Nakalnya Sebuah Persahabatan

Dimensi Dua Dunia

Nakalnya Sebuah Persahabatan

(1)
Siapa orang yang paling seronok bila bersama bila engkau berstatus bujang? Kekasih? Adik-beradik? Bagi aku ia adalah seorang bergelar sahabat. Mengapa? Dengan sahabat sahaja kita akan buat perkara gila-gila yang kita tidak pernah buat dengan mana-mana yang lain. Siapa yang pernah ada sahabat sejati korang tahulah gila level mana yang korang pernah buat.

Dalam sebuah persahabatan, pasti banyak benda yang kita pernah kongsikan. Tidak kira suka dan duka, yang pelik-pelik pun kita hanya berani kongsikan kepada insan yang bergelar sahabat.

Selepas makan tengahari aku mendapat sebuah panggilan kecemasan yang menyatakan sahabatku sedang dalam keadaan koma berpunca daripada strok haba dan sedang berada di wad hospital. Aku terpaksa menjadi waris yang menjaganya terlebih dahulu kerana keluarganya masih berada di luar negara atas urusan perniagaan. Lagipun, aku dan dia meletakkan nama waris kecemasan kedua yang perlu dihubungi adalah kami berdua. Maknanya jika salah seorang kecemasan, salah seorang juga akan dimaklumkan.

Bagaimana permulaan kami berdua menjadi sahabat sejati? Kisahnya, kami berdua adalah orang yang senasib. Kedua-dua ibubapa kami adalah ahli perniagaan. Kami berdua juga adalah anak tunggal. Ye la ahli perniagaan ni mana nak anak banyak-banyak. Seorang pun bukan mereka yang jaga. Selebihnya bibik jer. Mereka juga selalu berada di luar negara. Lebih menarik lagi apabila kami tinggal di kejiranan yang sama. Malah Universiti pun sama.

Korang tentu faham, bila dah namanya sahabat, ke mana sahaja kami selalu bersama. Nakal bersama, sedih bersama dan banyak hal juga bersama. Segala hobi dan minat juga menjurus pada benda yang sama.

Aku yang terkejut dengan perkhabaran itu, segera mengapai kunci kereta. Ku pandu kereta ku ke arah hospital. Memang tidak berasa pedal minyak ku tekan sepenuhnya. Bukan mahu menunjukkan betapa cemasnya aku. Tapi, dia adalah satu-satunya insan yang aku gelar sebagai sahabat yang sangat kusayangi.

(2)
Sampai sahaja di depan hospital aku segera berlari ke kaunter pertanyaan. Aku bertanya dengan jururawat yang ada di situ. Kelihatan mereka masih sibuk melayan kerenah yang orang lain. Aku tidak dilayan. Aku tinggalkan kaunter pertanyaan itu. Aku mencari sediri wad pesakit strok ditempatkan.

Akhirnya aku bertemu dengan nama sahabatku depan pintu sebuah wad. Aku Masuk. Kelihatan dia sedang berbaring di atas katil tidak sedarkan diri. Badannya penuh kabel sana sini yang aku sendiri tidak tahu maknanya. Apa yang pasti aku tahu dia sedang koma.

"Apesal kau boleh jadi macam ni" bisikku padanya. 

Nak kata aku nangis masa tu? Memang takla. Sedih ya la. Tapi tak la sampai menangis kerana sahabatku belum mati lagi. Ada peluang hidup lagi. Kalau aku menangis tu bodohla namanya, nampak sangat la aku mengharapkan dia mati.

Aku memang tidak pasti dia mendengar ataupun tidak. Aku terus bercakap meluahkan hati. Bahasa yang kami selalunya gunakan adalah bahasa rojak. Maaflah kalau korang tidak berapa jelas.

"Kau tahu, kau takkan mati dulu sebelumku, sebabnya aku tak suka bersedih bila jenguk kubur kau, lagi best kalau kau yang jenguk kuburku" ujarku tepi telinganya. 

Cara kami memang lantang dengan masing-masing. Sahabat la katakan, mana best tapis-tapis, sembur jer mana nak sembur. Depan orang tua lain la. 

"Wei kau bercakap boleh tak? Mana bolehkan? Kau kan koma" ujarku sebenarnya sebak bagai nak terkeluar dah.

