Kegagalan Hantu Kamba
(1)
Aku adalah tergolong dalam golongan syaitan. Tapi aku bukan ketua la. Macam manusia juga, ada yang berjawatan besar dan ada yang hanya pengikut. Aku digelar sebagai hantu Kamba oleh masyarakat iban. Apa tugas aku?
Aku adalah tergolong dalam golongan syaitan. Tapi aku bukan ketua la. Macam manusia juga, ada yang berjawatan besar dan ada yang hanya pengikut. Aku digelar sebagai hantu Kamba oleh masyarakat iban. Apa tugas aku?
Macam biasalah kami golongan syaitan ini kerjanya menyesatkan manusia yang lalai. Gred aku di kalangan hantu ni bukan yang tertinggi dan bukan juga yang terbawah. Sedang-sedang la katakan. Aku punya kelebihan tersendiri. Nanti korang akan tahu juga.
Kami ni kalau gagal memang selalu kena marah dengan Syaitan utamala. Jadi kami kena berusaha keras supaya kami digeruni dan ditakuti. Hantu ni ada banyak kelebihan masing-masing la. Kalau manusia suka tengok movie superhero, begitu juga kami ada kelebihan masing-masing.
Ada di kalangan kami boleh terbang. Ada juga yang hanya menakutkan orang dengan bunyi macam hilaian. Ada juga yang menyesatkan kononnya membantu manusia yang ingin jalan mudah, macam membela si Toyol, hantu Raya dan juga Saka. Ada juga yang diturunkan mantera pada manusia pengamal ilmu hitam, macam Balan-balan atau penanggal. Kononnya manusia ni akan mempunyai sakti tersendiri jika berkomplot dengan kami.
Kalau korang nak tau, kerja kami tak lain dan tak bukan adalah menyesatkan manusia. Supaya mereka lebih percaya kami daripada Tuhan mereka. Sebolehnya kami menarik mereka menjadi ahli neraka. Boleh meriah bersama diseksa di neraka.
Tapi payah juga la nak kacau manusia ni. Mereka ni canggih, tak pasal juga kami juga perlu belajar kecanggihan seperti mereka. Tapi aku memang tak reti nak ikut perkembangan itu. Janji aku boleh menyesatkan itu sudah kira bagus.
Aku bukanlah hantu yang popular seperti kak ponti, hantu Galah, hantu Raya. Namaku pun tidak seglamour mereka pun. Aku kena berusaha keras untuk mencipta nama supaya digeruni.
(2)
Paling tak bestnya, aku ditugaskan di hutan. Korang tahu hutan kan? Mana ada seram sangat pun. Memang leceh juga ditugaskan di hutan ni. Kena kreatif menakutkan manusia. Itu lah juga punca ku tak dikenali ramai.
Dah la aku tak boleh bercakap. Cuma kebolehan aku boleh menyerupai seseorang sesuka hati ku. Tapi kemunculan pula agak terhad. Susah juga jadi hantu kelas bawahan ni tau. Kadang-kadang aku memang cemburu pada hantu lain. Mereka boleh pula bermain sekitar tempat manusia. Tengok macam si Toyol, lepas buat kerja dengan manusia siap diberi susu lagi.
Hampeh. Suruh aku buat kerja. Tapi keistimewaan ciput jer bagi. Sapa tak merungut? Tak buat kerja kena marah pulak.
Geng aku ni banyak bertugas di hutan hujan tropika ja. Memang kelas rendahan punya hantu sebenarnya. Bukan banyak pun yang pergi ke hutan. Kebanyakan yang pergi ke hutan pun orang-orang kampung jer. Itupun bukannya lama, sangat jarang mereka bermalam. Kalau tak syok sikit la menyakat manusia ni.
Betul-betul terhad keistimewaan atau kelebihan yang dibenarkan pada kaum ku. Macam saka, buat kerja sikit, manusia dah jamu dengan pelbagai. Ayam kampung lah, pulut kuning lah dia dapat makan. Aku ni? nak makan apa? Memang geram betul la dengan nasib ni.
