Part Akhir: Hadiah Terakhir



Part Akhir: Hadiah Terakhir


🦁 Episod 121: Aku Terlantar Si Dia Gembira

Tiada yang lebih indah selain melihat orang yang kita cintai ceria bahagia. Berkali-kali isteriku mencium pipiku biarpun aku masih terlantar. Sampai dia lupa aku masih kesakitan. Baginya tiada yang lebih mengembirakannya bila melihat aku telah kembali kepadanya.

"Sorry sayang, terlupa abang masih menahan sakit" ujarnya setelah dia perasan dirinya mencerobohi kawasan lukaku. 

Sakit itu tidak berasa pun bila melihat si dia begitu teruja dan gembira. 

"Sayang takut bunyi beeeeeeeep tu ye?" Kataku sempat menyakat isteriku. 

Kelihatan juga ibu mertuaku mengesat airmatanya. Dia pun terusik juga. Bapak mertuaku masih 'cool' siap menunjukkan genggaman penumbuk dan ibu jarinya dinaikkan.

Suasana dari hiba menjadi sangat ceria. Bagaikan lupa aku yang masih menahan kesakitan. Itu semua tidak mengapa. Doktor yang juga sahabatku tadi mengenyitkan matanya dan memberi aku senyuman tanda dia juga merasakan elemen kegembiraan yang ada di situ.

Biarpun begitu aku masih perlu bermalam di wad. Kerana lukaku masih perlu dipantau. Isteriku sedikitpun tidak mahu berganjak dari situ. Tangan ku sentiasa digenggamnya.

"Sayang tidak tahu mun kehilangan abang tek, sik tauk giney nak teruskan kehidupan tanpa abang" ujarku apabila tinggal kami berdua saja di dalam bilik wad itu. 

Aku terharu mendengar apa yang dia luahkan. Tangan kanannya memegang erat jemari, tangan kirinya mengusap rambutku.

"Syukur abang masih diberikan kesempatan untuk terus hidup bersama sayang" luahku.
 

"Sayang, akan jaga abang sampai sihat, sayang sik sanggup kehilangan kitak gik" luah isteriku pula. 

Memang jelas mata seakan-akan lebam, dilingkari kemerahan. Mahunya dia menangis sekuat hatinya. Jelas itu tamparan yang sangat besar untuknya.


🦁 Episod 122: Tiga minggu terlantar.

Lebih kurang tiga minggu aku terlantar di hospital. Lukaku semakin sembuh. Isteriku setia menemani aku di hospital. Dan hospital itu bagaikan rumah sudah baginya. Dia hanya meninggalkan aku apabila waktu solat. Kalau makan pun dia akan tapau dan makan disebelahku.

Rakan-rakan sejawatku juga ramai datang melawat. Dan ramai juga murid ku datang melawatku, siap berselfie denganku. Pasal selfie di wad tiada siapa mampu mengalahkan memori telefon bimbit isteriku yang penuh dengan ragamnya.

Si murai macamana? Aku tidak kisah apa nak jadi dengannya. Tapi dari apa yang aku dengar dia ditangkap dan akhirnya dia masuk hospital juga. Tapi hospital mental la. Selepas kejadian tragik itu, dia jadi tidak siuman. Kesian juga aku dengar perkhabaran itu. Tapi apa boleh buat itu sudah takdirnya.

Tangan kiri sudah mula bergerak bebas tidak seperti sebelum ini. Nak gerak pun tidak dapat. Sakit sangat. Selepas dua minggu aku berada di situ, akhirnya aku boleh duduk dengan sendiri. Setiap perkembanganku dirakam oleh isteriku.

Perut isteriku semakin membesar dan dua budak nakal dalam kandungan jelas menunjukkan reaksi bergerak. Setiap pergerakan isteriku mengongsikan dengan meletakkan tanganku pada perutnya.

"Sayang, tidak sabar nak lihat baby kita lahir ke dunia ini" kataku pada isteriku. 

"Kita akan membesarkan mereka bersama-sama bang, tidak sabar rasanya kan" luah isteriku pula. 

Sambil dia memberiku senyuman. Terkadang di hospital itu, kami berdua hanya saling menatap wajah masing-masing. Tidak pernah jemu-jemu pun. Saling berpandangan dan berbalas senyuman.

