Simpang Batu 8

Dimensi Dua Dunia 

Simpang Batu 8

(1)
Banyak kisah sudah didengari di persimpangan batu 8. Ramai yang sudah melalui sendiri pengalaman misteri melimpasi simpang tersebut. Simpang di mana tidak ada jalan pintas. Hanya ada jalan tersebut yang perlu dilalui jika anda ke pasar Serian atau mahu ke Pekan Balai Ringin. Kerana ia adalah terletak di antara keduanya. 

Simpang ini sememangnya agak dikenali ramai suatu ketika dahulu. Bermacam kisah yang pernah diceritakan. Sebelum melalui simpang ini anda perlu melalui beberapa selekoh terlebih dahulu. Simpang ini mungkin kelihatan semacam simbol tanda Z jika dilihat dari ruang udara di atasnya. 

Di simpang itu dulu selalu berlaku kemalangan. Kiranya kemalangan membawa maut. Berapa jumlah yang maut ketika kemalangan di situ, aku tidak tahu. Mungkin anda boleh semak rekod di Balai Polis, mungkin rekod itu masih ada sehingga kini.
Sememangnya banyak peristiwa mistik, pelik dan menyeramkan diceritakan pernah berlaku di kawasan persimpangan itu. Di tambah lagi, salah satunya adalah simpang menuju ke Jirat Cina dan tanah perkuburan orang kampung. Satu lagi simpang yang yang tidak jauh dari situ pula adalah simpang ke perkuburan orang Islam. 

Pernah seorang pemandu teksi balik lewat tengah malam melalui simpang itu menceritakan kisahnya. Ketika dia memandu melewati kawasan tersebut, dia nampak dua orang lelaki sedang bertumbuk dan bergaduh ditengah jalan raya antara simpang tersebut. Dia memperlahankan keretanya risau terlanggar dua orang yang sedang bergaduh tadi. Apabila dia semakin dekat. Tiba-tiba mereka berdua tadi hilang dari pandangannya. 

Selepas dia melimpas tempat tersebut, dia memberhentikan keretanya. Di lihatnya ke belakang dia dapati mereka menyambung balik aksi bertumbuk. Dia tidak berani pergi untuk meleraikan, lagi pun sudah jauh malam, tambah dia merasakan bulu romanya meremang semacam. Dia tahu mereka bukan manusia.

Itu di antara kisah yang pernah diceritakan dari mulut ke mulut. Mungkin ramai yang telah mengalami peristiwa di simpang tersebut. Tetapi tidak pernah mengongsikan atau belum bersedia mengongsikan atau dikongsikan tetapi kisahnya terpadam begitu saja.

(2)
Di sini saya ingin menceritakan sebuah kisah yang pernah disampaikan kepada saya suatu ketika dulu. Nama, tempat dan siapa yang terlibat saya tidak mahu nyatakan. Kerana saya tidak mahu sesiapa tersinggung dengan penceritaan ini. Malah saya akan reka nama samaran dan wataknya sekali. Untuk menyenangkan saya bercerita, saya menggunakan kampung saya sendiri walaupun cerita asalnya bukan tentang orang kampung saya. Bagaimanapun ia tetap kisah keramat simpang batu 8. Saya mulakan ya. 

Namaku Jackbond. Masih bujang tapi dalam proses mengurat seorang awek yang aku kira berkenan juga padaku. Aku bekerja di Kuching sebagai pembantu di sebuah hospital swasta. Aku hanya menyewa di sebuah kawasan perumahan tidak jauh dari tempatku bekerja.

Rutin aku, hanya akan balik kampung pada hari jumaat malam dan balik semula ke Kuching pada petang ahad setiap minggu. Makanya aku tidak akan tahu apa yang berlaku sepanjang minggu di kampungku kecuali aku balik. Nak tahu macamana, zaman ini bukan seperti zaman sekarang, ada telefon bimbit bagai. Zaman aku kena guna telefon awam di tepi perhentian bas atau yang berdekatan dengan mana-mana pejabat kerajaan. 