Di kalangan golongan kami ni, kak Ponti paling manusia takut. Dia dia seronok sakan. Tak habis-habis dengan gelaknya. Dengar hilaiannya pun orang sudah kecut perut.
Macam-macam aku plan nak sakat manusia. Tapi kalau berjaya seronok juga sembunyikan mereka sampai yang lain tak dapat jumpa. Part tu best la. Tapi kalau mereka dah doakan kat Tuhan aku tak boleh buat apa la. Aku kena tunjuk balik sapa yang aku sembunyi.
(3)
Aku kena mula bertugas dah. Aku tunggu lama peluang nak nyakat sebuah keluarga ni. Aku menunggu di sekitar hutan dekat sebuah kebun. Aku kena rancang dengan baik. Biasanya paling sesuai jadi mangsa adalah kanak-kanak. Kalau yang dewasa payah sikit, dorang dah matang.
Setiap kali mereka ke kebun, aku cuba trik-trik yang aku ada. Bukan senang nak tunggu budak jalan sorang kat kebun ni. Mak bapak mereka pasti jaga punya. Dahla skil pun terhad. Semua serba terhad. Kalau waktu malam lagi lah payah nak dapat mangsa. Dorang kalau dah kena sekali, lepas tu tau jalan penyelesaian.
Ha itu dia peluang. Budak bernama Mika nampaknya jalan sorang-sorang. Peluang keemasan ni. Dia menuju ke hujung kebun, setelah dia bosan bermain sekitar kebun lada bersama orang tuanya. Mereka ada empat orang semuanya. Aku kena menyamar jadi siapa ni. Kena plan betul-betul supaya dia terpedaya. Tapi macamana pulak nak buat dia perasan aku pulak?
Aku mula baca mantera penjelmaan seperti jadi macam rupa datuknya. Siap. Aku kena tunjuk sikit kat dia yang aku ada di hujung kebun. Ha dia nampak aku. Aku kena gerak sikit. Dia nampak macam ikut jer. Bagus! Ikutlah, Ikutlah.
Orang tuanya jelas sibuk. Mereka tak perasan kot. "Tok, mana atok pergi?" dia jelas ingat aku ni datuknya. Dia terus ikuti aku. Best ni, dia macam sudah termakan umpan ku. "Atok, mana atok pergi, jangan laju sangat, Mika nak ikut" ujarnya cuba mengejarku.
Ya, kali ini aku akan dapat mangsaku. Kat mana pulak aku nak sembunyikan budak ini? Hutan kat sini bukannya tebal. Hampeh betul. Apa yang pasti dia terus mengekoriku.
Matlamat aku hampir tercapai. "Tok, jangan laju sangat, Mika nak ikut" ujarnya terus menerus cuba mengejar aku. Langkah kaki ku percepatkan agar dia lebih laju mengejar. "Tok, Tok, tunggu la tok, Atok tunggu la, Atok nak pergi mana?" kedengaran suara budak itu terus memanggilku yang disangkanya si datuknya.
(4)
Aduh, hutan sekitar ni memang tipis. Tiada tempat yang sesuai sembunyikan budak ni. Apapun dia terus mengekori aku. "Tok, tunggu" jeritnya.
"Mika, Mika kau nak ke mana?" tiba-tiba bapak dia perasan yang dia menuju ke hujung kebun. Celaka betul, kantoi pula. Tapi budak tu masih terus mengekori aku. "Mika, mika balik sini" jerit bapaknya memangginya. Ibunya turut perasan langkah pelik kaki anaknya seperti mengekori sesuatu.
Ibu dan bapaknya segera mengekori dia setelah mereka perasan yang dia seakan-akan tidak mendengar jeritan mereka. Memang aku kena lepaskan budak ini semula. Tak pasal-pasal dorang buat upacara sembahyang nanti, boleh naya aku.
