Tamak haloba



Dimensi Dua Dunia


Tamak Haloba 

1. Pengenalan

Aku Kent adalah seorang anak kampung yang masih belajar di sebuah sekolah di kawasan pendalaman. Aku punyai seorang sahabat sekampung yang sama tingkatan denganku bernama Corry . Kami berdua mempunyai sikap yang unik dan suka mengkaji sesuatu yang pelik. Lantaran rasa ingin tahu kami berdua selalu mengekplorasi apa saja yang unik dan perkara misteri di kampung. Ala-ala penyiasat remaja gitu.

Alkisah ini bermula apabila kami berasa sangsi dengan kekayaan yang dimiliki oleh ketua kampung kami. Dia mempunyai tiga orang isteri yang muda, manakala isteri pertamanya meninggal secara misteri. Kami perasan, dia tidak bekerja. Tetapi mempunyai harta dan kekayaan yang melimpah ruah. Perkara tersebut telah menarik perhatian kami berdua. 

Walaupun kami berdua baru tingkatan empat, kemahiran berfikir yang diterapkan dalam minda kami berdua oleh cikgu-cikgu di sekolah menjadikan kami ligat berfikir dan bersikap sentiasa ingin tahu selaras dengan kematangan usianya. 

Aku dan sahabat berjiwa penyiasat ini selalu melepak di perhentian bas. Walaupun bergelar pendalaman kampung kami adalah di persisiran jalan raya. Setiap kali hujung minggu melepak di perhentian bas adalah hobi kami berdua. Bukan tak rapat dengan remaja lain, tapi kami berdua yang lebih sama kepala. 

Suatu petang kami melepak di perhentian bas. Merancang apa siri penyiasatan seterusnya. "Eh aku dah lama perhatikan perkara ni, bagi aku memang pelik la" ujarku. "Apa yang pelik?" tanya sahabatku. "Kau perasan tak ketua kampung kita tu?" tanyaku menimbulkan tanda tanya pada Corry. "Beristeri muda, tiga orang pulak tu, kau jeles kat dia ke?" balas Corry separa melawak.

"Apa pulak nak jeles? Kau tak rasa pelik ka? Orang kampung semua tidak berani menentang dia, dia dahla tak kerja, dari mana dia dapat duit semua tu?" sengaja aku bangkitkan isu menarik minat Corry. "Betul juga, pelik juga kan? Tapi tak baik la buat syak wasangka buruk gitu" balas Corry. "Bukan syak buruk, tapi rasa ingin tahu la macamana dia dapat semua tu" jelasku.

"Aku tau, kau nak ajak aku buka fail baru le ni" Corry menyakat aku. "Rasanya ini fail siasatan baru kita bro, amacam ada berani nak buka fail baru ka?" tanyaku mengumpan si Corry. "Aku nohal bro, macam tak biasa, lubang cacing pun kita pernah kaji" balas Corry melawak dan seperti sudah setuju dengan ku. Nampaknya ada tugas gila-gila yang kami akan mulakan.


Tamak Haloba
2. Cuti Panjang

Cuti akhir tahun yea. Tahun depan masuk tingkatan 5. Cuti akhir tahun ni memang panjang la. Bosan juga kalau tiada aktiviti. Cuti akhir tahun ni plan nak buat macam-macam. Tingkatan 5 pulak, tahun depan punya cerita la, tahun ni kira nak santai dulu.

Hari pertama cuti, aku bersemangat nak jumpa Corry teman seotak denganku. "Corry o Corry mana kau bro" Aku terjerit-jerit depan rumah Corry. "Hello my friend, long time not see" balas Corry. "Long time not see kepala hotak kau, semalam lepak kat bus stop dengan aku tu siapa? Hantu?" ujar Aku bergurau kasar dengan si Corry. "Kau ni, main-main sebut hantu, aku belum mati lagi, maka belum bergelar hantu bongok!" balas Corry.

"Dah tukar topik, aku datang nak ajak pergi mengail harini" ujarku terus kepada plan. "Kau dah cek sungai ke? Air sesuai ke?" Tanya si Corry. "Dah, sebelum datang ke rumah kau aku jenguk sungai dulu, air sungai cun" jelasku. "Jap, aku bersiap dulu" ujar si Corry. Dia pun masuk semua ke dalam rumah. Tidak lama kemudian dia muncul balik siap dengan set mengailnya. 