"kau ingat aku suka sangat ke jaga jasad kaku macam ni? Kau ni memang lemah la, tu pasal kau baring camni, kamon bro, wake-up" ucapan ku keras tapi dada ku sangat sebak. 

"Aku nak rampas awek kau, kau apa tahu? Kau boleh buat apa hah? kalau kau boleh pukul aku, pukullah" sengaja aku bangkitkan rasa amarah dia agar dia semangat terus hidup jika dia dengar ucapanku itu.

"Kamon, wake-up bro, boleh kau tumbuk muka yang menyakitkan hati kau ni" tambahku lagi.

Nak sangat aku lihat dia terjaga dan benar-benar menumbuk muka ku. Yang pasti aku nak dia bangkit dan hidup depanku.

(3)
Aku tertidur menyandarkan kepalaku di katilnya. Aku pun tidak sedar bila aku terlena di situ. Apa yang pasti aku sangat sedih melihat sahabatku yang sedang baring kaku di katil tersebut. Tapi setakat ini aku mampu mempertahankan airmata lelakiku. Seperti yang aku kata tadi aku akan cuba tahan sedaya upaya kerana dia bukannya mati lagi. Apa yang kuharapkan dia kembali normal seperti dulu lagi.

Tiba-tiba aku merasakan kepala ku diusap kasar oleh seseorang. Aku terus bangkit dari lenaku. 

"Setan, kau dah sedar juga akhirnya ya?" ujarku sangat teruja kerana sahabatku telah sedar dari komanya. 

Syukur, aku ingatkan dia akan lama lagi koma, sedar dah sedar dia pun sudah membuka matanya dan tersengih memandangku. 

"Anjir, aku dengar apa yang kau ucapkan dari tadi tau" ujarnya. 

Ya aku kali ini tergelak sampai terkeluar air mata gembiraku.

"Kau tu hidup sebab doaku, aku memang tak mahu jenguk kubur kau dulu" ujarku sedikit kasar. 

"Bencila, apesal kau nak aku jenguk kubur kau pula? Silap-silap aku tak pergi pun majlis pengkebumian kau tau" balasnya pula. 

"Tak best kalau kau yang mampus dulu tau" ujarku. 

"Sebab kau tak sanggup menangis meratapi aku kan" balasnya sambil tersenyum sinis.

Apapun kami senyum puas. Tidak lama kemudian, ada jururawat datang untuk memantau keadaanya. Aku memberikan ruang pada jururawat muda itu memantau dirinya. 

"Kau ni beruntung, koma kau cuma seharian jer, apapun lepas ni jaga kesihatan tu" ucap jururawat itu tersenyum manis padanya. 

"Nurse, awak ni single lagi ka?" ucapnya berani. 

"Mengada" balas jururawat itu sambil tersenyum malu. 

"Aku ni kan hensem, pasti ramai terpikat" bisik dia padaku. 

"Awak ni perasan lah" ujar jururawat itu pula malu-malu. 

"Awak la perasan, aku cakap kat member aku ni ha" balas sahabatku pula. 

Jururawat itu pun berlalu pergi.

"Kau ni nakal tak habis la, sedangkan aku yang lebih kacak dan tampan berbanding kau dia boleh tak pandang langsung" ujarku sengaja memenangkan dia. 

"Eh betul juga dia langsung tak pandang kau la, dia terpikat aku jer kot" balas dia bersama senyum bangganya. 

Jelas dia sangat seronok. 

"Nurse tu comel juga kan? Aku nak test lagi la nanti, dia nampak aku atau kau" dia sengaja cabar aku.

Tidak lama kemudian, jururawat muda tu datang lagi. 

"Hai si cantik manis, datang nak tengok abang hensem ni ke pakcik sebelah tu?" sahabatku sengaja mengenakanku. 

"Ni nak lupa nak cucuk jarum kat awak ni" ujar jururawat sambil tersenyum padanya. 

"Dah jelas aku hensemkan" bisik dia padaku. 

"Awak ni tak habis-habis perasanlah" ujar jururawat itu padanya dan berlalu pergi tapi sempat menoleh semula pada sahabatku. 