Lagipun, hutan sini memang tak sesuai untuk sembunyikannya. Aku kena lepaskan jampi kat budak ini. Baliklah. Barulah budak itu sedar namanya dipanggil. Dia pun berpusing ke arah ibu dan bapaknya. Mereka berdua berlari mendapatkannya. Bapak dia memandang ke arah jalan yang cuba di lalui budak tu. Tapi aku bersembunyi di sebalik pokok.
"Saya ikut datuk tadi pak" ujar budak tu pada kedua orang tuanya. Mereka pun kembali ke pondok kebun. Sampai kat pondok kebun itu si budak itu nampak datuknya sedang mencangkul tanah berdekatan pondoknya. Tentu si budak itu tertanya-tanya siapakah sebenarnya diekorinya tadi menyerupai datuknya.
"Atok kat situ la" ujar si ibu padanya. "Tapi Mika memang ikut datuk tadi mak" ujarnya pada ibunya. Ibunya kelihatan memegang tengkunya sendiri. Kemungkinan dia merasa meremang la.
Memang aku hantu kelas bawahan la. Benda semudah itu pun aku tak boleh buat. Tapi aku berjaya juga buat keluarga itu sedikit gusar.
(5)
Mampus aku kali ini. Memang kena maki la jawabnya. Misi aku menyembunyikan budak itu gagal. Boss mana pernah terima alasan. Aku nak jawap apa kalau dipanggil berkumpul nanti. Setiap kami kena buat laporan hasil penyesatan manusia. Aku satu pun belum ada rekod. Aduh. Memang kena lagi la lepas ni.
Setiap sebulan kami akan dipanggil berkumpul. Siapa yang tercorot akan di tugaskan di hutan. Tapi aku memang sudah kat hutan. Memang dah tercorot pun selama ni. Nampak gayanya aku perlukan bantuan dari hantu lain. Dengan siapa aku nak minta tolong ni?
"Toyol, kau boleh tolong aku tak?" tanyaku pada si Toyol. "Sori bro, aku setiap malam kena bertugas mencuri duit" balasnya. "Saka, kau free tak?" tanyaku. "Aku sudah kena buang dengan tuanku, tak boleh buat apa bro, populariti aku zaman moden ni dah tak seberapa" jawab Saka. Aduh, kat siapa aku nak minta bantuan ni.
Kalau dengan kak Ponti, kena gelak la jawabnya. Drakula? Pocong? Drakula aku tak reti nak sembang, aku bukan pandai bahasa dia pun. Pocong pula dia di bertugas di kawasan kuburan dan jalan raya. Bunian? Bunian ni sebuk dengan dunia mereka. Perasan konon diaorang macam manusia ada tamadun tersendiri konon.
Bajang, Hantu Raya dan Jerangkung ni pula adik beradik sama dalam keluarga Saka. Diorang ni kalau tiada tuan melilau cam tu jer. Ada tuan baru lebih hebat. Hantu Jepun ni popular juga, tapi zamannya dah habis. Orang Minyak, payah dengan dia ni, tada kerja lain, gatal dan suka sangat jadi perogol bersiri. Hantu Bukit, mungkin boleh juga, tapi payah juga la dia tada bukit bukau tak jalan kerja dia. Jin Tanah, dia ni setia kat satu tempat jer, pun payah juga la. Nak minta tolong Polong dan Pelesit, dua-duanya terikat dengan tuannya.
Buntu juga aku. Tiada siapa yang boleh bantu. Saudara ku Hantu Kopek dan Tetek pun sama macam aku. Budak-budak jer kami mampu kacau. Tapi kadang-kadang tu bernasib juga dapat sakat yang dewasa.
Nampak gayanya aku masih perlu berjuang secara berseorangan. Eh secara berhantuan. Lupa diri ni hantu la pulak.
(6)
Aku pernah berjaya menyembunyikan seorang budak kecil. Pencarian budak itu dilakukan sepanjang beberapa hari. Walaupun aku hantu. Aku bukanlah kategori membunuh. Aku baik aku sendiri. Budak itu ku bagi makan juga. Dia makan buah-buahan hutan.
