Kekasih Misteri

👻 Dimensi Dua Dunia👻

🌸Kekasih Misteri


Sesat

Alunan rambutnya sangat lembut dihembus angin malam. Wajah redupnya jelas ayu disinar bulan. Sangat mempersona bagi sesiapa yang melihatnya. Tapi sedar dirinya adalah bukan sesuatu yang untuk dimiliki.

Seharian aku berjalan mencari jalan pulang. Namun, semakin jauh langkahku semakin asing pulak kawasan hutan yang ku nampak. Memang jelaslah aku tersesat.

Akhirnya aku menemui jalan denai. Aku ikuti arah jalan tersebut. Dah badan ku agak berbau kerana seharian belum mandi. Lapar tak la, sebabnya aku ada berbekal.

Semakin jauh aku mengikuti jalan denai itu, semakin pelik suasana yang aku lihat. Hutan sepatutnya aku lalui adalah Hutan Hujan Tropika. Kerana ia merentasi garis Khatulistiwa.

Namun, apa yang aku lihat, kawasan ini dipenuhi tumbuhan yang agak berbeza dari hutan yang sepatutnya. Kawasan hutannya kelihatan lebih menarik, ditumbuhi pokok buluh sana-sini. Di samping, pokok reniknya pelbagai bungaan. Seakan-akan tumbuhan semua itu ditanam.

Aku sudah terlalu jauh memasuki hutan itu. Hutan simpan agaknya kawasan ini fikirku. Ia tidak nampak seperti hutan yang biasa aku lalui. Pasal hutan ni, aku memang budak kampung, nak kata pro tak juga. Tapi setakat main-main mencari rezeki di hutan memang sudah biasa. Kali ini aku memang merasakan suatu yang sangat berbeza suasana hutannya.



Seronoknya di Hutan

Sememangnya aku tahu orang kampung tidak akan mencari aku kat dalam hutan ini. Mereka tahu aku selalu juga akan bermalam di hutan. Kehidupan hutan juga umpama sudah jadi sebati denganku. Tapi, sebenarnya aku tidak merancang untuk bermalam di hutan hari ini. Aku tidak banyak bawa set bermalam.

Buat pengetahuan korang, bermalam dalam hutan sebenarnya lebih seronok. Lagi-lagi kalau malamnya pekat. Kerana mata hitam kita akan membesar. Lagi-lagi dengan cahaya semulajadi di hutan datang dari beberapa jenis tumbuhan dan serangga, seperti kulat dan kunang-kunang.

Dalam hutan, yang dirisaukan adalah serangga dan ular berbisa. Binatang buas aku tidak gerun, kerana aku biasa mencari pokok yang sesuai dan tidur di atasnya. Di malam hari, bintang-bintang akan kelihatan sangat indah. Di tambah dengan muzik semulajadi, nyanyian unggas, dan geseran sayap serangga.

Kerana itulah aku lebih suka berada dalam hutan berbanding dengan suasana bandar yang hiruk-pikuk, ditambah kesegaran udara yang menyebalkan.

Aku lepasan SPM tingkatan 5. Keputusan ku cemerlang. Tapi aku tidak mampu menyambung pelajaran, kerana aku hanya hidup sebatang kara dengan nenekku sahaja. Kehidupan kami umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau ada rezeki lebih, aku jual pada orang kampung, ikan, binatang hutan dan sebagainya hasil hutan.

Biarpun begitu, aku dan nenekku bahagia. Kami tidak meminta belas ehsan orang kampung untuk terus hidup. Aku sangat berpendirian.



Mandi

Suasana dah senja. Jalan yang ku lalui semacam tiada penghujungnya. Aku mengambil keputusan untuk mencari tempat yang sesuai untuk aku bermalam. Kawasan penginapan sementara itu aku pagari dengan tali tangsi. Agar jika ada binatang buas menerjah ke situ aku akan perasan.

Berharap hari tidak hujanlah malam ini. Aku terdengar deruan air terjun. Aku mencari dari arah mana bunyi deruan itu. Aku nampak air terjun mini, yang di bawahnya kelihatan seperti sebuah kolam mandi. Dah rasa diri melekit badan, dengan segera aku menanggalkan pakaian ku. Dan aku melompat ke dalam kolam tersebut. Wow, sejuk dan nyaman rasanya.