Setelah mengali umpan cacing kami berdua mengayuh basikal ke hulu sungai. Apalagi, sampai kat sungai kami menjalankan aktiviti mengail. Ha dalam pada itu. Kami berbincang dengan rancangan penyiasatan tak bertauliah tu.

"Malam ni, kita usha rumah ketua kampung nak? Lagipun dengar dia dan isteri-isterinya keluar bercuti" aku mulakan cadangan. "Kau berani ke bro, tak pasal nanti kita dituduh mencuri pulak" balas Corry ragu-ragu. "Ala kita bukan masuk pun, kita lepak dekat bus stop yang dekat dengan rumahnya, kita guna teropong ajaib" jelasku mempertahankan idea. 

"Teropong ajaib betul ka bro?" tanya Corry dengan soalan bendulnya. "Teropong aritu la, yang kita beli kat pasar malam tu" jelasku. "Ok aku on saja bro, aku dah lama usha pelik stor belakang rumah dia tu bro" ujar Corry. Ketua kampung tidak pernah bagi sesiapa masuk ke bahagian belakang rumahnya. Dengar cerita, isterinya sendiri pun tak dibenarkan ke bahagian belakang rumah. 

Kami terus mengail dan ada juga dapat ikan Keli dan ikan sungai yang lain. Tapi rancangan kami lebih menarik Malam nanti. Kami berdua sangat teruja nak buat operasi penyiasatan. Kesempatan diambil sepenuhnya kerana tuan rumahnya sedang bercuti.


Tamak Haloba 
3. Bersedia

Malam itu aku dan Corry bersedia di perhentian bas. Dari situ kami berdua meneropong rumah Ketua kampung. Teropong tu pula jenis boleh digunakan untuk melihat pada waktu malam. Memang tak sabar. Masa tu baru jam 7:30 malam. 

"Wei aku dengar, dia da bela benda pelik-pelik la" ujar Corry. "Habis tu! kau takut la?" aku sengaja mencabar Corry. "Takut tu tak la bro, cuma..." balas Corry. "Cuma apa? Takut bagitau la takut, kita kencel projek ni" ujarku sengaja menambah cabaran. "Dah nak siasat kita siasat la betul-betul, apa nak kensel, ke kau yang takut?" Corry pula mengenakan aku.
Kalau kami bergerak pada waktu ni, kemungkinan orang kampung akan perasan kami menyelinap ke kawasan rumah Ketua Kampung. Kami terpaksa tunggu lewat sikit. Tunggu orang kampung kebanyakannya sudah tidur. Haiya macam orang nak merancang mencuri pula. Kalau kena tangkap boleh naya kami berdua ni.

Sambil menunggu lewat malam kami berdua pun bersembang merapu di perhentian bas tersebut. Kami berdua mengumpat pasal ketua kampung. La bukan mengumpat, hakikat ketua kampung ni memang tamak dan menguasai segala apa benda yang sepatutnya diserahkan kepada orang kampung tapi dia buat reta sendiri. Dia sapu semua. Dahla cakap serupa bagus berucap di balai raya. 

Tapi memang pelik, tiada sorang pun berani membantah. Walaupun mereka sedar semua orang ditindas. Kami yang remaja ni pun perasan penindasannya. Barang seperti baja dan segala subsidi dia kebas semua. Dengar cerita, malah dia jual baja-baja tu pada orang kampung. Padahal, semua itu hak orang kampung. 

Lagi best, tiada sorang pun dari kampung kami ni pernah masuk universiti. Kenapa? Semua mak bapak budak kat kampung ni diracunnya minda bahawa kalau budak-budak tu berjaya, mereka akan tinggal di bandar dan tidak akan balik kampung dah. Memang pernah sebuah keluarga dulu, anaknya berjaya, dan mereka berpindah terus ke bandar. Dia menjadikan itu salah satu contoh alasan kenapa dia tak bagi rakyatnya bersekolah tinggi. Tambahnya lagi, mereka akan habiskan duit ringgit dan harta orang kampung untuk menyambung belajar.