Si keluarga budak 6 tahun itu berusaha pelbagai cara. Mereka memanggil bomoh untuk mengesan budak itu. Aku seronok la sebab mereka percaya dengan bomoh tersebut. Itu adalah kejayaan aku menyesatkan juga. Bomoh itu pun bukannya hebat. Bomoh temberang punya, memang dia takkan mampu cari budak tu. Wahal budak tu aku hanya sembunyikan tepi pokok. Aku jampi supaya mata biasa manusia tidak mampu melihatnya.
Aku ajak budak tu bermain bersama. Dia seronok mulanya. Kelamaan dia mula mencari ibunya. Aku pesongkan dengan buahan hutan yang sedap-sedap buatnya. Dia leka.
Hari ke-3 pencariannya. Mereka masih gagal. Aku pun sudah boring melayan budak itu, dia asyik menangis. Payah juga jadi pengasuh rupanya. Sikit-sikit dia menangis. Itu membuatkan aku semakin malas layan. Akhirnya aku buka hijab orang yang mencarinya. Mereka berjaya menjumpainya. Seronok sakanlah keluarga budak itu. Siap buat kenduri kesyukuran lagi.
Itupun sebab aku dah boring. Kalau tidak, berminggu budak itu ku sembunyikan. Itu salah satu kisah la. Ada juga kisah lain. Ini pula pasal yang dewasa. Bukan susah mana kalau nak mengenakan manusia ni sebenarnya. Cuma ruang, tempat dan waktu tu kena tepat sebenarnya. Aku ceritakan bagaimana aku menyembunyikan seorang lelaki yang menahan taut di sungai.
Sedang aku asyik bertengek dan bersiul-siul di atas pokok, aku lihat ada dua orang datang. Seorang laki-laki, seorang pula perempuan. Mungkin pasangan suami isteri kot. Ini peluang baik punya. Aku terus ekori langkahnya. Dia memang tidak nampak aku la, sebab aku ni kan hantu. Aku mula menyusun strategi untuk mengenakannya.
Aku cuba menjadikan mereka berdua lebih leka dan seronok dengan aktiviti bertaut tersebut. Aku sangkut ikan haruan di setiap mata taut (mata kail besar). Mereka sangat teruja sebab dapat banyak ikan haruan. Mereka tidak tahu aku punya kerja. Dalam masa yang sama aku menyusun strategi.
(7)
Mereka sudah terlalu leka. Sehingga keduanya berpecah. Si isterinya bergerak ke hutan. Mungkin cari kayu api. Kesempatan itu aku ambil sebaiknya. Aku bacakan mentera penjelmaan. Aku menyamar jadi sang isteri. Aku berdiri di tebing. Aku kena bagi sampai dia nampak aku.
"Apa kau buat tercegat kat situ? Tolong aku ambik ikan dari mata kail ni la" ujarnya. Jelas penjelmaan ku menjadi. Aku melambainya tanpa berkata apa-apa. Dia mendongak ke arahku dan tersenyum. Aku hanya melambainya. "Alang-alang kau dah di tebing, cari kayu api la, pakai bakar ikan nanti" dia memberi arahan kepada ku.
Aku menyelak kain batik ku sampai ke paha. Sengaja mengumpannya. Dia memandang lagi. Kali ini dia memandang ke arah bawah. Dasar manusia, kat hutan pun bernafsu. Dia tersenyum dan meninggalkan sampannya. "Kau ni, tak bagi can aku tangkap ikan, tak pa la Aku tangkap kau dulu lah" ujarnya. Dia terus mengekori ku.
Umpan aku mengena. Aku terus bergerak ke arah hutan, dan dia mengekori aku. "Wei, sayang tunggu la" suara dia dari belakang. Aku terus melangkah. Dia terus mengekori. Aku kena berhati-hati juga, risau isteri sebenarnya nanti perasan awal. Siapla aku.