Nak telefon siapa? Bergayut dengan telefon awam nak telefon awek pun jenuh nak kumpul duit syiling. Kampung aku zaman tu pun belum wujud tiang telefon. Macam tu juga orang kampung atau keluargaku pun sama tidak dapat menghubungi kalau-kalau ada kecemasan sepanjang aku berada di Kuching. Senang cerita tiada alat komunikasi.

Aku kira boleh tahan la berduit juga, tapi cukup-cukup la. Kerja pun makan gaji. Mana tak nya, ada kereta zaman aku, orang kampung gelar kita sebagai orang kaya tau. Bukan belagak la, walaupun keretaku cuma Mitsubishi Galant. Tapi sudah kategori mewah la kalau ada kereta zaman tu. 

Tapi ini bukan kisah pasal kereta atau kemewahan. Kisah ini adalah tentang pengalaman aku balik kampung pada suatu jumaat malam dan aku terpaksa melalui jalan simpang batu 8. Pengalaman mistik dan sangat seram. Bagi aku la.

(3)
Hari ini hari jumaat. Hari terakhir bertugas. Bukan berenti kerja la. Esok kan sabtu, jadi kira rehat dua hari la nanti. Bersemangat nak balik kampung. Malam-malam boleh lepak dengan kawan sekampung. Maklumla seminggu sekali je balik.

Kalau ikutkan seharian sudah penat bekerja, memang selalu fikirkan esok jela balik. Tapi, kalau balik esok memang tak bebaloila, rugi sehari. Jadinya, malam ini juga balik. Lagi best kenderaan tidak banyak waktu malam. Kepala otak memang sudah berkira-kira tersangat nak balik. Padahal masih di tempat kerja. 

Saat akhir macam ni, mata memang akan selalu melirik pada jam. Bilalah nak pukul 5 ni? Wahal berapa minit je lagi pun. Pelik betul minggu sebelumnya aku tidaklah begitu bersemangat nak balik kampung. Tapi hari ini, lain macam je semangat nak balik. Mungkin teringatkan janji dengan kawan sekampung, yang kami nak buat barbeku kot? 

Tik tok tik tok. Masa untuk punchkad balik sudah pun tiba. Girang giler rasanya. "Semangat semacam jer kau hari ni Bond?" tanya rakan sejawatku kerana tidak biasa melihat riaksi keterujaanku siap bernyanyi-nyanyi lagi tu. "Balik kampung mat, tak sabar, petang esok ada rancangan kaw punya dengan member di kampung" balasku. "Patutla seronok sakan" katanya. Korang tahu macam mana perasaan nak balik kan? Seronok la, lagi-lagi ada alasan yang bakal menyeronokkan.

"Wei, kau balik malam ni juga ka? ke balik pagi esok?" tanya kawan tadi sambil kami menuju ke tempat parkir kereta. "Balik esok rugi la, malam ni juga la aku chow" balasku. "Tapi kau kena jaga sikit kat simpang batu 8 tu, banyak cerita tau" ujarnya yang ku pikir saja menakutkan aku. Aku tahu banyak kisah orang cerita. Tapi aku tak pernah alami langsung. Jadi, ia umpama kisah-kisah dongeng la bagiku. "Kau saja nak takutkan aku ye? Salah orang la mat" balas ku sdikit belagak.

"Wei mat, kalau aku beli daging kambing petang ni buat balik sana mesti best buat barbeku kan?" aku sengaja buat kawan terleleh punya. "Aku takut kau tak sempat, makan berbeku nanti, kau pengsan kena sergah hantu kat simpang batu 8 tu" ujar dia saja celupar mengenakan aku. "Kau ni penakut, berpuluh kali aku lalu jalan yang sama, tak pernah kena sakat dengan apa pun" balasku. Yalah, setiap minggu aku ulang-alik jalan tu nasib aku sentiasa baik. Kuurrrr semangat, tiada apa-apa yang pernah berlaku.

"Kau jangan riak sangat Bond, kalau kena sakat dengan setan malam ni baru kau tau" ujarnya. "Aku tetap balik juga bro" balasku dengan pendirianku. Aku tahu dia tidak mahu aku balik sebab nak aku temankan aktiviti kelab malamnya. Dia suka berpoya-poya punya. Aku pula jenis berjimat. Kalau tak, mana mampu beli kereta dengan gaji pun cukup-cukup. Tu pun nasib tak kawin lagi.