Tapi lain pula yang kami dapat semasa sedang belajar di sekolah. Guru-guru menggalakkan kami belajar tinggi-tinggi. Supaya dapat mengubah taraf ekonomi keluarga. Pendapat ini sangat bertentangan dengan kenyataan Ketua kampung kami.


Tamak Haloba 
4. Penipuan

Jam masih lagi awal. Jarum jam baru menunjukkan pukul 9 malam. Kami berdua terus bersembang. Masa ni tada nyamuk dah. Awal tadi jer nyamuk banyak. Kami berdua terus bersembang pasal Ketua kampung. 

Kampung kami ni agak terpencil juga. Masyarakatnya tidaklah ramai. Tetapi kebanyakkannya sudah berumur. Manakala yang muda mudi tidak menetap di kampung. Ramai di antara muda -mudi berkerja ke bandar. Manakala banyak juga yang sudah berpindah tidak tahan dengan cara pentadbiran ketua kampung ni. 

Di antara penipuan yang paling hebat dilakukannya terhadap orang kampung adalah pasal tanah. Dia menyewakan tanah orang kampung kepada pengusaha swasta dan mendapatkan tandatangan orang kampung bahawa kadar sewa tanah adalah 10% untuk orang kampung. Padahal pengusaha swasta memberikan 30%. Maka setiap 20% masuk poketnya. Itu baru seorang. Kalau satu kampung? Bayangkan bertapa liciknya dia.

"Kau pasti ke nak buat kerja ni?" tanya Corry. "Kalau kau takut kita stop saja la, biar orang kampung terus kena tipu" ujarku. "Aku bukan apa, kalau kita kantoi macam mana?" tanya Corry sekejap berani sekejap tidak yakin dengan pendiriannya. "Baiklah kalau kau memang tak berani, kita kensel ok?" tanya aku. "Aku nak juga tau apa benda yang membuatkan dia berkuasa" balas Corry. 

Dalam kami berdua bersembang, tiba-tiba lampu rumah Ketua kampung menyala. Tapi tidak lama, kemudian ia terpadam kembali. "Kau nampak apa yang aku nampak?" tanya Corry kerana kami berdua sama menghadap ke rumah tersebut yang dari tadinya gelap gelita. "Nampak lampu rumah tu buka dan tutup balik" balasku. "Bukan dia dan isteri-isterinya tiada di situ ka?" tanyaku untuk kepastian. "Betul la mereka bercuti, jiran sebelah rumah tu yang bagitau saya semalam" jelas Corry. 

"Kau betul-betul pasti ke?" tanyaku lagi. "Pasti sangat la, nak tanya kat jiran dia sekarang pun boleh, mereka bercuti ke Bali" balas Corry yakin. "Habis tu lampu tu sapa nak jelaskan?" tanyaku lagi. Dan Lampu rumah itu menyala lagi. "Jangan ada pencuri mendahului kita" ujar Corry. Aku mengambil teropong dan cuba memerhati apa yang berlaku di rumah itu. 

Tiada apa-apa yang kelihatan. "Eh jap, macam ada seorang nenek berjalan dalam rumah tu la" ujarku. "Kau biar betul Kent! Dia mana ada orang tinggal bersamanya selain tiga orang isterinya, malah anak pun dia tiada" balas Corry yang sememangnya mengenali Ketua kampung lebih dekat. Aku memberikannya teropong itu dan Corry mula meneropong. "Eh betul la, macam ada seorang nenek bongkok berjalan" ujar Corry. "Jangan-jangan isteri pertamanya kot?" tanyaku. "Gila kau, isteri pertama dia sudah meninggal la" balas Corry.


Tamak Haloba
5. Bau

Sekali lagi lampu rumah tersebut terpadam lampu. Keadaan ini membuatkan rasa ingin tahu itu semakin membuak. Rasa ingin tahu apakah yang ada di dalam dan luar rumah tersebut. Biarpun rasa takut itu ada mengganggu, namun ia tewas kepada rasa ingin tahu.

"Aku tak sabar dah ni, kita menyelinap dari belakang rumah tu dulu" ujarku sudahpun berdiri bersiap sedia. "Jom la, sebelum kepala ni bertukar jadi penakut" balas Corry juga tidak sabar sepertiku. Kami pun mula melangkah menuju ke bahagian belakang rumah tersebut. 