Hari tersebut juga aku dimaklumkan boleh 'discharge'. Maknanya boleh pulang. Bapak mertuaku mengambil kami dan balik ke rumah mertuaku.


🦁 Episod 123: Sarat

Hari ini adalah hari sabtu. Lega dapat merehatkan diri. Keadaan sudah pulih seperti biasa. Aku mengajar di sekolah seperti sebelumnya. Aku sihat sepenuhnya. Kandungan isteriku pula sudah menyentuh masuk ke angka sembilan bulan.

"Bang, sayang rasa lain macam jak tok, terasa nak berak, tapi bukan pun" ujar isteriku. 

"Sayang ada salah makan tadi ka?" balasku yang masih tidak mengerti. 

"Salah makan mendanya bang, bini abang tok dah nak beranak la" kata isteriku menyebabkan aku menggelabah. 

Ye lah aku mana pernah jadi bapak. Muka isteriku berkerut, mulut nya mucung menarik nafas dan menghembuskannya. Aku memanggil ibu mertuaku. 

"Bu, bu, datang sitok lok" aku terjerit. Segera ibu mertuaku datang.

"La, isteri kitak ya nak beranak dah ya" kata ibu mertuaku. 

Aku segera mengambil pakaian keperluan isteriku di hospital nanti. Dan segera ku pimpin isteriku bergerak ke kereta. Sememangnya aku dan isteriku tidur di tingkat bawah, kerana sememangnya bersedia tidak mahu menyusahkan apabila turun tangga.

Selesai bapak mertuaku mengunci pintu. Kami bertolak ke hospital. 

"Abang, cepat sikit, dah terasa nak keluar tok" kata isteriku di belakang menekan aku supaya mempercepatkan pemanduanku. 

"Ok, ok i love you" pendek tersasul ku jawab. 

"Eee abang tok sempat nak melawak ok i love u too" balas isteriku. 

Aku senyap teruskan memandu. Hampeh macamana aku boleh tersasul begitu? Mungkin panik dan cemas la kot.

Sampai di hospital aku terus membawa Isteriku ke bahagian kecemasan. Di situ dia dibantu pembantu di hospital terus ditolak dengan kerusi roda. Aku pula mencari tempat letak kereta.


🦁 Episod 124: Lahirnya Putera & Puteri

Isteriku telahpun dimasukkan ke wad bersalin. Aku menanti di luar penuh debaran. Bagai menunggu keputusan peperiksaan SPM keluar masa masih belajar dulu. Debarannya siapa yang pernah ada pengalaman yang serupa pasti dia tahu makna debaran tersebut.

"Tenang gu, duduk jak lok, tiba masanya akan tau wak kelak" kata bapak mertuaku ku yang tidak tahan melihat aku ke hulu ke hilir. 

Aku hanya tersengih. Dalam hati ku penuh debaran.

Mana tidak aku berdebar. Walaupun belum pernah bergelar sebagai bapa namun aku tahu melahir itu ada risikonya sendiri. Sapa tak sayang bini oi. Masa terasa beredar dengan sangat lambat. Salah satu debaran adalah debaran ingin tahu jantina anak-anakku. Aku dan isteriku memang hanya nak tahu jantina pada hari kelahiran. Nak suspen la kononnya.

Saat yang dinantikan telah tiba. Doktor membuka pintu, dan aku meluru mendapatkannya. 

"Macamana keadaan isteri saya doktor" tanyaku. 

"Isteri awak dan kedua-dua anak awak pun selamat, tahniah!" Jelas doktor tersebut. 

"Terima kasih doktor, boleh kami masuk jenguk mereka" tanya ku. 

"Boleh tapi jangan beramai la" jawab si doktor. 

Aku terus masuk mencari isteri dalam wad tersebut.

Di dalam aku lihat mereka bertiga berada pada katil yang sama. Teruja sungguh perasaanku ketika itu.

"Bang kita dapat Puteri dan Putera" ujar isteriku yang wajahnya masih pucat. 

Syukur isteriku selamat dan Putera Puteri ku selamat dilahirkan dan cukup sifatnya. Datuk mereka melaungkan azan di telinga putera dan puteri tersayang.