Aku terus berendam beberapa ketika. Dan hari pun dah gelap. Hanya bertemankan cahaya bulan. Sedang asyik aku berendam, tiba-tiba aku terdengar suara perempuan menyanyi menuju ke arah kolam itu. Aku senyap. Nak keluar dari kolam sudah terlambat kerana orang itu sudah dekat. Dahla aku berbogel.

Nampak gaya aku kena bersembunyi. Aku menyembunyikan diri di celah-celah batu. Aku senyapkan diri. Ada cahaya lampu bergerak ke arah kolam tersebut. Aku mengintai dari celah batu. Ku lihat sosok seorang perempuan. Aku kan lelaki, tidak berkerdip mataku menatap apa yang berlaku di depanku.

Dia meletakkan lampu yang dibawa nya tadi di atas batu. Dan dia menanggalkan pakaiannya satu-persatu. Jantungku berdegup laju. Mampus aku kalau dia perasan aku ada kat situ. Pelbagai yang aku fikirkan, naya aku kalau dikejar orang kampung.

Pakaian unik yang dipakai sudah dilucutkan semuanya. Dia telanjang bulat. Alamak. Nak tutup mata ke nak terus tengok? Ya ampun jantungku lajunya. Dia masuk berendam ke dalam kolam dengan langkah lembutnya.

Aku sebenarnya mengakui terpesona dengan kecantikan perempuan itu walaupun hanya disuluh oleh cahaya bulan dan lampu yang dibawanya tadi. Nyamuk yang menggigit kulit muka ku pun tidak terasa kerana asyiknya menatap wajahnya yang samar-samar.




Kesejukan

Aku mula kesejukan dan gigilan sudah mulai terasa. Tiba-tiba kepala ku terfikirkan tengah-tengah hutan macam ni mana ada orang. Adakah dia ni manusia atau hantu atau bunian?

Aku jadi takut. Kerana sebelum ini aku tidak pernah melalui pengalaman macam ini. Aku tertunggu-tunggu dia mengilai ke apa. Kerana aku terpengaruh dengan cerita-cerita orang kampung sebelum ini yang pernah diganggu oleh makhluk halus.

Habislah aku kali ini, kalau macam inilah aku akan mati, aku pasrah je lah. Tapi, takkan aku nak menyerah macam itu sahaja. Bagaimana kalau dia ini manusia dan aku dituduh mengintai, memang nayalah aku. Aduh, macamana ni?

Apapun aku kena tunggu dia keluar dari kolam itu. Dah la nyamuk tengah seronok mengenakan aku. Atau aku sapa jer terus perempuan ni? Tak boleh, naya aku kalau dia menjerit nanti. Tunggu je lah dia keluar baru aku boleh keluar.

Aduh, dia leka pulak bermain dengan air sambil merendam badannya. Dia manusia ke apa? Kalau dia hantu tentu dia sedar aku kat situ. Jangan-jangan bini orang pulak. Kalau macam ini memang teruk aku kena nanti.

Tiba-tiba pulak perut aku rasa memulas. Nak terkentut pulak rasanya. Ku tahan rasa nak terkentut itu. Sakit gila tahan. Tidak tertahankan kentut itu. Aku terpaksa lepaskan udara itu. Dah angin yang keluar begitu banyak. Sehingga buih-buihnya keluar juga, bunyi dan baunya juga, adoi. Aku kantoi.

Dia tercari bunyi dan bau itu datang dari mana. Alamak. Jantungku tak tahu macamana nak cakap. Lajunya.


Kantoi

Dia nampak aku. Aku pun nampak dia. Aku ingatkan dia akan menjerit. Tapi diam membisu sepertimana aku. Kami saling berpandangan. Wow, memang orangnya sangat cantik.

Dalam masa yang sama ada bunyi derapan kaki orang lain sedang dalam perjalanan menuju ke kolam itu. Dia merapati aku dan menekap mulutku, sambil tangan nya satu lagi memberi isyarat supaya aku diam. Aku yang masih terkedu dengan kecantikannya hanya diam.

Kedengaran suara beberapa orang lagi perempuan mandi di situ sambil berborak dengan masing-masing. Kalau ikutkan suara yang berbeza ada empat orang kesemuanya termasuk perempuan pertama tadi.