"Yes, aku menang" ujarnya bangga kerana jururawat itu nampak macam berkenan padanya.

(4)
Kami berdua dapat buat perangai macam biasa, memandangkan dia sudah sedar. Mulalah perancangan nakal kami berdua. Kalau dulu dengar pasal hospital, yang terdahulu di kepala adalah bilik mayat. Rasa ingin nak pergi tengok bilik mayat dan rasakan sendiri keadaanya pada waktu malam. Itu menjadi salah satu plan aku nak ajak dia masuk curi-curi ke bilik tersebut. Pasti seram kat bilik tu kan?

"Eh, kau nampak tak budak tepi penjuru tu?" tanya dia padaku. 

"Mana? tak nampak pun" balasku. 

"Ada kat penjuru tu, cuba kau tengok elok-elok" ujarnya lagi. 

"Kau ni main-main la, aku tak nampak apa pun" balas ku pula dan memang aku tak nampak apa-apa. 

"Aku rasa aku dapat tengok hantu la, pasal lingkaran matanya gelap jer" tambahnya lagi. 

"Kau jangan mengarut la, dah kat hospital orang cerita memang macam-macam benda pelik" jelasku tidak mahu dia terasa pelik dan yang aku rasakan dia memang nampak boleh nampak hantu. 

Mungkin selepas dia sedar dari koma punya pasal la kot. Ni la pengaruh drama Korea.

"Wei ko boleh berjalan tak? Apa kata malam ni kita merayau nak?" cadangku. 

"Boleh, nak pergi mana?" tanya dia. 

"kita merayau mana-mana la, malam nanti kita pergi bilik mayat nak, dari dulu lagi nak tau suasana bilik tu, tak pun kita keluar pergi taman" cadangku lebih lengkap lagi. 

"cun juga idea tu, kalau kantoi memang kena la" balasnya sedikit semacam tidak setuju. 

"Biasanya waktu pertukaran shif, situ kita ada ruang tau, nanti kau tanya la awek nurse kau tadi tu" desakku. 

Akhirnya dia mengangguk setuju.

Oh ya. Terlupa pula, aku punya ruang waktu dan dibenarkan menjaganya lebih masa sementara menunggu keluarganya datang mengambil alih tugas menjaganya. Maklumlah aku juga waris keduanya. Yang tak bestnya, aku terlupa telefonku tertinggal di rumah terlupa semasa tergesa-gesa tadi. Nasib baik ada telefonnya yang ditinggalkan sepupunya semasa menghantarnya awal tadi. Kira dapatlah kami berdua mengambil gambar dan merakam sesuatu di hospital ini. Tapi kena jimat bateri la pula, sebab charger tada.

Jam sudah pukul 6 petang. Memang bosan juga la dalam hospital itu. Tapi tidak bosan apabila dua sahabat bersama ditambah lagi dengan rancangan nakal. Kalau dengan sahabat punya pasal benda bosan pun jadi seronok.

Dia mengambil banyak gambar selfie denganku. Namun, dia berjimat baterinya, sampaikan setelah mengambil gambar, telefon dimodekan ke paparan gelap. Lantak engkaulah kawan.

(5)
Makanan baru sahaja dihantar. Aku adalah penjaga sahaja, mana ada makanan untukku. Dia saja yang diberikan makanan. Mana boleh tengok dia makan sorang-sorang. Apa lagi aku pun melanyak makan dia bersama.

"Nampak macam sedap jer, makanan kau, nak sikit boleh?" pintaku dengan berhemat sangatlah. 

Wahal tanganku sudah pun mengapai lauk peha ayam gorengnya. Habis ku makan. Mukanya muncung. 

"Cam sial punya perangai" ujarnya.

Aku apa lagi, gelak la. 

"Aku makan lauk jer, kira ok la, kau makan nasinya" ujarku menyakat sahabat karibku.

Aku duduk atas kerusi roda yang disediakan untuknya, dan aku bermain-main dengan kerusi roda tersebut. Aku buat pelbagai skil semacam mengunakan basikal BMX yang kami pernah beraksi bermain di taman skate board dulu. Dia pula merakam perbuatanku. Katanya nak dijadikan eviden buat report kat pihak hospital pasal kenakalan ku. Hampeh punya member. Tapi aku tahu dia takkan report punya.