Putera dan Puteri ku sangat comel, kulit putih seperti ibunya. Isteriku menitis airmata gembiranya. Ku kucup dahi isteriku begitu juga dengan Putera dan Puteri ku. 

"Kacak macam abang dan kiut Kedak sayang kan bang" ujar isteriku. 

"Neyda, mun kedak kitak kedak nenek jak la" sakatku menyebabkan semua ada di situ gelak tawa bersama.


🦁 Episod Akhir: Happily Ever After.

Hari, minggu, bulan dan tahun saling silih berganti. Aku pula sudah bersara. Putera dan Puteri ku sudahpun di tingkatan empat.

Kedua-dua sangat bijak serta kacak dan cantik. Mana tidaknya, keduanya hasil perkahwinan campuran aku dan isteriku. Mereka memiliki genetik terpilih dalam tubuh. Aku bersyukur keduanya tidak pernah membawa sebarang masalah pada kami sekeluarga.

Ibu dan bapak mertuaku masih sihat sehingga kini. Mereka sangat rapat dengan kedua-dua cucunya. Setiap hujung minggu keduanya akan bermalam dengan atok dan nenek mereka. Mertuaku sangat manjakan kedua-duanya, malah pantang berenggang mereka berempat itu.

Isteriku berjaya menamatkan pengajian ijazahnya. Tapi si dia tidak mahu berkerja di mana-mana majikan. Dia memilih untuk berkerja dari rumah. Dia membuka bisnes secara online. Aku tidak pernah menghalang pun jika dia ingin bekerja di luar. Namun, dia memilih untuk bekerja dari rumah kerana mahu sentiasa dekat dengan kami semua.

Aku pula, menghabiskan hari bersaraku dengan segala hobi yang aku suka. Aku melukis, menghasilkan kraf mini selain membuat koleksi set peralatan muzik. Dan ia juga menjadi minat bersama Putera dan Puteriku yang turut menyukai muzik. Isteriku sentiasa memberikan sokongan kepada semua.

"Abang, sayang bahagia sehingga ke hari ini, abanglah heroku dan syurgaku" ujar isteriku yang duduk dibelakangku menyaksikan aku berkarya melukis potret Putera dan Puteri kesayangan kami. 

"Abang pun sentiasa menyintai isteri abang yang dah kerepot ni sampai akhir nyawa" balasku tersengih mengenakannya. 

Walaupun wajahnya langsung belum dimamah usia, sentiasa cantik dan menawan. 

"Abang, walaupun dah bersara, tetap kacak sentiasa awet muda, 'no wonder' wak kamek boleh jatuh hati dengan abang dolok eh, malah makin kacak gik" ujarnya memujiku yang juga tidak nampak dimakan usia cuma rambutku saja yang sudah banyak ubannya. 

"Semuanya kerana sayang wak, tangga wak menu makan kita ya, sayuran dan buahan jak yang banyak, sampai abang lupa rasa makanan di KFC, McD entah rasa daging pun giney rasanya sudah" balasku. 

Dia tersenyum kerana dia mengawal diet kami sekeluarga.

Dia buat begitu, kerana dia tahu umur kami jauh berbeza, dia hanya nak umurku dipanjangkan sebaiknya. Agar kami dapat sentiasa bersama saling menyintai dan menyayangi hingga ke akhir hayat.

Aku buka muzik instrumental. Aku mencapai tangan isteriku menjemputnya berdiri. Ku genggam tangan kirinya dengan tangan kananku, sambil tangan kiriku merangkul kemas pinggangnya. Tangan kirinya merangkul leherku. Kami saling berpandangan. Aku dan isteri bergerak menari perlahan mengikut rentak muzik balada itu. 

"I love you sayang" ujar isteriku. 

"I love you too forever and ever" balasku. 

Dia menyandarkan kepalanya didadaku. Kami tidak pernah jemu dengan masing-masing

Begitulah rutinnya aku dengan isteriku apabila anak-anak bermalam di rumah atoknya atau pergi ke sekolah. Kesimpulannya, kami hidup bahagia sehingga ke akhirnya.

TAMAT!

Terima Kasih kerana sudi membaca.

Ditulis: Justine Amping

No comments:

Post a Comment