(4)
Sampai di kereta, aku menghidupkan enjin. Sesudah beberapa ketika, aku bertolak menuju ke super market mencari keperluan barbeku. Selesai, balik rumah ambil barang untuk dibawa balik. 

Sebelum balik aku singgah di kedai makan, untuk menjamah apa yang patut kerana tidak mahu kelaparan. Kalau sudah dalam perjalanan nanti rasa malas nak singgah kat mana-mana. Sebab itu aku lebih suka makan dulu, kononnya buat buat kerja sekaligus. 

Beg galas penuh dengan pakaian yang ku belum cuci ku letak di tempat duduk hadapan. Balik nanti boleh buli adik perempuanku cuci, bagi dia upah seronokla dia. Lagipun aku ada bawa hadiah sebagai membodeknya. Biasala seorang abang. Biarpun begitu aku sayang adik aku juga. Walaupun selalu membulinya mencuci pakaian dan membancuh kopi. 

Dalam tak sedar, jam sudah menunjukkan 9.47 malam. Agak lewat, juga sebenarnya aku ni. Kalau macamni memang hampir tengah malam la sampai. Ye la tadi kalut mencari barang bagai. Selesai makan, aku memulakan perjalanan balik. Belok kiri, jalan terus, belok lagi kanan, buat benda yang sama akhirnya aku berada dalam jalan utama menuju ke Serian.
Sudahlah jalan raya berlubang sana-sini, highway Kuching-Serian masa tu belum dibina. Masih menggunakan jalan raya biasa. Jalan pun masih bengkang bengkok. Nak bawa laju tak boleh, paling laju pun, 80km/jam, itupun di kawasan yang aku yakin tiada lubang. 

Tiba-tiba hujan turun renyai-renyai pula. Aku pulas tombol viper keretaku untuk melarikan titisan hujan pada cermin depan, dan aku naikkan tingkap dahla kena main putar-putar, zaman tu mana ada auto punya. Kalau ada pun, mampu tengok jer. 

Bosan memandu aku buka radio. Tapi bunyi macam sial, susah nak tangkap gelombang siaran. Kejap nyaring, kejap tak kedengaran langsung, paling bengang bila bunyi kentang sedang digoreng. Last-last aku padam balik. Sekonyong-konyongnya minda aku teringat kata-kata kawan sejawat aku tadi. Bermacam benda pelik seram datang satu-persatu meracuni mindaku. Sial punya kawan. Kalau dia tak cakap macam tu tadi tidak aku terbayang benda pelik-pelik.

(5)
Aku sebenarnya penakut juga. Cuma aku belum pernah mengalami pengalaman misteri. Tapi dengan kawan-kawan takkan nak tunjuk diri kita pengecut. Tak pasal-pasal kena bahan, tu yang buat-buat sedikit belagak. Dalam hati sapa mau jumpa hantu wei. 

Semua cerita-cerita seram mula bermain di minda. Aduyai. Semakin aku cuba alihkan fikiranku, semakin teruk minda ku memikirkan kisah-kisah seram. Sehingga aku merasa semacam jer perasaan. Bukan tidak biasapun sebenarnya balik kampung waktu-waktu malam begini. Cuma malam ni macam pelik jer. Selama ini ok jer tak fikir pasal hantu pun. Dalam hati tak habis-habis tak puas hati dengan rakan sekerjaku yang celupar tadi. Terkesan juga aku sekarang. 

Perasaanku memang pelik. Rasa bedebar semacam. Aku tidak berani menoleh ke belakang atau ke kiri ke kanan. Malah cermin pandang belakangpun aku tidak berani pandang. Teringat kisah penumpang malam yang tidak diundang. Terbayang-bayang kalau tiba-tiba ada seseorang duduk di belakang pula. Mata dan kepala ku hanya fokus ke depan. Tau-tau la, bila rasa takut itu sudah menguasai. Semuanya serba serbi menakutkan. Batu putih penanda aras laut di tepi jalan pun boleh nampak macam hantu ketika itu. 

