau-rayau di sekitar pekan tersebut. Orang yang aku lihat kat situ tidak mengendahpun aku. Sampai di suatu kedai, aku terserempak dengan seseorang yang aku kenal. Ya, dia bekas awek ku semasa di sekolah menengah dulu. Aku dapat mengecamnya kerana paras rupanya yang tidak berubah. Aku menghampirinya, mengharapkan dia mengecam aku.

Seperti yang aku sangka, dia menyapaku. Ingat juga dia padaku. Kami berdua pun bersembang. Panjang juga cerita kami berdua, sampaikan aku tidak perasan suasana sudah senja. Aku meminta nombor telefonnya, namun dia mengatakan dia tiada telefon. Dia mengatakan dia menyewa di kawasan pekan itu. Dia mengajakku ke rumah sewanya. Aku hanya menuruti sahaja.

Dia menyatakan yang dia nak memasak dan memasak untuku sekali. Aku setuju sahaja. Pucuk miding ditanganku ku serahkan padanya sebagai menu tambahan. Orangnya yang memang cantik zaman sekolah dulu. Tapi kini kelihatan lebih cantik. Dia mengapai tangan ku dan dipimpinnya pergi ke rumah sewanya.

Dah orang perempuan mulakan begitu, aku sebagai lelaki menjadi lebih terujalah. Tapi jangan salah sangka, walapun aku bujang, aku tidak berniat untuk melakukan sesuatu yang salah. Aku cuma teruja dengan kemesraannya.

Sampai di rumah sewanya, dia mempelawa aku duduk sementara dirinya bersiap mandi. Aku duduklah di kerusi kayu yang ada di rumah itu. Mataku tidak diam, melihat dan memerhatikan sekeliling.


Makan

Kelihatan dia berkemban dengan kain batik keluar dari bilik air. Aku memalingkan muka ku ke arah lain, sebagai menghormati dia seorang perempuan. Kemudian dia sudah siap dengan baju T-shirtnya. Barulah aku lega.

Dia menyarankan kalau nak mandi. "kalau nak mandi pergilah mandi, selesa bersembang lepas mandi, lebih segar" ujarnya. Aku merasa sedikit miang dengan semak yang aku redah semasa mencari miding tadi tidak teragak-agak meminjam towel mandinya. Aku terus masuk ke bilik mandinya. Aku pun membersihkan diriku.

Aku sebenarnya merasa sedikit pelik dengan pencahayaan di dalam rumah tersebut. Tiada lampu, namun suasananya seperti suasana senja. Biarpun begitu, semuanya jelas kelihatan. Memang pelik, tapi aku abaikan semua itu. Selain itu, semua nya kelihatan seperti biasa. Cuma pencahayaan itu yang sedikit unik bagiku.

Dia pulak sibuk memasak didapur. Aku yang selesai mandi tadi kembali ke ruang tamu. Aku berjalan ke beranda rumah itu, kelihatan suasana di pekan jelas kelihatan dari atas. Rumah sewanya itu adalah rumah sewa blok kedai. Dari atas kelihatan pekannya masih hidup, orang-orang mundar mandir membeli belah walaupun tidak ramai seperti market basah yang aku pernah pergi.

Sambil menyalakan api rokokku, aku terus memerhati suasana pekan tersebut dari atas blok kedai rumah sewanya. Hidungku mencium bau pucuk miding yang dimasak dengan belacan. Wow aromanya, membangkitkan rasa laparku. Aku melihat telefon bimbitku, tiada isyarat telekomukasi terpapar. Aku tidak kesah, aku sedar telefonku tidak canggih untuk mendapat isyarat pencawang.

"Jom makan, sudah siap masakan" ujarnya dari ruang dapur. Aku memadamkan api rokokku dan bergerak ke dapur.


Bersembang

Wajahnya sangat ceria. Dia juga kelihatan cantik walapun tidak bersolek. Sambil makan kami berdua saling berpandangan. Maklumlah suatu ketika dahulu pernah menjadi kekasih.

Dulu, selepas habis SPM terputus hubungan dan tidak pernah tahu perkhabaran masing-masing. Aku agak segan dengan diriku, maklumlah aku bukan seorang yang berjaya dalam pendidikan malah aku hanya bekerja sebagai buruh binaan.