Gelagat kami tidak tumpah seperti pencuri. Wahal bukan nak mencuri pun. Niat kami cuma ingin menyiasat apa entah, kami pun tidak pasti apa yang cuba kami selongkarkan.
Sampai kat bahagian belakang rumah tersebut kami terhidu bau yang kurang menyenangkan, bau busuk semacam. Semakin hampir dengan sebuah pondok seperti pondok pemujaan, bau itu semakin kuat. Si Corry dan aku terpaksa menahan nafas tidak mahu bau itu mengganggu rongga hiding kami. 

Berdekatan pondok itu, kelihatan sesuatu seperti hati ayam mentah yang sudah berulat diletakkan atas sebiji piring. Di sekitarnya ada beberapa batang lilin merah telah terpadam. Di situ juga ada setapak pinggan kesan ada pulut kuning seperti telah dimakan. Agak berselerak juga.

"Corry, pintu tak berkunci la" ujarku berbisik sambil menolak daun pintu belakang rumah tersebut. "Kita masuk je la" balas Corry. Setelah daun pintu buka sepenuhnya, semacam ada deruan angin keluar dari rumah tersebut. Serta merta bulu tengkukku meremang. Aku senyapkan diri tidak ku maklum pada si Corry, risau dia mengundur diri pula.

Kami melangkah perlahan masuk ke dalam rumah tersebut. Mulanya tiada apa yang pelik selain tadi. Bau busuk yang kami hidu di luar tadi perlahan digantikan bau wangian yang semerbak. Dalam hati bercampur rasa takut dan ingin tahu yang memuncak.


Tamak Haloba
6. Nenek Misteri

Agak seram sejuk terasa masuk ke dalam rumah tersebut. Sebelum kami memang pernah mendengar orang kampung berkata, rumahnya memang selalu tidak berkunci. Dia sangat yakin tiada siapa berani menerjah masuk ke rumahnya. Tapi berlainan dengan sifat kami berdua ini, sikap dia membuatkan kami rasa ingin tahu lebih dalam tentang dirinya. 

Kaki melangkah perlahan, dalam rumah itu memang sunyi sepi. Tiba-tiba lampu rumah itu menyala. Mata jadi silau pula. Segalanya nampak jelas dalam rumah. Aku dan Corry jadi kaku tidak berganjak masih dalam keadaan separa mencangkung. Tiada apa-apa kedengaran selain cahaya lampu yang terang benderang. 

Kami kembali melangkah perlahan-lahan cuba masuk ke ruang selepas ruang dapur. Alamak kelihat lembaga seperti nenek tadi di hadapan. Nyaris aku terjerit, terkejut. Aku mengundur dengan perlahan. Mulut ku muncung menunjuk supaya kami berundur. Corry mengikut sahaja cadanganku. 

Tiba-tiba lampu rumah itu kembali terpadam. Aku masih tidak puas hati untuk melihat segala apa yang didalamnya. Penyiasatan ini tidak harus terbantut di sini. Kami harus berjuang sampai ke penghujungnya. Egonya diri melawan rasa takut.

"Corry, aku nak masuk juga, aku nak tahu siapa nenek itu" bisik ku pada Corry. "Aku pun sama, rasa tak puas hati jer" balas Corry. "Nenek tu siapa sebenarnya" tanya separa berbisik. "Kalau dia bukan manusia macam mana?" tanya Corry, nampak dia sudah seperti ada kehilangan keyakinan. "Aku tak peduli, alang-alang menyeluk pekasam, biar busuk semua lengan" ujarku. "Sempat melawak bangang juga kau Kent" ujar Corry sambil menutup mulutnya yang macam nak tergelak.

Kalau waktu siang, rumah ini memang tidak dapat nampak dari luar, kerana cermin tingkapnya bertinted. "Kau nak teruskan ke tak?" tanyaku. Aku juga macam tidak yakin dengan diri. "Teruskan je la, alang-alang menyeluk pekasam kan?" balas Corry memperli aku. Ish aku pula kena. "Kita tangkap nenek tu, apa nak jadi-jadila, lepastu kita soal dia, macamana?" cadangku agak nekad. "Setuju, kita sama-sama tangkap dia" balas Corry.