Kereta lain pula sekali sekala berselisih denganku. Terfikir kalau-kalau kereta tiba-tiba rosak pula pun ada. Hampeh betulla, aku merungut dalam hati. Dalam pada itu, jam tanganku sudah menunjukkan 11.18 minit malam. Aku sudah dekat dengan pasar Serian. Bila melalui kawasan pasar Serian, aku berasa lega sikit. 

Aku teruskan perjalanan. Kalau ikut perkiraan aku jam 12 malam nanti sampai la kat kampung. Tapi kali ini rasa takut ku lebih semacam. Sebab aku akan melalui simpang batu 8. Bermacam helah aku guna untuk menenangkan diri. Radio ku buka balik. Bunyi kentang goreng pun kentang gorenglah bisik hatiku. Asalkan telingaku bertemankan suara DJ radio.
Punya jahanam juga punya DJ, cakap pasal benda seram pula, topiknya. ..."Bagi yang sedang memandu berseorangan ketika ini, pastikan tiada sesiapa duduk di tempat belakang andaaaaa!" ujar DJ radio tu buat-buat suara garaunya. 

Aku putarkan ke channel lain. Topik yang sama juga. Aku putar lagi, akhirnya aku dengar channel lagu cina. Lagu cina pun asalkan aku tak paham bahasa dia, nak cerita seram ke? lantakla. Lagu cina pula semacam jer. Aduh! Last-last aku padam balik radio. Radio pun pandai mengusikku kataku dlam hati. Semakin aku nak menenangkan diri, semakin pula situasi seram datang kepadaku.

Dalam keadaan itu, aku berserah saja la, harap-harap tidak diganggula sepanjang jalan tinggal lagi lebih kurang setengah jam. Alamak! Bodohnya aku, langsung aku terlupa mengisi minyak tadi. Dahla meter minyak kereta ni rosak. Kehabisan minyak tengah jalan macam ni mampus aku. Kalau macam ni, umpama menunggu bom meletup la jawabnya.

(6)
Di antara laluan yang aku tahu Bukit Simujak juga ada kisahnya. Selain itu, Sebuah bukit selepas Kampung Belimbing juga boleh tahan kisahnya. Hurmm. Bulu romaku naik sendiri. Aku tidak pasti sama ada kerana mindaku atau tempat yang aku lalui. 

Apa yang pasti sekarang aku sudah melepasi Bukit Simujak, sedang menuruninya. Di situ memang banyak selekoh. Aku lega sikit nampak lampu Kem Simujak yang aku sedang lalui. Lepastu akan bergelap balik. Lepasni cabaranku adalah bukit selepas kampung Belimbing. Itu petandanya aku sudah dekat dengan batu 7. 

Keretaku meluncur deras menuruni bukit itu. Sampai di hujungnya ada selekoh maknanya aku perlu memperlahankan keretaku. Kerana kereta ku meluncur perlahan, jelas aku nampak kelibat orang tua yang aku kenali sedang duduk di perhentian bas memandang ke arah bertentanganku. Perhentian bas sebelah sekolah rendah SJK Cina batu 7. Dia seorang bomoh yang lawak di kampung ku. Dia suka buat lawak dan jenis ceria punya.

Aku hampir terlepasnya. Aku undurkan balik keretaku memandangkan tiada kereta yang lalu lalang di situ, aku pun memberhentikan kereta di depannya. "Tok, nak pergi mana?" tanyaku. "Tok nak balik, tapi tiada orang hantar pulang, tok tunggu bas la" ujarnya bersahaja. "Malam macam ni mana ada bas dah" kataku. Kesian pula aku tengok, jadi aku berniat baik untuk tumpangkannya.

Rasanya dia boleh cam suaraku. Walaupun dalam gelap begitu. Aku sudah biasa dengannya. Malah aku juga sudah biasa menghantarnya ke mana-mana dia mengubat orang. Sebab rumahnya memang dekat dengan rumahku. 

Aku membuka pintu belakang keretaku. Dia masuk duduk di belakang. "Mana tok tahu bas tada malam begini" ujarnya. Orang tua ni semakin nyayuk dah agaknya bisikku dalam hati. Aku menyambung semula pemanduanku. Aku kembali bersemangat. Lega. Sekurang-kurangnya hilang rasa takut kerana ada peneman dah.