Dia apalagi macam singa lapar, laju langkah kakinya mengejar aku. Aku terus menerus dengan langkah yang lebih laju. Supaya dia terus leka dan tidak perasan sudah jauh di bawa ke dalam hutan, aku melepaskan kain batik dari badanku. Dia nampak lagi teruja.
"Wei sayang, janganlah jauh-jauh, dekat-dekat sini sudah la" suaranya dari belakang. Apapun dia terus mengekori aku yang kelihatan hanya menggunakan baju. Sial. Sampai macam sekali aku mencuba untuk berjaya.
Rasanya sudah cukup jauh ke hutan aku heret dia ni. Masanya untuk aku menghaibkan diri. "Sayang, mana awak sayang, jangan main sorok-sorok, hutan ni" jeritnya. Aku sudah tidak kelihatan dari pandangan matanya.
(8)
Bermalamlah kau kat hutan ni 3-4 malam wahai manusia. Apa korang ingat aku layan nafsunya tadi? Memang tak la. Niat aku mengenakannya saja.
Seronok aku tengok dia berhalusinasi yang kononnya dia berada di pondok huma orang. Aku jampi dia supaya dia tidak sedar dia sesat.
Berbalik kepada sang isteri tadi. Dia kembali semula ke sungai setelah mencari kayu api. Dia perasan suaminya tiada berdekatan sampan. Nak kata suaminya lemas, itu kurang logik sebab suaminya boleh berenang lagipun sungai itu tidak dalam, paling dalam pun paras dada.
Kelihatan isterinya keresahan. Dia terpanggil-panggil nama suaminya tapi tiada jawapan. Cuma gema suaranya sahaja yang kedengaran. Setelah lama di berusaha mencari sekitar tempat dia meninggalkan suaminya tadi. Tampak dia sudah mula sedar suaminya hilang. Dia berputus asa dan terus balik memaklumkan kepada orang kampung.
Ini yang seronok ni, apabila kerja pencarian dilakukan. Tidak lama selepas itu, lebih kurang dua jam kemudian, kelihatan orang kampung sudah datang mula mencari suaminya di kawasan sampan terakhir dia meninggalkan suaminya.
Mereka terpekik terlolong memanggil nama lelaki itu. Ada yang bercakap kerisauan lelaki itu dimakan binatang buas. Malah ada yang menuduh ular punya angkara. Ada mengatakan mungkin buaya. Tapi mustahil sebabnya sungai itu tidak ada rekod orang dibaham buaya. Lagipun tiada siapa yang pernah nampak buaya di sungai itu.
Akhirnya ada orang juga menyebut namaku. "Jangan-jangan dia ini disembunyikan Hantu Kamba" ujar seorang pemuda yang turut dalam misi mencari lelaki yang hilang.
(9)
Akhirnya namaku si sebut juga. Bukan senang nak dapat nama ni. Biar tak sehebat kak Ponti, aku tetap bangga. Ye lah, dah la bertugas kat hutan jer. Kalau korang jadi hantu tau la korang rasa bangga dia macamana.
Kembali kepada kisah tadi tu. Orang kampung terus berusaha mencari sampailah ke senja. Memang mereka takkan jumpa punya. Aku sudah jampi bagi dia biul sikit. Nampak macam bodoh-bodoh gitu lah jadi si mamat ni tadi.
Dia hanya duduk menyandar tepi banir pokok. Orang kampung berapa kali dah pusing-pusing kat situ cari dia, tapi mereka langsung tak nampak pun mamat ni. Ha hebat tak jampi aku? Main-main dengan Hantu Kamba ni.
Memandangkan hari sudah senja. Gerakkan mencari mamat ni diberhentikan setakat itu sahaja. Mereka kata akan sambung balik esok mencari. Kalau tak jumpa juga mereka akan rujuk pada bomoh atau pihak polis dan bomba dengarku. Kalau pihak polis guna anjing pengesan boleh la. Anjing ni memang boleh nampak kami pun.