Lampu rumah tu kembali menyala. Kali ini kami memberanikan diri. Melangkah perlahan ke depan menuju ke ruang tadi. Krennnnngg! Kanggggg! Bunyi periuk jatuh pula kar ruang dapur tu. Langkah kami mati lagi. Kami sekali lagi membatukan diri. Macamana entah kaki si Corry tersentuh sesuatu menyebabkan kuali tepi dinding itu terjatuh. Aduh. Jantung mula mendebar pula. Tapi rumah itu tetap senyap sunyi.


Tamak Haloba
7. Hilaian Seram

Lampu rumah tu terpadam lagi. Keadaan kembali senyap. Kedengaran desak nafas kami berdua yang agak jelas. Nampak benar kami berdua sebenarnya sedang cemas. Kadang-kadang tu terpaksa menahan nafas. Rasa menyesal juga buat kerja gila begini. Dah la menyelinap macam pencuri. 

"Kent, kita masuk kalau lampu terpadam sekali lagi, kita tunggu dulu" bisik Corry. "Okay" balasku ringkas. Kami masih membatu di situ menunggu lampu padam kembali. Sambil mata melilau di ruang dapur itu. Ruang dapur itu agak berselerak. Biar betul dia ni, isteri sampai tiga orang, mengemas pemalas bisikku dalam hati.

Lampu terpadam kembali. Aku mencuit Corry yang dibelakangku tanda masa bergerak masuk, dan aku tolak daun pintu ke ruang seterusnya perlahan. Kami masuk ke dalam dan cuba mengambil posisi masing-masing untuk menangkap nenek tadi tu. Tiba-tiba kami terdengar bunyi kekekan halus dan bunyi perempuan mengilai datang dari sebelah bilik. Dalam ketakutan kami terus berundur semula ke ruang dapur dan bergerak keluar dari rumah itu. Kami berlari semula ke perhentian bas.

Termengah-mengah juga sampai kat situ. Gila, sapa tak lari dengar bunyi hilaian tu. Degup jantung macam dah berlari marathon. Tidak lama hilaian itu hilang kembali. "Wei, kau pernah jumpa hantu tak?" tanya Corry tidak teragak-agak. "Tak, kau?" balasku. "Aku memang tak pernah, ini mungkin kali pertama aku alami" ujar Corry. "Macamana ni, malam ni je peluang kita, dia dan isteri-isterinya akan balik esok" tambah Corry. "Errmmm kau rasa?" aku seperti tidak yakin.

"Pekasam ada banyak dalam tu" ujar Corry melekehkan aku. Hampeh punya member. Nampak benar dia mencabar aku. "Kau tak takut ke?" tanyaku. "Kau pernah dengar orang kampung kita mati dimakan hantu ke?" tanya Corry padaku pula. Aduh celaka betul, aku pula benar-benar tercabar. "OK, kita masuk balik, hilaian atau apa jangan undur" tegasku. Kami Sepakat masuk balik.

Kami sekali lagi bergerak perlahan menyelinap ke belakang rumah tersebut seperti dari mula tadi. Sampai di belakang, bau busuk tadi menusuk ke lubang hidung. Tahan je la. Dekat dengan pintu dapur, wangian semerbak yang sama kami hidu. Jantungku memang laju berdebar, lututku agak menggigil juga la. Namun, hati ini kena kental setelah dicabar Corry tadi. 

Kami menunggu lampu terpadam balik. Lampu ni pun pelik juga, kejap tutup kejap padam. Hairan betul. Dalam masa yang sama dapat kurasakan peluh dinginku membasahi dahi. Cisss, nyesal juga buat kerja gila ni. Semakin mencabar, semakin tinggi pula rasa ingin tahu. Lampu suluh memang kami belum gunakan lagi. Bukan pasal jimat bateri. Sebab setakat ini tidak memerlukan. Lampu mula terpadam balik. Kami menyelinap masuk ke ruang tadi.