"Tok buat apa ke Kampung Belimbing ni?" tanyaku. "Tok mengubat orang kena sampuk" balasnya. "Habis tu, kenapa mereka tak hantar tok balik?" tanya ku lagi. "Tok malas nak menyusahkan dorang, tok terus pergi macamtu saja tadi" jelasnya lagi. "Bun, singgahkan tok kat simpang batu 8 tu kejap, tok nak ambik barang" ujarnya. "Berapa kali saya cakap tok, bukan Bun, Bond la" ujarku mengusiknya. Jap, dia nak singgah kat simpang batu 8? Bederau darahku.

(7)
Tinggal beberapa selekoh lagi akan sampai di simpang Batu 8. Apa benda la orang tua ni nak ambik kat situ? Simpang itu yang paling aku risau, simpang itu juga dia ajak aku berhenti. Aduh. 

"Kalau tok ambik esok tak boleh ka?" tanya ku memang nak mengelak berhenti. "Kena malam ni juga" balasnya. Aku serba salah pula. Tak dituruti payah juga. Kenapa di simpang itu? Payah berkawan dengan tok moh ni. Dia sendiri bela pelbagai benda halus. Tak puas lagi ke orang tua ni. 

Dia sememang lucu-lucu. Pernah ikut dia masa aku masih remaja dulu. Dia dipanggil untuk mengubat orang sakit kena rasuk. Maklumlah masa remaja adalah zaman nakal dan ingin tahu semua benda. Dah kami berjiran, jadi aku selalu la melepak dengan dia. Telatahnya dan caranya bercakap memang menghiburkan.

Masa dia halau hantu yang merasuk orang tu selamba dia bercakap sorang-sorang. Aku pula duduk sebelahnya. "Kau tu setan, jangan ikut suka je nak rasuk orang, kalau kau taknak aku bagi geng antu raya belaan aku belasah kau kaw-kaw punya" ujarnya masa tu. Lepas tu dia bisik kat telinga saya. "Aku tipu je, mana ada dia kena rasuk, budak ni saja mengada" bisiknya pada aku ketika itu. Entah mana satu benar, aku pun tak tahu. Tapi budak tu terus elok jer. 

Balik dari situ, dia cerita kat aku la. Budak tu merajuk keluarganya tak bagi kahwin dengan laki yang dia nak. Tu pasal dia buat meracau macam tu. Kalau kena rasuk betul-betul punya kompom hantu belaan dia nampak dulu dah. Itulah salah satu kenangan bersama dia dulu.

Balik semula ke situasai sekarang ni. Simpang batu 8 tu sudah ada depan saya. Mahu tidak mahu saya terpaksa berhenti juga. Dia suruh aku tunggu, dia nak ambil barang kejap. Aku pun macam bodo-bodo jer ikut arahanya. Baru je aku nak kuat semangat ada teman dalam kereta, dah pula diajaknya berhenti kat simpang tu. Aku jadi rasa seram sejuk semacam.

Dia keluar menuju ke arah simpang perkuburan orang kampung. Sial siot. Tempat ni aku takut. Tempat ni juga dia nak singgah. Dah tiada pilihan. Aku pun tunggu dia. Sedang aku menunggu itu, aku cuma menggunakan anak mataku melihat kiri-kanan. Ketika itu, aku rasa semacam ada mata yang melihat ke arahku.

(8)
Korang bayangkan aku park kereta betul-betul depan simpang menuju ke perkuburan. Dah pula terpaksa menunggu pula tu. Gila tak seram. Tempat tu gelap semacam. Jangan mimpi la nak jenguk dan keluar dari kereta masa tu. Tiada kereta pula lalu lalang, dah ler dekat tengah malam.

Peluh dinginku terasa mengalir membasahi dahiku. Kecut rasa wei. Duduk serba tidak kena. Aku pejamkan mata. Lagi pulak aku terbayang bukan-bukan. Apa la diambil orang tua tu lama sangat. Bunyi cengkerik amat jelas di telingaku. Suasana begitu sepi. Gelap. Aku pula tak tau nak buat apa. 