"Wei, budak tadi tu datang lagi bilik ni la" ujarnya. 

"Mana, kau saja nak takutkan aku kan? Aku balik biar kau sorang-sorang nanti baru tau" balasku menyakatnya. 

Rasanya memang sahla dia nampak hantu, sebabnya aku tidak nampak budak itu pun. 

"Jangan balik la wei, aku rasa macam pelik ja lepas aku terjaga dari koma ni" katanya lagi. 

"Pelik macam mana?" tanyaku ingin tahu. 

"Aku cuma nak pastikan saja, cuba kau tengok, pakcik sebelah belakang kau, kau ada nampak dia tak?" ujarnya separa berbisik. 

Aku pun putar kepala ku ke belakang, aku hanya nampak katil kosong yang tiada orang.

Aku perlu berbohong padanya atau aku perlu berkata benar? Dilema juga. Dia nampak apa yang aku tak nampak. Aduh, dah la dia ni memang jenis penakut.

"Nampak, dia tengah berbaring kat katil tu kan?" ujarku cuba berbohong sedangkan aku tak nampak sesiapa pun kat situ. 

"Dia pakai baju warna apa?" tanya dia mengesyaki aku berbohong. 

Oleh kerana dia pakai baju hijau muda kebiruan itu, maka aku pun jawab sebarang mengatakan dia pakai baju sama warna dengannya. 

"Nampak sangat kau pembohong, di pakai baju putih la, dan dia bukan baring, dia tengah berdiri memandang tepat ke arah kita" ujarnya.

Aduh aku kantoi la pulak. Ingat tekaan aku tu betul. Tak sangka yang dia tau aku memang tidak nampak apa yang dia lihat. Dia mengatakan orang tua itu mengatakan sesuatu. Tapi dia tidak mendengarnya. Seperti dia ingin memaklumkan sesuatu.

(6)
Dia nampak kerisauan kerana matanya sudah mula dapat melihat makhluk ghaib. Tapi, itu tidak mematahkan plan kami ingin ke bilik mayat malam itu. Dia juga kelihatan teruja.

"Kalau awek nurse tu datang lagi nanti, aku pergi sembunyi, kau tanya dia bila waktu shif bertukar" ujarku sebab ingin tahu waktu pertukaran shif. 

"Baik, aku akan minta nombor telefon dia sekali, aku berkenan juga dengan dia, kau jangan kacau daun ok mangkuk" balasnya.

Tidak lama kemudian, jururawat muda itu pun sampai. Apalagi, dia mengayat habis budak itu.

"Hai awak, sudah makan" tegur jururawat itu padanya. 

"Sudah, tapi masih lapar lagi la" jawabnya. 

"Tak cukup ke makan tu tadi?" tanya jururawat manis itu. 

"Tapi, saya bukan lapar makanan, saya lapar kasih sayang awak" ujarnya mengatal. 

"Awak ni mengadala" balas jururawat itu sambil tersenyum pada sahabatku. Jelaslah awek ni dah terpikat dengan kawan merengku itu.

"Eh awak, bila shif bertukar ya?" tanya dia. 

Bagus camtu la sahabat gila ku sambil dia mengenyitkan mata pada ku yang sedang bersembunyi di sebalik langsir. 

"Pukul 8 malam, kenapa awak tanya?" tanya jururawat itu padanya. 

"Kalau awak balik tukar shif, nanti saya rindu kat awak pulak" ujarnya mengatal lagi. 

"Esok saya bertugas juga, bolehla sembang-sembang" ujar jururawat itu padanya. 

Dah jelas, terpikat la tu. 

"Eh, awak dah ada boyfriend? Saya ni bujang lagi, minta nombor telefon bapak awak boleh?" ujarnya nakal lagi.

"Kenapa minta nombor bapak pulak?" tanya jururawat manis itu. 

"Ala, boleh minta kebenaran terus meminang awak" ujarnya lagi. 

Kawan aku ni kalau bab mengayat, memang celaka. 