Dia cuba menyembunyikan aku dari yang lain rupanya. Dia menutup kepala ku dengan daun keladi. Aku terasa sangat sejuk malah cuba ku tahan gigilanku. Mereka berempat terus berborak sambil berendam mandi. Aku tidak berani untuk mengintai sapa mereka. Kerana aku sedar isyaratnya tadi itu menyuruh aku berdiam.

Selesai mandi mereka bertiga tadi tu kedengaran minta diri balik dulu. Setelah mereka berlalu pergi baru dia kembali mendapatkanku. "Siapa kamu? kenapa kamu boleh berada di sini" ujarnya. Dia menutupi badannya dengan pakaiannya. "Aku sesat dan sampai di sini aku cuma menumpang mandi, dan tiba-tiba kau datang, jadi aku sembunyikan diri di sini" balasku memberanikan diri kerana perasan dia tidak nampak seperti suatu ancaman.

"Ini kampung apa ek?" tanyaku. Sambil mata ku melilau melihat persekitaran. "Ini perkampungan bunian, dan kamu manusia kan?" balasnya bertanya juga. "Ya aku manusia, aku hanya berburu dan tersesat" jelasku. "Kamu ni jahat ke baik?" tanya dia pelik. "Manalah aku tau aku jahat atau baik, tapi bagiku, tentulah aku baik" balasku pula. Dia hanya tersenyum mendengar jawapanku.

Aku tidak berani bangun keluar dari kolam itu, kerana aku masih telanjang bulat. Dia nampak aku menggigil. "Dah sejuk kenapa tidak bangun keluar saja dari kolam ini" ujarnya.



Malu


Mata aku terkebil-kebil hanya memandangnya. Dia perasan pakaian ku ada tersidai di atas batu di belakangku. Dia tersenyum lagi.

"Saya akan pandang ke arah lain, kamu salinlah pakaian" ujarnya sambil memutar badannya bertentangan denganku. Aku apalagi keluar dari kolam dan segera menyalin pakaianku. "Dah selesai, giliran kamu salin pakaianmu" ujarku pula menunjukkan adabku walaupun hati lelakiku ingin melihat segalanya.

"Kasihannya kamu, kalau tidak keberatan, mari ikut aku balik, sana gantikan pakaianmu yang basah itu" ujarnya lembut. Aku tidak berfikir panjang, aku terus ikut langkah kakinya. Bahasanya lemah-lembut dan sopan itu sangat menyenangkan hatiku.

Setelah beberapa ketika, kami sampai di rumahnya. Perhiasan rumah itu seperti hiasan diperbuat daripada kayu dan pohon hidup. Bagaikan mereka tinggal di pohon pokok. Mataku melilau sana sini melihat kesenian rumah itu.

"Kita ada tetamu mak, ayah" ujarnya pada orang tuanya. Mereka memandangku dengan pandangan yang menyenangkan. Mereka senyum padaku. "Selamat datang nak" ujar si ayah bersama senyumannya. Aku hanya mengangguk dan membalas sengihan.

"Nah, tukar pakaianmu" ujarnya sambil menyerahkan pakaian kepadaku. Mujurlah pakaian itu tidaklah sepelikmana. Senang digunakan. Selain rupa rumah yang unik rekaannya itu, selebihnya adalah hampir sama dengan dunia manusia.

"Tentu kamu tengah lapar, mari ke ruang dapur" ujarnya sambil dia mengapai tanganku dipimpinnya menuju ke dapur.

Kelihatan makanan sudah pun dihidangkan. Tiada satupun daging dalam menu mereka. Yang nampak hanya buah-buahan dan sayur-sayuran selain bijirin. Mereka ini mungkin keluarga pengamal diet bisik hatiku. Aku duduk dan mula menyuap makanan. Rasanya enak sama sepertimana masakan manusia.


Cantiknya

Selesai makan aku diajak berborak oleh si ayah. Kami di suatu tempat seperti beranda. Dia memulakan bicara. Aku hanya mendengar dengan teliti.