Kalau guna bomoh dan orang saja. Memang mereka takkan jumpa dia. Melainkan mereka berdoa dengan ikhlas kepada Tuhan. Pasal mamat tu, jangan risau dia takkan mati punya. Binatang buas punya mata pun takkan nampak dia dengan lapis jampi yang aku baca. Sebab tu korang tak pernah lagi dengar orang mati kena sembunyi dengan Hantu Kamba.
Malam pun terus berlalu sehingga ke siang. Si isteri tadi masih kemurungan kerana suaminya masih belum dijumpai. Kerja mencari diteruskan lagi ini. Nampak gayanya mereka membawa bomoh. Aku memang terbahak-bahak la ketawa, tapi mereka takkan dengar punya. Bomoh tu siap bawa hantu belaannya. Si langsuir.
"Wei, tuan aku suruh kau bebaskan mamat tu" ujar langsuir dengan ku. "Relaks la, kita bagi dorang cari sehari lagi la Baru best" balasku. "Kalau macam tu, takpa la nanti aku cakap kat dia aku tak nampak apa-apa la" ujar si langsuir. Dah kami sama hantu, tahulah kami gamekan mereka. Yang mereka percayakan bomoh pehal.
(10)
Sudah pasti la si langsuir tak mahu masuk campur urusan aku. Sebab itu aku punya tugas dah. Kami saling respek la tugas masing-masing. Dia pun kembali kepada bomoh itu, mengatakan baik mereka balik. Jangan campur urusan hantu lain. Maka baliklah bomoh penakut tu. Dia pun diperbodohkan hantu.
Alamak, polis sampai bawa anjing pengesan pulak. Anjing itu terus meluru ke arah banir pokok tempat aku sembunyikan mamat tu. Dua ekor anjing tu menyalak sakan. Aku duduk kat atas pokok tu jer dan pasti la anjing tu nampak aku. Biarpun anjing menyalak ke arah mamat tu, tapi mereka masih tak nampak dia lagi.
Kacau betul la anjing ni. Isterinya pula berdoa pada Tuhan, dan doa ikhlas dari hatinya pula. Sial betul la. Jampi aku semakin tipis melindungi mamat ni. Akhirnya jampi tu pecah. Orang kampung pun sudah nampak dia. Aku nak buat macamana. Tak sampai 3 hari pun aku sembunyikan mamat tu. Tapi mamat tu nampak mamai dah la. Lantak korang la nak settle dia macamana.
Aku tengok hantu-hantu lain sudah berkumpul menghadap syaitan. Aduh, kena menjawab lagi la Aku macam ni. Aku pun pergi berkumpul sama.
Seekor demi seekor hantu diarahkan membuat laporan masing-masing. Selesai giliran mereka, sekarang giliran aku pula. "Apa hasil penyesatan kau Kamba?" tanya bapak segala Syaitan. Walaupun dia sudah tahu. Baru saja aku nak menjawab. Dia terus memaki aku.
"Kau ni tak paham-paham tugas kau sebagai hantu. Aku suruh kau sesatkan manusia supaya mereka menyembah aku, tapi engkau menyesatkan manusia dalam hutan, apa ke jadah kerja macam tu?" Ujar bapak segala Syaitan padaku. "Kau suruh aku sesatkan mereka aku pergi lah sesatkan, tak sama ke tu?" balasku mempertahankan diri.
"Dasar hantu bengap" ujarnya. Pang! Aku dapat penampar sedas dari bapak segala Syaitan. Sakit bukan kepalang. Berpinar kepalaku dibuatnya. Aku tak tahu apa salah ku. Dia suruh sesatkan aku sesatkan la. Itupun kau kena ka?
TAMAT!
Sekian. Terima Kasih kerana sudi membaca.
Kisah ini adalah rekaan semata-mata tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal. Watak atau nama adalah rekaan semata-mata.
Ditulis: Justine Amping
No comments:
Post a Comment