"Eh, awak ni, nakal benar la" balas jururawat itu sambil tersipu malu.

kelihatan si adik manis menulis di sekeping kertas dan diserahkan pada sahabatku. Seronoklah dia dapat nombor telefon awek. Kemudian, jururawat itu berlalu pergi setelah menyemak tekanan darah dan memberikannya beberapa pil untuk dia telan.

(7)
Tepat jam 7.45 malam. Kami berdua bersiap sedia untuk ke bilik mayat. Dia pula masih perlu bergerak dengan kerusi rodanya. Keadaanya sebenar belum benar-benar pulih. Tapi, kerana keinginan dari dulu itu, kami berdua tetap bersungguh ke bilik mayat. Kerja gila.

Aku menyorongnya dengan kerusi rodanya itu. Kami berdua bersiul buat seperti hanya keluar melilau mengambil angin. Sambil bersembang entah apa-apa. Kat sini ada pelik. Orang yang berselisih dengan kami memandang semacam. 

Dan ada yang mengatakan "Gila ke lelaki itu, cakap sorang-sorang?". Lantaklah, diorang yang gila kot.

Tepat jam 8.00 malam, kami berdua sudahpun berada di depan bilik mayat. Kelihatan semua staf sedang sibuk. Ada yang baru datang, ada juga yang bersiap untuk balik. Inilah peluang. Aku mencadangkan dia menunggu depan pintu, sementara aku masuk dulu.

Aku melangkah perlahan dalam bilik mayat itu. Bau penstrillan memang kuat. Mayat kelihatan agak tersusun di atas trolli. Ada yang baru dan ada yang lama. Semuanya ditutup dengan kain putih. Aku memberanikan diri untuk melihat wajah-wajah mayat yang ada di situ. Memang menyeramkan. Suasana bilik yang suram. Ada juga mayat yang disimpan dalam peti. Memang seramlah juga tempat tu. Dah kita tahu semua yang ada kat situ adalah mayat.

Terfikir juga dalam hati, kalau-kalau mayat tu tiba-tiba bangkit macam dalam cerita yang pernah dilihat dalam kaca televisyen memang tak cukup tanah aku lari. Aku sekarang macam ada dalam kisah seram pulak. Kalau dalam TV tu ada tujuan. Aku pula saja-saja sebab ingin tahu. Fuh, rasa saspen sungguh.

Tiba-tiba aku rasa teringin tengok muka satu mayat yang ada kat suatu trolli. Langkahku perlahan. Dengan perlahan aku hampiri. Aku selak kain putih itu perlahan-lahan. Alamak! Wajah yang biasa aku nampak. Aku tergamam. Serius aku terkedu. Macamana boleh jadi begitu?

Patutkah aku menyembunyikan tentang mayat yang aku nampak itu dari sahabatku. Adakah dia akan menerima hakikat jika dia tahu kewujudan mayat itu? Patutkah aku berbohong lagi padanya?

(8)
Aku segera keluar. Aku bawa sahabatku ke bilik rawatannya sendiri. 

Dia tertanya-tanya. 

"Wei, apesal wei, aku pulak nak masuk la" dia bersuara. 

"Tak payah lah, tempat tu menyeramkan lah, aku tak rasa kau sanggup bro" balasku. 

"wei aku anak jantan la, bagi aku pulak masuk, aku pun nak tau apa rasa dalam bilik tu" ujarnya lagi. 

"Tak payah. Bukan soal penakut atau apa. Plis dengar okay" balasku tegas.

Sesampai di bilik rawatannya, barulah aku lega. Aku sebenarnya masih terkejut dengan apa yang aku lihat. Aku sendiri tertanya-tanya. Tapi aku tidak sanggup dia mengetahui hal itu. Aku jadi kemurungan. Aku tatap wajah sahabatku sepenuhnya. Serius aku tidak tahu apa nak buat apa masa tu.

Dia masih lagi terpinga-pinga. Nampak gayanya aku terpaksa berbohong lagi padanya. 

"Kau tahu, aku tak bagi kau masuk bilik itu?" ujarku. 

"Hah kenapa? Kau ingat aku takut ka?" balasnya. 

"Sebenarnya bilik itu kosong, tiada apa-apa kat situ, sia-sialah kau masuk, tambah lagi kalau kita kantoi, lagi rugi" aku cuba menyembunyikan apa yang aku lihat daripadanya.