Tok, tok, tok, tingkap cermin belakang sebelah kiri aku diketuk. Aku pandang. Tiada orang. Perhhhh meremang bulu romaku bagaikan satu kepala aku turut meremang. Tak sampai saat pula, lepastu ada bunyi ketukan yang sama betul-betul di sebelah aku pula. Cepatnya macam angin berpindah ketukan. Ingat baru nak masuk gear 1 nak pecut terus. Rupa-rupanya Isteri tok moh yang ketuk. Alahai terkejut aku. Tok Moh ketuk yang di belakang, isterinya ketuk sebelah depan patutlah cepat macam angin bunyi ketukan tadi berpindah. Aku unlock pintu kereta, Mereka pun masuk.

Mulanya bau sedap, bau kemenyan. Itu adalah bau biasa dari tok moh. Aku kembali bersemangat. Tadi seorang peneman. Sekarang berdua. Dalam pada masa yang sama, ingatkan aku lega. Perasan pelik seram kembali mengganggu fikiranku lagi. Apa yang isteri tok moh buat kat kawasan tu, waktu begini fikirku. Ah sudah, ini semacam dah ni. Mereka berdua pula diam saja. 

Nak tanya ke tak? Tanya ke tak? Ragu-ragu pula. Sudahlah rasa seram semacam bila mereka berdua dalam keretaku. Ingatkan rasa berpeneman. Tapi lagi kacau jiwa penakutku. Fuhhh. Tanya je la kot. "Nenek buat apa kat situ" tanyaku. "Nenek tolong cari barang tok kau yang hilang" balasnya. "Selipar tok, ada budak campak jer masa majlis semalam" balas tok moh. Majlis? Majlis apa kat kubur? Soalan ni aku rasa malas nak tanya. Aku tau perangai tok selalu meyakat punya. Tengok la jawapan dia nanti, pasti dia mengenakan aku, ramalku dalam hati. 

"Majlis apa tok?" tanyaku harap kami bersembang supaya hilang rasa takut. "Takkan majlis kahwin kot?" tok menyampuk. Kan dah agak dah dia buat ayat perli punya. "Majlis pengkebumian la" tambahnya lagi. 

Tok moh biasa mana pergi majlis pengembumian sebelum ni setahu aku. Ini mesti saudara mara terdekat yang meninggal ni. Yela aku mana tau apa yang jadi sepanjang minggu kerja. Perh topik orang meninggal pula, tak habis-habis malam tu topik kecutkan perut aku.

(9)
Perasaan takut terus menghantui aku. Walaupun keretaku sudah berada di atas tar, pedal minyak yang aku tekan rasanya sudah cukup untuk kelajuan 60km/jam. Tapi rasanya bagai berat nak bergerak. Kawasan yang aku sedang lalui adalah bukan bukit pun. Kawasan tanah rata. Aku sudah merasakan sesuatu yang lain macam dengan mereka berdua ni.

kedua-duanya duduk tempat belakang. Mereka kini diam. Selama ini, tok moh ni keletah melawak apa saja. Tapi kali ini, dia banyak diam dan cara dia membalas pertanyaanku pun serius semacam. Kalau dia yang aku kenal, sebelum ini tanya sepatah, satu esei dia karang. Aku syak sesuatu yang pelik dah. Apakah yang ku bawa ini hantu fikirku menambah lagi rasa takutku.

Bau tadi adalah bau kemenyan, sekarang bau kemenyan sudah hilang. Bau busuk, semacam bau bangkai mula menusuk ke hidungku. Aku memberanikan diri memandang wajah mereka berdua. Mereka hanya tunduk diam. Bau tu pulak makin kuat. "Tok terpijak tahi anjing apa ni?" tanyaku menyedapkan hati. "Ini bukan bau tahi anjing, ini bau bangkai" balasnya. Aku keliru dia ni melawak ke apa? Intonasinya serius. 

Kereta pula bergerak perlahan. Tak tahu kenapa? Jangan-jangan habis minyak? Atau pancit. Terasa nak tengok, tapi tak berani pula nak berhentikan kereta. Dah pula bau bangkai tu menganggu hidungku. Sehingga aku terpaksa buka tingkap. Kereta ku amat perlahan. Teringat aku ada orang pernah cerita, kalau berat semacam ada makhluk halus menumpang. Takkan mereka berdua ni kot?