Dia seperti memahami mindaku. "Apa yang sudah tu janganlah disesali, aku pun kerja sebagai kuli juga di sini" ujarnya kerana sepanjang bersembang dengannya tadi aku ada bercerita tentang bidang kerjaku. Aku masih lagi menikmati masakannya. Sedap sehingga aku menambah nasi lagi. Dia tersenyum dengan gelagatku. Aku tidak segan menambah, kerananya hanya kami berdua sahaja di situ.

Selesai makan, dia mengajak aku bersembang di ruang tamu. Jelas juga aku sebenarnya rasa rindu setelah tidak bertemu sekian lama. "Awak sudah berkahwin ka" tanyaku tidak segan-segan. "Kamu ada nampak suamiku? Anakku?" balasnya bertanya padaku. "Tidak, mana mereka?" aku bertanya lagi untuk kepastian. "Dah aku belum kahwin, mana kamu akan nampak semua tu" balasnya. Jawapannya melegakan aku. Kiranya dia pun masih bujang la bisik hatiku.

"Aku tanya bukan apa, nanti kurang manis juga kalau orang nampak aku masuk ke rumah kamu macam ni" ujarku. "Tadi tak tanya pun" balasnya. "Aku segan nak tanya tadi, tapi aku pun tak tahu kenapa aku boleh ikut kamu macam tu je" kataku lagi. "Ke kamu masih terpikat dengan aku kot" balasnya berseloroh. "Mungkin juga kot, mana tidaknya, kamu masih cantik macam dulu lagi, dahla lama kita tak berjumpa" balasku tidak menyembunyikan hati.

"Awak pula, dah kahwin ka?" dia pula bertanya soalan ku tadi. "Siapa yang mahukan aku, sampai sekarang aku masih membujang" balasku. Aku masih segan sebenanya. Tapi aku bersemangat bila berjumpa dengannya di pekan ini. Aku tidak pula tanya tempat apa ini. Aku terhibur juga berbual dengannya, sehingga aku tidak terfikir untuk balik ke rumah setingganku.

"Lepas ni, kita jalan-jalan lagi di pekan nak?" ujarnya mengajak aku keluar jalan-jalan sekitar pekan. Aku tahu, dia sengaja tak mahu aku balik, kerana dia masih mahu berbual bersamaku.


Minum Kopi

Dia ke dapur lagi, membuat kopi katanya. Aku mengiyakan dan aku ke beranda lagi, menyalakan rokokku. Sambil itu, aku memerhatikan suasana pekan yang masih hidup sehingga kini.

"Jom jemput minum'" ujarnya bersama dua cawan kopi di tangannya. Batang rokok kedua yang baru aku nak nyalakan ku simpan semula ke dalam kotaknya. Aku menyertai dia di ruang tamu itu semula.

"Kalau tidak keberatan, bermalamlah di sini" ujarnya. Aku agak terkejut dengan tawarannya. "Bermalam boleh la, tapi tak boleh sentuh-sentuh" ujarnya lagi seperti membaca minda lelaki ku. Aku hanya tersengih, seperti sedar minda lelaki ku kantoi. "Takpa ke bermalam di sini?" tanyaku ragu-ragu dengan tawaranya. "Yela kan dah lewat ni, sebaiknya bermalam, kamu bukannya tahu jalan balik" katanya. Aku menggangguk sebagai tanda setuju.

"Tadi kamu nak ajak aku jalan-jalan tengok suasana pekan kan?" suaraku mengingatkan cadangan awalnya tadi. "Oh ya ka, lepas minum kita merayaulah" balasnya. Aku pun terus menghirup kopi tersebut. Dia tersenyum memerhatikan gelagat aku minum cepat-cepat kopi panas seperti tidak sabar keluar merayau di pekan itu.

Terkadang aku terasa kekok juga bersamanya. Tapi dia nampak bersahaja. Seperti waktu dulu-dulu. Aku juga teruja bersamanya. Yelah, lama tidak bertemunya, malah dulu dia adalah awekku. Dahla kami terputus hubungan bukan kerana bergaduh ke apa.

Dia juga nampak gembira dengan pertemuan yang tak disangka. Sampaikan minda ku berfikir, adakah zaman membujangku akan tamat di sini. Besar juga niat ku. Tapi aku belum ingin menyuarakan hasrat itu padanya. Tidak mahu dia terkejut.