"Jika ada manusia yang mampu menembusi ke dunia kami, itu tandanya orang itu berhati mulia dan jiwanya bersama alam" ujar si ayah. Aku cuma mengangguk, kiranya aku ni berhati mulia kot. "Tapi satu pakcik nak pesan kat anak, jika anak berburu dan nampak rusa putih, kijang putih, pelanduk putih, janganlah dibunuh" tambah si ayah lagi. Aku hanya mendengar dan mengangguk tanda faham. Selepas itu, kami berborak tentang dua budaya dunia yang berbeza. Agak lama juga berborak dengan si ayah.

Si anak pula menyertai di ruangan itu. Si ayah bangun dan minta diri berehat membiarkan kami berdua di ruang itu. Aku sangat terpersona dengan kecantikannya.

Alunan rambutnya sangat lembut dihembus angin malam. Wajahnya yang redup jelas ayu disinar bulan. Sangat mempersona bagi sesiapa yang melihatnya. Sungguh aku memang terpegun dengan kecantikan gadis bunian ini.

"Kenapa kamu memandang saya begitu" ujarnya. Aku berdiri memetik bunga di tepi rumah itu. Bunga berwarna merah jambu itu ku selit di telinganya. Jelas nampak menyerlahkan keayuan gadis bunian itu. "Saya kagum dengan kecantikan kamu, belum pernah aku melihat perempuan seperti kamu, dengan kesopanan dan bahasa yang lemah lembut" ujarku tidak berselindung. Sebenarnya, aku merasakan diri sudah terpikat dengan gaya dan keanggunannya.

"Sebenarnya, saya selalu memerhatikan kamu berburu di hutan ini" ujarnya. "Iya ka, kenapa kamu tidak pernah menegurku sebelum ini" balasku. "Dunia kita berbeza, lagi satu, saya kelihatan tidak terkejut bila kita terserempak mandi tadi" ujarnya. "Kamu sudah perasan aku mandi dulu tadi ka?" tanyaku. "Yang itu tidak, aku pun tidak tahu kamu sedang mandi tadi" balasnya. Patutlah, dia tidak menjerit bila nampak aku tadi, rupanya dia sudah pernah nampak.



Terpikat

Ingin saja aku luahkan yang aku sudah terpikat padanya. Tapi lidahku masih tidak berani meluahkannya.

Sungguh aku tidak mahu melepaskan peluang memandang wajahnya. Redup wajahnya begitu ayu. "Kalaulah dunia kita tidak berbeza, sudah pasti saya akan kembali bersamamu ke dunia kamu" ujarnya seakan-akan memberikan aku klu yang dia juga menyukaiku. Aku beroleh keberanian untuk meluahkan perasaanku terhadapnya. "Saya mengaku bahawa saya sudahpun terpikat dengan kamu lantaran pandangan pertama di kolam tadi" ujarku ikhlas. Aku menunggu kata-kata darinya pula.

"Saya pula sudah lama menyukai kamu dari mula awal saya melihat kamu berburu, tapi kamu tidak dapat melihat saya ketika itu" ujarnya menyenangkan hatiku yang jelas dia juga mempunyai perasaan yang sama. "Jika kamu tidak keberatan, tinggallah bersama kami di sini" tambahnya lagi.

Kali ini serta merta wajah nenekku bermain dimindaku. "Ya benar saya telah jatuh hati pada kamu, tapi saya perlu menjaga nenek jua" ujarku. Dia tersenyum memandangku. Aku hanya membalasnya dengan senyuman palsuku. Kerana dalam hatiku, nenek adalah tanggungjawabku, dalam masa aku menyukai gadis bunian ini.

Aku duduk di atas kerusi kayu beranda itu, dan dia duduk mendekatiku dan dengan perlahan dia menyandarkan dirinya padaku. Aku meletakkan tanganku di bahunya dengan kemas. Saat itu begitu indah. Kami berdua berborak bercerita tentang diri masing-masing.

Masa berlalu tidak terasa. Kami seperti telah menerima masing-masing sebagai kekasih. Dia selesa menyandarkan kepalanya di bahuku.

Di dunia nyata, aku bukan tidak hensem, tapi level kehidupan tidak sama seperti yang lain. Bukan tidak ada yang sekampung dengan ku mahukan aku. Namun, aku sedar kehidupan aku yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu menjadikan aku tidak mampu.
Fantasi atau Realiti

Aku mempertahankan mataku yang mengantuk. Risau semua ini hanya mimpi jika aku terbangun nanti. Tubuhnya kupeluk rapat. Kami berdua seperti sudah kenal lama, wahal baru berjumpa di kolam tadi.