Tamak Haloba
8. Terbongkar 

Dengan perasaan penuh berdebar aku dan Corry melangkah masuk dalam ruang satu lagi. Lampu menyala aku menerkam memeluk tubuh nenek tua yang kelihatan di depan kami. Corry pula segera mencari suiz lampu. Benarlah kata orang akibat terlalu takut, hati jadi berani. 

Tapi apa yang ku peluk tadi tidak melawan langsung malah aku jatuh tumbang bersama sekali. Ternyata ia adalah sehelai kain yang di sumbat dengan bantal. Rumah itu jadi terang benderang, aku tahu Corry berjaya menghidupkan semua lampu. Di ruang tersebut, kelihatan kabel bersama rel yang mengerakkan bantal yang dibentuk semacam bayangan nenek tua. Ia adalah suatu trik sebenarnya. 

Perh, dari situ kami berdua lega. Rasa takut terus hilang. Tapi tidak lama kemudian bunyi hilaian juga berbunyi. Kami berdua pun gelak sama. Dan terus mencari arah bunyi hilaian dari sebuah bilik di situ. Ternyata juga ada tali tangsi halus yang bersambung ke pintu ruang dapur tadi menyambung ke suatu suiz ke pemain pita rakaman. Ia adalah kaset yang memainkan suara hilaian. Sekali lagi trik itu kantoi. Memang bijak juga dia meninggalkan rumahnya dengan trik seperti itu.

Kalau kami berdua putus asa tadi sekaligus bermakna dia berjaya menakutkan kami berdua. Tapi trik-triknya sudah terungkai. Kami berdua terus mengeledah di rumah itu. Apa yang kami dapati dari sebuah bilik berkunci yang berjaya dibuka dengan jarum dan dawai oleh Corry sangat mengejutkan. Di situ terdapat dokumen dan segala rahsia kekayaan, penyelewengannya terdedah. Banyak dokumen palsu dan penipuannya kami baca satu persatu. 

Bilik itu bagaikan sebuah bilik harta karun. Dia menyimpan segala harta bernilai dalamnya. Kami bukan berniat mencuri, kami hanya mencari kebenaran. Jadi, aku dan Corry sepakat mengambil dokumen penyelewengannya sahaja. Maka, esok pagi kami berdua bersetuju bertindak melaporkan semua itu kepada pihak berkuasa.

"Sampai hati dia mengambil hak orang kampung kerana segala ketamakan dan kerakusannya terhadap kuasa" ujar Corry. "Kita sudah berjaya menyiasat dan kita kena keluar berhati-hati sekarang" balasku. "Kita bawa semua dokumen ini ke balai awal pagi esok sebelum dia balik ke rumah" ujar Corry lagi. "Kita tidak perlu cerita dengan orang kampung semua ini dulu" cadangku. "Betul, saya sokong, biar pihak polis menguruskan hal ini lepas ni" balas si Corry.

Kami berdua menutup semua suiz dan mula nak keluar dari rumah tersebut. Tiba-tiba kami mendengar suara menangis dayu-dayu yang menyeramkan dari luar rumah tersebut. "Ada lagi trik dia ni ya?" ujar Corry bersahaja. "Wei, trik lagi ke ni?" tanyaku. Tapi suara itu sangat menyeramkan. Sehingga meremang lagi bulu roma dibuatnya.


Tamak Haloba
9. Tangisan

Bunyi tangisan itu semakin jelas. Aku antara percaya itu adalah trik lagi atau betul-betul. Aku dan Corry saling berpandangan, kami kaku berdiri. Cuba meneliti bunyi tangisan yang kami dengar. Dalam hatiku tiada lain iaitu buat langkah seribu kali ini.

"Corry, kita lari je lah, kita dah dapat segala dokumen ni" ujar ku. "Benar, nanti kantoi dengan orang kampung lagi naya kita dituduh mencuri" balas Corry. "Kent, aku tak sedap hati pula dengar bunyi tu" tambah Corry berbisik pada aku. "Aku pun sama" balasku. 

Kami berdua melangkah keluar dari rumah itu perlahan. Dengan perasaan yang kembali berdebar-debar kami berdua terus berlari keluar. Sampai di perhentian bas kami berhenti di situ. Barulah bunyi tangisan itu tidak kedengaran lagi. Bulu roma masih meremang semacam.
"Wei dokumen ada dengan kau kan?" ujar Corry. "Ya ada dengan ku" balasku. "Kita bermalam di rumah ku saja malam ni, memandangkan rumahku leih dekat" ujar si Corry mencadang. 