Merayau

Dia memimpin tangan ku keluar ke pekan itu semula. Aku hanya membiarkan gelagatnya. Seperti aku ini adalah kekasihnya pula. Dari Segi cara dia melayani aku, memang jelas dia masih menyukai aku. Kalau begitu, apakah aku patut menyuarakan hasrat hatiku padanya. Belum lagi, lagipun ini baru kali pertama jumpa setelah sekian lama. Aku kena bersabar, jangan gelojoh.

Suasana pekan kelihatan seperti suasana pasar malam. Namun, tiada yang menghiraukan kami berdua, menjadikan kami berdua rasa lebih selesa berpimpinan tangan. Bohonglah kalau aku tidak teruja dengan saat bersamanya. Sebabnya, aku memang pernah merinduinya sebelum ini. Tertanya-tanya apakah yang terjadi pada dirinya sebelum ini. Sekarang sudah terjawab, aku kini bersamanya. Dan dia juga telah menceritakan padaku tadi tentang dirinya tadi.

Semakin lama bersamanya, semakin mesra kami berdua. Seperti kekasih yang sedang berdating berjalan berdua di pekan itu. Biarpun aku masih merasa sedikit pelik dengan pencahayaan di pekan itu, aku terus leka berjalan-jalan bersamanya. Lampu tiada langsung, namun suasana seperti senja itu memang sedikit mengelirukan aku.

Sungguh aku leka, leka dengan suasana pekan, leka bersama orang yang pernah menjadi kekasihku. Aku bersamanya ke sana kemari di sekitar pekan itu. Seakan tiada esok, kerana keasyikan bersamanya. Dia pula sangat ceria, tak habis-habis senyuman keceriaannya dari tadi.

Aku perasan pekan itu, memang agak pelik, kerana kebanyakan barang yang dijual kelihatan seperti lebih banyak kepada barang antik. Seperti tempayan lama, parang lama, pinggan, mangkuk, cawan, semua kelihatan barang lama dan antik. Tapi aku malas bersuara. Dah rupapun pekan itu kelihatan seperti pasar lama, mungkin itu juga sebabnya barangan yang dijual pun kelihatan antik kata hatiku.

Apa yang pasti, aku terus leka gembira bersamanya. Aku juga seperti orang yang hanyut bercinta. Walaupun, kami tidak mengistiharkan masing-masing sebagai kekasih. Seperti episod sambungan baru setelah lama berpisah dulu.


Bermalam

Setelah puas berlegar-legar di pekan tersebut. Dia mengajak ku balik semula ke rumah sewanya. Dia macam tadi juga, sentiasa memimpin tanganku. Kami naik semula ke rumah sewanya.

"Sangat seronok tadi kan" ujarnya. Aku yang merasakan sedikit kepenatan itu cuma mengangguk dan tersenyum memandangnya. "Jangan pernah kesal dengan apa yang telah berlalu, takdir hidup kita tidak pernah akan sama dengan orang lain" ujarnya lagi. "Asalkan kita tidak menganggu kehidupan orang lain kira OKlah tu" balasku pula.

"kamu tidur di ruang tamu ni, aku dalam bilik la" katanya. "Tidur sama tak boleh ka" ujarku nakal. "Tak boleh, kita tidak boleh melepasi sempadan laki dan perempuan" balasnya tegas. Aku hanya tersengih, sebenarnya aku menghormati dia sebagai perempuan. Dan aku tidak mahu menganggapnya sebagai perempuan murahan.

Sambil menunggu mata terlelap, kami berdua terus bersembang. "Bila bangun esok, turun dan jalan terus lurus ke depan, nanti kamu akan tahu jalan balik dan lupakan segalanya" katanya lembut. Kami pun terus bercerita. Aku merasakan badan, lengan dan kakiku gatal dan ada luka seperti terkena rumput semak yang tajam. Tapi aku tidak berjumpa kesan luka tersebut biarpun aku merasakannya.

Mataku mengantuk. Aku pun tidak pasti jam berapa aku tertidur.

Pagi itu aku terjaga. Mata ku terbuka luas. Aku melihat hutan di sekitarku. Aku berada di atas pokok. Mana blok kedai semalam semua tanyaku dalam hati. Kulihat ke bawah dari pokok itu, apa yang kulihat menyebabkan bukan main terkejutnya aku.