Bagi menenangkan keadaan, aku mengajaknya ke taman. 

"Jom kitak lepak di taman, lagipun esok aku kena pergi dah" ujarku. 

"Oh ya kan, esok parents aku datang, tapi tak best la, aku tahu la ibuku tak suka aku berkawan dengan kau, tapi kita kan dah dewasa, takkan dorang masih berkira juga" jelasnya. 

Kami pun bergerak ke taman dalam kawasan hospital itu.

Kami mengimbau kenangan lalu. Semasa di zaman persekolahan. Kami berdua bolehlah dikatakan kategori budak nakal. Maklumlah kedua-duanya jarang mendapat kasih sayang sepenuhnya dari ibubapa walaupun hal kewangan kami tiada masalah. Pelbagai perbuatan nakal yang kami pernah lakukan. Tapi tidak ada level yang boleh memburukkan rekod persekolahan la.

"Kau ingat lagi ka masa kau kena denda dengan cikgu pasal kerja rumah yang kata dah buat, tapi buku tu hilang" tanya dia padaku. 

"Jap cuba ingat, oh yang tu, sepanjang waktu aku kena berdiri atas kerusi dan balik kena tulis hukuman ulang-ulang 500 kali ayat 'Aku janji siapkan kerja rumah'. Yang tu kan?" tanyaku. 

"Aku la yang ambik buku latihan kau, nak tiru tapi tak sempat nak kembalikan dalam beg kau, kalau aku kembalikan memang kantoi la aku meniru, dah la cikgu tu garang tahap Gaban" balasnya. 

"Patutlah, lepas balik buku tu pandai ada balik dalam begku, kau punya kerja paduhal" ujarku geram dengannya.

"Kau ingat tak kita pancitkan kereta cikgu, pasal kena marah ponteng punya pasal?" tanyaku. 

"Yang itu, aku ingat sangat la, sebab lepastu parents kita kena panggil pasal ada pengawas yang report" balasnya. 

"Lepastu, sebulan kita tak geng, parents tak bagi kita kawan" ujarku lagi. "Memang banyak kenangan nakal kita dulu, geng balik lepastu kita lebih cekap nakal" balasnya dan kami tergelak teringat kenangan lama itu.

(9)
Kami rancak bersembang di taman itu sehingga jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Sehinggakan kami dihalau balik oleh pak guard. Kami balik ke bilik semula. Kami menyambung semula sembang. Entah kenapa, bila bersembang dengan orang yang bergelar kawan ni, tidak ada apa yang boleh dikatakan bosan. Aku pula masih mengunakan baju hijau kebiruan. Dia sahabatku setia menemani aku di Hospital itu.

Mana lagi aku nak dapat seorang sahabat yang sanggup menemani sampai begitu. Dia bukannya tiada kawan lain. Tapi aku tahu, aku adalah keutamaan baginya. Aku pula selepas bangkit dari koma, rasa pelik. Aku dapat nampak hantu. Sial punya kawan, aku harap juga dia dapat nampak hantu supaya dia tahu apa yang aku rasa. Mungkin itu juga dia tak bagi aku ke masuk ke bilik mayat tu. Mungkin dia takut aku ketakutan.

"Kalau aku mati dulu, kau doakan aku masuk syurga boleh ka?" tiba-tiba dia cakap macam tu. 

"Taknak la, sebabnya aku akan mati dulu, mana nak sempat doakan kau, aku pun tengah tidak sihat" balasku. 

"Kalau kau pergi dulu, bagi aku nombor loteri boleh?" ujarnya. 

"O banyak cantik, kau kaya, aku tidur dikubur" balasku. Dia tergelak. 

Tapi aku perasaan mukanya tergelak dengan dibuat-buat. Lebih jelas riak mukanya kelihatan sedih.

"Kau nampak macam tak ok jer, kenapa sedih ni? Putus cinta ka?" tanyaku. 

"Eh, mana ada, aku ok jer" balasnya seperti menyembunyikan sesuatu dari ku. 

"Aku dah lama kawan dengan kau, aku kenal kau, kalau muka monyok macam kena hempap tong sampah tu, mesti ada masalah punya, kongsilah, aku kan sudah biasa jadi telinga kau" ujarku memujuknya meluahkan isihatinya. 