"Bolehla, esok kita pergi balai terus" balasku lagi. Kami balik ke rumah si Corry. Dan sampai di rumahnya kami membasuh kaki dan mencuci muka sebelum masuk ke rumah.
"Apa kamu berdua buat merayau tengah malam macam ni,?" tanya ibu Corry. "Tiada apa makcik, saja duduk kat perhentian bas melayan si Corry menyembang" balasku sengaja menyembunyikan hal sebenar. "Mak, ada nasi tak? Lapar la pula" sampuk si Corry. "Kamu berdua cari sendiri la kat dapur tu" balas sang ibu. Aku dan famili si Corry ni memang dah macam saudara sendiri. Mereka tidak kisah kami berdua berkawan, kerana mereka tahu kami bukan seperti budak-budak lain yang nakal.

Malam itu, aku dan Corry membaca segala dokumen tersebut. Memang sangat banyak bukti penyelewengan ketua kampung tersebut. Sampai kami berdua pun menggelang-gelengkan kepala membacanya. 

"Wei, kau rasa yang kita dengar tadi tu trik atau betul-betul?" tanyaku. "Entahla, nak kata trik tapi suara tu dari luar juga" balas Corry faham soalanku. Seram juga bunyi tangisan mendayu-dayu tadi tu. Meremang lagi bulu romaku teringatkan bunyi tangisan itu. Apa pun yang pasti kami berdua nekad melaporkan hala penyelewengan tersebut ke balai polis.


Tamak Haloba
10. Ditangkap

Selesai melaporkan ke balai polis kami berdua pun singgah dulu di pekan untuk menjamah kolo mee. Misi kami sudah selesai, sekarang terpulang kepada pihak berkuasa pula. Dari perbualan semasa di balai tadi, kami pasti pihak berkuasa akan bertindak terus hari ini. 

Macam biasa port melepak kami adalah di perhentian bas. Membincangkan sebarang topik yang menjana minda. Dalam tengah bersembang di situ, kami nampak sebuah kereta peronda dan sebuah lori 3 tan polis datang ke rumah ketua kampung. 

Polis menyita semua barang yang ada dan mengeledah isi rumah. Malah mereka berjaya mengesan mayat tanpa kepala dengan anjing pengesan di kawasan belakang rumah tersebut. Kami kira itu adalah mayat isteri tuanya kali. Apakah suara dia yang kami dengar menangis mendayu-dayu malam tadi? 

Dalam minggu tersebut kami mendengar ketua kampung tersebut telah diberkas dan ditanggap polis. Manakala tiga orang isterinya memohon penceraian darinya. Bagaikan habis madu sepah dibuang nasibnya. Begitulah akibat sikap tamak halobanya akhirnya memakan dirinya.

Mendengar perkhabaran tersebut, semua orang kampung bermesyuarat dan melantik ketua kampung yang baru. Akhirnya kampung tersebut kembali maju. Hak ka atas tanah dituntut masing-masing. Pihak penguasaha tanah secara haram juga turut ditangkap kerana mengamalkan rasuah bersama ketua kampung.

Namun, kami berdua tidak mendedahkan bahawasanya kami berdualah yang menyelongkar penyelewengan ketua kampung. Sehingga kini tiada yang tahu jasa kami berdua. Apayang pentind adalah kampung kami kembali aman dan semakin maju tanpa ketua yang korup. 

Kerana minat terhadap penyiasatan akhirnya kami berdua juga menamatkan pelajaran dan menyertai akademi pegawai PDRM. Kami memilih bertugas di bawah bahagian siasatan. Maka bermulalah siri baru kehidupan kami berdua dalam menjalankan tugas sebagai penyiasat khas. 

Tamat....

Kisah ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Watak dan nama adalah rekaan semata-mata. 

Terima kasih kepada Mary Lementan Bhoo yang telah memberikan inspirasi kepada kisah rekaan ini.

Ditulis: Justine Amping

No comments:

Post a Comment