Kelihatan di bawah pokok tempat aku tidur itu adalah tanah perkuburan lama, tanah perkuburan campuaran. Di situ juga ada beberapa jirat cina dan ada kubur pagan. Di sekitarnya, kesan seperti kesan lenyek tempat orang berjalan. Di situ juga, ada tempayan lama, mangkuk, pinggan lama, dan parang yang berkarat.


Perkuburan Lama

Jelaslah pekan lama itu adalah kawasan perkuburan jirat cina lama dan perkuburan lama pagan. Terasa meremang bulu tengkukku. Aku segera turun dari pokok itu. Pokok itu merupakan pokok ara. Memang meremang bulu romaku nampak suasana perkuburan lama itu.

Teringat aku kata-kata si awek manis semalam, supaya berjalan terus setelah turun dari pokok itu. Aku mengikut kata-katanya berjalan terus. Kemudian, aku sampai di kawasan lapang, aku menoleh semula ke kawasan kuburan tadi. Kelihatan seorang perempuan berbaju putih memandangku sambil melambai-lambaikan tangannya. Lambaian yang mungkin tanda perpisahan. Dan menghilang begitu sahaja.

Aku teruskan perjalananku. Dalam kepala ku ligat bertanya-tanya apakah sebenarnya sedang berlaku malam tadi. Memang jelaslah aku tersesat ke kawasan perkuburan itu. Aku terus berjalan dan bertemu dengan jalan raya yang biasa aku lalui. Makanya aku terus berjalan kaki balik ke rumah setingganku.

Sampai di sana, kawan sejiran ku terus menerpa kepada ku. "Sepanjang malam kami mencari kau, tapi kami tidak berani masuk ke dalam terus, kerana mendengar bunyi hilaian" ujar kawan sejiranku. "Bagi aku masuk ke rumah dulu dan mandi semua, nanti aku ceritakan apa yang berlaku" balasku.

Selesai mandi, masing-masing warga setinggan datang ke rumah ku kerana ingin mendengar kisah tersebut. Aku lihat badan, lengan dan kaki luka-luka halus punca rasa gatal yang aku alami semalam. Luka-luka tersebut memang jelas kesan aku menerjah ke semak berdekatan dengan perkuburan.


Kenangan Terindah

Aku mula menceritakan pengalaman aku bermalam di sebuah pekan lama dan terserempak dengan bekas kekasihku semasa di sekolah menengah. Sebenarnya, awek aku itu telah lama meninggal dan aku pernah mendengar khabar itu dulu. Tapi, mengapa bila aku bersua dengannya semalaman aku seakan-akan tidak menyedarinya sudah meninggal pula. Itu juga aku rasa pelik. Mungkin juga kerana kerinduanku padanya juga menyebabkan dia menjelma dan aku menafikan kematiannya bila bertemunya di pekan lama itu.

Patutlah sekitar pekan dan dalam bilik dia pencahayaan sangat pelik. Tiada lampu tapi cahaya menerangi pekan itu entah dari mana. Mungkin petanda juga aku berada di alam lain ketika itu.

Aku menceritakan pada mereka di kedai pekan tersebut menjual barang antik. Mana tidaknya, itu adalah perkuburan lama. Orang dulu memberi si mati dengan bekalan seperti pinggan, mangkuk, tempayan untuk dibawa ke alam kematian.

Tapi mengapa ia menunjukkan pekan lama? Ini mungkin kerana beberapa jirat cina yang ada di situ. Mungkin di alam kematian masyarakat cina memang masih dikenali sebagai peniaga.

Aku sekarang sedar, patutlah orang kampung tidak mengalakkan sesiapa pergi ke kawasan hutan pulau tersebut. Rupa-rupanya tempat itu memang keras. Aku sebenarnya tidak tahupun di kawasan itu ada perkuburan lama.

Aku kira beruntung. Di kawasan tersebut aku diberikan halusinasi yang sangat indah. Nasib baik juga hantunya tidak menjelma dengan muka yang hodoh. Kalau tak, memang dah lama aku pengsan di sana.

Habis tu, apa yang aku telah makan dan minum malam itu? Entahlah, itu aku pun tidak pasti. Tapi apa yang pasti biarpun mistik dan menyeramkan aku telah bermalam di Pekan Lama yang meninggalkan seribu satu kenangan.

TAMAT!

Terima kasih kerana sudi membaca.

Kisah ini adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun telah mati. Jika berlaku ia adalah suatu kebetulan.

Ditulis: Justine Amping

No comments:

Post a Comment