"Entahla, tak tau nak jelaskan, serius aku sebak bro" ujarnya dengan tiba-tiba airmata lelakinya yang tidak pernah ku lihat sebelum ini mengalir dipipinya.

"Aku perasan, kau tiba-tiba berubah setelah keluar dari bilik mayat tu, atau ada apa-apa yang kau lihat dalam bilik tu ka?" tanyaku. 

Kerana aku perasan dia memang murung setelah keluar dari bilik itu. Tidak seperti dirinya masa mula-mula melihat aku bangkit dari koma. Dia masih membisu.

Jangan-jangan aku telah mati sebenarnya. Apa mungkin dia melihat mayatku di bilik mayat itu. Apakah itu puncanya dia bersedih dan aku dapat melihat hantu?

"Wei, kau cakap kat aku, apa yang kau lihat dalam bilik mayat tu sebenarnya? Cakap wei" tegasku. 

"Tiada apa-apa bro" ujarnya. 

"Jika kau tidak bagitahu, aku akan pergi ke bilik itu sekarang juga" ujarku mengugutnya. 

"Jangan bro, plis jangan, aku merayu sangat" rayunya membuatkan aku tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku di bilik mayat itu tadi.

(10)
Aku jadi tidak sabar, aku turun dari katil dan mendapatkan kerusi rodaku. Aku segera meluru menuju ke blok bilik mayat. Dia tidak mampu menghalangku. Dia tahu perangaiku jika ingin tahu, aku tidak akan peduli pada sebarang risiko. Sampai di depan bilik mayat itu. Aku lihat ke kiri kanan, tiada yang berkawal. Aku menerjah masuk.

Satu persatu mayat itu aku selak. Dia berdiri di sebelahku hanya menangis. Aku tidak memperdulikannya. Aku memang tidak puas hati. Aku mesti tahu apa yang dia lihat sebenarnya. Aku menghampiri sebuah troli mayat di suatu sudut. Aku selak, aku lihat wajah yang sangat aku kenal. Dia adalah mayat sahabatku sendiri. Ku lihat tag dikakinya, jelas tertera dengan nama penuhnya. Aku tergamam tidak tahu buat apa-apa. Macamana semua ini terjadi. Sungguh aku tidak dapat menerima hakikat bahawa dia sahabatku adalah tuan punya mayat. Serentak dengan itu tiba-tiba penglihatan aku gelap.

Aku terjaga di atas katil rawatan ku. Segera aku mengapai telefonku. Jam 8.00 pagi. Ku lihat semua gambar selfie ku dengannya. Yang kelihatan hanya gambar aku sahaja. Aku cari video yang aku rakam. Semuanya video aku cakap sorang-sorang. Aku lihat video kerusi roda melambung-lambung sendiri.

Aku tidak puas hati. Apa yang terjadi benar-benar menyebabkan aku keliru.

Jururawat yang selalu merawat aku tiba di situ. 

"Nurse, awak nampak kawan saya tak?" tanyaku. 

"Kawan yang mana? Mana ada orang melawat awak pun" balasnya. 

"Kawan yang selalu bersembang dengan saya, yang paling selalu bersama saya tu nurse" ujarku lagi. 

"Siapa nama dia?" tanya jururawat itu. 

Saya memberitahunya nama sahabatku itu.

"Jap, kalau nama kawan awak adalah yang itu, semua orang kat hospital ini tahu kejadian dia meninggal kerana kemalangan depan gate hospital ini semalam dan mayat dia masih belum dituntut" terang jururawat itu panjang lebar. 

Aku terdiam membisu. Siapakah yang bersamaku sepanjang masa di hospital ini rupa-rupanya roh sahabatku.

Airmataku tidak dapat tertahan, terus terkeluar dari kelopak mataku. Sampai hati kau mendahuluiku sahabat? Hanya kamulah sahabat tidak terhingga. Aku doakan syurga buatmu.

TAMAT!

Sekian, terima kasih sudi membaca

Kisah ini adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun telah meninggal.

Kredit kepada Mezzo David yang telah menyumbangkan idea.

Ditulis: Justine Amping

No comments:

Post a Comment