Gadis bunian ini sangat istimewa. Wajahnya asli tanpa solekan. Kecantikan semulajadi. Kelembutan bahasanya menghanyutkan aku. Aku menyatakan hasratku menjadikannya sebagai kekasihku. Dia menyetujui tanpa sebarang bantahan.

Malam itu sangat indah bersamanya. Mataku begitu berat dah mengantuk tidak mampu ku tahan lagi. Dia memimpin aku ke bilik tetamu. Aku baring dan dia menyelimuti aku dengan selimut. Aku tertidur.

Aku bangun pagi dan aku sedar aku masih lagi di bilik tetamu rumah bunian tersebut. Ternyata apa yang aku alami semalam adalah bukan mimpi.

"Hai awak dah bangun" ucapnya pagi itu. Aku hanya memandang wajahnya yang sangat memukau mata dan hatiku. Dia hanya tersenyum memandangku. "Pergilah berkumur dan kita sarapan pagi ya" ujarnya sambil memimpin tanganku.

Selesai sarapan ayahnya berborak denganku. "Pakcik harap kamu sudi-sudikanlah datang menjenguk kami lagi di sini nak" ujar si ayah. "Baik pakcik, saya kena balik juga hari ini, kerana tiada yang menjaga nenek" balasku. Si ayah hanya tersenyum. Budaya senyum mereka sangat menyenangkan.

Aku mendapatkannya di ruang beranda. "Kamu janganlah sedih, kalau ada kesempatan kita akan bertemu" ujarku. "Tiup seruling ini berdekatan dengan pokok tapang seribu tahun depan itu, bunyi seruling ini akan sampai ke dunia kami, maka saya tahu yang kamu hadir" balasnya sambil menyerahkan seruling kayu berlian itu kepadaku. Aku mengangguk faham dan memberikan senyumanku padanya.

Dia menunjuk kepadaku jalan pulang. "Kamu langkah dan jangan pandang kebelakang, terus melangkah sampailah kamu sampai di rumah" ujarnya. Aku memeluk tubuhnya dan ku kucup dahi tanda kasihku padanya. Setelah itu aku terus melangkah tanpa menoleh.



Pulang

Aku terus melangkah dan tidak menoleh kebelakang. Aku akhirnya sampai di jalan denai hutan khatulistiwa yang aku kenal. Kawasan permainanku memburu.

Sebelum keluar dari kawasan perkampungan bunian tadi, kekasihku sempat mengingatkan aku supaya merahsiakan tempat mereka dan aku perlu menyalin semula pakaian asal ku supaya tidak syak di dunia nyata ini.

Aku balik ke rumah papanku. Di sana nenek sedang memasak lauk kegemaranku. Ku lihat wajah nenekku, dia senyum gembira melihat aku. "Cantik gadis bunian kan?" tanya nenekku. "Macamana nenek tahu?" tanyaku terkejut dengan pertanyaan nenek. Nenek tidak menjawab dia hanya tersenyum seperti budaya senyum bunian.

Aku terus menjalani kehidupanku seperti biasa. Tiada tandanya aku mencari kekayaan dunia. Aku terus hidup bersama alam. Merayau di hutan adalah aktiviti kegemaranku. Orang kampung tidak pernah perasaan apa yang berlaku kerana aku tidak pernah menceritakan kepada sesiapa.

Setiap kali aku turun ke hutan, seruling kayu berlian itu pasti bersamaku. Kerana setiap kali aku kerinduan, pastinya seruling itu akan berbunyi di dalam hutan Hujan Tropika itu.


Begitulah aku terus hidup dan tak pernah berkahwin di dunia nyata ini. Aku setia bersama kekasih misteriku
.

TAMAT!

Terima Kasih kerana sudi membaca.

Kisah ini adalah rekaan semata-mata tiada kaitan dengan yang masih hidup ataupun yang telah mati. Jika berlaku ia adalah suatu kebetulan sahaja.

Ditulis oleh: Justine Amping


Mungkin anda berminat membaca kisah-kisah di bawah


Kasih Seorang Sahabat
Budak Asrama
Kerja Luar Kawasan
Mati Hidup Semula
Perjalanan Pulang
Kekasih Misteri

No comments:

Post a Comment