Kerja Luar Kawasan

Dimensi Dua Dunia
Kerja Luar Kawasan (Outstation)

Semangat nak balik rumah buat kejutan. Rasa girang ria hari tersebut. Mana tidaknya, rindu dengan anak-anak dan isteri. Petang itu aku girang memandu balik ke rumah. Perjalanan terasa panjang, seperti sengaja melengahkan aku. Menambah rasa rinduku pada mereka.

Malam itu mata ku tidak mampu lelap. Masih kepenatan. Seminggu aku tidak balik, kerana bertugas outstation. Kehadiran ku petang tadi disambut mesra oleh isteriku dan anak-anak.

Mereka semua di ruang tamu. Aku keseorangan di bilik baring kepenatan. Riuh-rendah juga kedengaran mereka di ruang tamu.

Anak laki ku melompat ke arah ku yang sedang berbaring. "Kenapa dengan Usu ni maknya, muka comot main dengan arang apa?" tanyaku pada isteriku. Isteriku tidak menjawab pertanyaan itu. Aku lihat habis legam muka Usu semacam kena conteng dengan arang. "Usu, gi mandi cuci badan tu, jangan main conteng-conteng macam tu!" Tegasku. Namun anak ku yang berumur 5 tahun itu tidak menghiraukan kata-kata ku, dia kembali ke ruang tamu.

Kedengaran suara riuh-rendah itu berterusan. Aku terus rehat berbaring. Kali ini si Angah pula menjengukku, rindunya dia pada abahnya. Dia peluk aku. Serupa dengan Usu tadi. Muka bergonteng arang. "Maknya, main apa budak-budak ni, bagi mandi la budak-budak tu" jerit ku dari dalam bilik.

Tidak lama kemudian, isteriku pun masuk ke bilik. Alamak, dia pun sama. Muka isteriku berconteng arang juga. Comot. Apa benda mereka ni main sampai comot-comot macam tu fikir ku.

Isteriku senyum pada ku. Namun, dia tidak berkata-kata apa-apa. Tiba-tiba dia menitiskan airmatanya. Dia memelukku. "Abang jaga diri baik-baik ok!" Ujar isteriku. "Kenapa ni sayang? Kenapa sedih-sedih ni, abang masih kepenatan bukan tidak mau layan korang, esok abang akan layan sama-sama anak kita ok" pujukku kerana dia sudah teresak-esak menangis dipelukanku.

Aku tidak sedar bila masa aku terlena. Aku bermimpi. Mimpikan kami sekeluarga bersama, tapi mereka melambai pada ku dan meninggalkanku keseorangan.

Aku terbangun. Wah cerahnya. Aku melihat ke atas seperti rumah ku tidak berbumbung. Kulihat kiri kanan, semuanya kesan terbakar. Serentak dengan itu aku sedar rumah aku sudah terbakar. Aku bangun dan cari anak-anak isteriku. Tiada apa-apa yang tinggal. Semuanya habis terbakar.

Ku lihat sekitarnya, aku ternampak frame gambar kami sekeluarga.

Itu yang tidak ditelan api. Kulihat satu-persatu wajah mereka. Terasa pipiku basah, airmata ku mengalir.

Kelihatan, makcik ku datang ke situ dan dia menjelaskan kepadaku. Rumahku terbakar sehari selepas aku outstation. Mereka tidak dapat menghubungi aku kerana aku memang perlu tutup telefon sepanjang bertugas.

Jika aku tahu mereka telah pergi akan ku peluk erat semuanya malam tadi. Apakan daya, aku masih ditakdirkan bertemu mereka malam tadi. Sekarang mereka telah pergi buat selamanya.

TAMAT!


Ditulis: Justine Amping

Note: Kisah ini adalah rekaan semata-mata tidak kena mengena dengan yang masih hidup ataupun telah mati.

No comments:

Post a Comment