Aku tertelan liur sendiri teringat berbagai kisah seram pula. Nak menyembang dengan mereka berdua. Tapi satu tanya satu je jawab. Dahla kalau jawab tu pelik. Apa yang tak kena dengan kereta ni? Habis minyak dia berhenti terus la. Tapi ini perlahan. Tak tahan, aku berhentikan terus keretaku. Cisss, kereta ku hanya bergerak 100 meter jer dari simpang Batu 8. Jahanam ni.

Aku anak lelaki kan? Kena berani pujuk hatiku memberi semangat pada diri. Fuhhh. Aku buka pintu dan aku keluar raba-raba tayar keretaku mungkin kempis. Satu-persatu tayar ku raba. Semua ok. Mereka berdua diam tidak bertanyapun kenapa aku berhenti. Aku masuk balik dalam kereta dan menghidupkan enjin dan memandu kembali ke atas jalan raya. Sama juga, tetap pelahan. Lantaklah, perlahan pun perlahanlah. Janji sampai. Ku lihat jam ku, baru jam 12. Tapi aku rasa lama sangat pula perjalananku.

Aku teruskan perjalanan, yang sepatutnya dekat dah. Dari senyap macam ni baik aku ajak tok moh sembang. Teringat tentang sembang pasal majlis pengkebumian yang dicakapkan tadi. "Tok sapa yang meninggal dan bila?" tanyaku. "Majlis tu petang semalam" balasnya. Ingat bisu tadi. Tapi tu je yang dijawab. "Sapa yang meninggal tu tok?" tanyaku lagi. "Kau betul-betul mau tahu ke?" dia pula bertanya padaku. "Jangan buat suspen la tok, aku ni dah sepanjang jalan tadi ni rasa seram sejuk" ujarku tidak suka dengan yang ku fikir gurauannya.

(10)
Bau yang tidak menyenangkan tadi semakin kuat pula. Di tambah suasana sejuk tengah malam mengiyakan lagi seram yang kurasa. Tayar bukan pancit dan bukan angkara minyak. Kenderaanku tetap perlahan.

"Cakaplah tok, siapa yang meninggal tu" tanya ku sangat ingin tahu siapa yang meninggal. "Sebenarnya yang telah meninggal tu adalah tok dan nenek ni" jawabnya bersahaja. "Jangan main-main la tok" ujarku. Aku memandang ke belakang, mereka berdua tiada di situ dah. Menghilang macam tu sahaja. Berderau darahku, bulu romaku menegak.

Akibat memandang ke belakang dan terkejut aku tidak sedar keretaku tiba-tiba laju sebab kakiku tertekan sepenuhnya pada pedal minyak. Aku kemalangan. Dan tidak sedarkan diri.
Aku sedar 3 bulan kemudian. Aku di bawa balik ke rumah orang tuaku. Mereka menceritakan aku kemalangan selepas simpang Batu 8. Baru aku teringat semula kisah yang aku lalui sepanjang perjalanan pulang itu. Aku bertanya tentang tok moh dan isterinya.

Mereka menceritakan bahawa kedua-dua mereka meninggal secara mengejut di rumah. Mereka dikebumikan sehari sebelum kemalangan itu berlaku. Bagaikan tidak percaya aku melalui suatu yang pengalaman yang sangat menyeramkan. Mujur juga aku masih diberikan kesempatan untuk hidup. 

Selepas sembuh sepenuhnya saya kembali bekerja seperti biasa. Aku tidak lagi berani balik kampung pada malam hari. Kisah itu benar-benar memberikan aku pengajaran.
Begitulah kisahnya, baca boleh, percaya jangan. Terpulang pada masing-masing menilai. Sebagai pengajarannya, mulut jangan celupar. Dan paling pantang, adalah bersikap riak pada sesuatu yang orang lain percaya kewujudannya.

TAMAT

Terima Kasih kerana sudi membaca.

Kisah tadi hanyalah sebagai pengajaran buat kita supaya jangan bersikap riak dan takbur. Simpang Batu 8 dan beberapa nama tempat adalah benar-benar wujud. Bagaimanapun nama watak dan kisahnya adalah rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

Ditulis: Justine Amping

2 comments: